Pemasangan penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130 meter di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 94% dalam tempoh enam bulan sejak Disember lalu.

Menerusi persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin memaklumkan ia akan diperluaskan dari selekoh arah bulatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lebuhraya KLIA di Sepang pada akhir bulan ini.

“Ujian perintis penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130m telah di pasang di Laluan FT15 Jalan Lapangan Terbang Subang, seksyen 0.3 di lokasi pusingan U berdekatan Bulatan Menara Jam. Kerja-kerja pemasangan telah siap dilaksanakan pada 14 Disember 2016. Tempoh percubaan bagi pemasangan ini untuk tempoh 6 hingga 12 bulan,” ujarnya.

Sambungnya lagi, berdasarkan keberkesanan pemasangan penghadang di Subang yang telah siap dilaksanakan pada 14 Dis 2016, kementerian bercadang meluaskan di kawasan baharu pula dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang kerap berlaku kemalangan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (BN-Mukah) yang ingin tahu sejauh mana sistem penghadang jalan keselamatan beroda telah berjaya mengurangkan impak kemalangan jalan raya sejak dilaksanakan, laporan Bernama.

Menjelas lanjut, beliau berkata faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan secara langsung atau tidak langsung adalah disebabkan penghadang jalan keselamatan beroda mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik berbanding penghadang jalan keselamatan konvensional.

Rosnah berkata antara ciri tersebut termasuk mempunyai mekanisme pantulan cahaya yang lebih jelas dilihat khususnya pada waktu malam, kebolehan menyerap tenaga kejutan dan keupayaan menyerap beban hentaman kepada beban putaran yang secara langsung akan mengurangkan impak pelanggaran kepada kenderaan dan pemandu.

Dalam masa yang sama, Kementerian sedang melaksanakan analisis manfaat kepada kos kerana kos permulaan pemasangan penghadang tersebut RM1,500 per meter iaitu enam kali lebih mahal berbanding penghadang jalan konvensional RM250 per meter.