Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kilang BYD di Indonesia akan mula operasi lebih awal pada Q4 2025 — perancangan awal ialah Q1 2026

    Kilang BYD di Indonesia akan mula operasi lebih awal pada Q4 2025 — perancangan awal ialah Q1 2026

    Menurut Autonetmagz, BYD akan mempercepatkan pembinaan kilang pemasangannya di Indonesia yang melibatkan keluasan 100 hektar tanah di Kawasan Perindustrian Smartpolitan Subang, Jawa Barat.

    Kemudahan berkenaan pada awalnya dirancang untuk mula beroperasi pada awal 2026, namun perancangan ini telah dipercepatkan kepada suku keempat 2025. BYD juga sedang mempertimbang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport, dan dalam masa yang sama turut membangunkan prasarana lebih luas untuk menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara itu.

    Kilang BYD berkenaan dianggarkan akan mewujudkan 8,700 pekerjaan: dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, angka tersebut boleh menjangkau lebih 18,000 peluang baru di dalam pelbagai sektor. Kilang itu juga akan membuka peluang pembangunan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi lain, termasuklah plug-in hybrid. Ketika ini BYD hanya menjual EV di Indonesia — Seal, Atto 3, Dolphin dan M6.

    Awal 2025, BYD akan melancarkan sub-jenama premiumnya Denza, walaupun belum didedahkan model mana yang akan jadi model pertamanya untuk pasaran Indonesia. Denza juga akan masuk ke Malaysia, dengan MPV D9 akan menjadi penawaran pertama pada suku pertama 2025.

     
     
  • Pihak berkuasa pertimbang tutup sebahagian Jalan Bukit Bintang untuk kurangkan kesesakan trafik

    Pihak berkuasa pertimbang tutup sebahagian Jalan Bukit Bintang untuk kurangkan kesesakan trafik

    Dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan trafik di Segi Tiga Emas di tengah Kuala Lumpur, pihak berkuasa didakwa sedang mempertimbangkan penutupan beberapa bahagian Jalan Bukit Bintang, lapor New Straits Times.

    Pertimbangan tersebut diambil berikutan jumlah trafik yang tinggi, terutamanya ketika waktu puncak, telah menyebabkan kesesakan teruk di kawasan sekitar. Laluan utama dari Pavilion KL ke Jalan Pudu juga selalu terhalang oleh trafik yang sesak dan tidak bergerak ini.

    Menurut Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa, perbincangan dan kajian lanjut melibatkan pihak berkepentingan kini sedang dijalankan untuk menilai kebolehlaksanaan untuk mengalih laluan serta mengurangkan kenderaan ke dalam kawasan terlibat. “Dengan mengalih trafik dan menutup kawasan berkenaan kepada lalu lintas kenderaan, kita akan dapat mewujudkan zon mesra pejalan kaki. Dengan komunikasi jelas kepada orang awam dan pihak berkepentingan, saya fikir cadangan ini wajar diuji,” jelas beliau kepada Buletin TV3.

    Polis juga merancang untuk meningkatkan pemasangan dan penggunaan kamera litar tertutup yang dikuasakan oleh AI untuk meninjau kawasan serta menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dari jauh. Beberapa punca kesesakan di kawasan berkenaan telah pun di kenal pasti, termasuk parkir secara salah, lintasan pejalan kaki serta lokasi salah untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Persembahan jalanan yang menarik perhatian ramai juga antara faktornya.

    Ketika ini, operasi trafik bersepadu telah dijalankan setiap minggu di Bukit Bintang, yang bertujuan untuk mengesan salah laku dan halangan lalu lintas, antaranya yang melibatkan persimpangan di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail. Sejak 13 Disember, lebih 1,500 saman telah dikeluarkan, dan 36 kenderaan ditunda.

     
     
  • Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Jualan EV di peringkat global dijangka meningkat sebanyak 30% kepada 15.1 juta unit pada 2025 nanti berbanding tahun sebelumnya. Ini mewakili sebanyak 16.7% daripada jualan kenderaan ringan global, yang dijangka akan mencapai 89.6 juta unit (+1.7% dari tahun ke tahun), berbanding anggaran 11.6 juta unit dan 13.2% perkongsian pasaran pada 2024, menurut penganalisis dari S&P Global Mobility.

    Syarikat itu melihat kepada pasaran utama, dan meramalkan pertumbuhan EV sebanyak 117% pada 2025 di India dengan 7.5% perkongsian pasaran (kenderaan ringan), +43.4% di Eropah tengah dan barat menjadi 20.4% perkongsian pasaran dan +36% di AS menjadi 11.2% perkongsian pasaran.

    EV di China juga dijangka tumbuh sebanyak 19.7% kepada 29.7% perkongsian pasaran — Financial Times bagaimanapun memetik beberapa analisa lain yang meramalkan jualan EV di China akan mengatasi kereta biasa, dengan petunjuk lebih daripada 50% perkongsian pasaran bagi 2025.

    S&P juga menjangkakan penembusan kenderaan tenaga baru (NEV) di China akan meningkat dari 49% tahun ini kepada 58% tahun depan, walaupun definisi NEV di China termasuk sekali kenderaan plug-in hybrid (PHEV) dan fuel cell. Kos bateri yang lebih murah serta subsidi negara yang banyak menjadi antara daya penggerak utama.

    Jualan EV global dijangka meningkat 30% pada 2025

    Syarikat itu juga menjangkakan China akan menjual sebanyak 25.8 juta kenderaan pada 2024 dan 3% lebih banyak pada 2025 menjadi 26.6 juta unit.

    Untuk AS (dengan anggaran 16 juta unit bagi 2024, +1.2% menjadi 16.2 juta unit pada 2025), S&P memaklumkan bahawa keadaan tidak pasti hasil daripada tarif universal yang akan dilakukan oleh Donald Trump akan mempengaruhi jualan tahun depan.

    Bagi Eropah (yang dijangkakan di bawah 15 juta unit pada 2024, +0.1% kepada 15 juta unit bagi 2025), syarikat itu memaklumkan antara faktor yang akan mempengaruhi adalah kewaspadaan pelanggan, peraturan emisi 2025 yang lebih ketat, risiko kemelesetan ekonomi, harga kenderaan yang masih tinggi serta perubahan subsidi EV akan memberi kesan.

    Untuk Jepun (dianggarkan sedikit di bawah 4.4 juta unit bagi 2024, +5.4% kepada 4.6 juta unit bagi 2025), S&P menjelaskan bahawa tarif universal AS dan ekonomi dunia yang lemah boleh memberi kesan ke atas eksport negara itu, terutamanya ke Amerika Utara.

     
     
  • Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; bakal ada versi produksi?

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; bakal ada versi produksi?

    Sebagai salah satu ‘ahli keluarga’ di bawah payung Toyota, Daihatsu sememangnya menjadi jenama yang terpilih untuk turut berada dalam sayap perlumbaan Gazoo Racing. Jika pada 2019 dahulu model roadster Daihatsu Copen telah menerima lencana GR Sport, portfolio berkenaan nampaknya dikembangkan lagi dengan penampilan Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept yang akan muncul di reruai Daihatsu ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 bulan hadapan.

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship. Selain itu, menerusi gambar yang didedahkan juga dapat dilihat Mira e:S GR Sport Concept ini menerima set rim aloi ringan dari BBS serta warna badan merah-hitam juga sama seperti jentera rali sebenar berkenaan.

    Difahamkan Mira e:S GR Sport Concept ini akan diasaskan dari varian dengan enjin 660 cc turbo bersama kotak gear lima kelajuan manual, manakala dalam kabin ia mungkin menerima tempat duduk sports dari Recaro. Masih lagi belum ada kenyataan dari Daihatsu adakah model ini akan dijual atau tidak. Namun ia mungkin sama seperti Copen GR Sport sebelum ini di mana ia diperkenalkan dalam versi konsep di TAS 2019, kemudian dijelmakan dalam versi produksi selepas itu.

    Mira e:S GR Sport ini juga mungkin akan menampilkan tingkat taraf sama seperti Copen GR Sport sebelum ini iaitu diberikan set suspensi lebih sporty bersama pendakap-pendakap badan tambahan. Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini akan dipamerkan bersama sekali dengan jentera rali Mira e:S sebenar di TAS2025 nanti.

    Selain itu, Daihatsu turut membawa kereta rali Copen GR Sport yang bertanding dalam Rally Japan 2024, iaitu pusingan terakhir Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada bulan lalu. Berbanding model standard yang menerima enjin 660 cc turbo, kapasiti enjin pada Copen GR Sport rali ini dipertingkat kepada 770 cc dan masih disumbat pengecas turbo.

    Kereta rali ini juga menerima kit badan lebar, menjadikan ia 40 mm lebih lebar pada setiap sisi, manakala pada sebelah kabin ia diberikan roll cage enam-poin.

    Daihatsu turut akan membawa tiga buah kei-truck Daihatsu Hijet dan sebuah kei-van Daihatsu Atrai yang diubahsuai ke TAS 2025 ini. Untuk Hijet pertama ia diberi nama sebagai Extend2, iaitu trak sokongan bagi kegunaan pasukan lumba dengan badan yang boleh dipanjangkan.

    Bagi Hijet kedua ia diberi nama Lift Disaster Relief Vehicle, iaitu kei-truck yang diubahsuai menjadi kenderaan penyelamat ketika bencana alam. Menurut Daihatsu, trak ini dibina berdasarkan pengalaman mereka menyertai operasi menyelamat secara sukarela ketika berlakunya hujan lebat di Kyushu Utara pada 2023.

    Oleh itu Hijet Truck Lift Disaster Relief Vehicle ini dilengkapi dengan panel-panel solar, pembekal kuasa elektrik mudah alih, alat pembersih bertekanan tinggi, serta dipasang dengan lif serta pembawa kargo. Manakala Hijet terakhir dikenali Hijet Truck Tool Base, iaitu trak yang direka khas untuk membawa alatan-alatan yang digunakan di tapak projek.

    Untuk satu-satunya Daihatsu Atrai yang dibawa pula dikenali sebagai Atrai Wildranger2. Kei-Van berkenaan dilengkapi dengan “peralatan-peralatan bagi mengelakkan bencana” seperti pembawa kargo keras, pembekal kuasa elektrik. Pada sebelah luar, Atrai Wildranger2 yang dijana oleh enjin 660 cc turbo ini diberikan rupa yang lasak termasuk pemandanan skid plate bawah bampar hadapan, tayar off-road dan juga sebaris lampu sorot pada bahangian bumbung.

     
     
  • JPJ laksana Op Khas Gempur Teknikal – sita, lucut hak kenderaan perdagangan tidak patuh undang-undang

    JPJ laksana Op Khas Gempur Teknikal – sita, lucut hak kenderaan perdagangan tidak patuh undang-undang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan sita dan lucut hak kepada kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, tindakan penguatkuasaan tersebut akan diambil kepada pemilik syarikat atau kenderaan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya yang lain.

    Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, manakala kenderaan boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan dilucut hak.

    Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ ini diberitahu akan memberikan fokus kepada kesalahan seperti lebihan muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

    JPJ juga menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberi kepada pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

     
     
  • Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), menggesa penggunaan teknologi pemerhati canggih pada kenderaan berat – lapor New Straits Times. Kenyataan ini dibuat selepas awal minggu ini berlakunya kemalangan tiga kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan yang meragut tujuh nyawa.

    Institut itu mahukan teknologi seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar dan telematik diwajibkan kepada semua kenderaan berat, bagi mengesan sebarang masalah mekanikal pada waktu sebenar, dinyatakan oleh timbalan pengerusinya, Manivanan Gowin.

    “Penggunaan teknologi pemantauan canggih mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa. Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya,” kata beliau.

    Manivanan juga menggesa kepada penyelenggaran kerap dan ketat serta tindakan tegas kepada kenderaan berat. Dalam bahagian ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dicadang menguatkan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.

    Guna teknologi canggih seperti pemerhati tekanan angin tayar, telematik pada kenderaan berat – NIOSH

    “Pengendali pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas. Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam tentang pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan mutlak. Hanya dengan kesedaran dan disiplin tinggi, kemalangan dapat diminimumkan,” kata beliau.

    Manivanan juga menggesa agensi kerajaan, pengendali pengangkutan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi bukan kerajaan untuk berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya, yang merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan lebih ketat dan efektif.

    “NIOSH memberi jaminan bahawa kami memiliki pasukan pakar berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian lebih efektif dan lestari,” kata beliau.

     
     
  • Neta bakal kurangkan seramai 400 pekerja di Thailand

    Neta bakal kurangkan seramai 400 pekerja di Thailand

    Syarikat induk bagi pengeluar kenderaan Neta, Hozon Auto kini dalam pertimbangan untuk mengurangkan 400 pekerjaan di Thailand, lapor The Nation. Ini berikutan jualan tidak memberangsangkan jenama itu di sana, yang mana bagi tempoh dari Januari hingga November 2024, hanya 6,534 unit Neta V, V-II dan X berjaya dijual (-45.8% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu).

    Tidak menamakan sumbernya, akhbar berbahasa Inggeris itu menyatakan 400 pekerjaan itu terdiri daripada pekerja di Neta Auto (Thailand) dan Bangchan General Assembly — kilang Neta yang pertama di luar China. Bagaimanapun, menurut Thai Enquirer, hanya pekerjaan di kilang yang akan terkesan.

    Hozon Auto dilaporkan sedang berdepan masalah kecairan tunai akibat jualan yang semakin menurun, menyebabkannya terpaksa menggantung pengeluaran di kilang Zhejiang, China dan mengurangkan pekerja.

    Memetik platform perniagaan Creden Data, The Nation melaporkan bahawa Neta Auto (Thailand) mengalami rugi bersih sebanyak 1.8 bilion baht (RM236 juta) pada 2023 berbanding keuntungan 80.77 juta baht (RM10.61 juta) pada 2022. Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhannya (2019-2023), untung dan ruginya masing-masing adalah sebanyak 7.78 bilion baht (RM1.02 bilion) dan 1.72 bilion baht (RM226 juta).

     
     
  • Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia yang sekarang berada pada 39.95 sen/kWh akan dinaikkan kepada 45.62 sen/kWh (+14.2%) bermula Julai tahun depan, bersama pengenalan jadual tarif baru – lapor The Star.

    Perubahan ini tertakluk di bawah tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2027, menggantikan RP3 2022-2024. Walaubagaimanapun, tiada perubahan kadar tarif yang akan dibuat dari Januari ke hujung Jun 2025, bagi memberikan masa kepada rakyat untuk membuat penyesuaian.

    “Sebarang perbezaan dari Januari ke Jun 2025 (antara kadar tarif baru dan lama) akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik,” kata Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Bursa Malaysia sambil menambah bahawa pelaksanaan RP4 menunjukkan komitmen kerajaan kepada rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

    “Melalui pelaksanaan RP4 di bawah IBR, TNB komited untuk memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan terjamin kepada pelanggan, meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memudahkan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

    Tarif elektrik asas akan naik 14% bermula Julai 2025

    Perbelanjaan modal yang dibenarkan untuk RP4 adalah RM42.821 bilion, terdiri daripada perbelanjaan modal asas sebanyak RM26.554 bilion dan perbelanjaan modal luar jangka RM16.267 bilion, manakala perbelanjaan operasi yang dibenarkan ialah sebanyak RM20.782 bilion.

    “Kadar pulangan kawal selia kekal pada 7.3% seperti di bawah RP3. Ini akan membolehkan TNB untuk membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” kata firma utiliti tersebut.

    Kos penjanaan masih lagi menjadi komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini. Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

    “TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat,” katanya.

     
     
  • Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition di Jepun – perincian istimewa, 1,000 unit, bermula RM106k

    Tahun ini genap 35-tahun Mazda menjual model cabriolet dua-pintu ikoniknya iaitu MX-5 (atau turut dikenali sebagai Miata atau Roadster bergantung pada pasaran). Sejak model generasi pertamanya mula muncul dalam pasaran pada 1989, sehingga kini model yang telah merentas empat generasi tersebut telah terjual sebanyak 1.2 juta unit.

    Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Mazda telah mengumunmkan model edisi terhad dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition yang bakal mula dijual di Jepun bermula Februari 2025. Ia hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit, dan tempahannya sudah mula dibuka sehingga 3 Mac. Berbanding model biasa, versi istimewa ini akan tampil dengan beberapa perincian unik yang eksklusif.

    Ia masih ditawarkan dalam dua versi iaitu model bumbung fabrik dengan enjin 1.5 liter dan juga bumbung keras (yang masih boleh dibuka dan disorok secara elektrik) dikenali sebagai RF (Retractable Fastback), dijana enjin 2.0 liter yang lebih berkuasa.

    Enjin 1.5 liter empat-silinder NA SkyActiv-G berkenaan menghasilkan kuasa 136 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi memacu roda belakang. Manakala versi 2.0 liter pula dijana oleh enjin SkyActiv-G berkuasa 184 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 205 Nm, ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan.

    Namun kesemua versi unit rangkaian kuasa berkenaan akan menerima perincian unik yang sama. Ia termasuk warna badan Artisan Red Premium Metallic, di mana Mazda mendakwa bahawa ini kali pertama MX-5 menerima warna yang dihasilkan dari teknologi cat Takuminuri, dan ia hanya ditawarkan pada model 35-th Anniversary Edition ini sahaja.

    Selain itu model istimewa ini juga datang standard dengan kemasan gred S Leather Package V Selection yang menampilkan bumbung fabrik berwarna beige, rim aloi 17-inci kemasan hitam berkilat, dan juga lencana ‘35th Anniversary’ pada sisi badan yang turut memaparkan nombor siri unik yang berlainan pada setiap unit.

    Manakala dalam kabin, model edisi khas ini menerima upholsteri berwarna tan dengan logo ‘35th Anniversary’ dicop pada perehat kepala. Logo yang sama turut boleh ditemui pada karpet kaki yang turut diberikan kemasan warna yang sama. Pembeli juga ditawarkan dengan opsyen kunci dengan perumah yang datang dengan warna Artisan Red Premium Metallic yang sama dengan warna badan.

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition 2025 ini akan dijual pada harga bermula 3,753,200 yen (sekitar RM106k) untuk model 1.5 liter, diikuti 4,354,900 yen (RM123k) bagi varian 2.0 liter manual dan 4,382,400 yen (RM124k) untuk model 2.0L automatik.

    Bagi MX-5 biasa, model kemaskini 2025 ini menerima sokongan Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua varian, manakala warna badan Zircon Sand Metallic kini telahpun digugurkan.

     
     
  • Proton eMas 7 – sebanyak 2,500 unit telah ditempah

    Proton eMas 7 – sebanyak 2,500 unit telah ditempah

    Pengedar jenama EV Proton eMas iaitu Pro-Net mengumumkan bahawa model pertamanya yang baru dilancarkan awal minggu lalu, Proton eMas 7 kini sudahpun ditempah sebanyak 2,500 unit. Tempahan SUV elektrik segmen-C tersebut sebelum ini telahpun mula dibuka bermula akhir Oktober lalu.

    “Kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 7 mencerminkan kesediaan mereka untuk menerima mobiliti lestari. Dengan gabungan ciri inovatif dan nilai yang luar biasa, Proton eMas 7 direka untuk menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin beralih ke kenderaan elektrik. EV ini merupakan satu langkah besar ke hadapan, bukan sahaja untuk Proton tetapi juga untuk masa depan automotif hijau di Malaysia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

    Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Ketika dilancarkan Proton turut menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800, tetapi hanya untuk 3,000 pembeli terawal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 500 unit sahaja lagi yang akan menerima diskaun istimewa tersebut.

    Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km. Juga semua pembeli akan diberikan pengecas rumah dan juga adaptor sistem V2L yang bernilai RM2,000 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun juga secara percuma.

    Untuk perincian lebih lengkap tentang spesifikasi Proton eMas 7 ini boleh anda baca pada laporan pelancarannya pada PAUTAN INI. Sebelum dilancarkan, kami telah berpeluang memandu uji Proton eMas 7 ini di litar ujian Proton yang terletak dalam fasilitinya di Hicom Shah Alam. Jadi kalau nak tahu apa pandangan awal kami terhadap model ini, anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

    GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 EV 2025

     
     
  • Toyota Camry Glorious Edition dilancarkan di China – lebih mewah dan sporty, hibrid, bermula RM124k

    Toyota Camry Glorious Edition dilancarkan di China – lebih mewah dan sporty, hibrid, bermula RM124k

    Menurut laporan dari media-media permotoran dari China, sambutan terhadap model generasi baharu bagi Toyota Camry tidak begitu menggalakkan berbanding model generasi sebelumnya. Oleh itu, GAC Toyota iaitu syarikat kerjasama antara GAC Group dari China dan juga Toyota sendiri telahpun memperkenalkan Camry Glorious Edition pada pasaran berkenaan, bagi membolehkan ia bersaing sengit dengan jenama-jenama tempatan lain yang kini semakin diterima.

    Model ini dijual pada harga bermula 202,800 yuan (sekitar RM124k) dan ia ditawarkan dalam versi hibrid sahaja. Pada sebelah luar, ia boleh dikenali dengan pemadanan kit badan lebih sporty terdiri dari gril hadapan berwarna hitam, splitter hadapan, diffuser belakang dan lip spoiler pada penutup but, serta disudahkan dengan warna badan Matte Grey dan rim aloi bersaiz 19-inci.

    Manakala pada bahagian dalaman, Camry istimewa ini diberikan upholsteri velvet dan kulit asli serta dilengkapi lampu suasana kabin 64-warna, kemasan menonjol pada papan pemuka dan panel dalaman pintu, sistem bunyi dari Dynaudio, dua skrin 12.3-inci untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital, paparan head-up dan bumbung suria panaromik.

    Seperti disebut tadi, Camry Glorious Edition ini hanya tampil dengan unit rangkaian kuasa hibrid. Ia menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder NA yang digandingkan bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 197 PS dan tork maksima 188 Nm.

     
     
  • Chery Tiggo 5X 2025 dilancar di China – kembar Omoda 5 dengan kuasa 156 hp/230 Nm, dari RM42k

    Chery Tiggo 5X 2025 dilancar di China – kembar Omoda 5 dengan kuasa 156 hp/230 Nm, dari RM42k

    Chery Tiggo 5X High Energy Edition baru sahaja dilancarkan di China, dengan menurut laporan Bit Auto, ditawarkan pada harga antara 69,900 yuan (RM42,807) ke 83,900 yuan (RM51,388). Mencatat ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm dan jarak roda 2,630 mm, SUV ini mempunyai dimensi sama seperti Omoda 5.

    Menggerakkan Tiggo 5X High Energy Edition ini adalah enjin petrol 1.5 liter turbo, dengan kuasa 115 kW (156 hp) dan tork 230 Nm, dihantar kepada dua roda hadapan melalui transmisi CVT. Jumlah kuasa ini juga adalah sama dengan Omoda 5 pasaran Malaysia.

    Seperti yang boleh anda lihat, penampilan SUV baru ini juga mirip kepada Omoda 5, dengan perubahan yang diberi antaranya seperti logo Chery yang lebih nipis, serta diletakkan tinggi sedikit ke atas. Kemudiannya, gril Tiggo 5X High Energy Edition menggunakan kemasan jalur putus-putus, menggantikan rekaan berpetak pada Omoda 5.

    Bukan setakat luar, bahagian dalam juga nampak sama seperti Omoda 5, dengan sedikit perubahan dibuat pada kemasan bahagian atas papan pemuka. Sistem infotainmen menggunakan dua skrin 10.25 inci dengan perisian daripada Lion 5.0 AI.

    Susun atur bahagian konsol tengah juga berubah sedikit dengan pemilih mod pemanduan pada Tiggo 5X diletakkan betul-betul di bawah tombol gear. Tempat duduk dilihat menggunakan balutan kulit.

     
     
  • Radar King Kong dilancar di China – trak pikap elektrik lebih murah berbanding RD6, kuasa sehingga 381 PS

    Radar King Kong dilancar di China – trak pikap elektrik lebih murah berbanding RD6, kuasa sehingga 381 PS

    Geely melancarkan trak pikap elektrik baru, Radar King Kong di China, di mana ia ditawarkan dalam tujuh varian dan harga antara 99,800 ke 159,800 yuan (RM61k ke RM98k). Menurut CarNewsChina, King Kong adalah satu alternatif yang lebih murah (mungkin juga pengganti) kepada RD6 (dikenali sebagai Riddara RD6 di Thailand) yang sudah diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

    Berkenaan reka bentuk, King Kong nampak seperti RD6 yang diperkemas semula, dengan perubahan ketara hanya pada lampu hadapan, yang mempunyai tiga jalur LED di keliling lampu utama serta gril hadapan. Untuk dimensi pula, ia mencatat lebar 1,900 mm dan tinggi antara 1,865 mm – 1,880 mm bergantung kepada jenis badan. Jarak roda dan panjang pula adalah 3,120 mm, 5,260 mm untuk model biasa dan 3,310 mm, 5,500 mm untuk versi jarak roda panjang.

    Bahagian dalam juga nampak sama seperti RD6, tetapi konsol tengah telah direka semula untuk menempatkan tombol gear baru serta beberapa lagi butang kawalan fungsi. Sebagai makluman, versi jarak roda panjang mempunyai ruang barangan belakang yang lebih panjang.

    Radar King Kong dilancar di China – trak pikap elektrik lebih murah berbanding RD6, kuasa sehingga 381 PS

    Menggerakkan King Kong adalah motor elektrik tunggal dengan pacuan roda belakang, berkuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan tork 309 Nm. Ia dipadankan bersama bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti tenaga 42 kWh (jarak gerak 310 km), 63 kWh (jarak gerak 430 km) atau 73 kWh (jarak gerak 505 km) – mengikut standard CLTC.

    Varian RWD juga boleh didapati dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 86 kWh, yang dapat memberikan jarak gerak 605 km. Pakej ini, bersama dengan LFP 73 kWh boleh menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat, manakala versi bateri 63 kWh dan 42 kWh mencatat masing-masing 8.1 dan 8.2 saat.

    Selain daripada itu, trak pikap ini juga boleh didapati dengan tetapan dua motor, pacuan semua roda yang berkuasa 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan tork 485 Nm. Ia menggunakan bateri LFP sama ada berkapasiti 55 kWh (jarak gerak 330 km) atau 73 kWh (jarak gerak 460 km), atau bateri NMC 86-kWh (jarak gerak 520 km).

    Radar King Kong dilancar di China – trak pikap elektrik lebih murah berbanding RD6, kuasa sehingga 381 PS

    Dengan lebih kuasa, varian AWD boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat (LFP 73-kWh dan NMC 86-kWh), atau 6.9 saat (LFP 55-kWh). Laju maksimum kesemuanya adalah sama, iaitu 160 km/j.

    Perbezaan lain yang boleh dilihat adalah pada jarak kelegaan dari tanah dan kapasiti muatan, iaitu masing-masing 220 mm dan 790 kg untuk varian RWD, sementara varian AWD pula 225 mm dan 910 km. Varian AWD juga mempunyai gred mendaki maksimum lebih tinggi, iaitu 95%, berbanding 65% bagi RWD.

    Kelengkapan lain yang diberi pada King Kong adalah termasuk sistem tanpa kunci, panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh lapan inci, cruise control, lampu DRL dan lampu belakang LED, rim 17 inci serta pembekal kuasa 15 kW. Dalam laman web tidak dinyatakan King Kong ini dilengkapi dengan sebarang fungsi ADAS, sesuai dengan harganya yang lebih murah berbanding RD6.

     
     
  • Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024

    Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024

    Seperti dijangka, sektor automotif Thailand menunjukkan prestasi yang hambar tahun ini. Menurut laporan Bangkok Post dan The Nation, jumlah produksi dan jualan kenderaan di negara berkenaan telah menjunam untuk 11 bulan pertama tahun ini, di mana masing-masing menunjukkan kejatuhan sehingga 20.14% dan 26.69%.

    Persekutuan Industri Thailand (FTI) Kelab Industri Automotif yang melaporkan angka-angka prestasi berkenaan awal minggu ini menyatakan bahawa kejatuhan tersebut adalah akibat dari proses kelulusan pembiayaan kenderaan yang lebih ketat, disebabkan oleh kelembapan ekonomi dan lonjakan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan pembeli kereta pada suku ketiga.

    Naib pengerusi FTI dan jurucakap kelab auto berkenaan, Surapong Paisitpatanapong berkata dari Januari hingga November Thailand memproduksi sejumlah 1,364,119 unit kenderaan, atau turun 20.14% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Daripada jumlah ini, 117,251 unit kenderaan diproduksi pada November, turun 28.23% daripada tempoh yang sama tahun lalu.

    FTI kekal berharap jumlah produksi akan mencapai sasaran baru yang lebih rendah yang ditetapkan iaitu 1.5 juta unit untuk 2024, turun 1.7 juta unit dari sasaran awal, dan juga menjadi sasaran terendah sejak 2021. Sasaran 1.7 juta itu sendiri dikurangkan pada Julai, berbanding 1.9 juta unit sebelumnya.

    Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024

    Dari segi jualan, Surapong berkata sebanyak 518,659 kenderaan telah dijual dari Januari hingga November, penurunan volum sebanyak 26.69% berbanding tahun lepas. Pada November, 42,309 kenderaan telah dijual, iaitu peningkatan 12.25% daripada Oktober tetapi susut 31.34% berbanding bulan yang sama tahun lepas. Sementara itu, NPL dalam kalangan pembeli kenderaan meningkat 22.8% pada suku ketiga tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

    Manakala untuk eksport, Thailand menghantar 942,867 kenderaan keluar negara dari Januari hingga November 2024, turun 8.21% daripada tempoh yang sama tahun lepas. Pada November lalu pula, eksport mencatatkan sebanyak 89,646 kenderaan, susut 10% daripada November 2023.

    Pada bulan November, jualan semua jenis kenderaan di negara itu jatuh, kecuali model-model hibrid plug-in yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 346% iaitu kepada 223 unit. Walau bagaimanapun, jumlah jualan segmen berkenaan adalah kecil, iaitu hanya 0.53% daripada jumlah keseluruhan.

    Dari segi jualan keseluruhan, kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman merupakan masih memegang bahagian terbesar dengan pegangan 28.3% daripada keseluruhan jualan November, diikuti oleh segmen pikap (27.1%) dan kenderaan elektrik hibrid (17.9%).

    FTI menjangkakan jumlah jualan, eksport dan pembuatan kenderaan pada 2025 adalah pada tahap sama dengan tahun ini. “KDNK Thailand mesti berkembang 4-5% untuk meningkatkan ekonomi dan sektor automotif,” kata Surapong.

     
     
  • Xpeng X9 dilihat di Malaysia — MPV elektrik 7-seater hingga 503 PS, 702 km CLTC; dilancar pada 2025?

    Xpeng X9 dilihat di Malaysia — MPV elektrik <em>7-seater</em> hingga 503 PS, 702 km CLTC; dilancar pada 2025?

    Bermaz Xpeng kelihatan seperti sedang mempersiapkan pengenalan model Xpeng X9 untuk pasaran tempatan. Model MPV elektrik berkenaan telah dilihat di Jalan Kemajuan, Subang, dengan pelekat yang jelas terpampang tulisan “Bermaz Xpeng Research & Development” baru-baru ini — ia juga model pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Versi RHD bagi X9 ini sudahpun diperkenalkan di Hong Kong. Di sana, ia ditawarkan dalam dua varian — kedua-duanya dengan pacuan roda depan dan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.

    Xpeng X9 pertama kali didedahkan pada Oktober 2023 dan dijual di China pada Januari tahun ini. Berkongsi platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) pengeluarnya dengan model G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos lalu, X9 mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.

    Pesaing bagi MPV Xpeng ini ialah Zeekr 009 (dilancarkan di sini awal bulan lalu), Denza D9 (dijangka dilancarkan pada suku pertama 2025) serta Toyota Alphard dan Vellfire.

    Untuk sistem janaan kuasa, varian pacuan roda depan X9 di China dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWj yang memberikan jarak sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Ia menyalurkan tenaga kepada sebuah motor elektrik dengan janaan 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Ada juga varian sama dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti lebih besar, 101.5 kWj yang memberikan jarak 702 km.

    Turut ditawarkan ialah varian pacuan semua roda dengan bateri NMC yang sama dan dua motor elektrik, dengan output keseluruhan sistem 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan 640 Nm — membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan jarak 640 km, serta laju maksimum yang sama 200 km/j.

    Pengecasan pantas DC juga ada, dengan Xpeng mendakwa “pengecasan super-pantas 3C” dengan C itu merujuk kepada berapa kali bateri tersebut boleh dicas dalam sejam. MPV ini boleh mencapai tahap bateri 10-80% dalam 20 minit, serta ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025