Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebuhraya Grand Saga kini laksana sistem pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Lebuhraya Grand Saga kini laksana sistem pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Sejak semalam (17 Disember), Lebuhraya Grand Saga mula melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka yang membenarkan penggunaan kad debit atau kredit, selain kad Touch ‘n Go dan Smart Tag. Ia melibatkan Plaza Tol Batu 11 dan Plaza Tol Batu 9, Cheras.

    Untuk panduan, transaksi tol kini boleh dibuat di lorong yang dipasang papan tanda dengan logo MyDebit, Visa dan Mastercard. Di lorong tersebut, disediakan dua jenis peranti iaitu peranti kad Touch ‘n Go dan peranti MyDebit-Visa-Mastercard.

    Pengguna boleh menyentuh kad debit atau kredit mereka pada peranti MyDebit-Visa-Mastercard untuk transaksi tol, di mana bayaran tol akan ditolak dari baki kad debit atau kad kredit mereka. Dengan pelaksanaan ini, orang ramai kini mempunyai lebih mod pilihan untuk membayar tol di lebuhraya terbabit.

     
     
  • Empat Tesla Supercharger V4 dipasang di R&R Skudai arah Selatan — RM1.13 setiap kWh, termurah di M’sia

    Empat Tesla Supercharger V4 dipasang di R&R Skudai arah Selatan — RM1.13 setiap kWh, termurah di M’sia

    Tesla Malaysia telah memperkenalkan empat Supercharger V4 terkini di Kawasan Rehat & Rawat Skudai arah Selatan di Lebuhraya PLUS (tentu utamanya untuk keperluan pemandu Singapura), serta dua lagi pengecas di lokasi di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur.

    Supercharger berkenaan mampu memberikan kapasiti pengecasan maksimum 250 kW DC dengan harga RM1.13 bagi setiap kWh — yang termurah di Malaysia — dengan yuran pegun RM4 seminit seperti sebelum ini.

    Dengan pemasangan terbaru ini, Tesla sudah mempunyai 13 stesen Supercharger (dengan 60 Supercharger semuanya) dan 13 pengecas destinasi (64 pengecas semuanya) di Malaysia.

    Ketika ini, Tesla Supercharger hanya untuk kenderaan kenderaan Tesla sahaja. Tetapi, pada 2025 nanti, 30% daripada jumlah itu akan dibuka untuk kegunaan EV lain sebagai sebahagian daripada keperluan di bawah program BEV Global Leaders oleh kerajaan.

     
     
  • Promosi akhir tahun Chery — Omoda E5 EV rebat RM11k; cabutan bertuah dengan hadiah lebih RM150k

    Promosi akhir tahun Chery — Omoda E5 EV rebat RM11k; cabutan bertuah dengan hadiah lebih RM150k

    Termasuk dalam kempen promosi hujung tahun Chery Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini antaranya ialah tawaran untuk model elektrik Chery Omoda E5. Ia kini diberikan rebat sebanyak RM11,000 daripada harga penuhnya RM146,818 (atas jalan, belum termasuk insurans).

    Sebagai tambahan kepda tawaran rebat berkenaan, turut diadakan ialah cabutan bertuah hujung tahun yang akan berlangsung hingga 31 Disember 2024. Dengan hadiah terkumpul bernilai lebih daripada RM150,000, peserta berpeluang memenangi sebuah Omoda 5, beberapa alat kelengkapan rumah, sebuah Nintendo Switch dan baucar beli-belah.

    Untuk ikut serta dalam cabutan bertuah tersebut, anda perlu membeli mana-mana kenderaan baru Chery daripada pengedar sah atau siri jelajahnya sebelum 31 Disember 2024. Perlu juga dipastikan bahawa tempahan dan pendaftaran kenderaan yang dibeli itu didaftarkan dalam sistem Chery oleh pengedar. Hadiah akan dipilih secara rawak, dan akan diumumkan melalui platform media sosial dalam tempoh tiga bulan selepas peraduan tamat.

    Promosi akhir tahun Chery — Omoda E5 EV rebat RM11k; cabutan bertuah dengan hadiah lebih RM150k

    Omoda E5 ialah sebuah EV dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 61-kWh yang boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 430 km mengikut kitaran WLTP. Baterinya menyalurkan tenaga kepada motor elektrik di depan yang menjana sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm tork.

    Untuk jaminan, sistem pacuan elektrik diberikan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km, sementara jaminan standard untuk kenderaan ialah tujuh tahun atau 100,000 km. Omoda E5 juga datang dengan ciri ADAS 2.5 yang terdiri daripada fungsi seperti AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, amaran perlanggaran belakang, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan Auto Brake dan lampu tinggi automatik serta tujuh beg udara sebagai ciri standard.

     
     
  • PLUS jangka jumlah trafik meningkat 14% menjelang Krismas, cuti hujung tahun – 2.12j kenderaan sehari

    PLUS jangka jumlah trafik meningkat 14% menjelang Krismas, cuti hujung tahun – 2.12j kenderaan sehari

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 14% sehingga mencecah 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa bersempena dengan cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025.

    “Berikutan dengan jangkaan trafik yang tinggi bersempena musim perayaan akan datang, PLUS menyarankan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan secara digital sempena cuti perayaan Krismas dan cuti hujung tahun di antara 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025 menerusi MyPLUS-TTA.

    “Jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di dalam Aplikasi PLUS ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk merancang perjalanan di samping membantu mengagihkan trafik bagi perjalanan yang lebih lancar dan selesa. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk mengelakkan kenderaan terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak dan kemungkinan terperangkap di dalam kesesakan,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada masa yang sama, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara. Selain itu, pengguna juga dinasihati supaya menggunakan aplikasi PLUS, aplikasi Waze atau Google agar ia dapat membantu kelancaran perjalanan.

     
     
  • Belanja terkumpul bulanan RM200 bagi pembelian petrol dengan aplikasi CaltexGO, menangi kad hadiah Klook RM50 pada setiap bulan!

    Belanja terkumpul bulanan RM200 bagi pembelian petrol dengan aplikasi CaltexGO, menangi kad hadiah Klook RM50 pada setiap bulan!

    Di kebanyakan masa, kita sering memandu menuju ke suatu tempat atau untuk keperluan lain. Memandangkan hujung tahun yang makin hampir, diikuti dengan musim perayaan, percutian dan perjalanan sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada perancangan anda. Mengapa tidak meraih ganjaran untuk ke destinasi percutian ketika anda membuat isian semula minyak kenderaan?

    Caltex bekerjasama dengan Klook untuk Bonanza RM400k yang berlangsung dari bulan ini hingga 28 Februari 2025, dan anda berpeluang untuk menerima kad hadiah Klook bernilai sehingga RM150 melalui penggunaan aplikasi mudah alih CaltexGO.

    Untuk mendapatkannya, belanjakan RM200 dalam jumlah terkumpul setiap bulan sepanjang tempoh promosi ini sama ada untuk petrol RON 95 atau RON 97 menggunakan ciri CaltexGO Pump & Pay di mana-mana stesen Caltex. Setiap pengguna CaltexGO yang sah akan layak memenangi kad e-hadiah RM50 setiap bulan, atau kad e-hadiah bernilai sehingga RM150 sepanjang tempoh promosi.

    Pemenang bulanan akan dimaklumkan melalui emel dengan kod untuk kad e-hadiah RM50 Klook serta perincian untuk penebusan hadiah berkenaan, yang akan dilakukan melalui laman web atau aplikasi mudah alih Klook.

    Hujung tahun semakin hampir dan musim cuti akan bermula, jadi ketahui lebih lanjut melalui pautan ini dan sertai Caltex Rewards Klook RM400k Bonanza dan manfaatkan sepenuhnya perjalanan anda!

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Proton masuk semula ke pasaran Singapura – EV eMas 7 akan dilancarkan oleh Vincar Group pada 2025

    Proton masuk semula ke pasaran Singapura – EV eMas 7 akan dilancarkan oleh Vincar Group pada 2025

    Proton telah disahkan akan masuk semula ke pasaran Singapura selepas melantik Vincar Group sebagai pengedar rasmi untuk jenama EVnya iaitu eMas di negara berkenaan.

    Menurut Vincar Group dalam hantaran Facebook yang dibuat, model pertama jenama tersebut iaitu SUV EV segmen-C eMas 7 akan dilancarkan Singapura pada awal 2025, dan bilik pameran flagship Proton eMas turut akan dibuka di Leng Kee Automotive Belt bagi menyediakan perkhidmatan jualan dan servis selepas jualan.

    Ketika melancarkan eMas 7 Isnin lalu, Proton sudahpun mengumumkan bahawa Singapura sememangnya antara pasaran yang akan menerima model berkenaan selain Mauritius, Nepal, Singapura serta Trinidad & Tobago. Proton turut mengumumkan keputusan ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP), jadi ada kemungkinan eMas 7 ini juga mungkin akan dibawa ke satu lagi pasaran lazim Proton di ASEAN iaitu Brunei.

    Untuk pasaran Malaysia, eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • Honda sahkan Prelude generasi baru akan guna sistem hibrid e:HEV, ada gear maya dalam mod S+

    Honda sahkan Prelude generasi baru akan guna sistem hibrid e:HEV, ada gear maya dalam mod S+

    Honda telah mendedahkan beberapa perincian berkenaan model produksi Prelude generasi baharu yang akan dilancarkan tahun depan. Kali ini Honda mengesahkan bahawa Prelude bakal digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibird e:HEV dengan dua motor elektrik, dan juga kembalinya butang mod ‘S+’ seperti pada model sports hybrid Honda sebelum ini iaitu Honda CR-Z facelift 2013.

    Unit rangkaian kuasa e:HEV ini telahpun digunakan pada model-model hibrid terkini Honda seperti Fit Hybrid, City Hybrid, Civic Hybrid dan CR-V Hybrid, dihasilkan dalam konfigurasi dengan enjin petrol kitaran Atkinson sama ada dalam kapasiti 1.5 liter atau 2.0 liter.

    Tugas enjin petrol berkenaan kebanyakkan masanya adalah untuk mengecas bateri sistem hibrid, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik utama yang dibekalkan. Namun berbeza dengan sistem hibrid range extender jenama lain, sistem e:HEV Honda ini turut akan membenarkan enjin bersama-sama motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang dibekalkan.

    Prelude generasi baharu ini akan menerima sistem e:HEV baharu yang dipertingkat. Menurut Honda, sistem tersebut akan menggunakan enjin suntikan terus yang baru dibangunkan, di mana ia dapat mengekalkan nisbah udara dan bahan api sempurna 14.7:1 hampir dalam kebanyakkan masa tanpa kehilangan kuasa.

    Enjin tersebut turut akan menerima sistem penyejuk bina dalam dan juga unit motor elektrik utama yang lebih kecil, lebih efisien dan lebih murah untuk diproduksi. Honda turut menala semula corak penghantaran tork enjin ke roda pada kelajuan tinggi dengan menambah bantuan elektrik dalam mod direct drive bagi memberikan jarak gerak lebih jauh, serta mengoptimakan penghasilan kuasa elektrik dari bahan api petrol. Kesemua ini didakwa dapat mengurangkan 10% penggunaan bahan api berbanding versi sedia ada.

    Bagi memberikan pemanduan yang lebih seronak, Prelude akan diberikan butang mod S+. Namun tidak seperti butang pada CR-Z dahulu, butang pada Prelude ini dikenali sebagai S+ Shift Mode, yang akan memberikan tukaran gear maya seperti kotak gear sebenar dan pemandu turut boleh menggunakan pedal penukar gear. Menurut Honda huruf ‘S’ berkenaan turut merujuk kepada model-model sports keluarannya seperti S500 dan S2000.

    Pada sistem sedia ada, unit rangkaian kuasa e:HEV ini sudahpun diberikan Linear Shift Control yang memberikan putaran enjin yang selari dengan kadar tekanan pedal pendikit oleh pemandu bersama ‘rasa’ tukaran gear palsu walaupun sebenarnya roda sedang dipacu sepenuhnya motor elektrik.

    Dengan butang S+ Shift mod ini bukan sahaja membolehkan pemandu ‘menukar’ gear palsu berkenaan dengan pedal penukar gear, malah ia turut akan memberikan rasa ‘gear hold’ palsu ketika mengambil selekoh. Menerusi video teaser yang disiarkan, Honda turut mendedahkan sedikit bunyi enjin dan juga tukaran gear palsu tersebut dan jelas ia memberikan ‘irama’ yang agak sporty.

    Unit rangkaian kuasa e:HEV yang dikemaskini berkenaan bukan hanya akan diberikan pada Prelude, malah ia turut akan beransur-ansur menggantikan sistem pada model-model lain. Seperti sebelumnya, ia turut akan ditawarkan dalam versi 1.5L dan 2.0L, dan tingkat taraf terbaharu ini turut akan menyaksikan ia akan tampil dengan sistem pacuan semua roda dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang – belum dapat dipastikan sama ada sistem AWD ini akan ditawarkan pada Prelude atau tidak.

    Honda Prelude generasi baharu diumum sebagai model global yang akan dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri dan kanan, dan akan dipasarkan ke seluruh dunia. Model konsep Prelude yang nampak seperti sudah bersedia untuk diproduksi tersebut baru-baru ini telahpun dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024, mungkin ini petanda bahawa ia turut akan dilancarkan di Malaysia kelak?

    GALERI: Honda Prelude Concept di KLIMS 2024

     
     
  • Proses pembaharuan pas MY50 ditangguh dari 23 Dis hingga 31 Jan 2025 – pengguna boleh beli pas baharu

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL memaklumkan bahawa proses pembaharuan pas My50 akan ditangguh sementara waktu iaitu bermula 23 Disember 2024 sehingga 31 Januari 2025 di semua kaunter khidmat pelanggan rel, BRT dan hab bas Rapid KL.

    Penangguhan sementara tersebut adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan sistem penjualan pas My50 bagi meningkatkan keupayaan sistem untuk menampung jumlah pengguna pas My50 yang semakin bertambah. Walau bagaimanapun, Prasarana berkata pembelian pas My50 yang baharu masih boleh dilakukan seperti biasa di semua kaunter tersebut.

    “Bagi pengguna yang masih mempunyai baki hari dalam pas My50 sedia ada, anda perlu menghabiskan baki hari tersebut terlebih dahulu sehingga pas tamat tempoh dan membuat pembelian pas baharu selepas itu,” kata Prasarana.

    Proses pembaharuan pas MY50 ditangguh dari 23 Dis hingga 31 Jan 2025 – pengguna boleh beli pas baharu

    Dalam erti kata lain, pengguna sedia ada hanya boleh membeli pas baharu selepas pas semasa mereka tamat tempoh. Ini akan menjadi perubahan rutin untuk pengguna sedia ada, yang biasa memperbaharui pas My50 mereka sebelum tamat tempoh (dibenarkan sehingga tujuh hari sebelum ini).

    Mungkin peningkatan sistem ini berkaitan dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke bulan lepas, apabila beliau berkata mulai tahun depan, pengguna My50 tidak lagi perlu menggunakan MyKad mereka.

    “Setelah proses integrasi sistem selesai, pengguna akan dapat menggunakan kad Touch n Go atau akses melalui telefon pintar mereka, menggunakan kod QR. Ini adalah butiran yang kami sedang usahakan,” katanya sambil menambah maklum balas daripada pengguna ialah penggunaan MyKad menyusahkan pengangkutan awam.

     
     
  • Proton eMas 7 dan model EV lain sebagai kereta rasmi ASEAN 2025; kerajaan beralih ke EV secara berfasa

    Proton eMas 7 dan model EV lain sebagai kereta rasmi ASEAN 2025; kerajaan beralih ke EV secara berfasa

    Proton eMas 7 yang dilancarkan baru-baru ini diumumkan bakal menjadi kereta rasmi Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, namun model EV lain juga akan digunakan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad, laporan Bernama.

    “Kami akan menggunakan eMAS 7 pada peringkat tertentu, tetapi di peringkat-peringkat lain juga akan menggunakan kebanyakan EV, jenama yang berbeza. Sebenarnya kenderaan EV lain juga akan diguna pakai, cuma eMas 7 adalah kenderaan yang rasmi.

    “Ada beberapa peringkat seperti peringkat ketua negara, ketua kerajaan, menteri, pegawai dan sebagainya bergantung pada permintaan dan keperluan tertentu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV di Putrajaya semalam.

    Beliau turut mendedahkan peralihan kenderaan kerajaan kepada EV akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun depan. Di mana perkara itu kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

    Ditanya peralihan itu membabitkan semua peringkat atau jabatan tertentu, Nik Nazmi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan dan tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.

    “Ia bergantung kepada keperluan sebab ada beberapa aspek yang perlu diambil kira kerana dalam garis panduan (peralihan kenderaan kerajaan) perlu dilihat apa keperluannya. Keperluan itu bergantung sama ada peralihan itu boleh dipenuhi EV tempatan atau EV lain dan sebagainya,” katanya seperti laporan Berita Harian.

    Mengenai Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV, beliau berkata, ia adalah dokumen panduan teknikal kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan memperincikan strategi peralihan kenderaan rasmi secara teratur dan berkesan.

    “Ia mengandungi beberapa komponen utama meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan penilaian peralihan kepada EV. Pelbagai strategi dan inisiatif juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030,” katanya.

     
     
  • DRB-Hicom, Geely bekerjasama dengan MIDA, MARii untuk bangunkan AHTV menjadi hab kenderaan NxGV

    DRB-Hicom, Geely bekerjasama dengan MIDA, MARii untuk bangunkan AHTV menjadi hab kenderaan NxGV

    DRB-Hicom, bersama dengan Zhejiang Geely Holding Group telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk bekerjasama dalam membangunkan Automotive Hi-Tech Valley di Tanjong Malim, Perak menjadi hab automotif global yang memberi fokus kepada pembangunan kenderaan generasi seterusnya (NxGV) serta kenderaan cekap tenaga (EEV).

    MoU yang ditandatangani dengan MIDA bertujuan meneroka bahagian berpotensi dalam kerjasama dan kolaborasi dengan pemain dalam pembekalan automotif untuk menubuhkan satu ekosistem lengkap dalam AHTV dan meningkatkan kemampuan pembekal tempatan bagi membolehkan mereka terlibat dengan lokalisasi komponen utama.

    Sementara itu, perjanjian dengan MARii pula akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama untuk membina bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan ujian yang memberi fokus kepada R&D kenderaan, pembuatan, rantaian bekalan serta kemampuan ujian NxGV yang diiktiraf dalam ASEAN.

    Ini juga akan melibatkan penubuhan Pusat Ujian dan Homologasi Negara (AHTV) dengan tujuan menjadikan ia sebagai pusat ujian dan pensijilan khusus negara untuk pemanduan autonomous serta ujian dan homologasi EEV.

    DRB-Hicom, Geely bekerjasama dengan MIDA, MARii untuk bangunkan AHTV menjadi hab kenderaan NxGV

    Sebagai tambahan, pihak yang terlibat juga bersetuju untuk membangunkan kemampuan dan kepakaran rekaan tempatan untuk komponen kritikal seperti motor elektrik, sistem pengurusan bateri dan unit pengagihan kuasa. Ini akan dijalankan dengan bantuan daripada Geely Holding.

    Kerjasama dengan MARii ini juga akan melibatkan pembangunan program latihan bakat automotif yang memberi fokus kepada NxGV dan pembuatan pintar, dibantu dengan kerjasama institusi daripada China dan Malaysia.

    Ini termasuk menubuhkan standard kebangsaan untuk pensijilan automotif TVET dan SKM, menyiapkan program perintis automotif, mewujudkan modul untuk sekolah menengah hingga universiti dan mengadakan program pensijilan untuk pendigitalan dan kemahiran Industry 4.0 dalam pembuatan dan rantaian bekalan.

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla Cross facelift 2025 di M’sia; RM134k-RM149k, 3 varian, GR Sport kini hibrid

    GALERI: Toyota Corolla Cross facelift 2025 di M’sia; RM134k-RM149k, 3 varian, GR Sport kini hibrid

    Toyota Corolla 1.8 HEV GR Sport facelift 2025

    Ketika melancarkan model facelift 2025 untuk Toyota Corolla Cross di Kuala Lumpur International Motorshow (KLIMS) 2024 minggu lalu, UMW Toyota hanya membawa satu daripada tiga varian model tersebut iaitu varian permulaan untuk hibrid, Corolla Cross 1.8 HEV untuk dipamerkan. Dan kali ini kami bawakan galeri penuh bagi ketiga-tiga varian versi kemaskini SUV segmen-B berkenaan untuk tatapan anda.

    Ketiga-tiga varian Corolla Cross facelift terbaharu ini semuanya diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasiliti UMW Toyota di Bukit Raja, Selangor. Antara tiga varian tersebut, kini hanya varian paling asas 1.8 V yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM133,800.

    Model ini dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan tujuh-kelajuan maya dengan mod manual, bagi memacu hanya roda hadapan.

    GALERI: Toyota Corolla Cross facelift 2025 di M’sia; RM134k-RM149k, 3 varian, GR Sport kini hibrid

    Toyota Corolla 1.8 HEV GR Sport facelift 2025

    Sementara model 1.8 HEV dan varian paling sporty GR Sport masing-masing berharga RM140,800 dan RM148,800 pula dijana oleh unit rangkaian hibrid yang menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 142 Nm, bersama dua motor elektrik di mana motor utamanya berkuasa 72 PS/163 Nm bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS untuk memacu roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT.

    Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri Ni-MH 168 sel berkapasiti 6.5 Ah yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ruang but belakang kekal besar dengan kapasiti 440 liter.

    Bagi varian 1.8V dan 1.8 HEV, perubahan luaran dapat dilihat menerusi rombakan rekaan pada bahagian muka dengan diberikan lampu hadapan LED-penuh baharu dengan lampu isyarat membelok sequential, bersama gril atas yang lebih nipis. Manakala gril pada bahagian bampar kini direka tanpa bingkai dan menampilkan elemen sarang lebah.

    Toyota Corolla Cross 1.8V 2025 (atas) dan Toyota Corolla Cross 1.8 HEV 2025 (bawah)

    Warna Red Mica Metallic, Silver Metallic, Platinum White Pearl dan warna baharu Dark Turquoise ditawarkan untuk kedua-dua varian 1.8V dan 1.8 HEV, manakala warna Celestite Grey Metallic disediakan hanya untuk varian 1.8 HEV.

    Pada bahagian dalaman, ia masih menerima papan pemuka yang sama seperti sebelum ini tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Antaranya adalah pedal kaki untuk brek parkir pada model sebelum ini telah digantikan dengan brek parkir elektronik yang lebih moden, serta memberikan fungsi brake hold automatik.

    Untuk model dengan enjin petrol sepenuhnya, ia masih diberikan paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi menerusi skrin TFT berwarna 4.2-inci. Manakala model hibrid pula diberikan paparan instrument digital sepenuhnya menerusi skrin 12.3-inci bagi memberikan informasi sistem hibrid. Skrin tersebut juga menampilkan tiga susunan berbeza dan juga empat tema visual (Casual, Smart, Tough, Sporty) yang boleh dipilih.

    GALERI: Toyota Corolla Cross facelift 2025 di M’sia; RM134k-RM149k, 3 varian, GR Sport kini hibrid

    Papan pemuka Toyota Corolla 1.8 HEV GR Sport facelift 2025

    Manakala skrin infotainmen sembilan-inci sebelum ini telah digantikan dengan skrin 10.1-inci yang lebih besar dan diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, serta memberikan paparan monitor pandangan 3D panaromik. Sistem telemetik kenderaan yang telah ditingkat taraf dengan fungsi penghidup enjin jarak jauh.

    Varian 1.8V dan juga Hybrid Electric menerima balutan upholsteri yang sama menggandingkan kulit hitam dan perang pada tempat duduk dan serlahan benang perak.

    Bagi varian GR Sport, ia dilihat masih menggunakan rekaan yang hampir sama seperti versi sebelum facelift. Varian paling sporty ini hadir dengan gril GR Sport, lampu belakang dengan lensa jernih sepenuhnya dan juga kemasan bawah bampar belakang dengan lencana GR. Model ini juga ditawarkan dengan tiga warna duo tona iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise – semuanya digandingkan dengan bumbung hitam.

    Papan pemuka Toyota Corolla Cross 1.8V 2025 (kiri) dan papan pemuka Toyota Corolla Cross 1.8 HEV 2025 (kanan)

    Manakala pada bahagian dalaman, model GR Sport ini datang dengan upholsteri kulit hitam dan serlahan jahitan benang merah serta logo GR yang cop pada perehat kepala tempat duduk hadapan dan juga tombol gear serta roda stereng balutan kulit.

    Walaupun unit rangkaian kuasanya sama seperti versi 1.8 HEV biasa, varian GR Sport ini bukan hadir dengan hanya gaya lebih garang, malah ia turut menawarkan set suspensi lebih keras, talaan lebih sporty pada kotak komputer stereng kuasa elektrik (EPS) dan juga set pendakap-pendakap casis bagi memberikan prestasi pengendalian yang lebih sporty.

    Kesemua tiga varian menerima rim aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar Toyo bersaiz 225/50R18. Namun rekaannya berbeza di mana varian 1.8V dan Hybrid Electric datang dalam kemasan Dark Grey Metallic dan aloi digilap, manakala varian GR Sport datang dalam kemasan dua tona.

    Ruang enjin Toyota Corolla Cross 1.8V 2025 (kiri) dan Toyota Corolla Cross 1.8 HEV 2025 (kanan)

    Untuk keselamatan, kesemua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Kesemua varian juga datang dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Semua varian diberikan pelindungan waranti lima tahun tahun tanpa had perbatuan. Manakala bagi varian-varian hibrid ia ditambah dengan waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid, inverter dan juga unit kawalan komputer (ECU) pengurusan tenaga.

    Pembeli turut ditawarkan dengan perlindungan tambahan selama dua-tahun untuk sistem elektrifikasi tersebut dengan tambahan bayaran, dan waranti ini turut boleh ditukar kepada pemilik seterusnya bagi memberikan nilai jualan balik yang lebih baik serta memberikan ketenangan minda buat pemilik, kata UMW Toyota.

    Dengan kebanjiran SUV segmen-B dan segmen-C yang hadir dengan harga begitu kompetitif dari China buat masa sekarang, adakah anda rasa rombakan yang dibuat pada model kemaskini memberikan daya penarik untuk kekal sebagai pilihan utama dalam kelasnya? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah atau pada laman-laman sosial kami.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 V facelift 2025

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 HEV facelift 2025

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 HEV GR Sport facelift 2025

     
     
  • Kadar tol lebih tinggi, ruang parkir terhad, hari bebas kenderaan untuk kurangkan trafik di Kuala Lumpur

    Kadar tol lebih tinggi, ruang parkir terhad, hari bebas kenderaan untuk kurangkan trafik di Kuala Lumpur

    Masalah kesesakan lalu lintas memerlukan dasar yang tidak menggalakkan penggunaan kenderaan peribadi, serta peningkatan terhadap ekosistem pengangkutan awam. Begitu penjelasan pakar seperti dilaporkan oleh The Star.

    Kebanyakan orang, terutama yang tinggal di luar kawasan pusat bandar, lebih cenderung untuk memandu kerana itu lebih mudah berbanding menggunakan pengangkutan awam yang memerlukan penukaran jalur atau mod kenderaan, jelas Pengerusi Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Wong Shaw Voon.

    Contoh yang dinyatakan adalah seperti pengguna di Selangor yang ingin bergerak dari Kota Damansara ke SS15 Subang Jaya. Mereka perlu ke stesen MRT Muzium Negara terlebih dahulu, kemudian bertukar jalur di stesen LRT KL Sentral.

    “Ini memanjangkan masa perjalanan berbanding memandu sendiri. Pengangkutan awam masih terhad capaiannya. Lebih banyak peningkatan diperlukan sekiranya kita mahu lebih ramai beralih menggunakan pengangkutan awam,” jelas Wong, yang menekankan bahawa situasi mungkin bertambah baik dengan pembukaan operasi projek MRT 3 (Jalur Kitaran) dan LRT 3 (jalur Bandar Utama – Klang) kelak.

    Kadar tol lebih tinggi, ruang parkir terhad, hari bebas kenderaan untuk kurangkan trafik di Kuala Lumpur

    Merujuk data daripada Jabatan Pengangkutan Japan (JPJ), pendaftaran kenderaan baru telah meningkat dari 530,057 unit pada 2021 kepada 832,347 unit pada 2023, memetik lapporan tersebut.

    Sementara itu, dalam laporan yang sama dinyatakan bahawa kurangnya ketersambungan jarak-awal-dan-akhir di semua titik tersebut menjadi sebab utama kenapa pengguna lebih cenderung memilih untuk mempunyai kenderaan sendiri, jelas Pengarah Urusan MDS Consultancy Group, Rosli Azad Khan.

    Jajaran transit pertukaran selalunya terletak jauh dari kawasan penempatan. Disebabkan itu, ketersambungan yang lancar antara kaedah pengangkutan yang berbeza sangat perlu dipertingkatkan jika tidak ingin menggalakkan penggunaan kenderaan peribadi. Adanya lebih banyak stesen pertukaran di mana pengguna dengan mudah boleh menukar laluan, serta platform bayaran tunggal dan pas perantara kecil serta membenarkan kenderaan e-mobiliti di bawa ke dalam tren akan sangat membantu.

    “Sistem tiket digital untuk membolehkan platform bayaran tunggal untuk seluruh mod pengangkutan awam seperti MyRapid dan sistem tanpa tunai lainnya boleh menyumbang kepada pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Untuk memendekkan tempoh penukaran, bas kecil boleh digunakan untuk mengangkut penumpang ke kawasan kediaman mereka dari stesen transit,” tambah Rosli.

    Kadar tol lebih tinggi, ruang parkir terhad, hari bebas kenderaan untuk kurangkan trafik di Kuala Lumpur

    “Kaedah larangan kenderaan, misalnya melalui kadar tol yang lebih tinggi untuk lebih raya dalam bandar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang perlu dikenakan. Kawasan parkir dalam bandar perlu dihadkan. Kereta juga boleh dilarang daripada parkir di tepi jalan,” tambah Rosli, dengan menggesa perubahan dasar untuk menghadkan penggunaan kenderaan persendirian.

    Menurut Presiden Persatuan Keselamatan Pengangkutan dan Jalan Raya Malaysia, Nik Mohd Salim, kesesakan jalan raya memang dijangka akan bertambah buruk dengan bertambahnya lebih banyak pembangunan, sebaliknya tidak banyak perancangan untuk mengurangkan akses terhadap jalan raya.

    “Kawasan perumahan sepatutnya berada berdekatan hab pengangkutan awam,” jelas Nik Mohd Salim, yang turut menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan perihal masalah lalu lintas dalam perancangan bandar yang dijalankan, serta perlukan akses yang lebih baik terhadap pengangkutan awam dari kawasan perumahan.

     
     
  • Proton akan tambah pilihan Bahasa Melayu untuk sistem arahan suara “Hi Proton” dalam kenderaan

    Proton akan tambah pilihan Bahasa Melayu untuk sistem arahan suara “Hi Proton” dalam kenderaan

    Sistem arahan suara “Hi Proton” tidak lama lagi akan tersedia dalam Bahasa Melayu. Perkara ini didedahkan semasa pelancaran eMas 7 semalam dan mengesahkan apa yang telah diumumkan oleh pembekal sistemnya, ACO Tech Ogos tahun lepas.

    Pada masa sekarang, arahan suara “Hi Proton” hanya tersedia dalam Bahasa Inggeris, tetapi ACO Tech sebelum ini pernah memberitahu bahawa sistem pengoperasian Atlas versi generasi seterusnya boleh menerima lebih banyak bahasa. Selain Bahasa Melayu, turut dinyatakan adalah Bahasa Mandarin dan Kantonis.

    Perincian selebihnya masih belum didedah, jadi kita masih belum tahu model mana yang akan dinaik taraf dengan arahan suara dalam Bahasa Melayu ini. Model eMas7 yang baru dilancarkan juga setakat ini hanya boleh menggunakan Bahasa Inggeris.

     
     
  • 95,298 saman kesalahan langgar lampu isyarat dari Jan-Nov 2024 – CCTV di simpang utama dipertingkat

    95,298 saman kesalahan langgar lampu isyarat dari Jan-Nov 2024 – CCTV di simpang utama dipertingkat

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan sebanyak 95,298 saman atas kesalahan langgar lampu isyarat dari Januari hingga November 2024 yang direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 39,468 saman melibatkan motosikal, kereta (44,889 saman), lori (3,937 saman), dan lain-lain kenderaan (7,004 saman), kata Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

    Beliau menegaskan, kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut.

    “Kesalahan ini menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya terutamanya di kawasan persimpangan utama. JSPT menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan ini. Pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti sering membabitkan kesalahan ini.

    95,298 saman kesalahan langgar lampu isyarat dari Jan-Nov 2024 – CCTV di simpang utama dipertingkat

    “Kamera pengawasan (CCTV/sistem kamera lampu merah) di persimpangan utama akan dipertingkatkan bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dan (pesalah trafik) dapat ditangkap dengan segera,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan melanggar lampu isyarat merah diambil tindakan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000.

    “Pihak JSPT juga menyeru semua pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan fokus semasa memandu dan tidak tergesa-gesa melintasi lampu isyarat merah. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan dengan kerjasama semua, kita mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada pelanggaran peraturan lalu lintas terutamanya di persimpangan jalan utama,” tambahnya lagi.

     
     
  • Peugeot 5008 2024 kini dengan diskaun RM26,388

    Peugeot 5008 2024 kini dengan diskaun RM26,388

    Suka dengan rekaan Peugeot 3008 tetapi mahukan sesuatu yang lebih besar? Mungkin sesuatu yang mempunyai lebihan tempat duduk atau ruang barangan yang lebih luas? Ini bunyinya macam Peugeot 5008, yang mana dulu adalah sebuah MPV, tapi sekarang merupakan SUV tujuh tempat duduk.

    Ia boleh dianggap sebagai sebagai 3008 yang lebih besar, dipacu oleh enjin sama, iaitu unit empat silinder 1.6 liter turbo bersama transmisi automatik enam kelajuan Aisin, menghasilkan 167 PS dan tork 240 Nm. Melalui fungsi Advanced Grip Control, anda boleh memilih lima mod cengkaman termasuk Snow, Mud dan Sand.

    Satu ciri unik dan menarik pada kenderaan Peugeot moden adalah di bahagian kabin. 5008 ini datang dengan kokpit berbentuk futuristik, bersama panel instrumen i-Cockpit 12.3 inci dan skrin infotainmen 10 inci. Turut disediakan adalah sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan pengecas tanpa wayar.

    Kelebihan utama 5008 berbanding 3008 adalah badan yang lebih besar dan tambahan tempat duduk. Apabila baris paling belakang dilipat, anda akan disediakan dengan ruang kargo seluar 952 liter, yang mana jauh lebih besar berbanding 591 liter pada 3008. Malah walaupun dengan semua tempat duduk tegak, masih ada ruang barangan yang disediakan di belakang.

    Buat masa ini, terdapat sejumlah 5008 2024 yang ditawarkan dengan diskaun sehingga RM26,388 oleh Stellantis Malaysia, yang bermakna harganya kini menjadi RM159,000. Jaminan tujuh tahun/200,000 km diberikan secara standard, dan anda juga boleh menikmati servis percuma selama lima tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025