Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Siasat terperinci kemalangan di Ayer Keroh — Loke

    Siasat terperinci kemalangan di Ayer Keroh — Loke

    Kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan berdekatan kawasan R&R Ayer Keroh di Lebuhraya PLUS semalam yang mengakibatkan tujuh nyawa terkorban dan 33 orang cedera kini mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke — beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dalam kadar segera ke atas kejadian berkenaan.

    “Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan 7 nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook.

    “Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat,” tambah beliau.

    “JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” memetik kenyataan tersebut.

     
     
  • Puspakom Johor tukar waktu operasi bermula 1 Januari 2025 – Isnin hingga Jumaat, 8am ke 5.30pm

    Puspakom Johor tukar waktu operasi bermula 1 Januari 2025 – Isnin hingga Jumaat, 8am ke 5.30pm

    Puspakom mengumumkan, semua cawangannya di Johor akan beroperasi Isnin hingga Jumaat, bermula 1 Januari 2025, selari dengan pengumuman kerajaan negeri itu yang menetapkan Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu.

    Bagi lima hari bekerja itu, kemudahan Puspakom akan beroperasi dari 8am ke 5.30 pm, dengan waktu rehat tengahari ditetapkan pada 1pm hingga 2pm bagi hari Isnin hingga Khamis, dan 12.30pm hingga 2.30 pm bagi hari Jumaat.

    Dalam perkembangan lain, Puspakom juga mengumumkan bahawa cawangan mereka di Glenmari sedang melalui naik taraf sistem bermula 26 Disember 2024 dan ia mungkin boleh menyebabkan kelewatan pada tempoh proses pemeriksaan.

     
     
  • Kemalangan dekat R&R Ayer Keroh di PLUS ragut tujuh nyawa — bas langgar tayar trailer tercabut

    Kemalangan dekat R&R Ayer Keroh di PLUS ragut tujuh nyawa — bas langgar tayar trailer tercabut

    Sebuah kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan telah berlaku di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah pada 8.40pm malam tadi. Kejadian berkenaan meragut tujuh nyawa dengan 33 orang lagi cedera — yang berpunca daripada sebuah tayar trailer yang tercabut, lapor NST.

    Kenderaan yang terlibat termasuklah sebuah bas persiaran, dua lori trailer, sebuah MPV dan sebuah kereta, seperti dijelaskan oleh Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ashari Abu Samah. Siasatan awal mendapati yang satu daripada lori trailer yang terlibat itu sedang menuju arah utara, sama seperti bas persiaran, sebelum bas tersebut bertembung dengan sebuah tayar dari lori trailer berkenaan yang tercabut dan berada di tengah lebuhraya.

    “Impak daripada perlanggaran tersebut telah menyebabkan pemandu bas hilang kawalan, dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Bezza. Perlanggaran itu kemudiannya membuatkan kereta terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan. Bas tersebut melanggar pula sebuah lagi trailer dan sebuah MPV yang membawa lapan sekeluarga,” jelas beliau.

    Kejadian itu meragut nyawa pemandu bas, seorang penumpang bas, serta pemandu dan empat penumpang di dalam Toyota Estima yang diistiharkan mati di tempat kejadian di KM204 Lebuhraya PLUS berdekatan R&R Ayer Keroh.

    Jenazah mangsa yang terkorban dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, dan semua kenderaan yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan. “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah Ashari.

     
     
  • Toyota bersiap sedia bina kilang EV sendiri di China

    Toyota bersiap sedia bina kilang EV sendiri di China

    Toyota dikatakan sedang bersiap sedia untuk membina sebuah kilang baru di China untuk mengeluarkan kenderaan elektrik, dengan kemudahannya akan dibina di Shanghai – lapor Nikkei.

    Sumber yang hampir dengan perkara itu memberitahu Nikkei bahawa pengeluar daripada Jepun itu mempunyai perancangan untuk mengeluarkan EV daripada jenama mewah mereka, iaitu Lexus di kilang baru tersebut, yang dikatakan akan mula beroperasi pada tahun 2027 – bergantung kepada sebarang perubahan.

    Toyota sebelum ini sudah mengeluarkan kenderaan di China melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan seperti FAW Group dan Guangzhou Automobile Group, namun menurut laporan, kilang baru ini akan dibina dan dijalankan operasinya secara sendiri.

    Selain daripada itu, pengeluar kenderaan terbesar dunia itu juga dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk pelepasan cukai, pemilikan tanah dan kelulusan untuk memiliki dan mengendali kilang pemasangan kenderaan dalam China tanpa memerlukan rakan kerjasama, seperti yang diberikan kepada Tesla.

    Sama seperti pengeluar Jepun yang lain, Toyota juga berhadapan dengan perkongsian pasaran yang menurun tahun ini disebabkan saingan agresif daripada jenama tempatan seperti BYD. Jualan mereka di pasaran China juga turun 11% pada seperuh tahun pertama 2024, tetapi laporan Reuters menyatakan syarikat itu meletakkan sasaran untuk meningkatkan pengeluaran kepada sekurang-kurangnya 2.5 juta kenderaan setahun di China menjelang 2030.

     
     
  • Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Perodua kini menjalin kerjasama strategik dengan TM bagi menyemarakkan lagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital dan pertumbuhan mapan.

    Dimeterai secara rasmi dalam satu majlis tandatangan antara Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dan CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris. Kerjasama tersebut meliputi empat perkara strategik, iaitu Rangkaian Ketersambungan Rencam, Memajukan Teknologi Digital, Memperkaya Pengalaman Pelanggan dan Kemapanan Alam Sekitar.

    TM melalui cabang perniagaan dan penyelesaian sektor kerajaannya, TM One mensasarkan untuk mempertingkat prasarana Perodua, menyediakan sambungan tanpa wayar dan tetap termasuk penyelesaian SD-WAN bagi rangkaian pengedar, 5G persendirian bagi aplikasi automotif serta teknologi pengilangan pintar untuk memperbaiki pengeluaran.

    Perodua jalin kerjasama strategik dengan TM untuk pembangunan EV, kemaskini prasarana pengilangan

    Semua ini akan mempertingkat keupayaan operasi Perodua, memperhalusi pengurusan data serta menyokong pengembangan pada masa hadapan. TM One juga akan memanfaatkan aspek cloud, sekuriti siber, analitik data dan kemampuan AI untuk menyediakan usaha bagi pengilangan pintar, GPU sebagai Servis, serta teknologi pemanduan EV dan autonomous.

    Selain itu, kedua-dua pihak juga ingin memperluaskan lagi capaian pasaran dan keterampilan jenama melalui produk dan inovasi bersama dan strategi pasaran. Ini termasuklah sistem infotainmen khusus, penyelesaian pemetaan pintar dan pemasaran bersama menggunakan peralatan digital untuk mencapai segmen pelanggan baru.

    Kedua-dua syarikat juga memaklumkan yang mereka komited terhadap kemapanan alam sekitar, dan bekerjasama untuk penyelesaian tenaga bersih bagi prasarana pengecasan EV serta pengurangan sisa untuk selari dengan matlamat alam sekitar Malaysia. Selain itu juga, ia akan turut memupuk budaya inovasi untuk memangkin ketersambungan digital dan tanggungjawab alam sekitar untuk masa depan sektor automotif Malaysia melalui latihan tenaga kerja, R&D dan amalan mapan.

     
     
  • MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

    MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

    Dalam usia menjengah 62 tahun, hero rali negara Karamjit Singh membuktikan dia masih lagi ‘Raja’ dalam laluan ladang kelapa sawit di Malaysia – semalam Karam menambah satu lagi koleksi gelaran juaranya dengan memenangi Rally of Asahan 2024 iaitu pusingan kedua Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) tahun ini!

    Rali ini berlangsung di sekitar Pekan Asahan di daerah Jasin, Melaka. Dengan berlatar belakangkan Bukit Batu Lebah, kesemua SS berlangsung di atas permukaan batu kerikil dan tanah liat di Nyalas Estate dan juga Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh. Tiga SS disediakan di mana kesemuanya berulang sebanyak tiga kali, secara tidak langsung menyediakan laluan sejauh lebih 100 km dengan 9 SS secara keseluruhan.

    Sebanyak 17 kereta yang dilepaskan pada pukul 8.30 pagi di markas dan kawasan servis rali di Kompleks Japerun Asahan. Dan selepas aksi berlangsung sehingga sekitar pukul 3 petang dengan bunyi enjin serta letupan ekzos dari sistem anti-lag bergema di Pekan Asahan, hanya 10 buah kereta sahaja yang ‘terselamat’ dan berjaya menamatkan rali kali ini.

    Karamjit Singh bersama juruarah Vivek Ponnusamy yang memandu Subaru Impreza WRX dari pasukan MRU Motorsport jelas mendominasi rali ini dengan memenangi 7 dari 9 SS tersebut. Beliau dikejar rapat oleh seorang lagi pelumba rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin dengan bantuan juruarah Kamrul Anuar Mohd Razzali, juga menggunakan Subaru Impreza WRX GDB, memenangi SS3 ketika tayar Karam pecah dan juga di SS8 seterusnya menamatkan rali ini sekitar 2 minit di belakang.

    Selain membawa pulang trofi keseluruhan, Karamjit dan Haji Sutan juga masing-masing membawa pulang trofi juara dan tempat kedua untuk kelas M12 (2,000 cc ke atas) dan kelas 4WD. Apa yang mengejutkan tempat ketiga adalah milik pasukan dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari dan juruarah Muhamad Firdaus Musa yang hanya memandu Proton Satria 1.8 liter NA pacuan roda hadapan dalam kelas M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD.

    Juga tampil membuat kejutan adalah Dinie Nazmie bersama juruarah Nazam Shah Sulaiman yang berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan hanya dengan Proton Satria 1.6 liter NA pacuan roda hadapan. Ini membolehkan Dinie turut merangkul juara kelas M10 (sehingga 1,600 cc) dan tempat kedua untuk kategori 2WD.

    Dengan hanya 10-kereta yang berjaya menamatkan cabaran, sudah tentu Rally of Asahan 2024 menyajikan pelbagai drama. Nasib tidak menyebelahi pasukan Saladin Rallying yang mempertaruhkan dua buah kereta dan dijangka bakal memberikan saingan sengit, tetapi kedua-duanya terpaksa bersara awal.

    Jentera prototaip Mini Deus 1.8 liter turbo 4WD yang dipandu teras pasukan tersebut iaitu Saladin Mazlan bersama juruarah Arish Qutb terkandas pada SS1 seterusnya tidak dapat meneruskan langsung rali ini. Manakala Satria Neo yang dikemudi oleh anaknya Ibrahim Saladin bersama juruarah muda Victor Chong juga tidak bernasib baik di mana lengan suspensinya patah pada SS2, kemudian timing belt pada enjin jentera itu pula putus pada SS3.

    Pada SS2 juga menyaksikan Proton Satria 1.6 pasukan Purnama Rally Team yang dipandu oleh Ikhsan Husni patah lengan suspensi belakang kiri, memaksa juruarahnya Teh Yie Sing duduk di bahagian bonet hadapan sebelah kanan bagi memastikan kereta boleh dipandu dan dibawa pulang ke kawasan servis untuk diperbaiki.

    Perkara yang hampir sama berlaku pada Khairul Nizam dari pasukan Sucmuci Motorsport, di mana Proton Iriz 1.6 liter turbo 4WD yang dipandunya patah lengan suspensi belakang sebelah kanan pada SS terakhir iaitu SS9. Bagi memastikan Iriz tersebut boleh terus bergerak ke garisan penamat, juruarahnya Shahrol Zainal terpaksa ‘bertenggek’ pada pintu kiri hadapan. Usaha itu berbaloi apabila Nizam dan Shahrol menduduki tempat ke-6 secara keseluruhan serta kedudukan ke-4 dalam kelas M12 dan 4WD.

    Untuk seorang lagi pelumba pasukan Purnama Rally Team iaitu Hashrul Jamaludin bersama juruarahnya Azrul Fahmi dengan jentera Proton Satria 1.3, selepas bernasib tidak baik dalam dua rali sebelum ini, Rally of Asahan 2024 meninggal kenangan manis apabila dia berjaya menduduki tempat ke-9 secara keseluruhan serta bergelar juara kategori M9 (sehingga 1,300 cc).

    Rally of Asahan 2024 ini juga berjaya menarik penyertaan dari pelumba dari luar negara. Pelumba wanita dari India, Nikeeta Takkale bersama juruarah Musa Sherrif berjaya menamatkan rali ini di tempat ke-10 secara keseluruhan dengan memandu Proton Satria Neo pasukan MRU Motorsports. Manakala Arjianshah Musa dari Indonesia yang sepatutnya beraksi dalam rali ini dengan membuat penampilan pertama jentera Rally2 di Malaysia terpaksa menarik diri kerana Skoda Fabia Evo Rally2 miliknya tidak berjaya sampai ke Asahan atas beberapa masalah.

    Keputusan penuh MIRC Rally of Asahan 2024:
    MIRC Rally of Asahan 2024 – Karamjit Singh masih ‘King’ SS rali ladang kelapa sawit pada usia 62-tahun!

     
     
  • Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan Op Lancar bermula hari ini (23 Dis 2024) sehingga 2 Januari 2025 ini. Ia adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama di seluruh negara.

    “Rujukan dari pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuhraya serta pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan pada hari ini dan esok (24 Dis 2024) selain cuti persekolahan sehingga penghujung tahun 2024.

    “Semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa memastikan keselamatan dan mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut had kelajuan yang dibenarkan, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, serta mematuhi peratusan isyarat lampu merah,” kata JSPT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Polis laksana Op Lancar hingga 2 Jan 2025 – saran kenderaan perdagangan guna jalan persekutuan

    Selain itu, JSPT menambah, pengguna jalan raya dinasihati merancang perjalanan sewajarnya dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca dan maklumat aliran trafik sebelum memulakan pergerakan bersama keluarga. Juga, pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan selamat untuk dipandu.

    “Bagi majikan dan pemandu kenderaan perdagangan, digalakkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan persekutuan serta jalan negeri bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya utama di seluruh negara,” tambah JSPT lagi.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya hendaklah kekal berdisiplin dan sentiasa berhemah di jalan raya. Amalkan pemanduan selamat dan sentiasa fokus serta berhati-hati. Moga anda selamat sampai di destinasi yang ditujui dan selamat bercuti.

     
     
  • BYD Malaysia perkukuhkan perkhidmatan selepas jualan – kini miliki 21 pusat servis di seluruh negara

    BYD Malaysia perkukuhkan perkhidmatan selepas jualan – kini miliki 21 pusat servis di seluruh negara

    Adakah anda berhajat untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) buatan BYD? Tetapi tidak begitu pasti mengenai perkhidmatan selepas jualannya? Untuk pengetahuan anda, kini BYD Malaysia telah pun mempunyai 21 pusat servis di seluruh Semenanjung dan Sabah/Sarawak, temasuk 17 daripadanya turut menyediakan perkhidmatan membaikpulih dan mengecat badan (Body & Paint – B&P) kenderaan.

    Kesemua pusat servis BYD dilengkapi dengan peralatan EV khas, dan turut menyediakan ruang lounge yang selesa untuk para pelanggan berehat sementara menanti kenderaan mereka diservis.

    Untuk fasiliti B&P pula, ia menyediakan perkhidmatan pembaikan badan kenderaan sekiranya kenderaan terlibat dengan kemalangan jalan raya. Juruteknik EV bertauliah akan menjadikan kenderaan anda kembali berfungsi dengan baik seperti baharu, menurut BYD Malaysia.

    Dengan pusat pengedaran alat ganti yang diuruskan secara digital, anda tidak akan perlu menunggu lama alat ganti yang ditempah. Berkenaan dengan juruteknik EV, mereka menjalani latihan berterusan, termasuk program meluas, pelbagai peringkat, untuk memastikan pensijilan secara 100%.

    Selain itu, ia bukan hanya pusat selepas jualan bahkan juga merupakan fasiliti pra-jualan iaitu pusat pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) memastikan setiap kenderaan BYD menjalani semakan jaminan kualiti yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan.

    Terletak di Puncak Alam, pusat PDI itu dilengkapi dengan sistem parkir mekanikal tiga peringkat, mengoptimumkan kecekapan ruang sambil menempatkan kenderaan dengan selamat semasa proses pemeriksaan dan penyediaan sebelum penghantaran.

    Semua kenderaan BYD kini diberikan jaminan pengeluaran enam-tahun/150,000 km, lapan-tahun/160,000 km bagi bateri (penggantian bateri sepenuhnya sekiranya state of health bateri menyusut di bawah 70% sepanjang tempoh waranti) dan juga waranti lapan-tahun/150,000 km bagi unit pemanduan.

    Pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan BYD di 1300-38-1888, Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang untuk sebarang pertanyaan dan juga bantuan tepi jalan yang turut ditawarkan 24/7 di seluruh negera.

    BYD turut menawarkan pakej pilihan dalam tiga-, enam- dan lapan-tahun, dengan peringkat Standard dan Plus untuk menampung corak penggunaan tinggi mahu pun rendah. Pakej ini yang disertakan dengan harga perkhidmatan semasa untuk melindungi pelanggan daripada inflasi, boleh dibeli secara berasingan atau dimasukkan ke dalam pinjaman bulanan pembiayaan kereta.

     
     
  • Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

    Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

    Bagi yang akan memandu kenderaan elektrik sempena musim cuti ini, Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) telah menghimpunkan dan berkongsi senarai pengecas DC 50 kW ke atas di sepanjang Lebuhraya PLUS, LATAR, WCE dan ECE untuk memudahkan pengguna melalui laman Facebook mereka.

    Dikemaskini setakat semalam, senarai berkenaan menunjukkan 37 stesen pengecasan pantas berada di PLUS, empat di LATAR dan WCE, serta tujuh lagi di ECE — menjadikan keseluruhannya 104 kemudahan pengecasan pantas. Bagaimanapun, Tesla Supercharger di R&R Skudai PLUS (nombor 37 dalam senarai) ketika ini hanya untuk kegunaan pemandu EV Tesla sahaja (dan akan dibuka kepada umum tahun depan).

    DC Handal mempunyai jumlah pengecas kW paling tinggi dalam senarai ini dengan 400 kW, yang boleh diakses di WCE Taiping Selatan arah selatan dan plaza tol Trong, dengan harga RM1.50 per kWh. Pengendali paling banyak stesen pula ialah Gentari dengan 17 stesen pengecas semuanya, diikuti oleh Shell Recharge dengan 13 lokasi. TNB Electron pula menjadi satu-satunya pengendali yang mengenakan caj mengikut minit dan bukannya kWh.

    Berikut senarai lengkapnya untuk rujukan anda. Selamat merancang perjalanan pada musim cuti ini.

    Senarai pengecas DC di lebuhraya utama di Malaysia

     
     
  • Nio Firefly diperkenal di China — tempahan dibuka pada harga RM91k, juga akan masuk pasaran Eropah

    Nio Firefly diperkenal di China — tempahan dibuka pada harga RM91k, juga akan masuk pasaran Eropah

    Nio secara rasminya melancarkan jenama baru di bawahnya, iaitu Firefly dan model pertama yang akan menggunakan jenama itu juga diperkenalkan, dengan menggunakan nama sama. Kereta elektrik (EV) ini bukan sahaja akan dijual di China, malah Nio juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkannya di Eropah pada separuh tahun pertama 2025.

    Tempahan awal untuk Firefly sudah pun dibuka di China pada harga bermula 148,800 yuan (RM91k), dengan penghantaran akan bermula pada bulan April tahun depan. Buat masa sekarang, Nio tidak mendedahkan banyak perincian berkaitan penggeraknya tetapi ada laporan yang mengatakan ia akan dilengkapi dengan teknologi tukaran bateri syarikat itu.

    Dalam salah satu video yang dimuat naik atas laman Weibo Firefly, jenama itu meletakkan produk terbaru mereka melawan MINI Cooper Electric dan smart #1 dalam satu litar kecil untuk menunjukkan kehebatan pengendalian Firefly termasuk radius pusingan 4.7 meternya. Nio berkata, ini menjadikan EV tersebut sangat sesuai dengan keadaan jalan Eropah yang sempit.

    Pelbagai ciri bantuan parkir kenderaan tersebut turut ditunjukkan, dan syarikat itu juga berbangga dengan ruang simpanan sebesar 92 liter yang disediakan di hadapan dan 1,250 liter di belakang apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Firefly juga mendapat penarafan lima bintang dalam ujian C-NCAP dan mempunyai struktur badan yang dibina 83.4% daripada besi berkekuatan tinggi. Sebagai hasilnya, ketegaran kilasnya dapat berada pada 35,700 Nm/darjah, yang mana adalah paling tinggi dalam kelasnya menurut Nio. Turut disediakan adalah sembilan beg udara dan pakej ADAS.

     
     
  • Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Mungkin ada yang merasakan Toyota Camry generasi ke-9 dalam varian Hybrid yang dilancarkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 tempoh hari terlampau mahal, jadi ini mungkin yang anda cari – UMW Toyota kini turut menawarkan Camry XV80 ini dalam varian tanpa sistem hibrid dengan harga lebih rendah.

    Toyota Camry 2.5V 2025 ini diumumkan dijual pada harga atas jalan RM221,800, atau RM27,000 lebih murah berbanding Camry Hybrid yang berharga RM248,800. Setiap pembelian dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun, tanpa had perbatuan. UMWT juga menawarkan pilihan warna badan yang sama seperti versi hibrid pada varian 2.5V ini iaitu Emotional Red 2, Platinum White Pearl Mica, Previous Metal, Attitude Black Mica, Cement Grey Metallic dan Dark Blue Mica.

    Varian tanpa hibrid ini menerima enjin Dynamic Force A25A-FKS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 205 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 246 Nm bermula 4,200 hingga 5,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift bagi memacu roda hadapan, membolehkan sedan segmen-D tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Toyota Camry 2.5V 2025 kini di Malaysia – RM221,000, tanpa hibrid, 2.5L NA 204 PS/246 Nm, sistem bunyi JBL

    Jadi model 2.5V ini sedikit perlahan berbanding Camry Hybrid dengan kuasa keseluruhan 230 PS yang boleh membuat pecutan sama dalam masa 7.2 saat, tetapi hanya mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j. Model tanpa hibrid ini adalah 80 kg lebih ringan iaitu 1,565 kg kerana tidak mempunyai motor elektrik dan juga bateri lithium ion.

    Camry 2.5V mempunyai kapasiti tangki minyak 60 liter yang lebih besar (hanya 50 liter pada varian Hybrid). Namun ini tidak menjadi masalah untuk Camry Hybrid dengan sistem bantuan elektrifikasi berkenaan didakwa mencapai pengunaan bahan api serendah 4 l/100 km dan boleh bergerak sejauh 1,250 km dengan satu tangki, berbanding 6.6 l/100 km pada Camry 2.5V.

    Antara perincian yang dikongsi bersama untuk model 2.5V dan Hybrid adalah termasuk rim aloi 18-inci yang dibalut tayar 235/45R18, lampu hadapan bi-LED dengan lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang LED, lampu belakang LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan head-up, sistem infotainmen dengan skrin 12.3-inci sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto guna wayar, sistem bunyai JBL dengan sembilan-pembesar suara dan juga sistem telemetik kenderaan.

    Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk hadapan larasan elektrik lapan dengan fungsi memori untuk pemandu dan suis bahu pada kerusi penumpang, liang penghawa dingin kabin belakang, upholsteri kulit hitam, roda stereng larasan kuasa, cermin pandang belakang elektrokromik, dashcam hadapan dan belakang serta pad penegecas telefon pintar tanpa wayar.

    Namun model 2.5V yang lebih murah ini tidak diberikan kelengkapan seperti bumbung suria panaromik, antena sirip yu yang diintegrasikan pada cermin belakang, sistem penghawa dingin tiga-zon (hanya dua-zon) dan fungsi rebah kebelakang larasan kuasa pada tempat duduk belakang bersama suis khas.

    Walau bagaimanapun kedua-dua varian ini masih diberikan sistem keselamatan yang sama iaitu tujuh beg-udara, pemantau pandangan panaromik serta sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense 3.0 yang terdiri dari brek kecemasan automatik, cruise control adapatif, amaran keluar lorong, bantuan pengesan lorong, bantuan tanda jalan, lampu tinggi automatik, bantuan keluar selamat dan pemantau titik buta.

     
     
  • Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    Bilik pameran Proton eMas pertama telah pun dibuka secara rasmi bagi mempamerkan dan memudahkan penjualan kenderaan elektrik pertama Proton ini. Dikendalikan oleh SG Car di bawah kumpulan Setia Gemilang, bilik pameran pertama Proton eMas ini terletak di Ideal Convention Centre (IDCC) di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, dan ia adalah sebahagian daripada pusat yang menawarkan servis kenderaan dan alat ganti.

    Waktu operasi bagi bilik pameran dan jabatan selepas jualan ialah dari jam 8 pagi hingga 7 malam untuk Isnin hingga Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad serta cuti umum. Manakala pusat servis pula beroperasi enam hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, dengan waktu rehat dari 1 tengahari hingga 2 petang, serta tutup pada Ahad dan cuti umum.

    Bilik pameran ini mampu mempamerkan sehingga 14 kenderaan bagi kedua-dua jenis enjin pembakaran dalaman dan elektrik sepenuhnya, dan turut menyediakan ruang lounge yang mampu menampung sehingga 30 tetamu. Manakala untuk pusat servis pula menempatkan 13 petak penyelenggaran.

    Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    “Dengan adanya kemudahan baharu ini, kami yakin bilik pameran ini akan memenuhi keperluan masyarakat di samping menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor automotif. Saya amat berharap agar cawangan baharu ini bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan kami tetapi juga memberi inspirasi kepada penghargaan yang lebih besar untuk masa depan teknologi automotif yang mampan,” kata pemilik peniaga SG Cars Datuk Andrew Quek.

    Pengedaran Proton eMas dikendalikan oleh bahagian EV syarikat, Pro-Net, yang telah melantik 37 pengedar di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 30 cawangan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Bagi 3,000 pelanggan pertama Proton eMas 7, SUV elektrik itu ditawarkan pada harga RM105,800 untuk Prime dan RM119,800 untuk Premium, iaitu diskaun sebanyak RM4,000 daripada harga biasa masing-masing RM109,800 dan RM123,800.

    Waranti kenderaan adalah selama enam tahun, perbatuan tanpa had, manakala bateri dan bahagian EV dilindungi oleh waranti lapan tahun/160,000 km yang berasingan. Bagi memberikan ketenangan minda buat pelanggannya yang mungkin bimbang dengan jangka hayat bateri kenderaan, Proton akan menawarkan penggantian bateri penuh jika state of health unit asalnya jatuh di bawah 70% dalam tempoh lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL telah mengumumkan akan melaksanakan inisiatif koc wanita bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bermula 31 Disember 2024. Di mana Laluan Ampang/Sri Petaling ini akan menjadi laluan ketiga di bawah kendalian Rapid Rail yang memperkenalkan kemudahan ini, selepas pelaksanaan projek perintis bagi MRT Laluan Kajang pada 18 September 2023 dan MRT Laluan Putrajaya pada 8 April 2024.

    “Inisiatif ini diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang wanita, yang merupakan kira-kira 60% daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan rel Rapid KL. Dengan adanya koc wanita, diharapkan penumpang wanita dapat menikmati perjalanan yang lebih tenang tanpa rasa bimbang tentang keselamatan mereka,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, sejak pelaksanaan koc wanita di Laluan Kajang, bilangan kes gangguan tidak diingini telah menunjukkan penurunan sebanyak 22% sehingga November baru-baru ini. Laluan Putrajaya juga menyaksikan penurunan kes dengan ketara sebanyak 50% sejak pelaksanaan koc wanita ini April lalu.

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    Bagi memudahkan pengguna mengenalpasti koc wanita, sebanyak 36 stesen dan 45 tren di Laluan Ampang/Sri Petaling telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu. Koc wanita di laluan ini terletak di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat.

    Koc wanita ini boleh digunakan oleh penumpang wanita dari pelbagai peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditemani penjaga wanita. Manakala bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana gerabak tren.

    “Pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh polis bantuan di dalam tren dan di stesen, bagi memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi oleh semua pengguna Rapid KL.

    “Rapid Rail menyeru kepada semua pengguna untuk terus menyokong inisiatif ini dan memohon agar pengguna wanita memanfaatkan sepenuhnya koc wanita terlebih dahulu, bagi memberi ruang kepada pengguna lain menggunakan koc biasa,” kata syarikat ini lagi.

     
     
  • Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan kerajaan telah memuktamadkan pemberian kadar tol secara percuma kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja bermula jam 12.01 tengahmalam pada 23 hingga jam 11.59 malam pada 24 Disember 2024 sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut Rabu ini. Di mana pemberian kadar tol percuma ini akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

    “Kerajaan Madani telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras aspirasi “MADANI di hati, Rakyat Disantuni” sempena Perayaan Hari Krismas 2024. Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38juta.

    “Pengecualian tol bermula pada jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa). Pengecualian tol ini diharap dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia Madani yang berbilang kaum, budaya, kaum dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” kata KKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Pastinya peluang keemasan ini akan dimanfaatkan oleh orang ramai yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman atau mana-mana destinasi percutian ketika musim perayaan ini dan juga cuti hujung tahun. Walau bagaimana pun, anda disarankan supaya mengikut cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuhraya bagi mengurangkan risiko tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    “Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smartlane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smartlane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan, dan peka dengan keadaan sekeliling.

    “Penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya berhati-hati terutamanya semasa trafik tinggi di lebuhraya. Pastikan berhenti di tempat teduhan yang telah disediakan di lokasi terpilih di sepanjang lebuhraya dan sentiasa peka dan berwaspada apabila menghampiri lorong Smartlane yang diaktifkan,”kata KKR lagi.

    Dalam masa yang sama, anda juga dinasihati memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi walau pun melalui lebuhraya dalam tempoh pemberian tol percuma ini. Jangan lupa dapatkan rehat secukupnya dan pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang selamat untuk dipandu. Sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Honda Civic facelift 2025 bakal jadi pengenalan model baru pertama Honda Malaysia di sini, dan dijangka akan dilancarkan pada Januari nanti. Perkara ini dikongsikan oleh syarikat itu ketika mula mengambil tempahan untuk Civic 2025 minggu lalu.

    Civic FE versi diperkemas ini sebetulnya dilancarkan tahun ini, namun sedikit kelewatan dijangkakan — tidak terlalu lambat, kerana ia baru empat bulan diperkenalkan di pasaran jiran, Thailand. Jadi, apa yang boleh kita jangkakan daripada model facelift terbaru bagi Civic generasi ke-11 ini? Untuk rekod, model ini sudah terjual lebih daripada 28,000 unit sejak diperkenalkan pada Januari 2022.

    Belum ada perincian tentang varian yang akan ditawarkan, tetapi boleh dijangka Civic akan menerima varian yang sama seperti sebelum ini. Ada empat varian Civic ketika ini: tiga petrol (1.5L E, 1.5L V, 1.5L RS) dan satu hibrid (e:HEV 2.0L RS) yang menjadi penawaran model paling lengkap.

    Empat varian tersebut dijangka akan dikekalkan untuk versi facelift terbaru ini nanti. Ada yang mengatakan varian paling asas E akan digugurkan; ini mungkin tidak akan berlaku kerana ia penting bagi jualan fleet (misalnya untuk kegunaan PDRM).

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Kemudian, tentulah ada perubahan dari segi rekaan luaran, dimulai dengan rekaan bamparnya. Perubahan yang dilakukan menampakkan bahagian bawahnya yang lebih ketara dengan gril yang lebih tebal — gril baru juga dengan rekaan honeycomb mesh hexagon bagi kedua-dua bahagian bawah dan utamanya.

    Varian e:HEV pula akan menampilkan rim 18-inci kelabu kesat rekaan baru. Untuk varian petrol masih belum diketahui akan menerapkan perubahan yang sama atau sebaliknya.

    Seperti yang ditunjukkan di Thailand, sistem janaan kuasa akan dikekalkan dan tiada sebarang perubahan mekanikal. Bagi versi petrol, enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silindernya menawarkan janaan 182 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan CVT.

    Varian e:HEV pula kekal dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama. ini menggabungkan janaan 134 PS dan 189 Nm dari enjin 2.0 liter NA kitaran Atkinson empat-silinder — yang bertindak sebagai generator — serta sebuah motor elektrik yang memberikan 184 PS (181 hp, atau 135 kW) dan 315 Nm dari 0-2,000 rpm, dengan kuasa yang disalurkan ke roda depan melalui CVT.

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Kelengkapan bagi model facelift ini nanti juga tidak akan banyak berubah. Sama sahaja dengan ciri seperti pendingin zon tunggal untuk varian petrol dan dua-zon untuk model hibrid, serta kerusi balutan fabrik untuk varian paling asas dan balutan kulit untuk varian V ke atas. Tidak ketinggalan fungsi Honda Connect, yang juga ditawarkan ketika ini untuk varian V ke atas.

    Jadi, apa perubahannya? Di Thailand, head unit skrin sentuh sembilan-inci kini lengkapi dengan sambungan Android Auto tanpa wayar yang sebelum ini hanya ada untuk Apple CarPlay. Ciri ini dijangka akan turut ditawarkan di sini untuk model yang dilengkapi dengan Advanced Display Audio HU. Varian E ketika ini hanya menampilkan unit Display Audio tujuh-inci.

    Pelanggan juga boleh menjangkakan ciri binaan dalaman Google bagi varian paling tinggi, walaupun masih belum boleh dipastikan sama ada varian e:HEV RS di Malaysia akan turut menerima tetapan Bose Premium Audio dengan 12-pembesar suara seperti di Thailand. Jika ada, ia akan menggantikan sistem dengan lapan-pembesar suara model semasa ketika ini.

    Sama seperti model semasa, semua varian Civic facelift itu nanti akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Honda Sensing, yang antaranya terdiri daripada fungsi seperti AEB, bantuan mengekalkan lorong, penghindar keluar lorong dengan amaran, kawalan melayar adaptif dengan low-speed follow dan amaran pergerakan kereta depan. Ciri kamera LaneWatch juga dikekalkan, untuk varian V ke atas.

    Untuk harga, boleh dijangkakan hanya akan ada sedikit perubahan berbanding harga Civic semasa. Di Thailand bahkan harga sedikit menurun berbanding pengenalan pertamanya pada Ogos 2021 dahulu.

    Harga terakhir Civic di Malaysia pula adalah seperti berikut: 1.5E (RM131,900), 1.5L V (RM144,900) dan 1.5L RS petrol (RM151,900). Varian e:HEV pula dikenakan harga RM166,500, yang kemudiannya naik menjadi RM167,900.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025