Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Theophilus Chin sekali lagi menzahirkan bayangan melalui sebuah rekaan digital bagi model ‘Proton eMas 3’ — versi SUV elektrik Proton yang lebih kecil berbanding SUV segmen C Proton eMas 7 yang ada ketika ini.

    Ketika pembukaan bilik pameran Proton eMas PJ oleh Regal Motor semalam, CEO Proton, Li Chunrong mengesahkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan model EV kedua pada tahun ini. Tiada perincian disertakan, namun khabar angin yang bertiup menyatakan yang model tersebut ialah ‘eMas 5’, yang menggunakan asas dari Geely Xingyuan.

    Sekiranya ini betul, ia akan menjadi penawaran SUV EV yang lebih kecil dan lebih murah berbanding eMas 7 yang ketika ini dijual bermula dari RM105,800. Model tersebut juga akan menjadi pesaing kepada EV Perodua, yang ditunjuk sebagai model konsep eMO-II ketika KLIMS Disember lalu — model ini jangka diperkenalkan pada suku keempat 2025 dan akan dijual dengan harga antara RM50,000 hingga RM90,000.

    Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Dilancarkan Oktober lalu di China, Geely Xingyuan memberikan jarak CLTC hingga 410 km (sekitar 350 km dengan kitaran WLTP) dengan dua pilihan bateri, 30.12 kWj dan 40.16 kWj.

    Namun rekaan yang ditunjuk oleh Theo ini bukan diasaskan daripada Xingyuan, sebaliknya dalam bentuk yang lebih kecil, mungkin untuk peringkat kemasukan. Jika ia lebih kecil daripada Xingyuan dan BYD Dolphin, ia mungkin juga sebuah hatchback segmen A — sama seperti BYD Seagull misalnya.

    Imej bayangan daripada Theo ini menggunakan Volkswagen Polo Mk6 sebagai asasnya, dengan perincian dan rekaan luaran dari eMas 7. Jika kereta EV kecil ini ditawarkan dengan harga antara RM50-RM60k, agak menarik juga.

     
     
  • JPJ Kedah kutip saman tertunggak lebih RM43k terhadap kenderaan Thai antara 17 Dis 2024-2 Jan 2025

    JPJ Kedah kutip saman tertunggak lebih RM43k terhadap kenderaan Thai antara 17 Dis 2024-2 Jan 2025

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah Stien Van Lutam, mengesahkan pihaknya berjaya mengutip saman tertunggak lebih RM43,000 hasil operasi khas kenderaan Thailand yang dilakukan antara 17 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025.

    Beliau berkata, jumlah kutipan itu dijangka akan terus meningkat disebabkan operasi mengesan kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak masih dijalankan, laporan Harian Metro.

    “Sejak 17 Disember hingga 31 Disember tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip RM29,800 saman tertunggak dari kenderaan-kenderaan asing yang terbabit. Hanya dalam tempoh dua hari selepas itu iaitu pada 1 dan 2 Januari, operasi yang dilakukan itu berjaya mengutip tambahan RM14,100 lagi tunggakan saman.

    “Dalam operasi ini, kami mengesan dan menahan kenderaan-kenderaan Thailand yang mempunyai saman aktif di laluan-laluan yang sering dilalui kenderaan dari negara terbabit,” katanya.

    Tambahnya, pesalah trafik dari negara jiran itu akan diminta untuk menyelesaikan semua saman-saman aktif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

    JPJ Kedah kutip saman tertunggak lebih RM43k terhadap kenderaan Thai antara 17 Dis 2024-2 Jan 2025

    Stien turut berkata, setakat 2 Januari lalu terdapat dua van disita selepas pemandu warga asing terbabit gagal menjelaskan tunggakan saman dimiliki mereka iaitu sebanyak RM18,000 dan RM17,700.

    “Pada 2024, kami sudah pun menjalankan pemeriksaan terhadap 9,273 kenderaan dari Thailand berbanding cuma 1,974 pada 2023. Tindakan diambil terhadap pemandu warganegara asing itu juga meningkat kepada 749 berbanding 265 pada tahun sebelumnya.

    “Antara kesalahan sering dilakukan adalah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta isu-isu teknikal. Pada tahun lalu saja, sebanyak 1,070 kesalahan tiada ICP membabitkan kenderaan dari Thailand dikesan di negeri ini,” katanya

    Pada 2 Januari lalu, dilaporkan JPJ mula melaksanakan Op Tunggak di negeri-negeri sempadan dengan tumpuannya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi mengesan kenderaan asing terutama dari Thailand yang melanggar undang-undang.

    Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi khas berkenaan dijalankan sepanjang tahun bermula 1 Januari 2025) bertujuan mengesan pemandu asing yang mempunyai saman tertunggak dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengarahkan pemandu untuk membayar saman secara serta-merta sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

     
     
  • Tanah runtuh di Jalan Besar Kampung Raja halang jalan ke Cameron Highlands – guna laluan alternatif

    Tanah runtuh di Jalan Besar Kampung Raja halang jalan ke Cameron Highlands – guna laluan alternatif

    Susulan hujan lebat berterusan pada Ahad (5 Januari 2025), kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Besar Kampung Raja berhampiran persimpangan Blue Valley pada awal pagi hari ini (6 Januari).

    Seperti dilaporkan oleh The Star, maklumat mengenai tanah runtuh tersebut diterima pada jam 3.15 pagi, dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) telah digerakkan ke lokasi kejadian.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, sekretariat pengurusan bencana daerah berkata laluan utama dari Simpang Pulai/Lojing ke Cameron Highlands terhalang di kedua-dua arah. Laluan alternatif boleh digunakan melalui jalan Sungai Koyan di Lipis dan jalan Tapah untuk sampai ke Cameron Highlands. Usaha pembersihan serpihan akibat tanah runtuh kini sedang dijalankan dan kejadian itu tidak melibatkan mana-mana mangsa atau rumah, tambahnya.

     
     
  • Volvo EX30 versi CKD dibuka untuk tempahan – model asas Plus tiada, harga Ultra 2025 bermula dari RM209k

    Volvo EX30 versi CKD dibuka untuk tempahan – model asas Plus tiada, harga Ultra 2025 bermula dari RM209k

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan tempahan bagi Volvo EX30 untuk versi pemasangan tempatan (CKD) telah pun dibuka. Dilancarkan pada September 2024, kumpulan pertama bagi EV yang diimport (CBU) dari China telah pun habis dijual.

    Bagi EX30 CKD buatan tahun 2025, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Ultra yang dijual pada harga bermula RM208,888 dan juga Ultra Twin Performance pula berharga RM228,888. Seperti kelaziman yang dilakukan oleh Volvo, harga CKD adalah sama dengan kumpulan pertama versi CBU. Walau bagaimana, varian asas Plus yang ditawarkan pada harga RM188,888 kini tiada. Ini bermakna barisan EX30 kini bermula dengan harga di atas RM200k.

    Varian Ultra dengan motor tunggal mampu menghasilkan kuasa hingga 272 PS dan tork 343 Nm, sesuai untuk mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat. Manakala Ultra Twin Performance pula ditambah satu lagi motor untuk AWD dengan kuasa 428 PS dan tork 543 Nm dan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 3.6 saat. Kedua-duanya dijanakan oleh bateri NMC 69 kWH, menawarkan jarak gerak hingga 476 km mengikut standard WLTP untuk motor tunggal dan 450 km untuk motor berkembar. Ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 175 kW dengan tahap pengecasan 10-80% dapat dicapai dalam 28 minit.

    VCM juga mempromosikan Volvo Car Service Plan (VSP), yang meliputi penyelenggaran penting seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan cecair brek, penggantian bilah pengelap dan kemaskini perisian sehingga lima tahun atau 100,000 km. Komponen Wear-and-tear seperti pad brek dan cakera juga disertakan supaya tiada kos tambahan untuk lima tahun akan datang.

    Waranti EX30 ialah lima tahun perbatuan tanpa had untuk kereta dan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri voltan tinggi yang menjamin prestasi, dengan pembaikan atau penggantian percuma jika kapasiti jatuh di bawah 70% dalam tempoh waranti. Turut disertakan ialah bantuan tepi jalan 24 jam untuk tempoh lima tahun.

    Berkenaan dengan warnanya pula, versi CKD 2025 ini didatangkan dengan pilihan Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White, bermakna warna Onyx Black dan Moss Yellow yang ditawarkan pada model CBU tidak disertakan dalam barisan CKD. Pemasangan pertama dari kilang Volvo di Shah Alam akan mula dihantar kepada pelanggan pada minggu kedua minggu ini.

    GALERI: Volvo EX30 CBU dalam rona Moss Yellow

     
     
  • KPDN, JPJ akan berbincang mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ termasuk isu sewa tayar kenderaan berat

    KPDN, JPJ akan berbincang mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ termasuk isu sewa tayar kenderaan berat

    Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam mengesahkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ yang menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ pada minggu ini, laporan Berita Harian.

    Selain itu, perbincangan itu dijangka memberi perhatian kepada bidang kuasa yang boleh diperhalusi bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil secara bersama oleh kedua-dua agensi terbabit terhadap pihak berkenaan.

    Beliau berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, ada menghubunginya semalam (kelmarin), walau bagaimana pun, beliau tidak dapat berkongsi butiran perbincangan di antara mereka sehingga pertemuan yang dirancang itu berlangsung.

    “Biar kita bincang dulu dengan JPJ, baru boleh beri kenyataan. Kita belum berbincang lagi dan belum tahu hasil (outcome) daripada perbincangan itu lagi. Perbincangan akan dibuat minggu ini. Beliau ada hubungi saya semalam, selepas selesai bincang (kelak), baru saya boleh beritahu.

    KPDN, JPJ akan berbincang mengenai kegiatan ‘ejen kosmetik’ termasuk isu sewa tayar kenderaan berat

    “Kita akan bincang dan tengok bidang kuasa apa yang boleh diperhalusi, itu yang kena tengok secara terperinci,” katanya ketika dihubungi penerbitan akhbar terbabit.

    Sebelum ini, Berita Harian turut melaporkan JPJ mengakui wujud perkhidmatan digelar ‘ejen kosmetik’ menyediakan khidmat kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ untuk mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    Aedy Fadly dilaporkan berkata JPJ sedang merangka tindakan melalui kerjasama dengan KPDN bagi menangani isu berkenaan. Katanya, tindakan itu satu penipuan yang berbahaya kerana ketika menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM mereka menggunakan tayar kenderaan yang disewa dan elok keadaannya berbanding tayar sebenar. Bagaimanapun, katanya, JPJ tiada kuasa untuk masuk ke premis berkenaan dan pihaknya akan berbincang dengan KPDN berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

    Pada 23 Disember lalu, satu kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran, dua lori trailer, sebuah MPV dan sebuah kereta telah berlaku di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah. Kejadian berkenaan meragut tujuh nyawa dengan 33 orang lagi cedera, yang dikatakan berpunca daripada bas tersebut terlanggar sebuah tayar dari salah satu lori trailer yang terlibat yang tercabut dan berada di tengah lebuhraya. Kemudian, beberapa video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian berasingan tetapi melibatkan tayar kenderaan berat yang tercabut, hingga mencetuskan kegusaran di kalangan pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.

     
     
  • Toyota Corolla GR Sport 2025 dilancar di M’sia — CVT dengan mod 10-kelajuan, talaan suspensi, RM150k

    Toyota Corolla GR Sport 2025 dilancar di M’sia — CVT dengan mod 10-kelajuan, talaan suspensi, RM150k

    Selain dua model prestasi GR Yaris dan GR Corolla, ada sebuah lagi kereta yang turut diperkenalkan oleh UMW Toyota Motor hari ini, iaitu Toyota Corolla GR Sport — varian dengan penampilan sporty bagi model sedan Corolla sedia ada, dengan tanda harga yang lebih terjangkau.

    Pengenalan terbaru ini akan menggantikan Corolla GR Sport yang diperkenalkan pada Ogos 2023, menampilkan sedan tersebut dengan rekaan luaran yang diperkemas serta prestasi lebih cekap dengan ‘transmisi 10-kelajuan’, kemasan kulit GR Sport dan juga paparan infotainmen yang dipertingkat.

    Untuk kotak gear, Toyota menggelarnya Sport Sequential Shiftmatic 10-kelajuan. Unit ini menggantikan CVT standard dengan tujuh-kelajuan maya yang digunakan sebelum ini. Kotak gear baru ini datang dengan lebih nisbah untuk memberikan penukaran dan penyaluran kuasa yang lebih lancar dan memberikan prestasi optimum. Mod manual memberikan maklum balas lebih cekap, dan kini ada juga paddle shifter. Ini pendekatan 10-kelajuan yang sama pernah UMWT lakukan untuk Vios GR Sport (GR-S) 2020.

    Toyota Corolla GR Sport 2025 dilancar di M’sia — CVT dengan mod 10-kelajuan, talaan suspensi, RM150k

    Tiada sebarang perubahan bagi output kuasanya. Ia menggunakan enjin 2ZR-FE 1.8-liter Dual VVT-i yang menjana sebanyak 139 PS dan 172 Nm. Menurut UMWT, program ECU-nya telah diperbaharui untuk memberikan lebih maklum balas. Dalam mod Sport, akan ada ciri ‘Auto Brake Downshifting and Cornering Gear Fix Control’ yang bertujuan memberikan kawalan pendikit yang lebih baik ketika keluar dari selekoh.

    ECU bagi stereng kuasa elektriknya juga telah dioptimumkan untuk kendalian lebih lancar ketika melakukan belokan berturutan, seperti ketika melalui jalan berliku. Sama seperti Vios GR-S dan Corolla GR Sport sebelum ini, versi 2025 ini menerima pembaharuan dari segi pemanduan lebih tepat berbanding versi 1.8G-nya kerana diberikan penyerap hentak, gegelung belakang serta penstabil yang ditala semula. Ini mengurangkan olengan dan henjutan — namun, dengan tetapan lebih keras ini juga turut mengurangkan sedikit keselesaan.

    Perubahan luaran pula termasuk bampar dan gril bawah depan dengan rekaan baru, yang selari dengan wajah depan model GR yang lain. Ada juga mesh bentuk G, serta bahagian belakang ditambah spoiler atas dan bawah, sementara perumah lampu lebih gelap diberikan. Aspek aerodinamik juga didakwa bertambah baik.

    Toyota Corolla GR Sport 2025 dilancar di M’sia — CVT dengan mod 10-kelajuan, talaan suspensi, RM150k

    Toyota Corolla GR Sport 2025 ini juga diberikan warna dua-tona dengan bumbung hitam. Tiga pilihan warna yang ada ialah Red Mica Metallic, Platinum White Pearl Mica dan Attitude Black Mica (yang ini tanpa dua-tona). Rim masih sama: 18-inci dengan tayar bersaiz 225/40.

    Di dalam, kabin hitam diserikan dengan jahitan merah yang turut menerima kerusi balutan kulit GR Sport Design. Ada juga lencana GR di stereng (dan butang penghidup), tali keledar merah serta kemasan perak metalik. Skrin sentuh untuk infotainmen juga dipertingkat, kini bersaiz 10-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Ciri penuh Toyota Safety Sense masih disertakan, bersama dengan sistem keselamatan yang lain seperti immobiliser, sensor kabin ultrasonik dan sensor kaca pecah. Tidak ketinggalan, sistem telematik. Toyota Corolla GR Sport 2025 dijual dengan harga RM149,800 atas jalan, belum termasuk insurans dengan jaminan lima-tahun yang boleh dipindahkan, tanpa had perbatuan.

     
     
  • Toyota GR Corolla facelift 2025 kini di M’sia — 1.6T 300 PS/400 Nm, hanya 6MT, 8AT kemudian; RM367k

    Toyota GR Corolla <em>facelift</em> 2025 kini di M’sia — 1.6T 300 PS/400 Nm, hanya 6MT, 8AT kemudian; RM367k

    Selain GR Yaris 2025, ada dua lagi model dilancarkan oleh UMW Toyota Motor hari ini untuk pasaran Malaysia. Satu diantaranya ialah Toyota GR Corolla 2025, dengan harga RM367,000 atas jalan belum termasuk insurans.

    Ini melibatkan kenaikan harga sebanyak RM12,000 berbanding yang terdahulu. Dan, jika dibandingkan dengan GR Yaris 2025, model ini RM50,000 lebih mahal — tetapi datang dengan ciri praktikal lima-pintu dan saiz yang lebih besar.

    Enjin masih menggunakan unit yang sama, G16E-GTS 1.6 liter turbocas tiga-silinder yang menjana 300 PS pada 6,500 rpm, dengan tork yang naik 30 Nm menjadi 400 Nm antara 3,250 dan 4,600 rpm. Ini angka janaan yang sama dengan GR Yaris, memberikan prestasi yang sama bagi kedua-duanya buat pertama kali.

    Untuk pasaran Malaysia, sama juga seperti pengenalan GR Yaris 2025, GR Corolla ini diperkenalkan tanpa pertambahan penawaran utamanya iaitu versi GR Direct Automatic Transmission (DAT) automatik lapan-kelajuan — ini mungkin akan tiba di sini nanti, selepas peruntukan unit untuk Malaysia diperoleh pengedarnya.

    Toyota GR Corolla <em>facelift</em> 2025 kini di M’sia — 1.6T 300 PS/400 Nm, hanya 6MT, 8AT kemudian; RM367k

    Maka untuk pengenalan rasmi ini, GR Corolla hanya ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan. Ini membolehkan kereta tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.

    Dengan prestasi seperti ini, GR Corolla juga ditawarkan dengan pilihan pakej penyejuk yang melibatkan kuasa kipas dan penggandanya dinaikkan dari 330 watt kepada 500 watt, sementara sub-radiator juga ditambah pada litar selari dengan unit utama.

    Kuasa dihantar melalui sistem pacuan semua roda GR Four. Sama seperti GR Yaris, operasinya telah diubah — agihan tork kini dengan nisbah 60:40 depan-ke-belakang dalam mod Normal kepada 50:50 dalam mod Gravel (sebelum ini 30:70 dalam mod Sport), sementara Track pula mempunyai agihan tork boleh ubah dari 60:40 kepada 30:70 bergantung kepada keadaan pemanduan (sebelum ini dikunci kepada 50:50).

    Ciri limited-slip differential Torsen tetap menjadi ciri standard di sini. Aspek dinamik pemanduan juga dipertingkat untuk kereta ini — misalnya dengan penggunaan semula palang anti-olengan dan gegelung suspensi belakang yang ditala semula untuk memberikan maklum balas lebih cekap.

    Toyota GR Corolla <em>facelift</em> 2025 kini di M’sia — 1.6T 300 PS/400 Nm, hanya 6MT, 8AT kemudian; RM367k

    Dari segi rekaan, GR Corolla menerima bampar depan rekaan baru yang mirip dengan GR Yaris. Bukaan udara lebih besar terletak di sudutnya, dan ketiadaan lampu kabus memberikan kapasiti penyejukan yang lebih tinggi dengan menyalurkan lebih banyak udara ke bahagian sub-radiator yang baru.

    Turut dihadirkan ialah lorong udara baru untuk brek dan juga tirai udara untuk mengalirkan udara ke roda depan, bertujuan mengurangkan pergolakan angin dalam ruang rodanya, sekaligus meningkatkan kestabilan. Untuk warna, GR Corolla datang dengan pilihan warna baru Precious Metal yang menyertai penawaran warna sedia ada seperti Platinum White Pearl Mica, Emotional Red dan Precious Black.

    Tidak ada perubahan lain untuk bahagian luaran, yang menampilkan bonet besar dengan bukaan udara, fender lebar dengan bukaan udara, bumbung gentian karbon, spoiler besar di belakang serta diffuser yang juga besar di belakang dengan tiga muncung ekzos. Di dalam, GR Corolla datang dengan kemasan gelap yang untuk tampil lebih sporty.

    Toyota GR Corolla <em>facelift</em> 2025 kini di M’sia — 1.6T 300 PS/400 Nm, hanya 6MT, 8AT kemudian; RM367k

    Kelengkapan standard termasuklah lampu utama LED, rim Enkei 18-inci hitam (dengan tayar Yokohama Advan Apex 235/40 R18), sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kerusi manual, balutan kulit hitam-merah, kawalan pendingin dua zon, paparan instrumen digital 12.3-inci, head-up display, head unit sembilan-inci 2DIN dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, enam-pembesar suara, dash cam depan dan belakang, kamera undur dan filem penapis haba.

    GR Corolla juga hadir dengan ciri lengkap Toyota Safety Sense, yang terdiri daripada AEB, kawalan melayar adaptif, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan lampu tinggi automatik. Tujuh beg udara adalah ciri standard.

     
     
  • Toyota GR Yaris facelift 2025 dilancar di M’sia — hanya 6MT, 8AT kemudian, jana 300 PS/400 Nm, RM315,600

    Toyota GR Yaris <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — hanya 6MT, 8AT kemudian, jana 300 PS/400 Nm, RM315,600

    Setelah dipertonton ketika KLIMS 2024 Disember lalu, Toyota GR Yaris facelift kini dilancarkan di Malaysia sempena finale Toyota Gazoo Racing Season 7 hari ini di Litar Antarabangsa Sepang.

    Antara peningkatan yang dilakukan untuk model yang pertama kali diperkenalkan di Tokyo Auto Salon tahun lalu ini adalah pilihan transmisi automatik lapan-kelajuan — yang bagaimanapun belum dilancarkan lagi di sini. Ketika ini, Malaysia hanya menerima versi kotak gear manual enam-kelajuan dengan harga RM315,600 atas jalan, belum termasuk insurans. Sekadar perbandingan, model 6MT sebelum ini yang dilancarkan pada Disember 2020 dijual dengan harga RM300k.

    Hanya ditawarkan dengan kotak gear manual sebelum ini, GR Yaris kini hadir dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dipanggil Gazoo Racing Direct Automatic Transmission. UMWT akan memperkenalkan juga model automatik ini nanti sebaik saja peruntukan unit untuk Malaysia diperoleh.

    Selain kotak gear, kuasa dan tork untuk enjin G16E-GTS yang melengkapinya juga kini lebih tinggi — 300 PS dan 400 Nm, melibatkan peningkatan 39 PS dan 40 Nm berbanding yang dipasarkan di sini, yang menggunakan enjin spesifikasi Eropah dan dibawa masuk oleh UMWT sebelum ini.

    Toyota GR Yaris <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — hanya 6MT, 8AT kemudian, jana 300 PS/400 Nm, RM315,600

    Janaan enjin lebih tinggi ini serta penggunaan kotak gear automatik memerlukan prestasi penyejukan yang ditambah baik, maka penyejuk ATF adalah standard untuk versi automatik. Selain itu, sebuah sub-radiator, masukan udara sejuk dan intercooler kini disediakan dalam pilihan Cooling Package.

    Lagi ciri baru untuk GR Yaris ini ialah Drive Mode Select, yang mana stereng kuasa elektronik, pendingin dan janaan enjin berubah mengikut mod Sport, Normal dan Eco. Sport turut menampilkan paparan meter berlainan. Mod 4WD kekal seperti sebelumnya.

    Lain-lain perubahan termasuk juga pada bahagian kerangka badan — ada pertambahan bolt pengikat badan serta penyerap hentak (dari satu menjadi tiga) telah dipertingkat untuk memberikan kestabilan dan maklum balas input stereng. Titik bagi spot welding juga ditambah 13% serta kawasan yang dikenakan pelekat struktural juga ditambah 24% — memberi ketahanan dan keselesaan tambahan.

    GR Yaris boleh juga memanfaatkan Circuit Mode ketika di litar, yang terdiri daripada kawalan anti-lengahan, pembatalan penghad kelajuan, output kipas enjin maksimum serta petunjuk penukaran gear.

    Toyota GR Yaris <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — hanya 6MT, 8AT kemudian, jana 300 PS/400 Nm, RM315,600

    Di luar, perbezaan paling ketara bagi GR Yaris ialah di bahagian muka, dengan gril di bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya — namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

    Kemasan di bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan pula direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Bukaan aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

    Terdapat juga bukaan udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Bukaan udara di bahagian bawah bampar belakang pula direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

    Kluster lampu belakang baru GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut Toyota, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

    Untuk ruang dalamannya, GR Yaris ini diberikan papan pemuka yang diubah sepenuhnya dengan rekaan yang agak pelik. Namun rekaan ini sebenarnya dibuat untuk mengutamakan pemandu dan direka diilhamkan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

    Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya. Toyota turut menawarkan opsyen tuil brek tangan yang terletak bersebelahan tombol gear seakan brek tangan jentera WRC sebenar untuk varian RC yang dijual untuk diubah menjadi kereta lumba.

    Toyota GR Yaris <em>facelift</em> 2025 dilancar di M’sia — hanya 6MT, 8AT kemudian, jana 300 PS/400 Nm, RM315,600

    Berbeza dari versi pre-faceliftyang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

    Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah. Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

    Toyota GR Yaris facelift 2025 6MT kini dijual dengan harga RM315,600, atas jalan dan belum termasuk insurans. Atau anda lebih teruja dengan versi automatik yang akan datang?

     
     
  • JPJ eBid: Siri PRP dan QAB_L bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Sabah ini bakal membuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PRP bakal dibuka bidaan mulai 9 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 13 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Januari 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, QAB_L, bakal dibuka bidaan mulai 13 Januari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 17 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 Januari 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Geely jual 2,176,567 buah kenderaan pada 2024 – naik 32% berbanding tahun sebelumnya, eksport naik 53%

    Geely jual 2,176,567 buah kenderaan pada 2024 – naik 32% berbanding tahun sebelumnya, eksport naik 53%

    Geely Auto mengumumkan, dalam masa 12 bulan yang lepas, mereka berjaya menjual 2,176,567 buah kenderaan, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 32% berbanding tahun sebelumnya.

    Kenderaan eksport Geely menunjukkan jumlah yang tinggi, dengan meningkat sebanyak 53%, bersamaan 403,923 unit. Pada masa ini, Geely sedang memberikan perhatian untuk penghantaran kenderaan elektrik global pertama mereka, EX5 SUV (dijual di China sebagai Galaxy E5) kepada lebih banyak negara termasuk Asia Pasifik.

    Model tersebut masih belum menjadi penyumbang jumlah jualan yang signifikan kepada Geely kerana baru sahaja dilancarkan di Thailand dan Hong Kong, masing-masing pada November dan Disember lepas, sementara Indonesia dan Australia pula akan menerimanya pada tahun ini.

    Geely jual 2,176,567 buah kenderaan pada 2024 – naik 32% berbanding tahun sebelumnya, eksport naik 53%

    Pelancaran model EX5 sebelum ini juga mencetuskan tanda tanya kerana sebelum ini Geely pernah menyatakan bahawa daripada segi posisi jenama, Proton disasarkan untuk ASEAN, sedangkan Geely tiada perancangan untuk menembusi pasaran ini menerusi jenama mereka sendiri. Namun, mereka memberi maklum balas masih komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D untuk rantau ASEAN.

    Apa pun, Proton masih akan menjual kembar EX5 ini, iaitu eMas 7 di Singapura, setelah melantik Vincar Group sebagai pengedar rasmi. Selain itu, Proton juga mengumumkan model berkenaan akan dilancarkan di Mauritius, Nepal, Singapura, Trinidad & Tobago dan mungkin juga Brunei.

     
     
  • Moda Sporter S tiba di Malaysia – 244 cc, RM17,888

    Moda Sporter S tiba di Malaysia – 244 cc, RM17,888

    Mdua Motor Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) memperkenalkan satu jenama baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Moda, dengan produk pertamanya, iaitu skuter Sporter S dilancarkan pada harga RM17,888 tidak termasuk insurans.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, Moda ini dirujuk sebagai satu jenama tempatan yang memberi fokus kepada motosikal jenis skuter mempunyai kemudahan R&D sendiri di bahagian utara Malaysia untuk membangunkan jentera khas yang bersesuaian dengan kehendak pasaran negara ini. Walaubagaimanapun jika diperhati, Sporter S yang baru dilancarkan ini mirip dengan Wottan Storm-R dari China.

    Sporter S dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 244 cc SOHC, mampu menghasilkan kuasa maksimum 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT.

    Moda Sporter S tiba di Malaysia – 244 cc, RM17,888

    Rim yang digunakan pada skuter ini adalah berlainan saiz, iaitu 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 14 inci dengan tayar 140/60 di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork USD serta dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.

    Untuk penghentian, Sporter S menggunakan brek cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang, lengkap dengan sistem ABS dual-channel. Turut membantu pada aspek keselamatan skuter ini adalah sistem kawalan cengkaman, yang diberikan secara standard.

    Ciri teknologi pada Sporter S juga tidak kekurangan, dengan adanya meter TFT 6.2 inci yang boleh disambung kepada telefon untuk memaparkan navigasi dan kawalan muzik, sistem kunci pintar, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta soket pengecas USB.

    Skuter ini juga datang dengan kelengkapan lain seperti tangki bahan api 13 liter, penghadang angin boleh laras secara manual, ruang simpanan 10 liter bawah tempat duduk, lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi serta enjin yang mendapat penarafan Euro 4. Pilihan warna yang diberi adalah Sport Red dan Meteor Grey.

     
     
  • DBKL tidak lagi terima pembayaran menerusi JomParking – 6 aplikasi lain dikekal untuk bayar parkir

    DBKL tidak lagi terima pembayaran menerusi JomParking – 6 aplikasi lain dikekal untuk bayar parkir

    Makluman penting untuk anda yang bekerja atau mengunjungi Kuala Lumpur (KL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan aplikasi JomParking, yang merupakan salah satu operator aplikasi mudah alih bagi pembayaran tempat letak kereta (TLK) bahu jalan di KL, telah ditamatkan perkhidmatannya mulai 1 Januari 2025.

    Walau bagaimana pun, sebagai alternatif, pengguna boleh membuat bayaran caj TLK bahu jalan melalui saluran lain yang disediakan iaitu EZ KL Smart Park, Flexi Parking, Touch ‘n Go eWallet, Boost, Mcash dan Ekupon.

    “Untuk makluman, kredit sedia ada dalam aplikasi JomParking masih boleh digunakan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan lain yang menyokong aplikasi tersebut,” kata DBKL.

     
     
  • Lebuhraya KL-Karak kini terima pembayaran kadar tol guna kad kredit/debit di Plaza Tol Gombak, Bentong

    Lebuhraya KL-Karak kini terima pembayaran kadar tol guna kad kredit/debit di Plaza Tol Gombak, Bentong

    Akhirnya, pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak boleh menggunakan kad debit dan kredit untuk membayar kadar tol, selepas syarikat konsesinya AFA Prime mengumumkan pelaksanaan ujian rintis bagi sistem pembayaran terbuka di lebuhraya berkenaan.

    Jika anda ingin membayar dengan kad bank anda, cari lorong dengan logo MyDebit, Visa dan Mastercard, yang boleh didapati di kedua-dua plaza tol Gombak dan Bentong di lebuhraya tersebut. Sentuh kad anda pada pembaca kad bank yang disediakan, yang berasingan daripada pembaca kad Touch n Go.

    Walau bagaimana pun, sila pastikan akaun bank anda mempunyai jumlah RM yang mencukupi dan kad bank boleh digunakan untuk membuat pembayaran, bagi memastikan aliran lancar di plaza tol.

     
     
  • Volkswagen Touareg R-Line 2025 di Malaysia terima harga baharu; kini dari RM385k, kurang RM70k

    Volkswagen Touareg R-Line 2025 di Malaysia terima harga baharu; kini dari RM385k, kurang RM70k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah menyemak semula harga untuk Volkswagen Touareg R-Line, yang pertama kali dilancarkan di sini pada Mac tahun lalu. Harga baharunya kini RM384,972 tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti standard dua-tahun dan perbatuan tanpa had.

    Jika anda memilih Volkswagen Assurance Package (VAP), ia termasuk dengan pakej waranti lanjutan lima-tahun, perbatuan tanpa had dan waranti penyelenggaran lima-tahun, hargaya naik kepada RM402,272 – VAP adalah pilihan yang bernilai RM17,300.

    Untuk konteks, semasa ia diperkenalkan, Touareg versi pemasangan tempatan (CKD) pada mulanya berharga RM454,272 tanpa VAP dan RM472,272 dengan VAP. Oleh itu, harga telah turun sebanyak RM69,300 tanpa VAP, atau RM70,000 jika dengan VAP.

    Tiada perubahan dari segi spesifikasi, dengan Touareg terus dikuasakan oleh enjin petrol 3.0 liter TSI V6 menghasilkan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan tork 450 Nm, dengan pemacu dihantar melalui transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion. Pecutan dari 0-100 km/j ialah enam saat dan kelajuan tertinggi dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Risalah spesifikasi dan senarai harga Volkswagen Touareg R-Line 2025; klik untuk besarkan

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah suspensi udara larasan-sendiri, lampu utama IQ.Light HD LED matrix , roda aloi dua-tona “Brago” 20-inci, paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 15-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto support, pad pengecas Qi, sistem bunyi Dynaudio Consequence 730-watt dan 13-pembesar suara.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemandu dengan kelengkapan IQ.Drive yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan hadapan dan belakang dengan brek auto, bantuan parkir, paparan perhatian pemandu dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    GALERI: Volkswagen Touareg R-Line 2024

     
     
  • JPJ Perak raih RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat ANU – ANU 1 catat bidaan tertinggi bernilai RM269k

    JPJ Perak raih RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat ANU – ANU 1 catat bidaan tertinggi bernilai RM269k

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak meraih keuntungan berjumlah RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat nombor ‘ANU’ yang dibuka dari 19-23 Disember, laporan Bernama.

    “Dalam tempoh lima hari tersebut, seramai 1,768 pembida mengambil bahagian daripada 1.99 juta pembida berdaftar di seluruh negara. Bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk ‘ANU 1’,” kata pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan. Baki nombor pendaftaran yang tidak menerima tawaran akan dibuka kepada orang ramai pada harga minimum yang ditetapkan.

    Walaupun RM2.368 juta yang diperoleh untuk siri ‘ANU’, Mohammad Yusoff berkata siri ‘AMG’ kekal sebagai siri yang paling menguntungkan. “Sebelum ini, ‘AMG’ telah mencatatkan jumlah jualan melebihi RM6 juta dan masih memegang rekod jualan tertinggi bagi plat popular,” katanya.

    Dalam hal lain, Mohammad Yusoff menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka terjumpa “ejen kosmetik” yang menawarkan perkhidmatan seperti “tayar sewa” untuk pemeriksaan Puspakom. Perkhidmatan ini dikatakan ditawarkan di media sosial, dan JPJ akan meneliti perkara itu kerana perkhidmatan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi kerana ia melibatkan isu teknikal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025