Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

Ketika Proton Iriz didedahkan pada tahun 2014, tentu ramai yang perasan bahawa rekaan hatchback yang pada awalnya digelar sebagai Proton Compact Car berkenaan dihasilkan sebagai versi produksi model konsep Proton EMAS yang muncul di Geneva Motor Show 2010 bukan?

Namun tahukah anda, rekaan Iriz ini sebenarnya lebih mirip kepada model konsep Lotus Ethos? Dan elemen rekaan kereta kompak Lotus tersebut bukan sahaja tampil pada versi asal Iriz 2014, malah berberapa aspek turut tampil pada Iriz facelift 2019!

Model konsep Lotus Ethos ini mula didedahkan kepada umum di Paris Motor Show 2010 pada September tahun berkenaan, enam bulan selepas Proton EMAS didedahkan di Geneva. Ia masih menggunakan asas yang sama seperti EMAS, tetapi mendapat sentuhan rekaan terus dari Lotus (rekaan EMAS dibuat oleh firma rekaan Itali, Italdesign Giugiaro), dan dihasilkan dalam bentuk tiga-pintu.

Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

Ketika didedahkan, model konsep ini sebenarnya dikenali sebagai Lotus CityCar, manakala nama Ethos ini hanya muncul pada tahun 2011 apabila Lotus mengumumkan versi produksinya akan muncul pada tahun 2013. Namun ia tidak menjadi kenyataan, tetapi konsep rekaan Ethos ini nampaknya diterapkan oleh Proton untuk model produksi Iriz.

Jika anda lihat dengan teliti, walaupun Ethos ini dihasilkan sebagai model tiga pintu, rekaan bentuk tingkap dari cermin suku hadapan serta cermin tingkap hadapan dan belakang adalah sama dengan Iriz, termasuk rekaan pada tiang-C. Malah rekaan ‘bilah sisi’ pada bawah pintu dan panel sisi belakang Ethos ini disalin terus ke Iriz dan menjadi rekaan signatur hatchback segmen-B Proton berkenaan.

Pada bahagian muka, jelas ‘mulut’ dan perumah lampu kabus Iriz 2014 adalah diinspirasikan terus dari Ethos, manakala lampu hadapan Iriz facelift 2019 yang nampak lebih tirus dan tajam seakan ditiru dari lampu hadapan Ethos ini.

Bahagian belakang Lotus Ethos ini juga menampilkan rekaan asas Iriz serta seakan bercampur aduk antara versi 2014 dan 2019. Pintu tailgate belakang Iriz yang nampak seperti ‘terpotong rata’ dan menampilkan garisan sekeliling yang jelas nampak memang berasal dari Ethos. Ruang roda belakang Ethos yang kembang juga nampak sama seperti Iriz.

Namun lampu belakang Ethos yang ‘baring’ dihasilkan ‘berdiri’ pada Proton Iriz. Manakala panel kemasan hitam pada pintu tailgate dengan tulisan ‘LOTUS’ pada Ethos nampak sama seperti panel pada Iriz facelift 2019 juga dengan tulisan ‘PROTON’ di tengahnya.

Pada bahagian bampar belakang pula, bentuk kemasan diffuser pada Ethos ini lebih menyerupai diffuser sebenar, namun dengan bahagian kemasan berwarna hitam yang besar, ia nampak ada kaitan dengan bampar Iriz 2019. Manakala untuk rim pula, asas rekaan pada Ethos ini nampaknya menjadi inspirasi untuk rekaan rim 15-inci pada Iriz 2014.

Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

Ketika didedahkan, Ethos diumumkan menggunakan asas sistem unit penjana yang sama dengan Proton EMAS, iaitu dengan sistem hibrid range extender. Sistem berkenaan menggabungkan enjin tiga-silinder 1.2 liter turbo yang boleh berfungsi dengan pelbagai bahan api dan juga motor elektrik.

Namun enjin pembakaran dalaman tersebut tidak memacu roda kereta ini, sebaliknya ditugaskan hanya untuk mengecas bateri hibrid seperti ‘generator pasar malam’, dan ia bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

Model konsep ini diberikan pek bateri 14.8 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 60 km untuk satu cas penuh, namun dengan satu tangki bahan api, enjin pembakaran dalaman tersebut mampu untuk mengecas bateri berkenaan untuk bergerak sejauh 500 km.

Kereta konsep Lotus Ethos ini dihasilkan dengan berat kurang dari 1,400 kg. Dengan kuasa 72 hp dan tork maksima 240 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9 saat.

Teknologi ini mungkin agak pelik pada tahun 2010, namun ia sekarang telah pun digunakan oleh Nissan digelar sebagai e-Power, diperkenalkan pada model produksi Nissan Note e-Power dan Kicks e-Power. Teknologi yang sama juga akan muncul pada Mazda MX-30, dengan enjin range extender berkenaan menggunakan enjin wankel rotary Mazda yang kompak dan senyap.

Manakala untuk model produksi Iriz, tiada teknologi penjana termaju ditampilkan. Sejak ianya diperkenalkan, Iriz terus ditawarkan dengan hanya dua pilihan enjin petrol VVT iaitu versi 1.3 liter berkuasa 94 hp/120 Nm dan versi 1.6 liter berkuasa 107 hp/150 Nm.

GALERI: Lotus CityCar Concept/Ethos 2010

GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2014

GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required