Toyota telah memperkenalkan SUV kompak baru, Urban Cruiser di India. Ia menggunakan asas daripada Suzuki Vitara Brezza, dan menjadi model Toyota kedua yang dibina atas asas Suzuki, selepas Glanza yang diperkenalkan pada tahun 2019 (sama dengan Baleno).
Meskipun kebanyakan bahagian luar nampak sama seperti Brezza, Urban Cruiser ini mempunyai muka hadapan yang lebih mirip kepada Fortuner. Antara bahagian lain yang berbeza berbanding model Suzuki adalah gril hadapan lebih besar dengan dua jalur, perumah lampu kabus trapezoid serta kemasan bawah bampar hitam. Rim 16 inci dan lampu LED masih sama seperti Brezza.
Bahagian dalam juga melihatkan rekaan yang sama, dengan antara cirinya termasuk sistem pemula tanpa kunci, pendingin hawa automatik, cruise control, cermin pandang belakang electrochromic dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh yang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Model Toyota ini juga datang dengan balutan tempat duduk coklat gelap, berbanding hitam pada Brezza.
Menggerakkan Urban Cruiser ini adalah enjin petrol empat silinder 1.5 liter K15B sama seperti Brezza. Toyota tidak mendedahkan kuasa untuk model ini, tetapi pada Brezza, ia mampu menghasilkan 105 PS (103 hp) pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm. Ia digabungkan bersama transmisi sama ada automatik empat kelajuan (disokong dengan sistem hibrid ringkas) atau manual lima kelajuan.
Harga sebenar dan senarai varian yang ditawarkan hanya akan didedahkan kemudian, tetapi pelanggan di India sudah boleh menempah kenderaan ini pada harga 11,000 rupee (RM616). Sama seperti model yang melibatkan kolaborasi Suzuki dan Toyota sebelum ini, Urban Cruiser akan dibuat di kilang Maruti Suzuki di Gurgaon.