Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BYD pengeluar kereta dengan pekerja R&D paling ramai di dunia – satu juta pekerja, 110,000 jurutera

    BYD pengeluar kereta dengan pekerja R&D paling ramai di dunia – satu juta pekerja, 110,000 jurutera

    BYD kini mempunyai hampir satu juta pekerja, 11 institut penyelidikan utama dan 110,000 jurutera, menjadikannya pengeluar kenderaan dengan kakitangan R&D paling ramai di dunia. Perkara ini didedahkan oleh pengasas, pengerusi dan CEO syarikat itu, Wang Chuanfu dalam satu laporan oleh CarNewsChina.

    Sejak 2011, jumlah jurutera BYD bertambah daripada lebih 20,000 kepada hampir 110,000. Lebih 60,000 orang pekerja menyertai syarikat itu pada tahun 2021, menjadikan jumlah keseluruhannya 280,000, dan pada tahun seterusnya jumlah itu berganda menjadi sekitar 570,000 orang. Sehingga 2024, BYD sudah mempunyai hampir satu juta pekerja, dengan penambahan paling banyak di bahagian pengeluaran dan R&D.

    Sebagai tambahan, BYD menghantar sehingga 32 paten secara purata pada setiap hari bekerja, dan sehingga suku ketiga 2024, pelaburan R&D terkumpul syarikat itu sudah mencecah RMB160 bilion (RM98 bilion).

    BYD pengeluar kereta dengan pekerja R&D paling ramai di dunia – satu juta pekerja, 110,000 jurutera

    Dalam dua ke tiga tahun sebelum ini, BYD telah mengambil lebih 50,000 lepasan kolej, dengan 70% daripadanya untuk tahun ini mempunyai ijazah sarjana dan kedoktoran, dan hampir 80% daripadanya adalah pekerja bahagian R&D. Wang memberitahu, kebanyakan eksekutif kanan dan ketua teknikal adalah lepasan kolej baru, termasuk COO kumpulan perniagaan kenderaan penumpang, He Zhiqi dan naib presiden kanan, Yang Dongsheng.

    Dalam laporan CNC juga tertulis bahawa BYD menjual 3.7573 juta kenderaan tenaga baru dari Januari ke November 2024, bersamaan peningkatan sebanyak 40.02% berbanding tahun sebelumnya. Selain daripada itu, kapasiti kuasa bateri keseluruhan yang dipasang oleh syarikat ini juga mencecah 16.87 GWh, menjadikan keseluruhannya 117.54 GWh. BYD menjangkakan dapat menutup tahun 2024 dengan jualan 4.27 juta kenderaan, mengatasi sasaran awal 3.6 juta.

     
     
  • Toyota trademark ‘Hilux Travo’ — nama bagi model generasi baru di Thailand? Diperkenal pada 2025

    Toyota trademark ‘Hilux Travo’ — nama bagi model generasi baru di Thailand? Diperkenal pada 2025

    Menurut Headlightmag, Toyota telah memfailkan trademark bagi nama “Hilux Travo” dengan Jabatan Harta Intelek Thailand. Nama ini dijangka akan digunakan untuk model generasi baru trak pikap berkenaan, yang akan menggantikan model generasi kelapan yang telah berada dalam pasaran sejak Mei 2015.

    Di beberapa pasaran, Hilux disertakan dengan nama belakang, seperti yang selalu dilihat di Thailand, misalnya untuk model generasi kelapan yang menggunakan nama Hilux Revo, sementara model generasi sebelum itu dikenali dengan nama Hilux Vigo.

    Toyota trademark ‘Hilux Travo’ — nama bagi model generasi baru di Thailand? Diperkenal pada 2025

    Laporan berkenaan juga mendakwa yang Hilux Travo akan datang akan membuat penampilan global sulungnya di Thailand pada 2025. Perincian awal menunjukkan trak pikap yang diberi rekaan baru itu akan menerima bahagian depan dan belakang serba baru, walaupun casis dan kabinnya dikatakan kekal seperti model sedia ada dan hanya diberikan kemaskini.

    Pendekatan yang sama ini Toyota lakukan ke atas Camry generasi kesembilan, dan Hilux Travo dijangka akan meneruskan penggunaan enjin turbodiesel siri GD yang diperkemas untuk menepati piawaian emisi Euro 5 dan Euro 6.

     
     
  • Dua petugas Puspakom akan beri keterangan kepada JPJ susulan Op Mengejut Puspakom semalam

    Dua petugas Puspakom akan beri keterangan kepada JPJ susulan Op Mengejut Puspakom semalam

    Penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, Puspakom mengesahkan bahawa dua petugasnya dari cawangan Wangsa Maju telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lapor New Straits Times. Ini adalah berikutan pemeriksaan mengejut oleh JPJ ke pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara yang dijalankan semalam.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman memaklumkan dua petugas itu dijadualkan memberi keterangan kepada JPJ hari ini. Beliau bagaimanapun tidak menyertakan sebarang perincian tentang mengapa mereka diminta untuk memberi keterangan tersebut.

    Mahmood juga mengesahkan bahawa sebuah kenderaan yang diperiksa di cawangan Wangsa Maju telah disita oleh JPJ kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah.

    Ketika Op Mengejut Puspakom yang dijalankan itu, yang dilakukan tanpa makluman awal kepada Puspakom, petugas JPJ telah memeriksa 115 buah lori, mengeluarkan 69 saman dan mengambil tindakan terhadap 29 kenderaan lain termasuk menyita lima kereta dan dua lori, lapor Bernama. Antara kesalah dilakukan oleh pemandu lori yang dikenal pasti adalah seperti menggunakan tayar lama yang tidak selamat.

    “Puspakom ingin menjelaskan bahawa petugas yang terlibat tidak akan dilindungi daripada tindakan disiplin dalaman sekiranya didapati melakukan sebarang kesalahan. Bagi memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas petugas yang terlibat sekiranya mereka melanggar terma dan syarat seperti yang tertera dalam kontrak pelantikan mereka, termasuklah dikenakan penggantungan atau dibuang kerja,” jelas Mahmood.

     
     
  • JPJ keluarkan 5,306 notis dalam lima hari Operasi Khas Gempur Teknikal kenderaan perdagangan, awam

    JPJ keluarkan 5,306 notis dalam lima hari Operasi Khas Gempur Teknikal kenderaan perdagangan, awam

    Minggu lepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan satu Operasi Khas Gempur Teknikal yang memberikan fokus kepada kenderaan perdagangan serta perkhidmatan awam, dan ia berakhir Ahad lalu selepas lima hari – lapor Bernama.

    Dalam masa itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan memberitahu, 17,729 kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam diperiksa, dan 5,306 notis dikeluarkan termasuk penahanan kenderaan, arah periksa dan temu siasat susulan pemeriksaan.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 1,787 kenderaan diambil tindakan dengan 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan bakinya kenderaan perkhidmatan awam. JPJ bukan hendak cari kesalahan dengan mengeluarkan notis, cuma mahu memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik selain pengguna juga dalam keadaan selamat,” kata beliau.

    JPJ keluarkan 5,306 notis dalam lima hari Operasi Khas Gempur Teknikal kenderaan perdagangan, awam

    Jana Santhiran memberitahu, antara kesalahan yang dikenal pasti banyak berlaku pada kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler adalah penggunaan tayar tidak sepatutnya, atau tayar celup. Selain itu, bahagian lain yang diberi fokus adalah brek, dengan memastikan ia berada dalam keadaan sempurna.

    “Kenderaan akan ditahan daripada meneruskan perjalanan sekiranya ada kesalahan dikesan. Dalam pemeriksaan tadi, kita tengok ada yang menggunakan tayar celup, nak tercabut dah lapisan luar, jika ia tertanggal pastinya mengakibatkan bahaya kepada pengguna jalan raya, itu yang kita tidak mahu,” kata Jana Santhiran.

    Beliau juga memberitahu bahawa JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggotanya di seluruh negara bagi menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan perdagangan termasuk lebih muatan, teknikal, dokumentasi dan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

     
     
  • Zeeho AE8 S+ tiba di Malaysia – skuter elektrik dengan tork 218 Nm, jarak gerak 100 km, harga RM18,888

    Zeeho AE8 S+ tiba di Malaysia – skuter elektrik dengan tork 218 Nm, jarak gerak 100 km, harga RM18,888

    Selepas AE4 yang diperkenalkan September lalu, Zeeho kini melancarkan satu lagi skuter elektrik untuk pasaran Malaysia, iaitu AE8 S+. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Starship Silver atau Eclipse Silver, dan dijual pada harga RM18,888 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan skuter ini adalah motor elektrik dengan kuasa maksimum 12.5 kW (rated 5 kW), tork 218 Nm dan ia mendapat tenaga daripada dua pek bateri lithium masing-masing berkapasiti 69V, 27Ah yang berada di bawah tempat duduknya. Daripada motor ini, kuasa dipindahkan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Menurut Zeeho, skuter yang mencatat berat 133 kg ini boleh melakukan pecutan 0-50 km/j dalam masa 2.6 saat, sementara laju maksimumnya pula boleh melebihi 100 km/j. Pengecasan tidak dinyatakan secara terperinci, tetapi ia boleh menerima sumber 1900W dan bateri akan naik 0-80% dalam masa 2.5 jam. Jarak gerak boleh mencecah 100 km.

    Sebagai antara model tertinggi dalam pilihan produk Zeeho, AE8 S+ ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih termasuk sistem NFC yang hanya menggunakan kad, meter TFT lima inci, tiga mod tunggangan, auto cruise serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Zeeho Ride.

    Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan brek cakera cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual-channel, angkup brek Brembo empat piston di hadapan, soket pengecas USB, lampu hadapan LED, fork teleskopik di hadapan, penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang dan rim 12 inci.

    Untuk skuter elektrik ini, pengedar Zeeho di Malaysia, MForce Bike Holdings memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu.

     
     
  • Kilang BYD di Indonesia akan mula operasi lebih awal pada Q4 2025 — perancangan awal ialah Q1 2026

    Kilang BYD di Indonesia akan mula operasi lebih awal pada Q4 2025 — perancangan awal ialah Q1 2026

    Menurut Autonetmagz, BYD akan mempercepatkan pembinaan kilang pemasangannya di Indonesia yang melibatkan keluasan 100 hektar tanah di Kawasan Perindustrian Smartpolitan Subang, Jawa Barat.

    Kemudahan berkenaan pada awalnya dirancang untuk mula beroperasi pada awal 2026, namun perancangan ini telah dipercepatkan kepada suku keempat 2025. BYD juga sedang mempertimbang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport, dan dalam masa yang sama turut membangunkan prasarana lebih luas untuk menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara itu.

    Kilang BYD berkenaan dianggarkan akan mewujudkan 8,700 pekerjaan: dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, angka tersebut boleh menjangkau lebih 18,000 peluang baru di dalam pelbagai sektor. Kilang itu juga akan membuka peluang pembangunan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi lain, termasuklah plug-in hybrid. Ketika ini BYD hanya menjual EV di Indonesia — Seal, Atto 3, Dolphin dan M6.

    Awal 2025, BYD akan melancarkan sub-jenama premiumnya Denza, walaupun belum didedahkan model mana yang akan jadi model pertamanya untuk pasaran Indonesia. Denza juga akan masuk ke Malaysia, dengan MPV D9 akan menjadi penawaran pertama pada suku pertama 2025.

     
     
  • Pihak berkuasa pertimbang tutup sebahagian Jalan Bukit Bintang untuk kurangkan kesesakan trafik

    Pihak berkuasa pertimbang tutup sebahagian Jalan Bukit Bintang untuk kurangkan kesesakan trafik

    Dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan trafik di Segi Tiga Emas di tengah Kuala Lumpur, pihak berkuasa didakwa sedang mempertimbangkan penutupan beberapa bahagian Jalan Bukit Bintang, lapor New Straits Times.

    Pertimbangan tersebut diambil berikutan jumlah trafik yang tinggi, terutamanya ketika waktu puncak, telah menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitar. Laluan utama dari Pavilion KL ke Jalan Pudu juga selalu terhalang oleh trafik yang sesak dan tidak bergerak ini.

    Menurut Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa, perbincangan dan kajian lanjut melibatkan pihak berkepentingan kini sedang dijalankan untuk menilai kebolehlaksanaan untuk mengalih laluan serta mengurangkan kenderaan ke dalam kawasan terlibat. “Dengan mengalih trafik dan menutup kawasan berkenaan kepada lalu lintas kenderaan, kita akan dapat mewujudkan zon mesra pejalan kaki. Dengan komunikasi jelas kepada orang awam dan pihak berkepentingan, saya fikir cadangan ini wajar diuji,” jelas beliau kepada Buletin TV3.

    Polis juga merancang untuk meningkatkan pemasangan dan penggunaan kamera litar tertutup yang dikuasakan oleh AI untuk meninjau kawasan serta menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dari jauh. Beberapa punca kesesakan di kawasan berkenaan telah pun di kenal pasti, termasuk parkir secara salah, lintasan pejalan kaki serta lokasi salah untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Persembahan jalanan yang menarik perhatian ramai juga antara faktornya.

    Ketika ini, operasi trafik bersepadu telah dijalankan setiap minggu di Bukit Bintang, yang bertujuan untuk mengesan salah laku dan halangan lalu lintas, antaranya yang melibatkan persimpangan di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail. Sejak 13 Disember, lebih 1,500 saman telah dikeluarkan, dan 36 kenderaan ditunda.

     
     
  • Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Jualan EV di peringkat global dijangka meningkat sebanyak 30% kepada 15.1 juta unit pada 2025 nanti berbanding tahun sebelumnya. Ini mewakili sebanyak 16.7% daripada jualan kenderaan ringan global, yang dijangka akan mencapai 89.6 juta unit (+1.7% dari tahun ke tahun), berbanding anggaran 11.6 juta unit dan 13.2% perkongsian pasaran pada 2024, menurut penganalisis dari S&P Global Mobility.

    Syarikat itu melihat kepada pasaran utama, dan meramalkan pertumbuhan EV sebanyak 117% pada 2025 di India dengan 7.5% perkongsian pasaran (kenderaan ringan), +43.4% di Eropah tengah dan barat menjadi 20.4% perkongsian pasaran dan +36% di AS menjadi 11.2% perkongsian pasaran.

    EV di China juga dijangka tumbuh sebanyak 19.7% kepada 29.7% perkongsian pasaran — Financial Times bagaimanapun memetik beberapa analisa lain yang meramalkan jualan EV di China akan mengatasi kereta biasa, dengan petunjuk lebih daripada 50% perkongsian pasaran bagi 2025.

    S&P juga menjangkakan penembusan kenderaan tenaga baru (NEV) di China akan meningkat dari 49% tahun ini kepada 58% tahun depan, walaupun definisi NEV di China termasuk sekali kenderaan plug-in hybrid (PHEV) dan fuel cell. Kos bateri yang lebih murah serta subsidi negara yang banyak menjadi antara daya penggerak utama.

    Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Syarikat itu juga menjangkakan China akan menjual sebanyak 25.8 juta kenderaan pada 2024 dan 3% lebih banyak pada 2025 menjadi 26.6 juta unit.

    Untuk AS (dengan anggaran 16 juta unit bagi 2024, +1.2% menjadi 16.2 juta unit pada 2025), S&P memaklumkan bahawa keadaan tidak pasti hasil daripada tarif universal yang akan dilakukan oleh Donald Trump akan mempengaruhi jualan tahun depan.

    Bagi Eropah (yang dijangkakan di bawah 15 juta unit pada 2024, +0.1% kepada 15 juta unit bagi 2025), syarikat itu memaklumkan antara faktor yang akan mempengaruhi adalah kewaspadaan pelanggan, peraturan emisi 2025 yang lebih ketat, risiko kemelesetan ekonomi, harga kenderaan yang masih tinggi serta perubahan subsidi EV akan memberi kesan.

    Untuk Jepun (dianggarkan sedikit di bawah 4.4 juta unit bagi 2024, +5.4% kepada 4.6 juta unit bagi 2025), S&P menjelaskan bahawa tarif universal AS dan ekonomi dunia yang lemah boleh memberi kesan ke atas eksport negara itu, terutamanya ke Amerika Utara.

     
     
  • Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; bakal ada versi produksi?

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; bakal ada versi produksi?

    Sebagai salah satu ‘ahli keluarga’ di bawah payung Toyota, Daihatsu sememangnya menjadi jenama yang terpilih untuk turut berada dalam sayap perlumbaan Gazoo Racing. Jika pada 2019 dahulu model roadster Daihatsu Copen telah menerima lencana GR Sport, portfolio berkenaan nampaknya dikembangkan lagi dengan penampilan Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept yang akan muncul di reruai Daihatsu ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 bulan hadapan.

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship. Selain itu, menerusi gambar yang didedahkan juga dapat dilihat Mira e:S GR Sport Concept ini menerima set rim aloi ringan dari BBS serta warna badan merah-hitam juga sama seperti jentera rali sebenar berkenaan.

    Difahamkan Mira e:S GR Sport Concept ini akan diasaskan dari varian dengan enjin 660 cc turbo bersama kotak gear lima kelajuan manual, manakala dalam kabin ia mungkin menerima tempat duduk sports dari Recaro. Masih lagi belum ada kenyataan dari Daihatsu adakah model ini akan dijual atau tidak. Namun ia mungkin sama seperti Copen GR Sport sebelum ini di mana ia diperkenalkan dalam versi konsep di TAS 2019, kemudian dijelmakan dalam versi produksi selepas itu.

    Mira e:S GR Sport ini juga mungkin akan menampilkan tingkat taraf sama seperti Copen GR Sport sebelum ini iaitu diberikan set suspensi lebih sporty bersama pendakap-pendakap badan tambahan. Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini akan dipamerkan bersama sekali dengan jentera rali Mira e:S sebenar di TAS2025 nanti.

    Selain itu, Daihatsu turut membawa kereta rali Copen GR Sport yang bertanding dalam Rally Japan 2024, iaitu pusingan terakhir Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada bulan lalu. Berbanding model standard yang menerima enjin 660 cc turbo, kapasiti enjin pada Copen GR Sport rali ini dipertingkat kepada 770 cc dan masih disumbat pengecas turbo.

    Kereta rali ini juga menerima kit badan lebar, menjadikan ia 40 mm lebih lebar pada setiap sisi, manakala pada sebelah kabin ia diberikan roll cage enam-poin.

    Daihatsu turut akan membawa tiga buah kei-truck Daihatsu Hijet dan sebuah kei-van Daihatsu Atrai yang diubahsuai ke TAS 2025 ini. Untuk Hijet pertama ia diberi nama sebagai Extend2, iaitu trak sokongan bagi kegunaan pasukan lumba dengan badan yang boleh dipanjangkan.

    Bagi Hijet kedua ia diberi nama Lift Disaster Relief Vehicle, iaitu kei-truck yang diubahsuai menjadi kenderaan penyelamat ketika bencana alam. Menurut Daihatsu, trak ini dibina berdasarkan pengalaman mereka menyertai operasi menyelamat secara sukarela ketika berlakunya hujan lebat di Kyushu Utara pada 2023.

    Oleh itu Hijet Truck Lift Disaster Relief Vehicle ini dilengkapi dengan panel-panel solar, pembekal kuasa elektrik mudah alih, alat pembersih bertekanan tinggi, serta dipasang dengan lif serta pembawa kargo. Manakala Hijet terakhir dikenali Hijet Truck Tool Base, iaitu trak yang direka khas untuk membawa alatan-alatan yang digunakan di tapak projek.

    Untuk satu-satunya Daihatsu Atrai yang dibawa pula dikenali sebagai Atrai Wildranger2. Kei-Van berkenaan dilengkapi dengan “peralatan-peralatan bagi mengelakkan bencana” seperti pembawa kargo keras, pembekal kuasa elektrik. Pada sebelah luar, Atrai Wildranger2 yang dijana oleh enjin 660 cc turbo ini diberikan rupa yang lasak termasuk pemandanan skid plate bawah bampar hadapan, tayar off-road dan juga sebaris lampu sorot pada bahangian bumbung.

     
     
  • JPJ laksana Op Khas Gempur Teknikal – sita, lucut hak kenderaan perdagangan tidak patuh undang-undang

    JPJ laksana Op Khas Gempur Teknikal – sita, lucut hak kenderaan perdagangan tidak patuh undang-undang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan sita dan lucut hak kepada kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, tindakan penguatkuasaan tersebut akan diambil kepada pemilik syarikat atau kenderaan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya yang lain.

    Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, manakala kenderaan boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan dilucut hak.

    Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ ini diberitahu akan memberikan fokus kepada kesalahan seperti lebihan muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

    JPJ juga menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberi kepada pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

     
     
  • Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), menggesa penggunaan teknologi pemerhati canggih pada kenderaan berat – lapor New Straits Times. Kenyataan ini dibuat selepas awal minggu ini berlakunya kemalangan tiga kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan yang meragut tujuh nyawa.

    Institut itu mahukan teknologi seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar dan telematik diwajibkan kepada semua kenderaan berat, bagi mengesan sebarang masalah mekanikal pada waktu sebenar, dinyatakan oleh timbalan pengerusinya, Manivanan Gowin.

    “Penggunaan teknologi pemantauan canggih mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa. Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya,” kata beliau.

    Manivanan juga menggesa kepada penyelenggaran kerap dan ketat serta tindakan tegas kepada kenderaan berat. Dalam bahagian ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dicadang menguatkan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.

    Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    “Pengendali pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas. Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam tentang pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan mutlak. Hanya dengan kesedaran dan disiplin tinggi, kemalangan dapat diminimumkan,” kata beliau.

    Manivanan juga menggesa agensi kerajaan, pengendali pengangkutan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi bukan kerajaan untuk berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya, yang merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan lebih ketat dan efektif.

    “NIOSH memberi jaminan bahawa kami memiliki pasukan pakar berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian lebih efektif dan lestari,” kata beliau.

     
     
  • Neta bakal kurangkan seramai 400 pekerja di Thailand

    Neta bakal kurangkan seramai 400 pekerja di Thailand

    Syarikat induk bagi pengeluar kenderaan Neta, Hozon Auto kini dalam pertimbangan untuk mengurangkan 400 pekerjaan di Thailand, lapor The Nation. Ini berikutan jualan tidak memberangsangkan jenama itu di sana, yang mana bagi tempoh dari Januari hingga November 2024, hanya 6,534 unit Neta V, V-II dan X berjaya dijual (-45.8% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu).

    Tidak menamakan sumbernya, akhbar berbahasa Inggeris itu menyatakan 400 pekerjaan itu terdiri daripada pekerja di Neta Auto (Thailand) dan Bangchan General Assembly — kilang Neta yang pertama di luar China. Bagaimanapun, menurut Thai Enquirer, hanya pekerjaan di kilang yang akan terkesan.

    Hozon Auto dilaporkan sedang berdepan masalah kecairan tunai akibat jualan yang semakin menurun, menyebabkannya terpaksa menggantung pengeluaran di kilang Zhejiang, China dan mengurangkan pekerja.

    Memetik platform perniagaan Creden Data, The Nation melaporkan bahawa Neta Auto (Thailand) mengalami rugi bersih sebanyak 1.8 bilion baht (RM236 juta) pada 2023 berbanding keuntungan 80.77 juta baht (RM10.61 juta) pada 2022. Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhannya (2019-2023), untung dan ruginya masing-masing adalah sebanyak 7.78 bilion baht (RM1.02 bilion) dan 1.72 bilion baht (RM226 juta).

     
     
  • Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia yang sekarang berada pada 39.95 sen/kWh akan dinaikkan kepada 45.62 sen/kWh (+14.2%) bermula Julai tahun depan, bersama pengenalan jadual tarif baru – lapor The Star.

    Perubahan ini tertakluk di bawah tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2027, menggantikan RP3 2022-2024. Walaubagaimanapun, tiada perubahan kadar tarif yang akan dibuat dari Januari ke hujung Jun 2025, bagi memberikan masa kepada rakyat untuk membuat penyesuaian.

    “Sebarang perbezaan dari Januari ke Jun 2025 (antara kadar tarif baru dan lama) akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik,” kata Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Bursa Malaysia sambil menambah bahawa pelaksanaan RP4 menunjukkan komitmen kerajaan kepada rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

    “Melalui pelaksanaan RP4 di bawah IBR, TNB komited untuk memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan terjamin kepada pelanggan, meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memudahkan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

    Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Perbelanjaan modal yang dibenarkan untuk RP4 adalah RM42.821 bilion, terdiri daripada perbelanjaan modal asas sebanyak RM26.554 bilion dan perbelanjaan modal luar jangka RM16.267 bilion, manakala perbelanjaan operasi yang dibenarkan ialah sebanyak RM20.782 bilion.

    “Kadar pulangan kawal selia kekal pada 7.3% seperti di bawah RP3. Ini akan membolehkan TNB untuk membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” kata firma utiliti tersebut.

    Kos penjanaan masih lagi menjadi komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini. Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

    “TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat,” katanya.

     
     
  • Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

    Tahun ini genap 35-tahun Mazda menjual model cabriolet dua-pintu ikoniknya iaitu MX-5 (atau turut dikenali sebagai Miata atau Roadster bergantung pada pasaran). Sejak model generasi pertamanya mula muncul dalam pasaran pada 1989, sehingga kini model yang telah merentas empat generasi tersebut telah terjual sebanyak 1.2 juta unit.

    Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Mazda telah mengumunmkan model edisi terhad dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition yang bakal mula dijual di Jepun bermula Februari 2025. Ia hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit, dan tempahannya sudah mula dibuka sehingga 3 Mac. Berbanding model biasa, versi istimewa ini akan tampil dengan beberapa perincian unik yang eksklusif.

    Ia masih ditawarkan dalam dua versi iaitu model bumbung fabrik dengan enjin 1.5 liter dan juga bumbung keras (yang masih boleh dibuka dan disorok secara elektrik) dikenali sebagai RF (Retractable Fastback), dijana enjin 2.0 liter yang lebih berkuasa.

    Enjin 1.5 liter empat-silinder NA SkyActiv-G berkenaan menghasilkan kuasa 136 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi memacu roda belakang. Manakala versi 2.0 liter pula dijana oleh enjin SkyActiv-G berkuasa 184 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 205 Nm, ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan.

    Namun kesemua versi unit rangkaian kuasa berkenaan akan menerima perincian unik yang sama. Ia termasuk warna badan Artisan Red Premium Metallic, di mana Mazda mendakwa bahawa ini kali pertama MX-5 menerima warna yang dihasilkan dari teknologi cat Takuminuri, dan ia hanya ditawarkan pada model 35-th Anniversary Edition ini sahaja.

    Selain itu model istimewa ini juga datang standard dengan kemasan gred S Leather Package V Selection yang menampilkan bumbung fabrik berwarna beige, rim aloi 17-inci kemasan hitam berkilat, dan juga lencana ‘35th Anniversary’ pada sisi badan yang turut memaparkan nombor siri unik yang berlainan pada setiap unit.

    Manakala dalam kabin, model edisi khas ini menerima upholsteri berwarna tan dengan logo ‘35th Anniversary’ dicop pada perehat kepala. Logo yang sama turut boleh ditemui pada karpet kaki yang turut diberikan kemasan warna yang sama. Pembeli juga ditawarkan dengan opsyen kunci dengan perumah yang datang dengan warna Artisan Red Premium Metallic yang sama dengan warna badan.

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition 2025 ini akan dijual pada harga bermula 3,753,200 yen (sekitar RM106k) untuk model 1.5 liter, diikuti 4,354,900 yen (RM123k) bagi varian 2.0 liter manual dan 4,382,400 yen (RM124k) untuk model 2.0L automatik.

    Bagi MX-5 biasa, model kemaskini 2025 ini menerima sokongan Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua varian, manakala warna badan Zircon Sand Metallic kini telahpun digugurkan.

     
     
  • Proton eMas 7 – sebanyak 2,500 unit telah ditempah

    Proton eMas 7 – sebanyak 2,500 unit telah ditempah

    Pengedar jenama EV Proton eMas iaitu Pro-Net mengumumkan bahawa model pertamanya yang baru dilancarkan awal minggu lalu, Proton eMas 7 kini sudahpun ditempah sebanyak 2,500 unit. Tempahan SUV elektrik segmen-C tersebut sebelum ini telahpun mula dibuka bermula akhir Oktober lalu.

    “Kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 7 mencerminkan kesediaan mereka untuk menerima mobiliti lestari. Dengan gabungan ciri inovatif dan nilai yang luar biasa, Proton eMas 7 direka untuk menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin beralih ke kenderaan elektrik. EV ini merupakan satu langkah besar ke hadapan, bukan sahaja untuk Proton tetapi juga untuk masa depan automotif hijau di Malaysia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

    Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Ketika dilancarkan Proton turut menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800, tetapi hanya untuk 3,000 pembeli terawal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 500 unit sahaja lagi yang akan menerima diskaun istimewa tersebut.

    Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km. Juga semua pembeli akan diberikan pengecas rumah dan juga adaptor sistem V2L yang bernilai RM2,000 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun juga secara percuma.

    Untuk perincian lebih lengkap tentang spesifikasi Proton eMas 7 ini boleh anda baca pada laporan pelancarannya pada PAUTAN INI. Sebelum dilancarkan, kami telah berpeluang memandu uji Proton eMas 7 ini di litar ujian Proton yang terletak dalam fasilitinya di Hicom Shah Alam. Jadi kalau nak tahu apa pandangan awal kami terhadap model ini, anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

    GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 EV 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025