Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2024) yang baru melabuhkan tirai minggu lalu (5-11 Disember) telah menyaksikan seramai 183,222 pengunjung menghadiri pameran yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Penganjuran edisi ke-10 ini membawa tema “Beyond Mobility”, mengkedepankan teknologi mapan dan elektrifikasi. Lebih daripada 70 jenama utama automotif dan mobiliti telah mengambil bahagian, dengan jenama seperti Toyota, Perodua, Proton, Honda, Mitsubishi, Nissan, Mazda, Kia, Great Wall Motor (GWM), MG Motor, XPeng, Aion, Peugeot, Leapmotor, Modenas, Kawasaki, Royal Enfield dan Harley-Davidson ikut serta.
Selain pengenalan model baru, pameran berkenaan juga turut menampilkan barisan kereta konsep dan prototaip, dengan Toyota mempersembahkan inovasi terkini seperti FT-3e, Land Cruiser SE, Hilux FCEV dan Kayoibako, sementara Nissan menunjukkan Hyper Tourer.
Bagi Honda, ada Prelude Concept yang mencuri tumpuan utama, bersama dengan skuter elektrik Motocompacto serta kereta terbang konsep, eVTOL. Kemudian ada Perodua yang mewakili pengeluar tempatan dalam usaha yang sama, dengan menampilkan konsep EV eMO-II serta Ativa Fuze konsep.
KLIMS 2024 juga menawarkan hadiah menarik termasuk sebuah Toyota Yaris 1.5G Limited dan Perodua Axia X, yang menjadi ganjaran utama. Yaris tersebut dimenangi oleh Mohd Azzarain Abdul Aziz, sementara Leaw Xiu Qi membawa pulang Axia.
Untuk pempamer, ada juga Anugerah Rekaan Reruai Terbaik untuk beberapa kategori diraikan. Anugerah Rekaan Reruai Terbaik dinilai berdasarkan kriteria termasuk penampilan visual dengan grafik yang menarik perhatian serta penjenamaan yang jelas dengan tema “Beyond Mobility”.
Pempamer juga dinilai untuk cara penggunaan ruang yang cekap yang menggalakkan interaksi pengunjung, fungsi untuk menyokong demonstrasi dan persembahan produk, serta silang-aktiviti melalui elemen seperti pengalaman VR, skrin sentuh dan paparan praktikal.
Bagi kategori OEM (400 meter persegi ke atas), UMW Toyota Motor meraih tempat pertama, sementara Proton dan Perodua masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga kategori sama. Sementara itu, Stellantis Malaysia meraih hadiah utama bagi kategori OEM (399 meter persegi dan ke bawah), sementara bagi kategori bukan OEM, PECCA Leather meraih tempat pertama, dengan Wedrink Enterprise Management (Malaysia) di tempat kedua dan Didi Group di tempat ketiga.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan sebanyak 67,532 unit kenderaan telah dijual pada bulan November 2024. Ini menyaksikan penurunan sebanyak 3.3%, atau 2,327 unit, berbanding 69,859 unit yang didaftarkan pada Oktober 2024.
Persatuan berkenaan mengaitkan penurunan itu disebabkan pengguna yang mengamalkan sikap “tunggu dan lihat” berkenaan promosi akhir tahun. Diingatkan bahawa angka bulan lepas adalah 8% kurang daripada bulan yang sama pada 2023, yang menyaksikan 73,262 unit didaftarkan.
Walaupun begitu, jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat akhir November 2024 adalah 1.4% lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2023, dengan 731,534 unit dijual berbanding 721,392 unit. Bulan lalu, MAA telah menyemak unjuran TIV 2024 kepada 800,000 unit (daripada 765,000 unit).
Di mana kita telah mencapai tahap 91.4% daripada sasaran yang hanya berbaki sebulan lagi untuk diusahakan. Untuk Disember 2024, MAA menjangkakan promosi hujung tahun yang lebih agresif untuk melonjakkan lagi jualan dan TIV mengatasi angka yang tercatat pada November.
Bagi sudut produksi pula, sebanyak 60,927 unit telah dicatatkan pada bulan lalu, iaitu 10% kurang berbanding 67,743 unit yang direkodkan pada November tahun lalu. Bagi TIV produksi tahun ini, telah mencapai 725,173 unit, iaitu 2% lebih tinggi berbanding 708,376 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah melaksanakan Operasi Bersepadu Khas Tindakan Halangan dan Operasi Motosikal di sekitar Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Ceylon, Jalan Changkat, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier dan Jalan Tengkat Tungshin malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 376 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, tinjauan operasi mendapati masih lagi terdapat pemandu yang berdegil dan melakukan kesalahan halangan lalu lintas di sekitar Bukit Bintang walaupun operasi sama dilakukan pada hari sebelumnya.
“Hasil dari operasi berkenaan, polis telah mengeluarkan sebanyak 119 saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan halangan, manakala bagi Op Motosikal pula sebanyak 76 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan iaitu 12 saman tiada lesen memandu, 11 saman lesen tamat tempoh dan lapan saman untuk kesalahan tiada cermin sisi.
“Selain itu, 15 saman untuk kesalahan nombor plat tidak mengikut peraturan, tidak mempamerkan L/P (9), Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh (5), tiada nombor pendaftaran (12) dan tidak mengikat kemas topi keledar (4),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Manakala JPJ turut mengeluarkan 60 saman, dan 121 saman dikeluarkan oleh DBKL atas pelbagai kesalahan selain enam kenderaan ditunda membabitkan dua kenderaan oleh PDRM, manakala empat lagi oleh pihak DBKL
“PDRM menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya di kawasan sekitar Bukit Bintang kerana tindakan itu menyebabkan kesesakan teruk di kawasan berkenaan terutamanya pada hujung minggu. Operasi Bersepadu di sekitar Bukit Bintang akan diteruskan pada setiap minggu bagi memastikan pemandu dan penunggang sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.
Pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah dari pasukan Wing Hin Motorsport akhirnya memperolehi kemenangan pertama mereka dalam siri Kejohanan Thailand Super Series untuk kelas Super compact sejak penyertaan sulung mereka dalam perlumbaan tersebut bermula musim ini.
Kemenangan tersebut diperoleh dalam perlumbaan pusingan ke-7 TSS yang berlangsung pada Sabtu di Litar Antarabangsa Chang, Thailand. Tambah manis kejayaan berkenaan dicapai apabila Toyota Yaris Wing Hin Motorsport yang dipandu Naquib berjaya memintas Honda CRZ Mugen Thailand Insane Motorsport dipandu oleh Ayrton Achitaphon pada selekoh terakhir, lap terakhir dan memenangi perlumbaan itu pada jarak hanya satu bampar, selepas Mitchell memulakan perlumbaan yang berlangsung selama sejam tersebut di petak ke-9.
“Inilah yang kami usahakan dan akhirnya menang adalah bukti semua kerja keras yang dilakukan pasukan sepanjang musim. Kemenangan perlumbaan juga amat istimewa memandangkan pasukan bekerja sepanjang malam untuk membaiki kereta yang rosak ketika sesi kelayakan semalam,” kata Mitchell.
“Walaupun ini musim penuh pertama kami bersaing dalam Thailand Super Series, kami kompetitif sepanjang musim ini dan telah beberapa kali menaiki podium tetapi tidak pernah berjaya memenangi perlumbaan. Pada asasnya ini adalah musim pembelajaran buat kami terutamanya dalam siri dengan begitu banyak pasukan yang kompetitif dan lebih berpengalaman. Kemenangan perlumbaan ini dalam Super Compact, terutamanya dalam cara ia dimenangi – di selekoh terakhir – menebus semua kerja keras dan akan meletakkan asas yang kukuh untuk pasukan bergerak ke hadapan,” kata Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports K. C. Chua.
Untuk Naquib, tugasnya bukan hanya memandu dalam kelas Super Compact ini sahaja, malah turut berpasangan dengan seorang lagi pelumba muda negara, Amer Harris memandu Toyota GR Supra Wing Hin Motorsport untuk kelas GT-4. Kedua-dua pemandu tersebut berjaya mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan untuk bermula di petak pertama untuk perlumbaan pusingan ke-9 dan 10.
Seperti yang dijangka menerusi perjanjian Toyota dan Suzuki pada Oktober 2024, Toyota kini telah pun memperkenalkan SUV EV terbaharunya digelar sebagai Urban Cruiser EV, iaitu model yang diasaskan dari Suzuki eVitara yang baru sahaja diperkenalkan pada bulan lalu.
Menurut laporan Autocar, Toyota Urban Cruiser EV ini akan diproduksi menerusi fasiliti pemasangan Maruti Suzuki di India, dan ia akan membuat kemunculan sulungnya pada Brussels Motor Show 2025 yang akan berlangsung bulan hadapan.
Seperti kembar-kembar Toyota-Suzuki lain yang dipasang dibagi di India lain termasuk Toyota Urban Cruiser Taisor-Suzuki Fronx, Toyota Urban Cruiser HyRyder-Suzuki Grand Vitara, Toyota Urban Cruiser-Suzuki Vitara Brezza dan lain-lain, Toyota Urban Cruiser EV ini menampilkan muka yang lebih tersendiri berbanding Suzuki eVitara.
Ia menampilkan rekaan muka signatur jerung hammerhead terbaharu Toyota seperti pada Camry dan Prius generasi terbaharu. Di belakang, kluster lampu antara kedua-dua model masih nampak sama, tetapi dibezakan dengan grafik LED di dalamnya.
Selain dari itu, rekaan sisi termasuk pelindung-pelindung badan, bampar belakang, corak jejari rim dan sebagainya masih lagi sama antara satu sama lain.
Toyota Urban Cruiser EV ini menampilkan dimensi panjang 4,285 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,640 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi dari segi saiz model ini adalah lebih kecil berbanding SUV segmen-B Corolla Cross tetapi masih lagi lebih besar dari SUV segmen-A Toyota Raize atau Perodua Ativa.
Manakala bagi unit rangkaian kuasa, pilihan yang diberikan untuk Toyota Urban Cruiser ini adalah seiras dengan Suzuki eVitara. Ia ditawarkan dengan dua kapasiti bateri iaitu 49 kWj dan 61 kWj. Bagi versi bateri 49 kWj, ia hanya dipadankan dalam versi motor tunggal pacuan hadapan yang berkuasa 144 PS dan tork maksima 189 Nm.
Manakala versi bateri 61 kWj, ia diberikan motor pada gandar hadapan yang lebih berkuasa iaitu 174 PS/189 Nm, serta pilihan pacuan semua roda menerusi tambahan satu lagi motor berkuasa 65 PS pada gandar belakang membolehkan ia menerima kuasa keseluruhan 184 PS/300 Nm.
Menerusi gambar yang disiarkan, Urban Cruiser EV ini turut berkongsi bahagian dalaman yang sama dengan eVitara, cuma dibezakan dengan tema warna kemasan dalaman. Ia menampilkan papan pemuka yang dipadankan dengan paparan instrument digital dengan skrin 10.25-inci dan ia kelihatan bersambung dengan skrin infotainmen bersaiz 10.1-inci.
Papan pemuka tersebut didakwa diletakkan lebih rendah berbanding posisi duduk yang lebih tinggi. Ia juga dilengkapi dengan lampu suasana kabin 12-warna dan kamera 360-darjah. Untuk varian tertentu, Urban Cruiser EV ini turut hadir dengan sistem bunyi JBL, bumbung suria dan juga tempat duduk pemandu larasan kuasa.
Menurut Toyota, dengan jarak roda yang lebih lebih panjang dari Yaris Cross (pasaran Eropah dan Jepun), Urban Cruiser EV ini menawarkan “ruang kabin yang luas setara SUV segmen-D”. Tempat duduk belakangnya pula bukan sahaja boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40, malah turut boleh digelangsarkan ke hadapan dan belakang bagi memberikan ruang but lebih luas.
Untuk keselamatan pula, Toyota Urban Cruiser ini didatangkan sekali dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif, amaran keluar laluan, dan bantuan kekal lorong.
Lebih perincian berkenaan SUV EV ini seperti jarak gerak, sistem pengecasan dan sebagainya dijangka bakal didedahkan ketika kemunculan sulung globalnya di Belgium bulan depan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan tindakan khas melibatkan skuter elektrik (e-skuter) yang diletakkan di tempat awam sekitar Kuala Lumpur pada 11 Disember lalu.
“Hasil daripada tindakan tersebut, sebanyak 384 unit e-skuter telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” kata DBKL yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.
Dalam masa yang sama, DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan warga kota, pengunjung dan pelancong. Sekiranya terdapat sebarang aduan, sila salurkan ke pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.
Untuk pengetahuan anda,e-skuter adalah termasuk di bawah kumpulan kenderaan mikromobiliti yang hanya boleh digunakan di tempat yang tertentu dan dibenarkan sahaja.
Pada tahun 2022, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”).
Kenderaan mikromobiliti ini adalah merujuk kepada kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atau kuasa manusia yang digabungkan dengan mana-mana dua jenis kuasa yang disebutkan tadi, dengan kelajuan maksima 50 km/j. Ia termasuklah Moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan Personal Mobiliti Aids (PMA).
Antara contoh moped dan PMA yang diharamkan diguna di jalan raya adalah termasuk kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, manakala PMD pula merupakan kenderaan seperti e-Skuter, papan luncur, hoverboards dan skuter kaki.
Di mana penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis. Manakala jika melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipenjarakan selama tiga bulan.
Tidak keterlaluan rasanya untuk kita kata bahawa Omoda 5 adalah model yang menaikkan kembali nama Chery apabila ia masuk semula ke pasaran negara kita tahun lepas. Banyak yang sudah berada di atas jalan, terutamanya di Lembah Kelang, dan menurut data JPJ, lebih 7,200 unit didaftarkan dari Januari ke November tahun ini.
Model Chery paling popular ini menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo dan transmisi CVT dengan sembilan gear maya. Sejak tiba, ia terus dipasang dalam negara (CKD) dan membawa gaya rekaan unik serta bahagian dalam mewah dengan skrin bercantum serta konsol tengah yang tinggi.
Jika itu semua masih tidak dapat meyakinkan anda, sekarang Chery Malaysia sedang memberikan rebat sehingga RM13,000 untuk varian paling tinggi, H. Ini bermakna, dengan harga hanya sedikit melebihi RM100k, anda akan mendapat kemasan merah pada gril bawah, cermin sisi, bawah pintu, spoiler belakang serta rim, tempat duduk balutan kulit tiruan, bumbung suria, lapan pembesar suara Sony, tempat duduk dengan larasan kuasa dan liang udara, kamera 360 darjah, penunjuk arah sequential serta pintu but bukaan kuasa.
Kelengkapan yang disebutkan tadi tiada pada varian asas C, yang dijual pada harga RM99,800. Buat masa ini, ia tidak disediakan dengan sebarang tawaran, tetapi anda boleh mendapatkan warna baru iaitu Bloodstone Red atau Vanilla Blue body yang dibuat terhad 150 unit. Walaupun kekurangan berbanding H, ia masih datang dengan dua skrin 10.25 inci dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana serta pakej ADAS.
Secara terus, Chery Omoda 5 datang dengan jaminan tujuh tahun/150,000 km dan upah servis berselang percuma selama lima tahun. Tetapi, ia boleh ditingkatkan menjadi 10 tahun/1,000,000 km untuk waranti enjin dengan bayaran tambahan RM2,000, ataupun RM11,600 untuk menambahnya lagi dengan pakej servis Extra Peace of Mind selama tujuh tahun.
Tidak lupa juga, sekarang ini Chery Malaysia sedang mengadakan promosi ‘Great Year-End Lucky Draw’, yang menawarkan hadiah bernillai lebih RM150,000 berserta hadiah utama sebuah Omoda 5 baru untuk pembeli yang mendaftarkan kenderaan baru mereka dalam bulan ini.
Adakah anda antara orang yang dapat melihat Perodua eMO-II secara langsung di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 baru-baru ini? Jika tidak pun tidak mengapa, kerana Perodua ada menyediakan cara lain untuk lebih ramai memerhati kereta konsep mereka yang paling penting dan hebat ini.
Imbas kod QR di atas, ikut arahan yang diberi dan seterusnya anda boleh melihat eMO-II Concept dalam bentuk Augmented Reality (AR). Bukan setakat luaran, anda juga boleh melihat bahagian dalam kereta yang memberi petunjuk kepada EV produksi yang akan dikeluarkan tahun hadapan ini.
Untuk pengetahuan, Perodua bukan sengaja suka-suka mahu memulakan projek ini. Ia adalah bagi memenuhi hasrat kerajaan yang meletakkan tarikh akhir untuk Perodua mengeluarkan sebuah EV. Tidak seperti Proton, Perodua perlu membangunkannya dari kosong kerana rakan kongsi Jepun mereka, Daihatsu tidak mempunyai kereta yang sesuai untuk digunakan sebagai asas.
Projek ini bagaimanapun nampak berjalan baik dan ditunjukkan melalui model konsep yang dipanggil sebagai “Episod 2” ini. Kita boleh menjangkakan penggunaan bateri LFP daripada CATL, jarak gerak 400 km dan harga antara RM50k-RM90k bagi versi produksi nanti.
Perodua percaya, EV mereka nanti akan menjadi yang paling murah dalam pasaran, termasuk pada waktu apabila harga lantai RM100k bagi EV CBU telah dimansuhkan. Syarikat ini juga sedar, tidak mudah untuk membawa rakyat Malaysia bertukar daripada ICE ke EV, dan mereka akan cuba mengatasi masalah seperti tempat mengecas dan lain-lain.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan esok, 14 Disember 2024. Ia adalah sempena dengan program PDRM bersama Kerajaan Negeri Melaka.
Kaunter pembayaran saman berserta diskaun ini akan dibuka di hadapan Restoran Mc Donalds, Jalan Merdeka, Dataran Pahlawan dari jam 8.30 pagi hingga 9 malam. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.
Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Ops Selamat tahun semasa.
Jadi, jika anda berada di Melaka, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.
Individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak boleh memohon permit khas untuk membeli diesel melebihi had standard, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, menurut laporan Bernama.
“Pemohon hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada agensi berkaitan dan memohon melalui Sistem Permit Khas yang terdapat di portal KPDN (kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup).
“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari bagi pembelian di stesen minyak,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara semalam.
Beliau berkata kemudahan itu telah terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Rasionalisasi subsidi diesel bermula pada 10 Jun lalu dengan kaedah mengapungkan harga bahan api tersebut di Semenanjung Malaysia (kini RM2.95 seliter). Diesel bersubsidi disediakan kepada kenderaan logistik yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang melayakkan pengendali mendapat harga RM2.15 seliter.
Skim SKDS 1.0 diperkenalkan adalah untuk pengangkutan awam darat, termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba yang dikekalkan harganya pada RM1.88 seliter, manakala diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada RM1.65 seliter.
Sementara itu, program Budi Madani (untuk pemilik kenderaan diesel persendirian dan pekebun kecil pertanian; SKDS adalah untuk syarikat, anda tidak boleh memiliki kedua-duanya) menyalurkan bantuan kepada pemohon yang berjaya dengan subsidi berjumlah RM200 sebulan untuk menampung atau mengimbangi kos diesel mereka.
Selepas diumumkan pada Jun lalu, kini Boreham Motorworks telahpun mendedahkan model kelahiran semula untuk jentera rali jalan raya ikonik British iaitu Ford Escort Mk1 RS2000. Ini bukan model yang direstorasi semula, tetapi ia adalah baharu sepenuhnya dan mendapat lesen rasmi dari Ford. Hanya 150 unit dibina oleh Boreham Motorworks dengan menepati blueprint asal dari Ford dan menampilkan nombor casis yang disambung dari unit terakhir Escort Mk1 yang keluar dari kilang pada 1975.
Ketika zaman kegemilangannya Ford menawarkan Escort Mk1 ini dalam pelbagai varian, dan untuk model yang diproduksi semula oleh Boreham Motorworks ini adalah dari varian RS2000 dan diinspirasikan dari kereta lumba Group 5 Alan Mann Racing yang mendominasi perlumbaan British Saloon Car Championship pada tahun 1968.
Jadi Escort Mk1 RS2000 Boreham Motorworks ini tampil dengan lampu hadapan empat segi, tanpa sebarang bampar hadapan dan belakang, diberikan slot penyejuk pada bahagian bawah panel hadapan, dan juga bubble arch pada setiap ruang roda memberikan badan yang lebih lebar dan ‘berotot’ dari Escort biasa.
Manakala badan kereta ini menggunakan material logam yang lebih maju dari Escort asal, memberikan badan yang lebih tegar, dan ia turut menerima panel-panel badan dari gentian karbon seperti penutup bonet hadapan dan but belakang. Boreham Motorworks mensasarkan agar Escort Mk1 RS2000 yang diproduksi semula ini menampilkan berat hanya sekitar 800 kg.
Untuk unit rangkaian kuasa, kereta ini ditawarkan dengan dua jenis enjin yang boleh dipilih oleh pembeli, namun Boreham tidak memperincikan dengan jelas berkenaan siri enjin yang digunakan. Untuk pilihan pertama, ia menampilkan enjin Twin Cam berkapasiti 1,845 cc berkuasa yang diinspirasikan dari enjin asal RS2000.
Enjin berkenaan diberikan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan 185 PS, dan digandingkan dengan transmisi manual empat-kelajuan “Ford Bullet” menampilkan gigi gear jenis straight-cut.
Manakala untuk pembeli yang mahukan lebih kuasa, Boreham turut menawarkan pilihan enjin 2.1 liter yang menghasilkan kuasa 300 PS, serta boleh menjerit sehingga 10,000 rpm. Enjin berkenaan ditala untuk jalan raya, menampilkan komponen dalaman seperti rod penghubung logam forged, aci engkol billet dan sistem ekzos titanium.
Ia bukan sahaja menjadikan enjin tersebut lebih tahan dan berkuasa, malah enjin berkenaan ditimbang dengan berat tidak sampai 85 kg. Ia turut disuap dengan sistem suntikan bahan api serta sistem pendikit yang dikawal oleh elektronik. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dengan susunan kedudukan gear jenis dogleg.
Tak kira anda pilih enjin yang mana, kedua-duanya akan mengalirkan kuasa ke roda belakang menerusi gandar jenis ‘fully floating’ yang lebih ringan diperbuat dari material aluminium dan titanium, serta disumbat dengan LSD ATB. Tidak seperti Escort asal yang menggunakan spring dedaun di belakang, RS2000 dari Boreham ini telah pun menampilkan penyerap hentak bersama spring gegelung yang boleh dilaras.
Suspensi hadapan masih lagi menampilkan konfigurasi topang McPherson bersama titik-titik utama (hard point) pada casis Escort ini masih lagi dikekalkan. Namum Boreham telahpun mengoptimakan geometri pada suspensi berkenaan bagi mendapatkan cengkaman hadapan dan respon stereng lebih baik. Secara keseluruhan model yang dilahirkan semula ini menampilkan nisbah agihan berat hadapan dan belakang pada tahap 55:45.
Untuk roda, Boreham memadan kan set rim empat-jejari dengan rekaan yang sama seperti rim RS2000 asal. Ia dihasilkan semula dengan diameter 15-inci, menampilkan lebar 7-inci di hadapan dibalut dengan tayar 205/50R15 dan lebar 8-inci di belakang dibalut tayar 225/50R15. Bagi sistem brek pula, model ini diberikan cakera berliang 260 mm di hadapan yang dicengkam dengan angkup empat omboh, manakala di belakang ia diberikan cakera solid 264 mm dengan angkup dua omboh.
Rupa asal kabin Ford Escort ini juga masih dikekalkan, tetapi ia kini digandingkan dengan kemasan-kemasan serta fungsi yang lebih moden. Boreham membina semula papan pemuka Escort ini menggunakan material karbon yang lebih tahan dan ringan. Kemudian papan instrumen dan juga panel-panel suis pada konsol tengah turut telah direka semula dengan rupa lebih moden, tetapi masih kekal nampak seperti model klasik.
Ia hadir dengan sistem penghawa dingin dan juga pemanas, serta diberikan sistem audio dengan pemain utama menampilkan skrin bersaiz kecil. Pemandu diberikan roda stereng tiga-jejari jenis deep dish, manakala tempat duduk hadapan diberikan kerusi jenis bucket. Kemudian kabin Escort ini menerima kemasan balutan kulit asli dan Alcantara yang banyak termasuk pada papan pemuka, panel pintu dan sebagainya.
Kabin Escort RS2000 Boreham Motorworks ini juga datang dengan rollcage secara standard, dengan bar yang mudah dibuka dan juga tali pinggang perlumbaan empat point, bersama ruang untuk menyimpan helmet yang diperbuat dari gentian karbon pada kabin belakang, seperti sebuah kereta rali sebenar.
Jika pada eranya Ford Escort Mk1 merupakan kereta biasa dengan harga marhaen, Escort Mk1 RS200 dari Boreham Motorworks nampaknya sudahpun menjadi model yang boleh diklasifikasikan sebagai eksotik. Ia dijual pada harga bermula £295,000, atau sekitar RM1.6 juta, dan Boreham memberikan waranti pengeluar seperti kereta baharu iaitu selama dua tahun atau 20,000 batu.
Kejadian banjir yang banyak berlaku kebelakangan ini di seluruh negara tidak hanya mengakibatkan kerosakan harta benda peribadi dan pemindahan mangsa banjir ke tempat selamat, tetapi turut juga membawa banyak kerosakan terhada prasarana jalan raya di kawasan terlibat.
Untuk itu, menurut Kementerian Kerja Raya, kos baik pulih keseluruhan jaringan jalan raya yang rosak akibat banjir di seluruh negara ketika ini adalah dianggarkan sebanyak RM312.1 juta setakat 11 Disember.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan jumlah berkenaan terdiri daripada RM247 juta yang diperlukan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk baik pulih kawasan cerun Persekutuan dan RM24.8 juta untuk jalan negeri. Bagaimanapun, kos akhir masih lagi belum ditentukan dan kementeriannya masih menilai tahap kerosakan dan kos baik pulih semua yang terlibat, lapor Bernama.
“Kos akhir akan diserahkan dalam masa terdekat. Pasukan saya sedang bertungkus-lumus di lapangan untuk membantu mereka yang terkesan oleh banjir. Sebelum ini kami telah mengaktifkan operasi bencana banjir di tahap kementerian, dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan akibat bencana itu tahun ini,” ujarnya.
Pengendali Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) mengumumkan lorong kecemasan dan lorong perlahan di KM 9.3 (arah utara) lebuhraya terbabit sedang ditutup buat sementara waktu sejak kelmarin atas faktor-faktor keselamatan. Di mana ia melibatkan laluan dari Eco Majestic ke Semenyih.
Ia dalah susulan kejadian cerun runtuh dan penutupan kedua-dua lorong terbabit bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih kawasan terjejas dilaksanakan.
“Pengguna lebuhraya dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan papan tanda amaran/trafik. Pandu dengan perlahan dan hati-hati memandu semasa menghampiri lokasi kejadian. Pihak LEKAS memohon maaf di atas segala kesulitan dan kerjasama daripada pengguna lebuh raya amatlah kami hargai demi keselamatan dan keselesaan semua,” kata LEKAS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (MoT) Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di jalan raya, laporan Harian Metro.
Jelas beliau, pindaan itu bertujuan menjadi bentuk pencegahan kepada pihak yang terbabit dalam aktiviti berkenaan, selain tidak menolak memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Selain itu, ia juga bertujuan memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi bentuk pencegahan kepada pelaku.
“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Draf pindaan membabitkan Akta 333 ini dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.
“Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai tindakan paling berkesan boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya yang sentiasa mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Hasbi berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan bagi menangani permasalahan sama. Malahan JPJ dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM juga sedang meningkatkan pemantauan terhadap kumpulan dan individu terbabit secara aktif dalam gejala mat rempit.
“MoT melalui JPJ juga akan melaksanakan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi.
“Mengenai kuasa melupuskan kenderaan disita, JPJ melakukan tindakan penguatkuasaan bagi kesalahan modifikasi secara ekstrem dan rempit atau lumba haram. Pelupusan kenderaan disita atas alasan modifikasi motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal lain. Ini kerana kebanyakan mat rempit tidak gentar dengan tindakan sita yang dikenakan memandangkan mereka tahu segala barangan disita akan dipulangkan semula,” katanya.
Kerajaan, melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM463 juta untuk memperbaiki servis pengangkutan awam. Menurut timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, peruntukan itu adalah mengikut seperti mana yang telah diumumkan semasa bajet 2025, sebagai salah satu persediaan negara untuk menganjurkan Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam satu kenyataan, Zahid memberitahu bahawa pertemuan oleh jawatan kuasa untuk meluluskan peruntukan tersebut turut membincangkan beberapa isu lain yang berkaitan keselamatan dan kesesakan jalan raya, serta formula untuk inisiatif penyelesaian komprehensif yang mensasarkan penggunaan lebih pengangkutan awam lebih meluas di Lembah Kelang serta negeri-negeri di utara.
Antaranya adalah seperti pelaksanaan lorong khas bas berterusan, yang terbukti berjaya meningkatkan jumlah pengguna harian, mengurangkan masa perjalanan dan memperbaiki kelajuan komersial sejak ia diperkenalkan di Kuala Lumpur Julai tahun lalu, seperti dilaporkan oleh Bernama.
Sejak dari waktu itu, program tersebut dilaksanakan pula di kawasan lain di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan tambahan jalan lain di Kuala Lumpur bermula November 2024, termasuk Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak, dengan peruntukan RM10 juta khas untuk perluasan ini.
Sebagai tambahan, servis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Prasarana Malaysia yang diperkenalkan Jun lalu untuk memperbaiki hubungan batuan akhir telah mengurangkan waktu menunggu daripada 40 minit ke 13 minit. Pada masa ini, DRT mempunyai 20 van yang beroperasi, tetapi ada perancangan untuk menambah jumlahnya kepada 300 unit di masa hadapan.
Dalam pertemuan itu Zahid turut membuat keputusan untuk mewajibkan semua bas bawah kategori Completely Knocked Down (CKD) untuk dipasang dengan alat pengehad kelajuan bermula 1 Januari 2026, di bawah prosedur kelulusan jenis kenderaan (VTA). Menurut beliau, ini dapat meningkatkan kepatuhan kepada had laju yang ditetapkan dan mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial.
Zahid juga menambah bahawa persetujuan telah diperoleh untuk menguatkan kerjasama antara agensi dengan melaksanakan satu kajian menyeluruh, diketuai oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), termasuk perkongsian data dan sesi perjumpaan untuk mengenal pasti langkah yang lebih cekap untuk mengatasi masalah keselamatan dan kesesakan jalan raya.