Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    Sempena dengan perayaan Krismas dan cuti hujung tahun ini, PLUS Malaysia Berhad telah mengaktifkan laluan Smartlane di 25 lokasi tumpuan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini, 20 Disember 2024 sehingga 2 Januari 2025.

    “PLUS bersiap sedia menghadapi peningkatan trafik sehingga 2.12 juta kenderaan sehari sempena musim perayaan Krismas dan cuti hujung tahun dari 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025, berbanding 1.85 juta pada hari biasa. Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan perjalanan di lebuh raya lebih selamat, lancar, dan selesa bagi para pengguna.

    “Bagi menampung peningkatan trafik, PLUS juga akan mengaktifkan penggunaan laluan Smart Lane di 25 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS sepanjang tempoh sama. Langkah ini bertujuan membantu melancarkan pergerakan trafik sepanjang lebuh raya terutamanya pada waktu puncak,” kata PLUS.

    Klik untuk besarkan

    Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.​

    Anda boleh rujuk jadual di atas untuk mengetahui lokasi yang lebih tepat, jarak laluan Smartlane dibuka dan juga tempoh masa yang ditetapkan.

    Seperti amalan yang dimulakan sejak Mac lalu, PLUS bertindak melakukan beberapa peningkatan bagi laluan Smartlane ini seperti tambahan papan tanda.

    PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    Satu kilometer sebelum SmartLane ini dibuka diletakkan satu papan tanda, diikuti satu lagi dalam 500 meter sebelumnya, satu papan tanda peringatan setiap 500 meter dan papan tanda tamat. Kemudiannya, PLUS juga meletakkan lampu hijau berkelip pada papan tanda laluan SmartLane ini sebagai tanda ia boleh digunakan.

    Sebagai persediaan berhadapan dengan peningkatan jumlah trafik yang tinggi sempena perayaan Krismas dan cuti hujung tahun ini, PLUS juga telah membuat persiapan rapi. Antaranya termasuklah menempatkan kira-kira 1,500 kakitangan untuk bantu operasi di plaza tol, lebih 1,000 lorong tol beroperasi, lebih 500 jumlah keseluruhan anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda, serta membuka semua kemudahan tandas awam, surau dan stesen minyak di R&R yang dibuka 24 jam.

    Untuk mengetahui jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pengguna boleh menyemaknya menerusi aplikasi PLUS. Ia bagi memudahkan lagi anda merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman mahu pun ke destinasi pilihan.

     
     
  • Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Pada 2019, kementerian kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan telahpun menyediakan ​Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019​​​​, yang telah digazetkan pada hari terakhir tahun tersebut. Peraturan ini sepatutnya telahpun mula digunakan pada 2020, tetapi dengan beberapa penangguhan, ia akan bermula awal tahun depan dan dijangka akan menyebabkan harga kereta-kereta yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia akan naik. Mengapa?

    Peraturan-peraturan ini akan menetapkan cara baharu untuk mengira Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan-kenderaan CKD. Sebarang peningkatan pada OMV ini akan meningkatkan jumlah cukai dan seterusnya, harga jualan kenderaan tersebut.

    OMV boleh didefinasikan sebagai harga pasaran muktamad kenderaan CKD tersebut selepas keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan sebarang duti eksais ke atasnya. Jadi secara asasnya ia terdiri dari kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta kos pemasangan dan pantadbiran. Ia tidak sama dengan sistem yang digunakan untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) di mana untuk jenis ini harga tersebut adalah berdasarkan Kos, Insuran dan Pengankutan (CIF) yang akan dikenakan duti import dan eksais.

    Berbalik pada CKD dan OMV – peraturan-peraturan baharu ini menetapkan bahawa dalam mengira OMV, ia bukan hanya perlu mengambilkira keuntungan dan perbelanjaan am yang ditanggung atau diambil kira dalam pembuatan kenderaan, tetapi juga penjualannya.

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Klausa “jualan” inilah yang menggusarkan pemain industri, kerana ia melibatkan bidang seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, karya seni, kerja reka bentuk, pelan dan lakaran, pembayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagangan, hak cipta). Ia boleh dianggap sebagai ‘kos kilang’ ditambah dengan ‘kos pejabat’.

    Seperti yang disebut tadi, peraturan baharu ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun 22 hari selepas sambutan tahun baharu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa kementerian kewangan telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga 2021, dan menambah bahawa peraturan baharu itu akan menyebabkan harga kereta CKD naik sebanyak 20%.

    Menjelang akhir 2021 ia ditangguhkan lagi, dan MAA terus sekali lagi membuat rayuan kepada kerajaan pada 2022 – kali ini ia berjaya ditangguhkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2024. Jadi masih ada berbaki 12 hari dari sekarang, dan jika tiada pengumuman rasmi untuk satu lagi penangguhan dibuat, setiap syarikat yang memasang kereta di Malaysia mesti mematuhi peraturan baharu berkenaan, mengikut undang-undang.

    Selain dari perancangan, ramalan dan operasi yang sukar bakal dialami oleh pembuat kereta kerana ketidakpastian ini, kita sebagai pengguna biasa juga mungkin perlu membayar lebih untuk petrol RON 95 mulai pertengahan tahun depan kerana penyasaran subsidi, kenaikan-kenaikan harga yang terhasil daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan, serta perlu membayar harga sehingga 20% lebih mahal untuk kereta CKD. Ini antara faktor yang diambil kira oleh penganalisis yang meramalkan jualan kereta dalam negara akan lebih rendah pada tahun hadapan berbanding tahun ini.

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Walau bagaimanapun banyak yang boleh terjadi dalam masa 12 hari ini, seperti penangguhan kedua yang diumumkan dua hari sebelum tahun baru. Namun sekiranya ia tidak ditangguhkan, harga untuk kereta-kereta CKD tentunya boleh naik sehingga 20%.

    Kami juga terfikir – sekiranya harga untuk kereta-kereta CKD naik, mungkin ini akan menyebabkan pengeluar tawar hati untuk meneruskan operasi pemasangan mereka di sini, dan lebih baik mengimport terus unit-unit CBU kerana harganya akan lebih kurang sama. Sekiranya perkara itu terjadi, kerajaan juga mungkin akan kehilangan pelaburan jangka masa panjang dalam negara, dan yang paling penting ia mungkin akan mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    Tetapi sekiranya ia sekali lagi ditangguhkan, apa agaknya yang bakal kerajaan buat dalam jangka masa pendek untuk menambah hasil kutipan cukai? Sama-sama kita lihat perkembangan isu ini.

     
     
  • Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Tidak lama selepas Proton eMas 7 dilancarkan secara rasmi di Malaysia, Geely kini mula membuka pendaftaran minat untuk kembar SUV elektrik ini, iaitu Geely EX5 di Australia. Menurut laman Drive, ia akan mula dijual pada separuh pertama tahun hadapan.

    Australia menjadi negara seterusnya yang menerima SUV elektrik jenama Geely ini dalam versi pemanduan sebelah kanan, selepas Thailand November lalu. Sebagai rujukan, EX5 dijual pada harga bermula 859,000 baht (RM111,100) untuk varian Pro di Australia, sementara Proton eMas 7 bermula RM109,800 di Malaysia.

    Melihat kepada spesifikasi model Australia, EX5 ini datang dengan motor elektrik hadapan berkuasa 160 kW (218 PS), iaitu sama seperti yang ditawarkan pada Proton eMas 7, dengan jumlah tork pula 320 Nm. Bagi model yang menggunakan jenama Proton itu, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, manakala laju maksimum pula adalah 175 km/j.

    Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Dalam laman web Geely Australia tertulis bahawa EX5 ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 430 km mengikut standard ujian WLTP, sementara model Thailand pula boleh memberikan jarak gerak 495 km mengikut standard NEDC, dan Galaxy EX5 di China mampu mencapai 530 km dengan cas penuh mengikut standard CLTC.

    Di Malaysia pula, model pasaran Malaysia yang menggunakan bateri paling besar, iaitu berkapasiti 60.22 kWh dikatakan mampu memberi jarak gerak sehingga 410 km mengikut standard WLTP, sementara varian Prime pula memberikan jarak gerak 345 km (WLTP) atau 410 km mengikut NEDC.

    Daripada maklumat yang kami peroleh, Geely EX5 pasaran Australia boleh didapati dengan rim 18 inci bagi semua varian dan pakej bateri (dalam gambar menunjukkan model yang datang dengan rim 19 inci sama seperti eMas 7 Premium), yang membawa makna padanan rim lebih kecil berserta dengan kapasiti bateri lebih besar menjadi penyumbang kepada jarak geraknya yang sedikit lebih jauh ini (430 km, WLTP).

    Bateri EX5 pasaran Australia juga dikatakan boleh dicas 30-80% dalam masa 20 minit, iaitu sama dengan eMas 7 Premium menggunakan sumber DC 100 kW, dan DC 80 kW untuk eMas 7 Prime. Kadar pengecasan AC untuk EX5 pasaran Australia ini masih belum diberitahu, tetapi sebagai rujukan, kedua-dua varian eMas 7 boleh menerima sumber AC sehingga 11 kW, yang akan mengambil masa 4.9 jam untuk penuh bagi Prime dan 4.1 jam bagi Premium.

    Di negara kita, Proton eMas 7 mendapat senarai kelengkapan yang termasuk pad pengecas tanpa wayar, 16 pembesar suara Flyme Sound Wanos termasuk dalam perheat kepala serta kapasiti ruang barangan belakang 461 liter dan 51 liter di bawah lantai, menjadikan kapasiti keseluruhannya 1,877 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Sistem bantuan ADAS Level 2 disediakan pada kedua-dua varian SUV elektrik ini, termasuk Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Cross Traffic Braking. Dalam ujian penilaian ASEAN NCAP, ini berjaya memberikan ia 92.57 mata.

    Di Malaysia, pesaing terdekat eMas 7 adalah BYD Atto 3 Extended Range, yang datang dengan motor pacuan hadapan tunggal 204 PS/310 Nm, mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Model BYD dilengkapi bateri 60.48 kWh, dan dikatakan mampu memberi jarak gerak sehingga 420 km mengikut standard WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • Mazda Spirit Racing MX-5 akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; terima tingkat taraf prestasi, penggayaan

    Mazda Spirit Racing MX-5 akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; terima tingkat taraf prestasi, penggayaan

    Mazda bakal memperkenalkan model talaan istimewa untuk roadster MX-5 menerusi sayap prestasi baharunya iaitu Mazda Spirit Racing ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) 2025 pada bulan hadapan. Buat masa sekarang nama rasmi bagi model istimewa tersebut masih belum diumumkan, namun berdasarkan foto yang telah disiarkan, model tersebut nampaknya tampil dengan penggayaan sama seperti model konsep MX-5 Spirit Racing RS ketika jenama itu dilancarkan di TAS 2024 pada Januari lalu.

    Dari segi rupa, versi produksi ini sememangnya menerima perincian yang hampir sama seperti model konsep yang diispirasikan dari kereta lumba siri Super Taikyu Endurance berkenaan. Ia menerima kit aero yang terdiri dari splitter udara hadapan, skirt sisi, pelekat jalur badan pada penutup bonet hadapan, rim aloi enam-jejari, tulisan ‘Mazda Spirit Racing’ pada fender hadapan, serta serlahan-serlahan merah pada bampar hadapan, cermin sisi dan juga pada angkup brek.

    Cuma ada sedikit perubahan yang diberikan pada model sebenar yang akan dijual ini iaitu pertama ia diberikan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang, manakala talaan suspensinya tidak serendah yang dibuat pada model konsep. Tiada sebarang foto bahagian dalaman disiarkan, namun dijangkakan MX-5 istimewa ini akan diberikan tempat duduk bucket dari Recaro serta balutan Alcantara pada roda stereng.

    Selain dari model talaan baharu ini, Mazda turut akan mempamerkan model-model lain di reruainya di TAS 2025 nanti. Antaranya Roadster CNF Concept yang menggunakan bahan api neutral-karbon, Mazda 3 Bio Concpet yang menggunakan biodiesel, dan juga CX-5 yang disolek dengan tema Toyo Tires.

     
     
  • Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Mendekati penghujung tahun 2024 ini, Yamaha membuat kejutan dengan memperkenalkan Aerox Alpha baru di Indonesia, yang melibatkan pelbagai peningkatan pada skuter tersebut. Ia ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula 29.9 juta Rupiah (RM8,260) bagi varian Standard dan 41.73 juta Rupiah (RM11,529) untuk varian paling tinggi Turbo Ultimate.

    Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter yang juga dipanggil sebagai NVX ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.

    Peningkatan lebih penting berada pada dua varian tertinggi iaitu “Turbo” dan “Turbo Ultimate.” Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT), seperti diperkenalkan kepada NMax di negara itu Jun lalu. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Walaupun menggunakan nama “Turbo”, skuter ini tidak mempunyai sebarang pengecas turbo sebenar, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, dengan melihat kepada dua varian “Turbo” itu, ia datang bukan sahaja dengan ABS dual-channel, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.

    Kelengkapan lain pada skuter ini masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan brek cakera di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian tinggi), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95, penilaian semula OMV akan kurangkan jualan kereta di Malaysia tahun depan

    Subsidi bersasar RON95, penilaian semula OMV akan kurangkan jualan kereta di Malaysia tahun depan

    Dengan tinggal 12 hari saja lagi untuk kita meninggalkan tahun 2024, dengan jumlah jualan tahunan setakat November berjumlah 731,534 unit, Malaysia dijangka akan melabuhkan tirai tahun ini dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 800,000.

    Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan TIV akan menurun tahun depan disebabkan antaranya oleh subsidi bersasar petrol RON95 dan penilaian semula open market value (OMV), lapor The Star, dengan CIMB Securities meramalkan angka 755,000 unit, dengan menjangkakan penggunaan EV mungkin akan bertambah.

    “Jenama tempatan, yang diterajui oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd atau Perodua, dijangka akan terus mendominasi perkongsian pasaran,” jelas badan penganalisa tersebut.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini menganggarkan yang penilaian semula pengiraan OMV akan memberi kesan peningkatan purata harga jualan kenderaan yang dipasang di sini sehingga 8%-20%. Namun, pelaksanaannya telah ditangguhkan beberapa kali, dengan penangguhan terakhir akan berakhir pada 31 Disember 2024.

    “Kami juga menjangkakan penggunaan BEV yang lebih tingggi bagi 2025, dipacu oleh pengenalan model baru, pemain baru dan meningkatnya persaingan antara pemain EV sebelum tamatnya pengecualian cukai untuk model EV yang diimport pada 2026, yang mana selepas itu model EV pemasangan tempatan akan diberi keutamaan,” jelas mereka lagi, dengan menyebut bahawa subsidi bersasar untuk RON 95 sebagai faktor penggalak peralihan kepada EV.

    Dengan 85% warga Malaysia akan terus menikmati subsidi petrol RON 95, ini akan terus membolehkan model-model Proton dan Perodua mengekalkan aspek mampu-miliknya untuk pemilik kenderaan pertama kali dan di dalam pasaran massa. CIMB Securities meramalkan sebanyak 65% perkongsian pasaran bagi dua jenama tempatan itu pada 2025 (1H 2024, 67.8%).

    Sementara itu, Maybank Investment Bank Research pula meramalkan TIV yang sedikit lebih rendah untuk 2025 dengan angka 750,000-unit. “Kami menjangkakan pasaran yang kukuh akan diteruskan dan dipacu oleh OEM tempatan dalam segmen pasaran massa (di bawah RM100,000), dan disokong oleh pesanan terdahulu bagi beberapa OEM, adanya model nilai-untuk-wang serta peningkatan kuasa beli pengguna dari sektor awam disebabkan kenaikan gaji pada Disember 2024 dan peningkatan gaji minimum pada Februari 2025.”

    “Bagaimanapun, pertumbuhan mungkin akan terhalang oleh terhadnya pengeluaran, memandangkan OEM utama denga angka tempahan terdahulu yang tinggi (seperti Perodua, Proton dan Toyota) sudahpun beroperasi di tahap penuh,” jelasnya.

     
     
  • Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    CEO Geely Automobile Holdings Gui Shengyue menyatakan industri automotif perlu berpatah balik untuk membangunkan model-model yang dijana oleh enjin petrol sekiranya mahu menghasilkan keuntungan walaupun kenderaan elektrik penuh (EV) kini memberikan jualan yang kukuh.

    Gui menjangkakan 30% jualan kenderaan di seluruh dunia adalah dari model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, 40% adalah model-model hibrid yang masih menggunakan enjin petrol untuk bergerak lebih jauh, dan hanya 30% adalah model EV sebenar. Beliau menyatakan ini adalah kerana faktor citarasa dan tabiat pemanduan pengguna dan juga disebabkan fasiliti pengecas EV yang masih belum cukup.

    “Kereta elektrik tidak mencerminkan sepenuhnya peralihan sektor automotif,” kata Gui dalam laporan South China Morning Post (SCMP) dan menambah “Sebagai pembuat kereta, anda akan kehilangan mesin keuntungan sekiranya anda tidak membuat kereta petrol.”

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    “Mengikut takrifan, pada masa hadapan kereta dengan enjin pembakaran dalaman tidak lagi akan menggunakan bahan api yang banyak dan ia perlu menggunakan bahan api dengan lebih efisien bagi menyokong usaha global bagi mengurangkan pencemaran. Dan ia akan lebih pintar, seperti kereta elektrik,” kata Gui lagi.

    Menurut laporan SCMP ini lagi berdasarkan data dari Persatuan Kereta Penumpang China, permintaan untuk EV telah mengatasi model-model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman pada Julai lalu selepas Beijing memberikan subsidi bagi meningkatkan penggunaan kenderaan sedemikian dan merangsang semula ekonomi.

    Namun pada November lalu, 31% kenderaan baharu yang dijual di Tanah Besar China adalah EV, 21% adalah hibrid, manakala 48% adalah model dengan enjin petrol sepenuhnya.

    Geely dengan jenama-jenama lain dibawahnya seperti Lynk & Co, Zeekr dan Galaxy telah menjual sebanyak 1.59 juta kenderaan untuk 11 bulan pertama tahun ini, naik 26.1% dari tempoh sama tahun sebelumnya. Dari jumlah berkenaan 25.4% adalah EV dan 14.1% adalah model hibrid.

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    Gui menyatakan Geeky Auto dijangkakan akan menjual sebanyak 820,000 kenderaan petrol tahun ini, atau naik 1% berbanding 2023, seterusnya bertentangan dengan trend semasa di China di mana jualan diramal akan jatuh 20% tahun ini.

    Laporan ini turut menyebut bahawa peneraju pasaran dan pengeluar EV terbesar dunia iaitu BYD telah menjual sebanyak 3.3 juta unit kenderaan pada tempoh sama, atau naik sebanyak 38%. SCMP juga menyebut berdasarkan data industri, bagi pengeluar EV hanya BYD, Li Auto dan Aito (pengeluar yang disokong oleh Huawei Technologies) yang mencatatkan keuntungan.

    Ini kerana pengeluar-pengeluar EV kebanyakkannya mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk rekaan model-model baharu dan membina kilang, atau mengurangkan harga jualan kenderaan masing-masing untuk bertahan dalam ‘perang harga’ sesama mereka.

     
     
  • Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition 2025 untuk Jepun – produksi terhad; naiktaraf gaya; dari RM68k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition 2025 untuk Jepun – produksi terhad; naiktaraf gaya; dari RM68k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition telah pun didedahkan untuk pasaran Jepun, dan bakal mula dijual pada 19 Mac 2025. Hanya diproduksi dalam tempoh yang terhad iaitu dari Mac hingga November tahun hadapan, model ini turut mendapat penggayaan yang dinaiktaraf dan pastinya lebih menyerlah.

    Harga untuk ZC33S Final Edition bermula 2,329,800 yen (sekitar RM68k) untuk versi manual tujuh-kelajuan, sementara varian automtik enam-kelajuan pula lebih mahal iaitu sekitar 2,401,300 yen (RM70k). Kedua-dua transmisi (pacuan disalurkan ke roda hadapan) dipadankan dengan enjin K14C 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm.

    Bagi aspek perubahan gayanya, ZC33S Final Edition menerima gril hadapan hitam berkilat dan bezel lampu kabus, sementara roda 17-inci (dipadankan dengan tayar profil 195/45) turut menerima kemasan yang sama. Lain-lain perubahan gaya pada luaran termasuk kaliper brek merah, pelekat ‘ZC33S’ pada tiang-C serta lencana hitam/merah pada pintu tailgate.

    Untuk bahagian dalamnya, Suzuki memberikan kemadan unik untuk papan pemuka, permukaan pintu dan konsol tengah dengan efek “penggredan haba”. Terdapat juga beberapa perkataan ‘Sport’ atau ‘ZC33S powered by Suzuki’ pada bahagian tersebut, dan kemasan perak berkilat pula diberikan pada roda stereng.

    Sekiranya anda tertanya-tanya, Swift Sport standard berdasarkan Swift generasi ketiga akan menamatkan pengeluaran pada Februari 2025. Suzuki masih belum mendedahkan versi baharu Swift Sport berdasarkan model generasi keempat yang lebih baharu. Namun ada khabar angin menyatakan ia ada rancangan untuk berbuat demikian.

     
     
  • Jln Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

    Jln Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley Sek 42.70 (Cameron Highlands) telah dibuka semula kepada semua jenis kenderaan mulai hari ini, 19 Disember 2024. Ia selepas kerja-kerja pembersihan tanah runtuh di KM43.4 jalan tersebut selesai.

    Walau bagaimana pun, pengguna laluan terbabit diminta untuk berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda peringatan.

    Mengikut perancangan asal yang diumumkan sebelum ini, laluan terbabit dijangka dibuka semula pada 25 November lalu. Walau bagaimana pun, hasil pemantauan di lokasi mendapati, masih ada pergerakan tanah yang perlahan.

    Pada 25 Oktober lalu, insiden cerun runtuh berlaku di KM43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dan menyebabkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya bagi kelancaran kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan sehingga selesai. Sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif di Jalan Pahang dekat Tapah untuk ke Cameron Highlands.

     
     
  • ECRL: MRL dan syarikat China CCCECRL jalin usaha sama untuk operasi dan selenggara rangkaian rel

    ECRL: MRL dan syarikat China CCCECRL jalin usaha sama untuk operasi dan selenggara rangkaian rel

    Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang dipertanggungjawabkan dalam urusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah memeteraian perjanjian usaha sama dengan syarikat dari China, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL). Ia adalah bagi mewujudkan sebuah syarikat operasi (OpCo) dengan nisbah kepentingan 50:50 bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan projek ECRL.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang turut hadir dalam majlis pemeteraian itu berkata, perjanjian usaha sama tersebut membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kos untuk operasi ECRL serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran, laporan Bernama.

    “MRL dan CCCECRL, masing-masing akan menanggung 50% daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit. MRL akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak kerajaan Malaysia sepanjang fasa pengoperasian projek berkenaan bagi memastikan kepentingan negara dilindungi setiap masa dan membolehkan pemerkasaan tempatan dalam infrastruktur nasional ini,” katanya.

    Tambah beliau, perjanjian usaha sama itu memacu hala tuju infrastruktur nasional dalam memperkukuh perkhidmatan pengangkutan yang moden, efisien dan mesra alam demi kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.

    “Perjanjian ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan sektor rel negara untuk memperbanyakkan perkhidmatan kereta api serta membuka peluang pekerjaan bagi golongan belia khususnya berkaitan bidang kejuruteraan dalam sektor perindustrian dan lokomotif,” katanya.

    Loke berkata, status projek ECRL telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan yang membanggakan, iaitu sebanyak 76.06% setakat November 2024.

    MRL adalah pemilik projek ECRL manakala CCCC bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC). Pada awal tahun ini, mesyuarat Kabinet telah memberi lampu hijau kepada penubuhan OpCo bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL yang turut berpotensi meringankan beban kewangan kerajaan.

    Dalam majlis berkenaan turut didedahkan reka bentuk dan rekaan dalaman bagi tren EMU (electric multiple unit) ECRL ini. Tren ini bakal memiliki enam gerabak yang boleh membawa sehingga 430 penumpang dan turut dilengkapi kemudahan bagi golongan OKU. Syarikat CRRC Dalian menyediakan 11 set tren EMU, dan set pertamanya dijangka akan tiba pada akhir 2025, yang dikatakan mampu mencecah kelajuan hingga 160 km/j dan akan mula beroperasi pada Januari 2017, dari terminal Kota Bahru hingga ke terminal Gombak, yang mengambil masa perjalanan sekitar empat jam, kata Loke.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Dis – petrol RON97 naik tiga sen seliter; RON95 dan diesel masih dikekalkan

    Harga minyak 19-25 Dis – petrol RON97 naik tiga sen seliter; RON95 dan diesel masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan kenaikan harga runcit bagi petrol RON97 sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.22 seliter, berbanding RM3.19 seliter sebelum ini. Ia berkuatkuasa untuk minggu bertarikh 19 hingga 25 Disember 2024

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Honda & Nissan mulakan rundingan untuk bergabung; tumpu saingan terhadap Toyota, Tesla dan EV China

    Honda & Nissan mulakan rundingan untuk bergabung; tumpu saingan terhadap Toyota, Tesla dan EV China

    Selepas pelbagai khabar angin tersebar sebelum ini, akhirnya Honda dan Nissan kini benar-benar dalam rundingan untuk bergabung, lapor Nikkei Asia. Pakatan yang akan dibentuk kelak mungkin turut akan disertai oleh Mitsubishi, dan ia akan mewujudkan dua kumpulan gergasi dalam industri Jepun, di mana satu pihak lagi adalah Toyota yang mempunyai kepentingan dalam Subaru, Mazda dan Suzuki.

    Sekiranya penggabungan ini menjadi kenyataan, ia bukan hanya untuk bersaing dengan Toyota, malah turut membolehkan mendapatkan sumber yang cukup bagi berhadapan saingan dari Tesla serta jenama-jenama EV dari China. Nissan dan Honda merancang untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kepentingan ekuiti dalam syarikat induk baharu yang diwujudkan bagi operasi keseluruhannya.

    Honda, Nissan dan Mitsubishi secara keseluruhannya telah menjual sebanyak empat juta kenderaan untuk separa pertama tahun ini, berbanding Toyota yang telah menjual sebanyak 5.2 juta kenderaan dalam tempoh sama. Jadi gabungan antara Honda, Nissan dan Mitsubishi akan menjadikan kumpulan berkenaan lebih besar dari General Motors dengan jualan tahunan sebanyk 6.7 juta unit, tetapi masih lagi di bawah Hyundai.

    Pada Ogos lalu Honda, Nissan dan Mitsubishi telah menandatangani MoU untuk bersama-sama membincangkan rangka kerja lanjut berdasarkan perjanjian terdahulu yang ditandatangani antara Honda dan Nissan pada Mac tahun ini iaitu untuk bersama-sama membangunkan kenderaan elektrik.

    Sementara itu, rancangan awal Honda untuk menghasilkan siri kenderaan elektrik mampu milik bersama General Motors (GM) yang jadualkan akan dilancarkan dalam pasaran pada 2027 telahpun dibatalkan pada Oktober 2023.

    Manakala pada September lalu Nissan mengumumkan bahawa ia telah memperoleh semula sekitar 5% sahamnya sendiri daripada Renault dalam perjanjian bernilai hampir 80 bilion yen (kira-kira USD552 juta atau RM2.29 bilion). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Renault menjelaskan bahawa saham yang dijual kepada Nissan itu akan mengakibatkan kerugian modal dianggarkan sebanyak 1.1 bilion euro (RM5.1 bilion) kerana nilai pegangan itu lebih rendah daripada yang dilaporkan sebelum ini dalam kunci kira-kiranya.

     
     
  • 50% kenderaan baru k’jaan adalah EV menjelang 2025

    50% kenderaan baru k’jaan adalah EV menjelang 2025

    Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV yang dikeluarkan semalam menetapkan bahawa menjelang 2025, 50% daripada kenderaan baru kerajaan adalah EV, menjadikannya selari dengan aspirasi mesra alam kerajaan.

    Dirangka oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), dokumen ini disediakan bersama dengan pakar teknikal dan pihak berkepentingan lain yang termasuk pelbagai kementerian, jabatan, agensi serta industri.

    “Dokumen ini memperincikan strategi peralihan yang merangkumi penilaian inventori ‘fleet’ semasa untuk mengenal pasti keperluan operasi, pemilihan kenderaan elektrik, perancangan infrastruktur pengecasan, serta analisis kos dan pengurangan pelepasan karbon untuk memastikan peralihan yang terancang dan berkesan, sambil memperkukuhkan agenda kelestarian alam sekitar.

    “Selain itu, aspek keselamatan, pemantauan, pelaporan dan latihan juga menjadi keutamaan untuk menjamin kelancaran transformasi ini,” kata menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Model yang kita sudah tahu tentulah Proton eMas 7, tapi model EV apa lagi agaknya yang sesuai digunakan oleh kerajaan? Anda rasa?

     
     
  • JPJ nafi kenakan syarat tambahan untuk golongan warga emas yang ingin perbaharui lesen memandu

    JPJ nafi kenakan syarat tambahan untuk golongan warga emas yang ingin perbaharui lesen memandu

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menafikan ada syarat tambahan yang dikenakan khas untuk golongan warga emas yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).

    Ia berikutan mesej tular melalui platform media sosial berkenaan syarat tambahan kepada golongan warga emas iaitu mereka perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan.

    “Untuk makluman, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak meletakkan apa-apa syarat tambahan kepada golongan warga emas bagi memperbaharui LMM. Proses pembaharuan LMM bagi golongan warga emas adalah masih tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    JPJ nafi kenakan syarat tambahan untuk golongan warga emas yang ingin perbaharui lesen memandu

    “Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap maklumat yang diterima. Jabatan ini sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada akhir November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen memandu akan diteliti. Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya

     
     
  • Auto Bavaria bekerjasama dengan Affin Group untuk pasang pengecas AC dan DC di Menara Affin, TRX

    Auto Bavaria bekerjasama dengan Affin Group untuk pasang pengecas AC dan DC di Menara Affin, TRX

    Auto Bavaria mengumumkan satu kerjasama dengan Affin Group untuk menambah baik insfrastruktur mengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Dalam satu kenyataan rasmi, pengedar BMW tersebut menyatakan bahawa kerjasama itu selari dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kedua-dua organisasi, yang disasarkan untuk mempromosi penyelesaian mobiliti yang lebih bertanggungjawab.

    Melalui kerjasama strategik ini, tujuh pengecas AC dan satu pengecas pantas DC sudah dipasang di Menara Affin di Tun Razak Exchange, memberikan pengguna EV lebih pilihan apabila mahu mengecas kenderaan mereka.

    “Di Auto Bavaria, kami percaya bahawa kenderaan elektrik adalah pemacu kepada mobiliti masa hadapan. Kerjasama dengan Affin ini menunjukkan dedikasi kami untuk menambah baik pembangunan infrastruktur EV dan memberi sokongan kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” kata pengarah urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan.

    “Kerjasama ini menjelaskan lagi komitmen tidak berbelah bagi Affin kepada agenda ESG kami, mencipta satu impak positif untuk masa hadapan sambil memberikan pengalaman pelanggan yang serba lancar dan memudahkan,” kata presiden dan CEO kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025