Selepas pertama kali diumumkan pada Disember 2020 – ini dia tuan-tuan dan puan puan, Proton Iriz paling berkuasa di dunia iaitu Proton Iriz RX secara rasminya telah didedahkan! Seperti yang diketahui sebelum ini, jentera ini diasaskan jentera rali Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM), dan menerima kejuruteraan semula untuk memenuhi spesifikasi FIA RX1 (sebelum ini dikenali sebagai RX Supercar) oleh Tony Bardy Motorsport (TBM).

Pembangunan jentera ini dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK. Ia bakal dipandu oleh juara British Rallycross Championship 2007, Ollie O’Donovan dalam kejohanan 5 Nation British Rallycross dengan pasukan Team RX Racing. Bukan itu sahaja, Ollie O’Donovan turut akan bertanding semula dalam kejohanan European Rallycross Championship tahun ini dengan Proton Iriz RX berkenaan!

Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan ketika jentera ini didedahkan. Namun menurut spesifikasi RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, jentera-jentera yang bertanding dalam kelas berkenaan perlu dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

Dilihat dari bahagian luar, Iriz RX ini menampilkan kelengkapan aerodinamik yang hampir sama dengan Iriz R5, khususnya pada bampar hadapan dan belakang, serta panel wide body pada keempat-empat ruang roda. Namun apa yang berbeza, Iriz RX ini diberikan lampu ‘dummy’ di hadapan bersama liang udara yang lebih banyak pada gril bawah dan perumah lampu kabus, overfender belakang yang lebih lebar serta spoiler dua tingkat di belakang yang lebih besar diperbuat dari karbon.

Jika anda perasan juga, terdapat liang udara besar pada kedua-dua belah pintu belakang, dan juga penutup but belakang yang telah ditebuk juga untuk aliran udara. Ini sebenarnya adalah untuk sistem penyejukkan enjin jentera lumba berkenaan, kerana radiator kereta rallycross lazimnya dialihkan ke bahagian belakang, bagi mengelakkan ia rosak ketika ‘dog fight’ yang lebih agresif berlaku setiap kali dalam disiplin perlumbaan tersebut.

Menurut Team RX Racing lagi, walaupun Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi. Kereta ini telah pun menjalani ujian-ujian awal, dan bakal muncul buat pertama kali dikhalayak ramai di hari media dan ujian 5 Nations BRX yang bakal berlangsung pada 14 April di Lydden Hill.

Lydden Hill juga akan menjadi medan pertarungan pusingan pertama dan kedua 5 Nations BRX 2022 yang akan bermula pada 16 hingga 18 April ini. Kejohanan berkenaan akan berlangsung sebanyak 10-pusingan tahun ini, dengan pusingan seterusnya akan dibuat di Pembrey (Wales), Mondello Park (Ireland), dan Dreux (Perancis).

Manakala untuk European Rallycross Championship musim ini, ia akan bermula di Nyirad, Hungary bulan hadapan, diikuti pusingan di Norway, Sweden, Portugal, Latvia, Portugal dan Belgium.

“Melihat Iriz RX ini turun dari treler untuk buat pertama kali baru-baru ini merupakan saat yang penting untuk diri saya dan pasukan. Kemudian masuk ke dalamnya dan memuatkan saya dengan sempurna merupakan perasaan yang istimewa. Banyak kerja keras telah dicurahkan untuk projek ini, dan ujian awal telah dijalankan dengan cemerlang. Iriz RX telah pun memberikan rasa peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding di mana kami sebelum ini, dan ujian shakedown pertama ini adalah jauh dari potensi penuhnya yang boleh dicapai,” kata Ollie O’Donovan, yang juga prinsipal pasukan Team RX Racing.

“Untuk kembali ke Kejohanan Eropah turut menjadi sasaran utama untuk projek ini, dan saya tak sabar untuk memandu di Nyirad, Hungary untuk pertama kali bulan hadapan, dan membuat penampilan antarabangsa pertama untuk Iriz RX ini!” kata O’Donovan lagi.

Apa yang menarik, anak Ollie iaitu Patrick O’Donovan turut akan menyertai 5 Nation BRX untuk musim ini, memandu satu lagi jentera pasukan Team RX Racing iaitu Ford Fiesta RX, bekas jentera yang digunakan Ollie untuk musim-musim sebelum ini.

“Ollie [O’Donovan] mahukan kereta yang orang lain tiada, dan dalam versi R5 Iriz telah pun menang banyak perlumbaan rali dengan dipandu oleh Ollie Mellors. Sebab itulah kami memilih jalan ini,” kata ketua jurutera Team RX Racing dan juga pemilik Tony Bardy Motorsport, Tony Bardy.

“Kereta ini berkongsi asas dengan Iriz R5, tetapi turut menampilkan banyak perincian yang unik, dan konsep berkenaan dikembangkan lagi bagi diadaptasi untuk rallycross lebih dari semua kemungkinan yang difikirkan sejak dari mula. Tetapi selepas kereta ini menjalani ujian pertama, ia ada kelajuan. Kereta ini mempunyai cengakaman yang banyak, dan lebih banyak potensi belum didedahkan. Kami semua tak sabar untuk perlumbaan pertama!” kata Tony Bardy lagi.

Prinsipal pasukan MEM Proton Motorsport, Chris Mellors pula berkata: “Ini merupakan, dan terus menjadi, projek yang menarik untuk kami di MEM. Seronok dapat mengusahakan program yang berbeza dengan orang yang berbeza, dan meneroka dunia rallycross. Kami berpuas hati dengan hasil kereta ini, dan kami sangat gembira dengan shakedown di Pembrey. Kami mempunyai beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum pusingan pembukaan musim ini, tetapi kami sangat teruja untuk melihat prestasi kereta itu dalam persekitaran yang kompetitif, sama ada di Kejohanan British dan di pentas Eropah.”