Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

Selain empat model konsep dan SUV kompak ‘Rocky’, Daihatsu turut mencuri tumpuan pengunjung Tokyo Motor Show 2019 dengan mempamerkan Copen GR Sport. Namun tiada perubahan daripada model konsep yang dipertontonkan di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu.

Selain itu, Copen GR Sport versi produksi ini berasaskan Daihatsu Copen, tetapi akan dijual di Jepun oleh Toyota. Ia merupakan jentera sport pertama di bawah siri “GR” – diubah oleh Toyota Gazoo Racing (TGR) tetapi diperbuat oleh Daihatsu.

Malahan tiada pertambahan prestasi (kei-car terhad dengan peraturan), pasukan Gazoo memfokuskan ketegaran badan dan talaan suspensi.

Tokyo 2019: Copen GR Sport sentuhan khas TGR

Badan jentera yang kecil ini dipenuhi pelbagai bar pengukuh di bawahnya – bar bawah hadapan ditambah, manakala bar bawah tengah pula menerima rekaan semula. Badan yang lebih tegap ini kemudiannya disesuaikan dengan talaan semula pada sistem suspensi. Ia turut menerima set penyerap hentak baharu yang direka khas untuknya, bersama set spring gegelung berwarna merah yang menurut Gazoo Racing akan memberikan “pemanduan yang selesa dengan pergerakan melentur”.

Stereng berkuasa elektrik pada model istimewa ini juga ditala semula bagi melengkapkan karekteristik baharunya. Sama ada model CVT atau manual, Copen GR diberikan unit LSD sebagai ‘senjata’ standard.

Selain menampilkan gril “Functional Matrix” seperti model-model talaan GR yang lain, ia turut hadir dengan bampar baharu yang menurut Toyota ia mempunyai kesan aerodinamik yang lebih baik.

Bahagian belakang Copen ini juga lebih agresif dari model standard, dengan kemasan berwarna hitam yang agak besar pada bampar belakang, berbentuk seperti diffuser serta turut menempatkan dua tip ekzos. Rim BBS kemasan gelap 16-inci dibaluti tayar 165/50R16 yang anda lihat ini juga adalah ciri standard, dan rupa keseluruhannya dilengkapkan dengan beberapa emblem GR dilekatkan di hadapan, belakang dan sisi.

Kabinnya pula ditampilkan tempat duduk bucket Recaro dan juga roda stereng balutan kulit dari Momo – kedua-duanya dengan logo GR, dan tidak boleh dibeli dari pengedar barangan aftermarket. Panel meter juga lebih istimewa dari biasa di mana ia diberikan pencahayaan dan jarum berwarna merah, lengkap dengan logo GR. Secara keseluruhan, kabin Copen ini dimonopoli oleh warna hitam, manakala papan pemuka diberikan kemasan gabungan hitam berkilat dan elemen gentian karbon.

Copen GR Sport ini masih dijana enjin tiga-silinder 660 cc dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 64 PS dan tork maksima 92 Nm – tiada pengubahsuaian boleh dilakukan sekiranya ia mahu terus dijual sebagai K-Car. Walau pun ia sebuah roadster, Copen masih lagi memacu roda hadapan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik (dengan nisbah maya tujuh-kelajuan) atau transmisi manual lima-kelajuan.

Model dengan kotak gear CVT auto dijual pada harga 2.38 juta yen (RM92,088), manakala versi manual beoleh dibeli dengan harga 2.435 juta yen (RM94,221). Selain itu, ia turut ditawarkan dengan lapan pilihan warna badan.

GALERI: Copen GR Sport di Tokyo Motor Show 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required