Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ keluarkan 25 saman ke atas bas ekspres dan bas persiaran kerana tidak sediakan pemandu kedua

    JPJ keluarkan 25 saman ke atas bas ekspres dan bas persiaran kerana tidak sediakan pemandu kedua

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 25 sama ke atas bas ekspres dan bas persiaran kerana gagal menyediakan pemandu kedua. Operasi berkenaan dijalankan di tiga plaza tol di Pulau Pinang menjelang Hari Natal kelmarin. Bagi perjalanan melebihi 300 km atau empat jam, wajib ada pemandu kedua yang menyertai perjalanan tersebut.

    Pengarah JPJ, Zulkifly Ismail sebelum itu berkata, syarikat yang gagal mematuhi peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuklah larangan daripada meneruskan operasi.

    Dalam satu hantaran di laman Facebook JPJ, operasi tersebut bermula pada 10 malam 24 Disember lalu dan berakhir pada 7 pagi 25 Disember di kedua-dua arah plaza tol Juru, Bukit Tambun dan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

    “JPJ turut mengeluarkan saman ke atas sebuah bas ekspres yang mana pemandunya tidak memiliki lesen memandu, serta sebuah lori kontena yang pemandunya di bawah umur,” jelas hantaran tersebut. Tindakan juga diambil ke atas 23 bas lain kerana tidak mempunyai buku log pemandu atau tidak mengemaskininya serta tidak mempunyai pemandu pelancong. Keseluruhannya, 273 sama dikeluarkan dalam operasi tersebut untuk pelbagai kesalahan.

     
     
  • Harga minyak 26 Dis 2024 – 1 Jan 2025 — RON97 naik tiga sen kepada RM3.25 seliter; diesel kekal RM2.95

    Harga minyak 26 Dis 2024 – 1 Jan 2025 — RON97 naik tiga sen kepada RM3.25 seliter; diesel kekal RM2.95

    Sempena musim cuti di minggu terakhir Disember 2024 ini, kemaskini harga bahan api oleh Kementerian Kewangan menyaksikan ada perubahan bagi tempoh 26 Disember 2025 hingga 1 Januari 2025.

    Selepas naik tiga sen minggu lalu, petrol RON 97 sekali lagi naik dalam jumlah yang sama tiga sen menjadi RM3.25 seliter untuk tempoh seminggu ke depan (minggu lalu RM3.22 seliter). Bagi RON 95 pula ia masih kekal dengan harga siling RM2.05 seliter seperti yang ditetapkan sejak Februari 2021.

    Bagi diesel pula, sama seperti minggu lalu, tiada perubahan harga direkodkan. Diesel Euro B10 dan B20 kekal dijual dengan harga RM2.95 seliter. Diesel Euro 5 B7 pula yang harganya 20 sen lebih mahal kekal dengan harga RM3.15 seliter. Harga diesel di Sabah dan Sarawak pula kekal RM2.15 seliter.

    Harga baru ini berkuatkuasa bermula hari ini hingga Rabu, 1 Januari 2025.

     
     
  • CATL perkenal platform EV jenis skateboard yang mampu serap impak 120 km/j tanpa terbakar

    CATL perkenal platform EV jenis skateboard yang mampu serap impak 120 km/j tanpa terbakar

    Platform CATL CIIC jenis skateboard yang diperkenal pada 2023

    Nama Contemporary Amperex Technology (CATL) setakat ini dikenali sebagai pengeluar bateri EV terbesar di dunia, yang membekalkan bateri EV kepada banyak jenama-jenama pengeluar automotif. Namun baru-baru ini syarikat dari China berkenaan telahpun memperkenalkan platform modular EV baharu yang akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang berminat.

    Seperti platform-platform EV lazim yang lain, platform dari CATL yang digelar sebagai “panshi” dalam bahasa cina atau bermaksud “batuan dasar” ini turut dihasilkan dengan konsep papan selaju (skateboard). Platform itu didakwa boleh bertahan dalam pelanggaran hadapan dengan kelajuan 120 km/j tanpa terbakar atau meletup.

    Menurut laporan Reuters, CATL mensasarkan untuk menjual platform ini kepada jenama-jenama automotif premium bagi membolehkan pembangunan satu-satu model EV baharu itu dibuat lebih cepat serta dengan kos lebih rendah. November lalu pengerusi CATL, Robin Zeng memberitahu agensi berita berkenaan bahawa dengan platform ini pembangunan EV yang biasanya akan menelan belanja berbilion dolar boleh dijimatkan sehingga hanya dengan kos USD10 juta sahaja.

    Tambahnya lagi dengan kos yang rendah sebegini, ia berpotensi untuk melahirkan pengeluar-penegluar EV baharu dan membolehkan satu-satu jenama berkenaan menghasilkan EV unik yang masih boleh menjana untuk walaupun menjual hanya 10,000 kereta setahun.

    Zeng juga memberitahu bahawa syarikatnya telah menunjukkan platform EV ini kepada Porsche kerana ia berpotensi untuk pembangunan model EV mewah, serta kepada pelabur-pelabur dari Emirah Arab Bersatu yang mahu memulakan syarikat EV tempatan sendiri.

    Laporan ini turut menambah bahawa platform berkenaan adalah penting dalam cita-cita Zeng untuk mengembangkan lagi perniagaan CATL yang kini telah pun memegang bahagian sekitar 37% pasaran EV global. Selain dari platform ini, CATL turut sedang meninjau peluang dalam grid kuasa mikro dan membina servis penukaran bateri.

    CATL perkenal platform EV jenis skateboard yang mampu serap impak 120 km/j tanpa terbakar

    Walau bagaimanapun ini bukan platform EV jenis skateboard pertama yang ditunjukkan oleh CATL. Tahun lalu CarNewsChina melaporkan bahawa CATL telahpun mendedahkan platform yang dikenali sebagai CIIC atau CATL integrated intelligent chassis.

    Platform EV skateboard tersebut telah siap diuji menggunakan badan sedan segmen-B, dan ia boleh bergerak sejauh 1,000 km serta mampu mendapatkan jarak 300 km dengan pengecasan yang hanya mengambil masa lima minit.

    Walaupun ia disasarkan untuk segmen premium, dengan kos pembangunan EV yang menjadi lebih rendah seperti yang disebutkan tadi mungkin akan menarik minat pembuat-pembuat automotif dalam segmen lebih rendah, contohnya EV Perodua yang dijangka bakal dilancarkan hujung tahun hadapan.

    Seperti yang disebut ketika pendedahan model konsep EV Perodua eMO-II awal bulan ini, versi produksi EV Perodua kelak akan menggunakan bateri yang dibekalkan oleh CATL. Perodua masih belum mendedahkan sebarang perincian platform yang digunakan, namun yang pasti ia tidak akan menggunakan teknologi dari Daihatsu atau Toyota seperti lazimnya, kerana kedua-dua jenama itu masih belum ada produk sedemikian.

    Mungkin dengan menggunakan platform skateboard dari CATL yang mampu untuk mengintegrasikan bateri, unit rangkaian kuasa dan lain-lain dalam satu pakej membolehkan Perodua menjual model EV dengan jumlah pengeluaran rendah tetapi masih boleh dijual pada harga bawah RM100k?

     
     
  • Tambahan Smartlane PLUS dari Bukit Tambun-Jawi

    Tambahan Smartlane PLUS dari Bukit Tambun-Jawi

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pembukaan laluan khas Smartlane khas di Lebuhraya PLUS untuk hari ini, 24 Disember 2024. Laluan yang dimaksudkan ialah dari Bukit Tambun (S) ke Jawi di Pulau Pinang, dari KM159.3 hingga KM162.7 arah selatan. Ia dibuka dari 12.30 pm hingga 10 pm malam ini.

    Ini adalah tambahan kepada 25 laluan Smartlane yang diumumkan oleh PLUS sebelum ini bagi tujuan menampung kapasiti pengguna sempena cuti Krismas dan Tahun Baru (dari 20 Disember hingga 2 Januari nanti). PLUS menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada 2.12 juta kenderaan sehari sepanjang musim cuti ini, berbanding 1.85 jua kenderaan pada hari biasa.

    Seperti kebiasaannya Smartlane — yang melibatkan pembukaan lorong kecemasan untuk kenderaan ringan — akan ada papan tanda yang diaktifkan (dengan lampu hijau) dari jarak satu kilometer dan 500 meter sebelum ia bermula sebagai rujukan kepada pengguna. Sepanjang laluan pula akan ada papan tanda peringatan di setiap 500 meter dan satu di hujung untuk memaklumkan penamatan laluan khas tersebut.

    Senarai lengkap Smartlane PLUS ada di sini. Hati-hati memandu, dan rancang perjalanan anda.

     
     
  • Siasat terperinci kemalangan di Ayer Keroh — Loke

    Siasat terperinci kemalangan di Ayer Keroh — Loke

    Kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan berdekatan kawasan R&R Ayer Keroh di Lebuhraya PLUS semalam yang mengakibatkan tujuh nyawa terkorban dan 33 orang cedera kini mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke — beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dalam kadar segera ke atas kejadian berkenaan.

    “Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan 7 nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook.

    “Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat,” tambah beliau.

    “JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” memetik kenyataan tersebut.

     
     
  • Puspakom Johor tukar waktu operasi bermula 1 Januari 2025 – Isnin hingga Jumaat, 8am ke 5.30pm

    Puspakom Johor tukar waktu operasi bermula 1 Januari 2025 – Isnin hingga Jumaat, 8am ke 5.30pm

    Puspakom mengumumkan, semua cawangannya di Johor akan beroperasi Isnin hingga Jumaat, bermula 1 Januari 2025, selari dengan pengumuman kerajaan negeri itu yang menetapkan Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu.

    Bagi lima hari bekerja itu, kemudahan Puspakom akan beroperasi dari 8am ke 5.30 pm, dengan waktu rehat tengahari ditetapkan pada 1pm hingga 2pm bagi hari Isnin hingga Khamis, dan 12.30pm hingga 2.30 pm bagi hari Jumaat.

    Dalam perkembangan lain, Puspakom juga mengumumkan bahawa cawangan mereka di Glenmari sedang melalui naik taraf sistem bermula 26 Disember 2024 dan ia mungkin boleh menyebabkan kelewatan pada tempoh proses pemeriksaan.

     
     
  • Kemalangan dekat R&R Ayer Keroh di PLUS ragut tujuh nyawa — bas langgar tayar trailer tercabut

    Kemalangan dekat R&R Ayer Keroh di PLUS ragut tujuh nyawa — bas langgar tayar trailer tercabut

    Sebuah kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan telah berlaku di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah pada 8.40pm malam tadi. Kejadian berkenaan meragut tujuh nyawa dengan 33 orang lagi cedera — yang berpunca daripada sebuah tayar trailer yang tercabut, lapor NST.

    Kenderaan yang terlibat termasuklah sebuah bas persiaran, dua lori trailer, sebuah MPV dan sebuah kereta, seperti dijelaskan oleh Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ashari Abu Samah. Siasatan awal mendapati yang satu daripada lori trailer yang terlibat itu sedang menuju arah utara, sama seperti bas persiaran, sebelum bas tersebut bertembung dengan sebuah tayar dari lori trailer berkenaan yang tercabut dan berada di tengah lebuhraya.

    “Impak daripada perlanggaran tersebut telah menyebabkan pemandu bas hilang kawalan, dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Bezza. Perlanggaran itu kemudiannya membuatkan kereta terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan. Bas tersebut melanggar pula sebuah lagi trailer dan sebuah MPV yang membawa lapan sekeluarga,” jelas beliau.

    Kejadian itu meragut nyawa pemandu bas, seorang penumpang bas, serta pemandu dan empat penumpang di dalam Toyota Estima yang diistiharkan mati di tempat kejadian di KM204 Lebuhraya PLUS berdekatan R&R Ayer Keroh.

    Jenazah mangsa yang terkorban dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, dan semua kenderaan yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan. “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah Ashari.

     
     
  • Toyota bersiap sedia bina kilang EV sendiri di China

    Toyota bersiap sedia bina kilang EV sendiri di China

    Toyota dikatakan sedang bersiap sedia untuk membina sebuah kilang baru di China untuk mengeluarkan kenderaan elektrik, dengan kemudahannya akan dibina di Shanghai – lapor Nikkei.

    Sumber yang hampir dengan perkara itu memberitahu Nikkei bahawa pengeluar daripada Jepun itu mempunyai perancangan untuk mengeluarkan EV daripada jenama mewah mereka, iaitu Lexus di kilang baru tersebut, yang dikatakan akan mula beroperasi pada tahun 2027 – bergantung kepada sebarang perubahan.

    Toyota sebelum ini sudah mengeluarkan kenderaan di China melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan seperti FAW Group dan Guangzhou Automobile Group, namun menurut laporan, kilang baru ini akan dibina dan dijalankan operasinya secara sendiri.

    Selain daripada itu, pengeluar kenderaan terbesar dunia itu juga dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk pelepasan cukai, pemilikan tanah dan kelulusan untuk memiliki dan mengendali kilang pemasangan kenderaan dalam China tanpa memerlukan rakan kerjasama, seperti yang diberikan kepada Tesla.

    Sama seperti pengeluar Jepun yang lain, Toyota juga berhadapan dengan perkongsian pasaran yang menurun tahun ini disebabkan saingan agresif daripada jenama tempatan seperti BYD. Jualan mereka di pasaran China juga turun 11% pada seperuh tahun pertama 2024, tetapi laporan Reuters menyatakan syarikat itu meletakkan sasaran untuk meningkatkan pengeluaran kepada sekurang-kurangnya 2.5 juta kenderaan setahun di China menjelang 2030.

     
     
  • Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Perodua kini menjalin kerjasama strategik dengan TM bagi menyemarakkan lagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital dan pertumbuhan mapan.

    Dimeterai secara rasmi dalam satu majlis tandatangan antara Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dan CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris. Kerjasama tersebut meliputi empat perkara strategik, iaitu Rangkaian Ketersambungan Rencam, Memajukan Teknologi Digital, Memperkaya Pengalaman Pelanggan dan Kemapanan Alam Sekitar.

    TM melalui cabang perniagaan dan penyelesaian sektor kerajaannya, TM One mensasarkan untuk mempertingkat prasarana Perodua, menyediakan sambungan tanpa wayar dan tetap termasuk penyelesaian SD-WAN bagi rangkaian pengedar, 5G persendirian bagi aplikasi automotif serta teknologi pengilangan pintar untuk memperbaiki pengeluaran.

    Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Semua ini akan mempertingkat keupayaan operasi Perodua, memperhalusi pengurusan data serta menyokong pengembangan pada masa hadapan. TM One juga akan memanfaatkan aspek cloud, sekuriti siber, analitik data dan kemampuan AI untuk menyediakan usaha bagi pengilangan pintar, GPU sebagai Servis, serta teknologi pemanduan EV dan autonomous.

    Selain itu, kedua-dua pihak juga ingin memperluaskan lagi capaian pasaran dan keterampilan jenama melalui produk dan inovasi bersama dan strategi pasaran. Ini termasuklah sistem infotainmen khusus, penyelesaian pemetaan pintar dan pemasaran bersama menggunakan peralatan digital untuk mencapai segmen pelanggan baru.

    Kedua-dua syarikat juga memaklumkan yang mereka komited terhadap kemapanan alam sekitar, dan bekerjasama untuk penyelesaian tenaga bersih bagi prasarana pengecasan EV serta pengurangan sisa untuk selari dengan matlamat alam sekitar Malaysia. Selain itu juga, ia akan turut memupuk budaya inovasi untuk memangkin ketersambungan digital dan tanggungjawab alam sekitar untuk masa depan sektor automotif Malaysia melalui latihan tenaga kerja, R&D dan amalan mapan.

     
     
  • MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

    MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

    Dalam usia menjengah 62 tahun, hero rali negara Karamjit Singh membuktikan dia masih lagi ‘Raja’ dalam laluan ladang kelapa sawit di Malaysia – semalam Karam menambah satu lagi koleksi gelaran juaranya dengan memenangi Rally of Asahan 2024 iaitu pusingan kedua Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) tahun ini!

    Rali ini berlangsung di sekitar Pekan Asahan di daerah Jasin, Melaka. Dengan berlatar belakangkan Bukit Batu Lebah, kesemua SS berlangsung di atas permukaan batu kerikil dan tanah liat di Nyalas Estate dan juga Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh. Tiga SS disediakan di mana kesemuanya berulang sebanyak tiga kali, secara tidak langsung menyediakan laluan sejauh lebih 100 km dengan 9 SS secara keseluruhan.

    Sebanyak 17 kereta yang dilepaskan pada pukul 8.30 pagi di markas dan kawasan servis rali di Kompleks Japerun Asahan. Dan selepas aksi berlangsung sehingga sekitar pukul 3 petang dengan bunyi enjin serta letupan ekzos dari sistem anti-lag bergema di Pekan Asahan, hanya 10 buah kereta sahaja yang ‘terselamat’ dan berjaya menamatkan rali kali ini.

    Karamjit Singh bersama juruarah Vivek Ponnusamy yang memandu Subaru Impreza WRX dari pasukan MRU Motorsport jelas mendominasi rali ini dengan memenangi 7 dari 9 SS tersebut. Beliau dikejar rapat oleh seorang lagi pelumba rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin dengan bantuan juruarah Kamrul Anuar Mohd Razzali, juga menggunakan Subaru Impreza WRX GDB, memenangi SS3 ketika tayar Karam pecah dan juga di SS8 seterusnya menamatkan rali ini sekitar 2 minit di belakang.

    Selain membawa pulang trofi keseluruhan, Karamjit dan Haji Sutan juga masing-masing membawa pulang trofi juara dan tempat kedua untuk kelas M12 (2,000 cc ke atas) dan kelas 4WD. Apa yang mengejutkan tempat ketiga adalah milik pasukan dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari dan juruarah Muhamad Firdaus Musa yang hanya memandu Proton Satria 1.8 liter NA pacuan roda hadapan dalam kelas M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD.

    Juga tampil membuat kejutan adalah Dinie Nazmie bersama juruarah Nazam Shah Sulaiman yang berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan hanya dengan Proton Satria 1.6 liter NA pacuan roda hadapan. Ini membolehkan Dinie turut merangkul juara kelas M10 (sehingga 1,600 cc) dan tempat kedua untuk kategori 2WD.

    Dengan hanya 10-kereta yang berjaya menamatkan cabaran, sudah tentu Rally of Asahan 2024 menyajikan pelbagai drama. Nasib tidak menyebelahi pasukan Saladin Rallying yang mempertaruhkan dua buah kereta dan dijangka bakal memberikan saingan sengit, tetapi kedua-duanya terpaksa bersara awal.

    Jentera prototaip Mini Deus 1.8 liter turbo 4WD yang dipandu teras pasukan tersebut iaitu Saladin Mazlan bersama juruarah Arish Qutb terkandas pada SS1 seterusnya tidak dapat meneruskan langsung rali ini. Manakala Satria Neo yang dikemudi oleh anaknya Ibrahim Saladin bersama juruarah muda Victor Chong juga tidak bernasib baik di mana lengan suspensinya patah pada SS2, kemudian timing belt pada enjin jentera itu pula putus pada SS3.

    Pada SS2 juga menyaksikan Proton Satria 1.6 pasukan Purnama Rally Team yang dipandu oleh Ikhsan Husni patah lengan suspensi belakang kiri, memaksa juruarahnya Teh Yie Sing duduk di bahagian bonet hadapan sebelah kanan bagi memastikan kereta boleh dipandu dan dibawa pulang ke kawasan servis untuk diperbaiki.

    Perkara yang hampir sama berlaku pada Khairul Nizam dari pasukan Sucmuci Motorsport, di mana Proton Iriz 1.6 liter turbo 4WD yang dipandunya patah lengan suspensi belakang sebelah kanan pada SS terakhir iaitu SS9. Bagi memastikan Iriz tersebut boleh terus bergerak ke garisan penamat, juruarahnya Shahrol Zainal terpaksa ‘bertenggek’ pada pintu kiri hadapan. Usaha itu berbaloi apabila Nizam dan Shahrol menduduki tempat ke-6 secara keseluruhan serta kedudukan ke-4 dalam kelas M12 dan 4WD.

    Untuk seorang lagi pelumba pasukan Purnama Rally Team iaitu Hashrul Jamaludin bersama juruarahnya Azrul Fahmi dengan jentera Proton Satria 1.3, selepas bernasib tidak baik dalam dua rali sebelum ini, Rally of Asahan 2024 meninggal kenangan manis apabila dia berjaya menduduki tempat ke-9 secara keseluruhan serta bergelar juara kategori M9 (sehingga 1,300 cc).

    Rally of Asahan 2024 ini juga berjaya menarik penyertaan dari pelumba dari luar negara. Pelumba wanita dari India, Nikeeta Takkale bersama juruarah Musa Sherrif berjaya menamatkan rali ini di tempat ke-10 secara keseluruhan dengan memandu Proton Satria Neo pasukan MRU Motorsports. Manakala Arjianshah Musa dari Indonesia yang sepatutnya beraksi dalam rali ini dengan membuat penampilan pertama jentera Rally2 di Malaysia terpaksa menarik diri kerana Skoda Fabia Evo Rally2 miliknya tidak berjaya sampai ke Asahan atas beberapa masalah.

    Keputusan penuh MIRC Rally of Asahan 2024:
    MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

     
     
  • Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan Op Lancar bermula hari ini (23 Dis 2024) sehingga 2 Januari 2025 ini. Ia adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama di seluruh negara.

    “Rujukan dari pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuhraya serta pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan pada hari ini dan esok (24 Dis 2024) selain cuti persekolahan sehingga penghujung tahun 2024.

    “Semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa memastikan keselamatan dan mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut had kelajuan yang dibenarkan, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, serta mematuhi peratusan isyarat lampu merah,” kata JSPT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Selain itu, JSPT menambah, pengguna jalan raya dinasihati merancang perjalanan sewajarnya dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca dan maklumat aliran trafik sebelum memulakan pergerakan bersama keluarga. Juga, pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan selamat untuk dipandu.

    “Bagi majikan dan pemandu kenderaan perdagangan, digalakkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan persekutuan serta jalan negeri bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya utama di seluruh negara,” tambah JSPT lagi.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya hendaklah kekal berdisiplin dan sentiasa berhemah di jalan raya. Amalkan pemanduan selamat dan sentiasa fokus serta berhati-hati. Moga anda selamat sampai di destinasi yang ditujui dan selamat bercuti.

     
     
  • BYD Malaysia perkukuhkan perkhidmatan selepas jualan – kini miliki 21 pusat servis di seluruh negara

    BYD Malaysia perkukuhkan perkhidmatan selepas jualan – kini miliki 21 pusat servis di seluruh negara

    Adakah anda berhajat untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) buatan BYD? Tetapi tidak begitu pasti mengenai perkhidmatan selepas jualannya? Untuk pengetahuan anda, kini BYD Malaysia telah pun mempunyai 21 pusat servis di seluruh Semenanjung dan Sabah/Sarawak, temasuk 17 daripadanya turut menyediakan perkhidmatan membaikpulih dan mengecat badan (Body & Paint – B&P) kenderaan.

    Kesemua pusat servis BYD dilengkapi dengan peralatan EV khas, dan turut menyediakan ruang lounge yang selesa untuk para pelanggan berehat sementara menanti kenderaan mereka diservis.

    Untuk fasiliti B&P pula, ia menyediakan perkhidmatan pembaikan badan kenderaan sekiranya kenderaan terlibat dengan kemalangan jalan raya. Juruteknik EV bertauliah akan menjadikan kenderaan anda kembali berfungsi dengan baik seperti baharu, menurut BYD Malaysia.

    Dengan pusat pengedaran alat ganti yang diuruskan secara digital, anda tidak akan perlu menunggu lama alat ganti yang ditempah. Berkenaan dengan juruteknik EV, mereka menjalani latihan berterusan, termasuk program meluas, pelbagai peringkat, untuk memastikan pensijilan secara 100%.

    Selain itu, ia bukan hanya pusat selepas jualan bahkan juga merupakan fasiliti pra-jualan iaitu pusat pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) memastikan setiap kenderaan BYD menjalani semakan jaminan kualiti yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan.

    Terletak di Puncak Alam, pusat PDI itu dilengkapi dengan sistem parkir mekanikal tiga peringkat, mengoptimumkan kecekapan ruang sambil menempatkan kenderaan dengan selamat semasa proses pemeriksaan dan penyediaan sebelum penghantaran.

    Semua kenderaan BYD kini diberikan jaminan pengeluaran enam-tahun/150,000 km, lapan-tahun/160,000 km bagi bateri (penggantian bateri sepenuhnya sekiranya state of health bateri menyusut di bawah 70% sepanjang tempoh waranti) dan juga waranti lapan-tahun/150,000 km bagi unit pemanduan.

    Pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan BYD di 1300-38-1888, Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang untuk sebarang pertanyaan dan juga bantuan tepi jalan yang turut ditawarkan 24/7 di seluruh negera.

    BYD turut menawarkan pakej pilihan dalam tiga-, enam- dan lapan-tahun, dengan peringkat Standard dan Plus untuk menampung corak penggunaan tinggi mahu pun rendah. Pakej ini yang disertakan dengan harga perkhidmatan semasa untuk melindungi pelanggan daripada inflasi, boleh dibeli secara berasingan atau dimasukkan ke dalam pinjaman bulanan pembiayaan kereta.

     
     
  • Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

    Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

    Bagi yang akan memandu kenderaan elektrik sempena musim cuti ini, Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) telah menghimpunkan dan berkongsi senarai pengecas DC 50 kW ke atas di sepanjang Lebuhraya PLUS, LATAR, WCE dan ECE untuk memudahkan pengguna melalui laman Facebook mereka.

    Dikemaskini setakat semalam, senarai berkenaan menunjukkan 37 stesen pengecasan pantas berada di PLUS, empat di LATAR dan WCE, serta tujuh lagi di ECE — menjadikan keseluruhannya 104 kemudahan pengecasan pantas. Bagaimanapun, Tesla Supercharger di R&R Skudai PLUS (nombor 37 dalam senarai) ketika ini hanya untuk kegunaan pemandu EV Tesla sahaja (dan akan dibuka kepada umum tahun depan).

    DC Handal mempunyai jumlah pengecas kW paling tinggi dalam senarai ini dengan 400 kW, yang boleh diakses di WCE Taiping Selatan arah selatan dan plaza tol Trong, dengan harga RM1.50 per kWh. Pengendali paling banyak stesen pula ialah Gentari dengan 17 stesen pengecas semuanya, diikuti oleh Shell Recharge dengan 13 lokasi. TNB Electron pula menjadi satu-satunya pengendali yang mengenakan caj mengikut minit dan bukannya kWh.

    Berikut senarai lengkapnya untuk rujukan anda. Selamat merancang perjalanan pada musim cuti ini.

    Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

     
     
  • Nio Firefly diperkenal di China — tempahan dibuka pada harga RM91k, juga akan masuk pasaran Eropah

    Nio Firefly diperkenal di China — tempahan dibuka pada harga RM91k, juga akan masuk pasaran Eropah

    Nio secara rasminya melancarkan jenama baru di bawahnya, iaitu Firefly dan model pertama yang akan menggunakan jenama itu juga diperkenalkan, dengan menggunakan nama sama. Kereta elektrik (EV) ini bukan sahaja akan dijual di China, malah Nio juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkannya di Eropah pada separuh tahun pertama 2025.

    Tempahan awal untuk Firefly sudah pun dibuka di China pada harga bermula 148,800 yuan (RM91k), dengan penghantaran akan bermula pada bulan April tahun depan. Buat masa sekarang, Nio tidak mendedahkan banyak perincian berkaitan penggeraknya tetapi ada laporan yang mengatakan ia akan dilengkapi dengan teknologi tukaran bateri syarikat itu.

    Dalam salah satu video yang dimuat naik atas laman Weibo Firefly, jenama itu meletakkan produk terbaru mereka melawan MINI Cooper Electric dan smart #1 dalam satu litar kecil untuk menunjukkan kehebatan pengendalian Firefly termasuk radius pusingan 4.7 meternya. Nio berkata, ini menjadikan EV tersebut sangat sesuai dengan keadaan jalan Eropah yang sempit.

    Pelbagai ciri bantuan parkir kenderaan tersebut turut ditunjukkan, dan syarikat itu juga berbangga dengan ruang simpanan sebesar 92 liter yang disediakan di hadapan dan 1,250 liter di belakang apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Firefly juga mendapat penarafan lima bintang dalam ujian C-NCAP dan mempunyai struktur badan yang dibina 83.4% daripada besi berkekuatan tinggi. Sebagai hasilnya, ketegaran kilasnya dapat berada pada 35,700 Nm/darjah, yang mana adalah paling tinggi dalam kelasnya menurut Nio. Turut disediakan adalah sembilan beg udara dan pakej ADAS.

     
     
  • Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Mungkin ada yang merasakan Toyota Camry generasi ke-9 dalam varian Hybrid yang dilancarkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 tempoh hari terlampau mahal, jadi ini mungkin yang anda cari – UMW Toyota kini turut menawarkan Camry XV80 ini dalam varian tanpa sistem hibrid dengan harga lebih rendah.

    Toyota Camry 2.5V 2025 ini diumumkan dijual pada harga atas jalan RM221,800, atau RM27,000 lebih murah berbanding Camry Hybrid yang berharga RM248,800. Setiap pembelian dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun, tanpa had perbatuan. UMWT juga menawarkan pilihan warna badan yang sama seperti versi hibrid pada varian 2.5V ini iaitu Emotional Red 2, Platinum White Pearl Mica, Previous Metal, Attitude Black Mica, Cement Grey Metallic dan Dark Blue Mica.

    Varian tanpa hibrid ini menerima enjin Dynamic Force A25A-FKS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 205 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 246 Nm bermula 4,200 hingga 5,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift bagi memacu roda hadapan, membolehkan sedan segmen-D tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Jadi model 2.5V ini sedikit perlahan berbanding Camry Hybrid dengan kuasa keseluruhan 230 PS yang boleh membuat pecutan sama dalam masa 7.2 saat, tetapi hanya mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j. Model tanpa hibrid ini adalah 80 kg lebih ringan iaitu 1,565 kg kerana tidak mempunyai motor elektrik dan juga bateri lithium ion.

    Camry 2.5V mempunyai kapasiti tangki minyak 60 liter yang lebih besar (hanya 50 liter pada varian Hybrid). Namun ini tidak menjadi masalah untuk Camry Hybrid dengan sistem bantuan elektrifikasi berkenaan didakwa mencapai pengunaan bahan api serendah 4 l/100 km dan boleh bergerak sejauh 1,250 km dengan satu tangki, berbanding 6.6 l/100 km pada Camry 2.5V.

    Antara perincian yang dikongsi bersama untuk model 2.5V dan Hybrid adalah termasuk rim aloi 18-inci yang dibalut tayar 235/45R18, lampu hadapan bi-LED dengan lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang LED, lampu belakang LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan head-up, sistem infotainmen dengan skrin 12.3-inci sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto guna wayar, sistem bunyai JBL dengan sembilan-pembesar suara dan juga sistem telemetik kenderaan.

    Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk hadapan larasan elektrik lapan dengan fungsi memori untuk pemandu dan suis bahu pada kerusi penumpang, liang penghawa dingin kabin belakang, upholsteri kulit hitam, roda stereng larasan kuasa, cermin pandang belakang elektrokromik, dashcam hadapan dan belakang serta pad penegecas telefon pintar tanpa wayar.

    Namun model 2.5V yang lebih murah ini tidak diberikan kelengkapan seperti bumbung suria panaromik, antena sirip yu yang diintegrasikan pada cermin belakang, sistem penghawa dingin tiga-zon (hanya dua-zon) dan fungsi rebah kebelakang larasan kuasa pada tempat duduk belakang bersama suis khas.

    Walau bagaimanapun kedua-dua varian ini masih diberikan sistem keselamatan yang sama iaitu tujuh beg-udara, pemantau pandangan panaromik serta sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense 3.0 yang terdiri dari brek kecemasan automatik, cruise control adapatif, amaran keluar lorong, bantuan pengesan lorong, bantuan tanda jalan, lampu tinggi automatik, bantuan keluar selamat dan pemantau titik buta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025