Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

Selepas diperkenalkan di peringkat dunia pada September 2020, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan Mercedes-Benz S-Class generasi ketujuh secara rasmi untuk pasaran tempatan. Untuk pasaran domestik, varian S 580 e diperkenalkan dan ia merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang. Walau bagaimana pun, harganya masih belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan kelak.

Limosin mewah ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 367 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm yang digandingkan bersama transmisi 9G-Tronic. Malahan penjana kuasa ini juga digabungkan dengan motor elektrik yang dijanakan dari bateri lithium-ion 28.6 kWh ini mampu memberikan output tambahan sebanyak 110 kW dan 440 Nm.

Motor elektrik ini juga memberikan jarak pacuan (elektrik penuh) sehingga 100 km (kitaran WLTP) dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 140 km/j. Hamburan kuasa dari enjin konvensional dan motor elektrik ini membolehkan S 580 e dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Secara standard, S 580 e ini didatangkan dengan pengecas onboard 11 kW, dengan pengecas wallbox AC tiga-fasa mengambil masa sekitar dua hingga 2.5 jam untuk bateri mencapai 80% status pengecasan. Pek bateri ditempatkan di ruang but, membuatkan limosin versi PHEV ini hanya menawarkan sekitar 330 liter untuk ruang penyimpanan barang, berbanding 550 liter pada varian petrol atau diesel.

Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

Digelar sebagai “kereta terbaik di dunia” oleh Mercedes-Benz sendiri, S 580 e ini diberikan peningkatan di keseluruhan bahagiannya. Bahagian hadapannya diberikan gril yang lebih besar dengan lampu utama trapezoidsal yang lebih nipis dan lebar serta lampu nyalaan siang (DRL) LED serta penunjuk arah berbentuk tajam. Tiga bintik lampu di dalamnya pula menggambarkan ini adalah model S-Class (E-Class menggunakan dua bintik).

Lampu ini datang secara standard dengan Multibeam LED, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mampu meningkatkan ketepatan Adaptive Highbeam Assist Plus sehingga 100 kali berbanding Multibeam dan memancarkan pelbagai informasi ke atas jalan seperti simbol amaran, tanda jalan dan panduan apabila melalui kawasan pembinaan.

Selain itu, ia turut diberikan rim multi-twin-spoke bersaiz 19-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik. Pada bahagian belakang, lampunya menggunakan bentuk segi tiga baru dan mempunyai bintik-bintik yang boleh melakukan pelbagai urutan pergerakan. Di atasnya terdapat jalur krom yang bersambung di bahagian tengah. Ia juga tampil dengan kawalan penutup boot lid.

Ciri aerodinamik turut dititikberatkan untuk S-Class baharu ini, ia hadir dengan kadar rintangan angin kini menjadi 0.22 Cd dan pelbagai lagi bahagian seperti bukaan dan laluan udara, bahagian bawah kenderaan, cermin sisi serta rim direka untuk memperbaiki aerodinamik.

Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

Untuk bahagian dalamnya, ia banyak diinspirasikan daripada rekaan bot mewah. Walau pun papan pemukanya kelihatan agak ringkas dan tidak mempunyai banyak butang kawalan, namun elemen eksklusif masih terserlah. Ia juga ditampilkan dengan kemasan kayuan lebar yang bersambung dari tengah sehingga ke tepi pintu.

Pada bahagian tengahnya pula, terdapat skrin sesentuh besar yang bentuknya bersambung sekata sehingga ke konsol tengah, dan melaluinya, butang-butang kawalan dapat dikurangkan sehingga menjadi cuma satu baris di bawahnya. Manakala corong pendingin hawa menggunakan bentuk petak yang melintang di tengah dan menegak di tepi. Malah ia diberikan kawalan suhu Thermotronic untuk bahagian depan dan belakang,

Selain itu, lampu ambien dengan 64-warna turut dinaik taraf, kini terdiri daripada 250 LED (sebelum ini cuma 40), menjadikannya lebih terang dan boleh memberi tindak balas kepada pelbagai fungsi kenderaan seperti keluar daripada lorong, pintu dibuka dan amaran perlanggaran.

Ciri lain yang turut diberikan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang dibaluti kulit nappa, Keyless-Go, akses bebas tangan, konsol tengah dengan kemasan ala kristal hitam, sokat kuasa 12v pada bahagian penyimpanan barang, dan pencahayaan ambien dengan pantulan logo Mercedes-Benz.

Tempat duduk dibaluti upholstery kulit Nappa telah direka semula untuk menjadikannya lebih selesa dan ditawarkan dengan bantal pada penyandar kepala serta pemanas tengkuk. Di dalamnya, terdapat kipas untuk pemanas dan penyejuk, serta beg udara untuk fungsi mengurut. Model baharu ini juga menjadi S-Class pertama yang datang dengan fungsi kinetik Energizing yang boleh melaras sendiri tempat duduk pada selang masa tertentu.

Untuk tempat duduk pemandu, ia diberikan larasan elektrikal dengan fungsi memori dan tempat duduk belakang eksekutif juga menerima sentuhan menarik dan istimewa. Ini termasuklah dengan ciri larasan elektrikal dengan fungsi memori, tirai suria larasan elektrik untuk tingkap kiri dan kanan serta cermin belakang.

Untuk S-Class, ciri baharu yang dipertingkatkan termasuk Mercedes-Benz User Experience atau MBUX, telah dipertingkatkan dengan fungsi yang membolehkan penumpang berkongsi video atau muzik, serta menetapkan navigasi dari belakang. Tetapan tempat duduk boleh disimpan dalam memori dan sistem kenderaan dapat mengesan pemiliknya melalui cap jari, muka atau suara.

Sistem kawalan suaran “Hey Mercedes” kini boleh digunakan dalam 27 bahasa, memahami beberapa arahan secara serentak dan boleh menjalankan operasi tanpa memerlukan sebarang ayat khas. Penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem ini.

Selain itu, ia diberikan skrin tengah OLED 12.8-inci serta panel instrumen pula bersaiz 12.3 inci dan ditawarkan dengan kesan tiga dimensi. Ia membolehkan pemilik menambah sistem hiburan belakang MBUX dengan dua skrin 11-inci serta tablet 7.0-inci untuk kawalan yang boleh diletakkan pada konsol tengah.

Sistem paparan utama datang dalam dua pilihan, dan unit yang lebih besar dilengkapi dengan fungsi augmented reality untuk navigasi yang akan memaparkan informasi pada jarak 10 meter di hadapan. Ia turut diberikan sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D dengan 16-pembesar suara dan amplifier 760 watt. Selain itu, ia turut diberikan sambungan Apple CarPlay, Android Auto, sistem pengecasan tanpa wayar di hadapan dan belakang untuk telefon bimbit, dua headset tanpa wayar, dan Remote Services Plus.

Satu lagi ciri baharu adalah integrasi dengan peranti di rumah. Melaluinya anda boleh memeriksa status rumah dan mengawal peralatan tertentu. Ciri MBUX Interior Assistant dinaik taraf dan kini boleh mengenal pasti beberapa pergerakan (jika anda menoleh ke tepi ia akan membuka penghadang matahari di tingkap) dan menggunakan kamera untuk melihat mata pemandu sekiranya mereka tertidur dan mengeluarkan amaran.

Di sebalik badannya, ia dibina dengan kombinasi bahan besi dan aluminium, dan 50% daripada beratnya datang daripada aluminium. Panel aluminium juga menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 60 kg berbanding model sebelumnya.

Suspensi hadapan masih menggunakan tetapan four-link manakala di belakang menggunakan multilink. Dalam keadaan standard, kereta ini datang dengan suspensi udara Airmatic dengan penyerap adaptif, sementara sistem E-Active Body Control disediakan sebagai pilihan tambahan bagi menggantikan Magic Body Control sebelum ini.

Untuk aspek keselamatan, menurut Mercedes-Benz, S-Class menjadi kereta pertama di dunia yang menggunakan beg udara hadapan untuk penumpang belakang. Ia dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan dan mempunyai rekaan yang menjadikannya lebih lembut dan mengurangkan kecederaan. Tali pinggang keledar juga mempunyai beg udara sendiri. Keseluruhan jumlah beg udara untuk S 580 e ini ialah 14 unit.

Sistem bantuan pemandu sedia ada turut diberi peningkatan. S 580 e baharu kini datang terus dengan pelbagai ciri termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan trafik bertentangan yang diperbaiki, Adaptive Cruise Control (kini boleh mengelak perlanggaran sehingga 130 km/j), Lane Centring Assist, Lane Change Assist, Evasive Steering Assist, Active Emergency Stop Assist dan Blind Spot Monitoring. Sistem kamera 360-darjah disediakan sebagai pilihan tambahan dan dapat membantu mencari petak letak kereta kosong.

Walau bagaimana pun, untuk S 580 e versi CKD ini tidak didatangkan dengan rear-wheel steering, Drive Pilot, dan sistem pemanduan Level 3 semi-autonomous, berbanding untuk pasaran global yang menerima ciri kelengkapan yang disebut ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required