Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Peugeot 5008 2024 kini dengan diskaun RM26,388

    Peugeot 5008 2024 kini dengan diskaun RM26,388

    Suka dengan rekaan Peugeot 3008 tetapi mahukan sesuatu yang lebih besar? Mungkin sesuatu yang mempunyai lebihan tempat duduk atau ruang barangan yang lebih luas? Ini bunyinya macam Peugeot 5008, yang mana dulu adalah sebuah MPV, tapi sekarang merupakan SUV tujuh tempat duduk.

    Ia boleh dianggap sebagai sebagai 3008 yang lebih besar, dipacu oleh enjin sama, iaitu unit empat silinder 1.6 liter turbo bersama transmisi automatik enam kelajuan Aisin, menghasilkan 167 PS dan tork 240 Nm. Melalui fungsi Advanced Grip Control, anda boleh memilih lima mod cengkaman termasuk Snow, Mud dan Sand.

    Satu ciri unik dan menarik pada kenderaan Peugeot moden adalah di bahagian kabin. 5008 ini datang dengan kokpit berbentuk futuristik, bersama panel instrumen i-Cockpit 12.3 inci dan skrin infotainmen 10 inci. Turut disediakan adalah sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan pengecas tanpa wayar.

    Kelebihan utama 5008 berbanding 3008 adalah badan yang lebih besar dan tambahan tempat duduk. Apabila baris paling belakang dilipat, anda akan disediakan dengan ruang kargo seluar 952 liter, yang mana jauh lebih besar berbanding 591 liter pada 3008. Malah walaupun dengan semua tempat duduk tegak, masih ada ruang barangan yang disediakan di belakang.

    Buat masa ini, terdapat sejumlah 5008 2024 yang ditawarkan dengan diskaun sehingga RM26,388 oleh Stellantis Malaysia, yang bermakna harganya kini menjadi RM159,000. Jaminan tujuh tahun/200,000 km diberikan secara standard, dan anda juga boleh menikmati servis percuma selama lima tahun.

     
     
  • Bas percuma GoKL – warga asing perlu bayar tambang untuk tiga laluan lagi mulai Januari 2025

    Bas percuma GoKL – warga asing perlu bayar tambang untuk tiga laluan lagi mulai Januari 2025

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan warga asing perlu membayar tambang bagi perkhidmatan bas GoKL untuk tiga laluan lagi iaitu Laluan 05 (Jingga), Laluan 06 (Merah Jambu) dan Laluan 08 (Merah Manggis), yang berkuatkuasa mulai Januari 2025.

    Di mana Laluan 05 (Jingga) melibatkan laluan Hab Titiwangsa ke MINDEF, Laluan 06 (Merah Jambu) melibatkan laluan Stesen LRT Universiti ke PPR Seri Pantai dan Laluan 08 (Merah Manggis) melibatkan laluan Stesen KTM/MRT Kampung Batu ke Chow Kit.

    Sebelum ini, penumpang warga asing dikecualikan daripada menikmati perkhidmatan bas secara percuma yang dilaksanakan sejak akhir 2023, bermula dengan empat laluan – 01 (Hijau), 02 (Ungu), 03 (Merah) dan 04 (Biru).

    Bas percuma GoKL – warga asing perlu bayar tambang untuk tiga laluan lagi mulai Januari 2025

    “Bukan warganegara akan dicaj RM1 setiap perjalanan, dengan pembayaran diterima hanya melalui kaedah tanpa tunai, termasuk kad Touch ‘n Go, kod QR, atau kad kredit dan debit,” kata DBKL dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Manakala rakyat Malaysia pula diminta untuk daftar menggunakan MyKad yang mempunyai sistem Touch ‘n Go untuk menikmati perkhidmatan bas GoKL secara percuma. Walau bagaimana pun, perkhidmatan bas GoKL ini kekal percuma untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak kira warga negara dan tidak memerlukan sebarang pendaftaran.

    Pendaftaran MyKad untuk tujuan ini telah bermula pada 15 Disember, dan boleh dilakukan di lokasi termasuk Hentian Akhir Titiwangsa, Stesen LRT Universiti (Timur), dan Hentian One Maxim dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dan dari 2 petang hingga 7 malam (Isnin hingga Jumaat), menurut DBKL.

    Lokasi seterusnya ialah Jabatan Pengangkutan Bandar, Menara DBKL 2 di mana kaunter pendaftaran tambahan akan disediakan, dan beroperasi dari 9 pagi hingga 12 tengah hari, dan dari 2 petang hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat), tambah kDBKL lagi.

     
     
  • Pencabar Alphard, MPV GWM Wey 80 hibrid akan dipasang di Melaka bermula penghujung 2025

    Pencabar Alphard, MPV GWM Wey 80 hibrid akan dipasang di Melaka bermula penghujung 2025

    Semalam EP Manufacturing (EPMB) telahpun mengeluarkan kenyataan bagi mengumumkan bahawa kilang pemasangan kenderaannya di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka telah pun berjaya mencapai produksi 1,000 unit GWM Haval H6 selepas ia mula beroperasi sejak September lalu. Dalam kenyataan yang sama, EPMB turut mendedahkan bahawa ia akan memproduksi dua lagi model jenama GWM pada tahun hadapan.

    Model pertama dengan jelas EPMB menyebut bahawa ia akan memasang SUV Haval Jolion HEV bermula April 2025. Dan satu lagi model syarikat itu hanya menyebut sebagai “MPV untuk pasaran ASEAN” tanpa memberikan nama sebenarnya. Namun ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show baru-baru ini, GWM ada membawa MPV dari sub-jenama mewahnya iaitu Wey 80 untuk di prebiu pada orang ramai.

    Jadi boleh dijangka MPV yang disebut akan dipasang secara tempatan (CKD) itu adalah Wey 80. Dan berdasarkan kenyataan “untuk pasaran ASEAN”, Wey 80 yang akan dipasang oleh EPMB ini bukan hanya untuk pasaran Malaysia, malah turut akan dieksport ke negara-negara jiran.

    Pencabar Alphard, MPV GWM Wey 80 hibrid akan dipasang di Melaka bermula penghujung 2025

    Buat masa sekarang belum ada lagi Wey 80 dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan model yang dipamerkan di KLIMS 2024 tempoh hari masih dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dari China. Namun model pra-produksi versi RHD mungkin akan ditunjukkan tidak lama lagi sebelum pemasangannya di Melaka yang dijangka akan bermula akhir tahun hadapan.

    Seperti yang anda boleh lihat, Wey 80 merupakan lawan terus kepada MPV mewah Toyota Alphard dan Vellfire. MPV tujuh tempat-duduk ini menampilkan dimensi panjang 5,045 mm, lebar 1,960 mm, timggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm.

    Model yang dipamerkan tersebut menampilkan unit rangkaian kuasa hibrid plug-in Hi4, dan berkemungkinan besar akan ditawarkan pada model pasaran Malaysia kelak. Sistem berkenaan menggandingkan enjin petrol 1.5 liter turbo berkuasa 156 PS bersama dua motor elektrik – sebuah pada gandar hadapan dengan kuasa 177 PS dan sebuah lagi di belakang berkuasa 181 PS.

    Jadi secara keseluruhan MPV ini akan digerakkan dengan kuasa 487 PS dan tork maksima 762 Nm. Manakala dua motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri berkapasiti 37.96 kWj yang boleh memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya pada jarak 140 km dalam kitaran ujian CLTC.

    Pada bahagian kabin, Wey 80 ini menerima perincian seperti balutan kulit dengan corak quilted, tempat duduk graviti-sifar serta tempat duduk kapten pada baris kedua yang dilengkapi dengan meja yang boleh dilipat. Tempat duduk baris kedua dan ketiga berkongsi rel bersama dengan jarak 1,845 mm membolehkan ia dilaras bagi memberikan ruang kaki dengan jarak 1,166 mm untuk penumpang pada baris kedua.

    Selain itu ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi dari Harman Kardon berkuasa 1,600 watt bersama 16-pembesar suara, serta peti sejuk bersaiz besar dengan pemampatnya sendiri membolehkan suhunya dilaras dari 0 hingga -50% selsius dan boleh memuatkan sehingga 14 tin air bersaiz standard dalam satu-satu masa.

     
     
  • Chery anjur promosi hujung tahun – rebat hingga RM4,000 menanti untuk pembeli SUV Tiggo 7 Pro

    Chery anjur promosi hujung tahun – rebat hingga RM4,000 menanti untuk pembeli SUV Tiggo 7 Pro

    Chery Malaysia sedang menganjurkan kempen promosi hujung tahun, dan antara model yang terlibat sudah tentulah SUV Tiggo 7 Pro. Ia ditawarkan dengan rebat sehingga RM4,000 dari senarai harga atas jalannya RM123,800 tanpa insurans.

    Rebat untuk Tiggo 7 Pro ini juga sedang berlangsung bersama-sama cabutan bertuah akhir tahun oleh Chery Malaysia, yang dilaksanakan sehingga 31 Disember 2024 dengan hadiah bernilai lebih RM150k untuk dimenangi, menurut syarikat itu. Chery Tiggo 7 Pro turut disertakan dengan waranti tujuh-tahun, 150,000 km dengan liputan perkhidmatan menunda tanpa had untuk perbatuan dan tempoh yang sama, dan lima-tahun servis percuma.

    Untuk mengambil bahagian, pelanggan perlu membeli mana-mana kenderaan Chery baharu daripada pengedar Chery yang sah atau roadshow yang dijalankan sehingga 31 Disember tahun ini, dan pastikan butiran tempahan dan pendaftaran kenderaan yang anda beli ini didaftarkan ke dalam sistem Chery oleh wakil pengedar.

    Selepas itu, pemenang akan dipilih melalui cabutan secara rawak, dan bakal diumumkan menerusi platform media sosial Chery dalam masa tiga bulan selepas peraduan tamat. Hadiah yang bakal dimenangi termasuk peralatan dapur daripada KitchenAid dan Le Crueset, pembersih vakum daripada Dyson, konsol permainan Nintendo serta baucar membeli-belah.

    SUV Tiggo 7 Pro lima-tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo, empat-silinder yang menghasilkan 197 hp pada tork 290 Nm, disalur ke roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam 8.3 saat, dan kelajuan tertinggi mencecah 205 km/j.

    Sistem bantuan pemandu Chery ‘ADAS 2.5’ turut diberikan yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop & Go, bantuan pemusatan lorong, amaran perlanggaran belakang, pemantauan titik buta dengan pencegahan perlanggaran, amaran trafik lintasan belakang dengan brek automatik dan lampu tinggi automatik. Ia juga diberikan ciri keselamatan standard iaitu kawalan kestabilan dan tujuh beg udara.

    Ia juga ditawarkan dengan warna luaran pilihan termasuk Carbon Black, Nasdaq Silver, Phantom Grey dan Khaki White dengan kontras bumbung hitam.

     
     
  • JPJ cawangan Putrajaya ditutup mulai 18 Dis 2024 hingga 1 Jan 2025 bagi proses pindah lokasi baharu

    JPJ cawangan Putrajaya ditutup mulai 18 Dis 2024 hingga 1 Jan 2025 bagi proses pindah lokasi baharu

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan cawangannya di Putrajaya akan ditutup bermula esok, 18 Disember 2024, sehingga 1 Januari 2025. Ia bertujuan bagi kelancaran proses perpindahan ke pejabat baharu bagi cawangan itu yang terletak di Aras 1, Galeria PJH, Putrajaya.

    “Para pelanggan JPJ yang ingin berurusan boleh hadir ke JPJ Negeri/Cawangan yang berdekatan atau perkhidmatan kios JPJ serta kaunter bergerak JPJ Mobile di sekitar Putrajaya,” kata JPJ yang dikongsikan menerusi laman media sosial rasminya.

    JPJ cawangan Putrajaya ditutup mulai 18 Dis 2024 hingga 1 Jan 2025 bagi proses pindah lokasi baharu

    Terkini, JPJ telah memaklumkan pengoperasian perkhidmatan kaunter bergerak JPJ Mobile di Putrajaya yang sudah mula beroperasi sejak 16 Disember 2024 dan akan berlangsung hingga 17 Januari 2025. JPJ Mobile ini akan ditempatkan di bangunan Galeria di Presint 4, Suasana PJH Presint 2, Ayer 8 Presint 8 dan Presint Diplomatik di Presint 15.

    Senarai urusniaga yang boleh dilakukan menerusi JPJ Mobile ini ialah pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL & PDL), pembaharuan Lesen Memandu Vokasional (PSV & GDL), pembaharuan LKM (Persendirian & Perdagangan), semakan saman, pembayaran saman (kecuali kes senarai hitam) dan pendaftaran aplikasi MyJPJ.

     
     
  • Proton eMas 7 terima penarafan 5-bintang ASEAN NCAP – markah tertinggi dalam protokol baharu

    Proton eMas 7 terima penarafan 5-bintang ASEAN NCAP – markah tertinggi dalam protokol baharu

    Selepas Neta V, Proton eMas 7 menjadi model EV kedua yang diuji oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Namun penarafan yang diterima oleh kedua-dua model ini benar-benar kontra – jika Neta V menjadi model pertama yang menerima sifar bintang di bawah ujian protokol baharu 2021-2025, Proton eMas 7 pula diiktiraf sebagai model yang menerima markah paling tinggi untuk protokol baharu yang lebih ketat tersebut.

    Keputusan ujian dengan penarafan lima bintang ini telah diumumkan ketika Proton eMas 7 dilancarkan semalam. Secara keseluruhan eMas 7 diberikan 92.57 markah, di mana dalam penilaian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) ia menerima 31.20 markah dari 32 markah penuh, 44.17 markah dari 51 markah penuh untuk penilaian Perlindungan Penumpang kanak-kanak (COP), 21 markah penuh untuk aspek Bantuan Keselamatan serta penilaian Keselamatan Penunggang Motosikal dengan 13 markah dari 16 markah penuh.

    Seperti yang boleh dilihat dari keputusan berkenaan, markah tinggi yang dicapai oleh eMas 7 ini adalah disumbangkan dari aspek Bantuan Keselamatan. Model ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, amaran keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang yang berfungsi dengan baik ketika diuji.

    Manakala untuk aspek Keselamatan Penunggang Motosikal, markah yang diberikan adalah berdasarkan prestasi fungsi pemantau titik buta yang diberikan pada EV tersebut.

    “Dengan trend yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna di mana model-model EV kini semakin diminati, Proton telah memastikan bahawa keselamatan tidak boleh dikompromi seperti mempunyai struktur yang kukuh untuk melindungi penumpang dan sistem sekatan keselamatan yang boleh diterima,” kata ASEAN NCAP dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Tambahan pula, ASEAN NCAP sememangnya berbangga kerana Proton telah melengkapkan modelnya dengan teknologi keselamatan aktif sebagai kelengkapan standard dalam semua variannya. Sekalung tahniah kepada eMas 7 kerana mencapai penarafan lima bintang. Kami berharap pencapaian luar biasa ini dalam meningkatkan keselamatan kenderaan di rantau ASEAN terus menetapkan standard untuk diikuti oleh pihak lain,” tambahnya.

     
     
  • Rundingan pelaksanaan sistem MLFF tamat, akan dibawa ke Kabinet Januari ini – Ahmad Maslan

    Rundingan pelaksanaan sistem MLFF tamat, akan dibawa ke Kabinet Januari ini – Ahmad Maslan

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah pun mengeluarkan surat kepada syarikat konsesi lebuhraya yang terbabit dalam projek pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) bahawa rundingan terbabit tidak akan diteruskan.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, kementeriannya akan membawa Kertas Jemaah Menteri mengenai hala tuju pelaksanaan sistem MLFF ke Kabinet pada Januari ini, laporan Berita Harian.

    “(Proses rundingan) tidak diteruskan kerana hari ini (semalam) adalah hari akhir, maka kita sudah mengeluarkan surat pada syarikat berkaitan untuk tidak meneruskan rundingan. Jadi KKR akan menyediakan dan mengangkat kertas Majlis Jemaah Menteri berhubung hala tuju MLFF kepada Kabinet bulan depan untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.

    Rundingan pelaksanaan sistem MLFF tamat, akan dibawa ke Kabinet Januari ini – Ahmad Maslan

    Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan halangan utama pelaksanaan sistem MLFF adalah kesukaran memuktamadkan struktur tadbir urusnya. Di mana proses itu membabitkan banyak pihak terutama mendapatkan persetujuan daripada semua syarikat konsesi yang terbabit selain berdepan cabaran bagi merangka rang undang-undang (RUU) bagi pelaksanaan sistem berkenaan.

    Sebelum ini, Nanta Linggi mengakui terdapat kira-kira 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem MLFF.

    MLFF merupakan satu cara untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia adalah sistem kutipan tol yang tidak memerlukan kenderaan untuk lalu dengan perlahan atau berhenti di plaza tol. Ia telah mula diperkatakan sejak tahun 2009. Pada Mac 2023, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR).

     
     
  • Proton telah eksport 200 unit pertama X50 versi pemanduan sebelah kiri ke Vietnam – CEO Geely Auto

    Proton telah eksport 200 unit pertama X50 versi pemanduan sebelah kiri ke Vietnam – CEO Geely Auto

    Ketika majlis pelancaran Proton eMas 7 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam, CEO Geely Auto Jerry Gan mendedahkan bahawa Proton telah mengeksport sejumlah 200 unit SUV segmen-B X50 dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) ke Vietnam.

    Menurut beliau, penghasilan Proton X50 dalam versi LHD tersebut merupakan langkah pertama bagi menjadikan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) yang terletak di Tanjung Malim sebagai hab eksport serantau. Walau bagaimanapun tiada perincian lanjut mengenai perkara ini disebut oleh Gan atau eksekutif Proton yang lain berkenaan pengedar jenama itu di Vietnam dan sebagainya.

    Sebelum ini Proton memang sudah ada mengeksport model-model untuk pasaran LHD seperti di Eropah, Timur Tengah dan sebagainya. Buat masa sekarang Proton masih mempunyai pasaran LHD yang aktif seperti di Mesir dan Jordan, tetapi hanya Saga yang masih dijual di sana.

    Mungkin dengan penghasilan unit-unit awalan X50 LHD ke Vietnam ini akan membuka lembaran eksport baharu buat Proton kerana 70% pasaran automotif global adalah menggunakan kofigurasi pemanduan sebelah kiri. Ketika peringkat awal kerjasama antara Proton dan Geely, jenama automotif nasional itu diharapkan akan menjadi ‘wakil’ Geely pada pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Namun menerusi model EV baharu Geely Galaxy E5/EX5 yang dibangunkan bersama dengan Proton dan terus hadir dalam versi LHD dan RHD, Geely nampaknya bertapak di pasaran-pasaran RHD penting seperti Thailand, Indonesia dan Australia. Adakah rancangan awal tersebut kini sebenarnya telah berubah?

     
     
  • Proton eMas 7 EV akan dilancar di Mauritius, Nepal, Singapura, Trinidad & Tobago; juga mungkin ke Brunei

    Proton eMas 7 EV akan dilancar di Mauritius, Nepal, Singapura, Trinidad & Tobago; juga mungkin ke Brunei

    Ketika pelancaran model Proton eMas 7 petang tadi, jenama automotif nasional itu turut mengumumkan beberapa pasaran eksport yang telah disahkan turut akan menerima model SUV EV berkenaan.

    Menurut Proton, model EV pertamanya ini sah akan dipasarkan Mauritius, Nepal, Singapura serta Trinidad & Tobago. Proton turut mengumumkan keputusan ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP), jadi ada kemungkinan eMas 7 ini juga mungkin akan dibawa ke satu lagi pasaran lazim Proton di ASEAN iaitu Brunei.

    Dengan pelancaran kembarnya iaitu Geely EX5 di Thailand baru-baru ini serta dirancang akan dilancarkan di Indonesia tidak lama lagi, kebarangkalian untuk Proton eMas 7 turut berada di dua antara pasaran terbesar di ASEAN itu adalah tipis.

    Untuk pasaran Malaysia, eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • Proton eMas 7 EV 2025 rasmi dilancar – RM110k-RM124k, 218 PS/320 Nm, sehingga 410 km WLTP

    Proton eMas 7 EV 2025 rasmi dilancar – RM110k-RM124k, 218 PS/320 Nm, sehingga 410 km WLTP

    Setelah pelbagai gimik untuk teaser termasuk penampilannya ke seluruh negara dengan pelekat penyamaran, akhirnya EV pertama dari Proton iaitu eMas 7 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, eMas yang merupakan kembar kepada Geely Galaxy E5/EX5 yang telah dilancarkan di China dan Thailand ditawarkan dalam dua varian di Malaysia.

    Varian asas EV ini dikenali sebagai eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala varian tertinggi eMas 7 Premium dijual pada harga RM123,800. Namun untuk 3,000 pembeli terawal, Proton menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800.

    Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km. Juga semua pembeli akan diberikan pengecas rumah dan juga adaptor sistem V2L yang bernilai RM2,000 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun juga secara percuma.

    Dengan pelekat penyamaran akhirnya ditanggalkan, seperti dijangka eMas 7 menampilkan bahagian luaran yang seiras dengan Galaxy E5, kecuali logo-logo dan lencana dari Geely ditukar kepada Proton. Lima warna badan ditawarkan untuk eMas 7 ini termasuk Platinum Silver, Turqouise Blue, Slate Gray, Quartz Rose, dan Lithium White.

    eMas 7 dan Galaxy E5 merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama dibawah naungannya yang lain.

    Namun menurut Proton, eMas 7 bukanlah model rebadge kerana ia merupakan model hasil usahasama antara Proton dan Geely, di mana pembangunan awalan EV ini bersama kembarnya Geely Galaxy E5 telah dibuat bersama di China. Menurut Proton kerja-kerja pembangunan berkenaan telah melibatkan 230 orang tenaga kerjanya, serta perkongsian modal.

    Usaha sama ini juga membolehkan Galaxy E5 terus diperkenalkan dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) – pertama kali untuk sebuah model dengan lencana Geely. Secara keseluruhan sejumlah 700,000 jam kerja telah digunakan untuk pembangunan model ini dengan ujian sejauh 10 juta km.

    Geely Galaxy E5 telahpun dilancarkan di China awal Ogos lalu, namun untuk eMas 7 pembangunannya diteruskan di Malaysia bagi disesuaikan untuk pasaran tempatan. Empat ujian jalan raya dibuat dalam program pembangunan tempatan ini termasuk Ujian Adaptasi Ketahanan (DAT), Ujian Elektrikal Jalan Raya (ERT), ujian untuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT). Selain itu Proton turut membuat penyesuaian pada sistem infotainmen, sistem navigasi bina-dalam dan juga servis telematik eMas 7 ini.

    Ujian tempatan ini melibatkan perjalanan sejauh 100,000 km. Proton menegesahkan bahawa ia telah membuat talaan suspensi tersendiri untuk eMas 7 yang lebih sesuai untuk keadaan jalan raya tempatan, dan ia juga boleh meredah air pada paras kedalaman maksimum 400 mm – lebih dalam dari spesifikasi pada Geely Galaxy E5 – bagi memastikan ia diberikan perlindungan tambahan sekiranya berhadapan dengan situasi banjir.

    Kedua-dua varian eMas 7 pasaran Malaysia ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Untuk bateri, eMas 7 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    Proton eMas 7 diberikan sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Sistem Vehicle-to-load (V2L) bagi membolehkan bateri pada EV ini digunakan untuk peralatan elektrik lain. Bagi suspensi pula, bahagian hadapan SUV ini menerima tetapan topang McPherson manakala di belakang diberikan sistem multilink.

    Sekali imbas varian Prime boleh dikenali dengan pemadanan rim aloi 18-inci dengan tayar Giti 255/55R18, manakala varian Premium pula datang dengan rim aloi 19-inci dengan tayar 235/50R19.

    Kedua-dua varian menerima perincian standard termasuk lampu hadapan LED automatik dengan fungsi Follow-me-home dan lampu tinggi aktif, lampu belakang LED 3D, rel bumbung, pengelap cermin automatik, serta cermin pandang belakang auto-lipat dengan fungsi pemanas.

    Varian Premium pula menerima tambahan perincian seperti bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa dan juga penutup gril hadapan aktif.

    Proton eMas 7 EV 2025 rasmi dilancar – RM110k-RM124k, 218 PS/320 Nm, sehingga 410 km WLTP

    Proton eMas 7 turut berkongsi rekaan dalaman yang sama dengan Geely Galaxy E5, tetapi dalam versi RHD dan juga tema kemasan yang berbeza. Ia diberikan papan pemuka dengan skrin tengah gergasi bersaiz 15.5-inci, paparan instrumen pemandu dengan skrin 10.2-inci, roda stereng berbentuk oblong dengan fungsi anti-bakteria dan juga konsol tengah yang direka berorientasikan pemandu.

    Berbanding Galaxy E5 yang datang dengan kabin berwarna Light Cream, eMas 7 menerima kemasan-kemasan dalaman berwarna Indigo Blue (lebih nampak maca hitam) yang lebih sesuai dengan Malaysia. Juga dapat dilihat corak kemasan pada konsol tengah dibuat seperti mengalir ke upholsteri tempat duduk.

    Skrin utama di tengah papan pemuka tersebut menampilkan paparan resolusi 2.5k yang beroperasi dengan Flyme OS. Ia turut menerima sistem bunyi Wanos 16-pembesar suara termasuk yang terletak pada kepala tempat duduk dari Flyme Sound, di mana sistem audio premium tersebut didakwa menawarkan ‘bunyi yang sangat jelas’. Sistem ini diberikan untuk kedua-dua varian Prime dan Premium.

    Komponen-komponen dari jenama Flyme Auto dibekalkan oleh pembuat telefon pintar Geely iaitu Meizu. Geely mendakwa sistem ini menawarkan operasi antaramuka yang intuitif seperti menggunakan sebuah telefon pintar. Skrin utama berkenaan turut menjadi pusat pelbagai kawalan lain termasuk sistem pendingin hawa, mod pemanduan, tetapan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan juga kawalan untuk bumbung panaromik serta pelindung matahari. Ketika pelancarannya fungsi Android Auto dan Apple CarPlay tidak diumumkan, namun kami difahamkan ia mungkin akan mula ditawarkan bermula tahun hadapan.

    Namun bukan semua fungsi kawalan mengharapkan skrin berkenaan kerana masih ada beberapa fungsi yang boleh dikawal menggunakan suis-suis, tuil serta tombol fizikal yang lebih mudah dan pantas untuk digunakan. Antaranya tuil gear ala-Mercedes Benz pada sebelah kanan konsol stering, tuil kawalan lampu isyarat membelok, lampu hadapan dan pengelap cermin pada sebelah kiri, suis putar bersaiz besar pada konsol tengah untuk kawalan bunyi audio, dan empat butang fizikal untuk kawalan pendingin hawa.

    Turut diletakkan pada konsol terowong adalah dua pemegang cawan dengan penutup, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga perehat tangan. Dengan lantai yang rata, konsol berkenaan turut mempunyai ruang storan bersaiz besar pada bahagian bawah, yang turut menempatkan port 12V, USB-A dan USB-C. Juga terdapat storan tersorok diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk belakang dan juga satu lagi ruang storan tambahan pada bahagian bawah liang pendingin hawa belakang.

    Kedua-dua varian menerima sistem pendingin hawa automatik dengan penapis N95, balutan leatherette untuk upholsteri tempat duduk, serta larasan elektrik enam-hala untuk pemandu. Namun hanya varian Premium diberikan fungsi memori untuk larasan tempat duduk tersebut, serta diberikan larasan elektrik untuk tempat duduk penumpang hadapan dan juga liang pengudaraan tempat duduk dan juga lampu suasana kabin 256-warna.

    Tidak seperti kebanyakkan EV yang mempunyai ruang storan pada bahagian bonet hadapan yang dikenali sebagai frunk, bahagian tersebut tidak ada pada eMas 7. Namun pada but belakang, ia menerima satu lagi ruang tambahan tersorok dibawah lantai dengan kapasiti 51 liter, termasuk 461 liter ruang keseluruhan kargo belakang. Secara keseluruhan Proton menyatakan bahawa SUV ini mempunyai sebanyak 33 ruang storan.

    Untuk keselamatan pula, semua varian eMas 7 ini diberikan enam beg udara dan juga kamera 360-darjah. Kedua-duanya juga diberikan sistem bantuan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sokongan brek dinamik, amaran dan pengelak keluar lorong dan juga bantuan pengekal lorong kecemasan.

    Ia juga diberikan sokongan radar belakang yang memberikan fungsi seperti amaran pelanggaran belakang, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu. Ketika pelancaran eMas 7 hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa model EV ini telahpun menerima penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Sama seperti satu lagi jenama EV yang dijual oleh anak syarikat Proton, Pro-Net iaitu smart, jenama EV Proton ini turut diberikan aplikasi menyeluruh e.Mas yang boleh didapati di Apple App Store dan Google Play Store. Aplikasi ini boleh digunakan untuk membuat tempahan model-model eMas Proton secara atas talian. Sekiranya anda telah menerima kenderaan yang ditempah, aplikasi ini akan terus digunakan untuk memantau keadaan kereta, membantu mencari stesen pengecas dan membuat pengecasan dan bayaran serta pelbagai fungsi lagi.

    Sebelum dilancarkan, kami telah berpeluang memandu uji Proton eMas 7 ini di litar ujian Proton yang terletak dalam fasilitinya di Hicom Shah Alam. Jadi kalau nak tahu apa pandangan awal kami terhadap model ini, anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

    GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 EV 2025

     
     
  • GWM Haval Jolion Hybrid CKD tiba di Malaysia pada April 2025 – 1.5 NA, motor elektrik, DHT, 190 PS/375Nm

    GWM Haval Jolion Hybrid CKD tiba di Malaysia pada April 2025 – 1.5 NA, motor elektrik, DHT, 190 PS/375Nm

    EP Manufacturing (EPMB) mendedahkan produksi versi pemasangan tempatan (CKD) bagi GWM Haval Jolion Hybrid akan bermula pada April tahun hadapan. Ia akan menyertai model H6 Hybrid yang dilancarkan pada Oktober lalu untuk pasaran Malaysia.

    Jolion mengambil sedikit masa yang lama untuk tiba di pasaran tempatan selepas ia dilancarkan di Thailand pada November 2021. Malah ia pernah direncana bakal dilancarkan di sini pada tahun lalu, namun tidak berkesampaian, walau pun pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2023. Mungkin syarikat pengeluar ini mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap Ora Good Cat yang terlebih dahulu memasuki pasaran Malaysia.

    SUV hibrid segmen-B ini telah pun dipasarkan di beberapa negara luar termasuk Australia dan dikenali sebagai Jolion Pro. Berbeza dengan model yang dijual di China yang dikenali sebagai Haval Chitu.

    Tidak kira versi mana yang akan dikeluarkan di sini, ia akan dijanakan oleh penjana kuasa hibrid ciptaan GWM sendiri iaitu 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder 95 PS/125 Nm, motor elektrik 156 PS/250 Nm dan digandingkan bersama dedicated hybrid transmission (DHT) dua-kelajuan. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil adalah 190 PS dan tork 375 Nm, sedikit rendah berbanding H6 Hybrid yang diberikan enjin turbo dengan kuasa 243 PS dan 530 Nm.

    Kalau mengikut versi asal Jolion, bahagian luarannya ditampilkan dengan gril haksagon yang besar bersama lampu utama berbenyuk-L yang menyerlah. Bagi Jolion Pro, ia lebih bersifat konvensional dengan banyak diilhamkan dari H6, dengan lampu utama yang lebih nipis dan lampu belakang lebar sepenuhnya. Ditambah dengan kit badan yang sporty termasuk paip ekzos berkembar tiruan.

    Di dalamnya, kedua-duanya lebih kurang sama, dengan bentangan papan pemuka melintang bersama paparan instrumen digital tujuh-inci dan srkin infotainmen 10.25-inci, ditambah pula dengan konsol tengah yang tinggi bersama pemilih gear rotari.

    Selain Jolion, GWM juga akan mula memasang model Wey 80 di kilang EPMB di Pegoh, Melaka, pada akhir tahun 2025. MPV ini telah dipertontonkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) baru-baru ini, dan dikatakan “untuk pasaran ASEAN” yang akan bersaing dengan Toyota Alphard dan Vellfire.

    GALERI: GWM Haval Jolion Hybrid dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2023

     
     
  • BAIC X55, BJ40 Plus – CKD di M’sia bermula Q1 2025

    BAIC X55, BJ40 Plus – CKD di M’sia bermula Q1 2025

    EP Manufacturing Bhd (EPMB), yang beroperasi di Pegoh, Melaka mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Peps-JV Melaka akan memulakan pemasangan tempatan (CKD) untuk model BAIC X55 dan BJ40 Plus pada suku pertama tahun hadapan. Daripada sini juga timbul soalan, adakah dua model ini akan terus diperkenalkan sebagi model CKD?

    Sebenarnya, tempahan untuk dua model ini sudah dibuka sejak bulan Mei lalu, dengan harga anggaran bermula RM129,XXX untuk BAIC X55 dan RM188,XXX untuk BJ40 Plus.

    Perjanjian persefahaman antara EPMB dan BAIC International Development ditandatangani Ogos tahun lalu, dan kemudiannya ia diteruskan lagi dengan kontrak pemasangan tempatan untuk dua model tersebut, dipersetujui pada April 2024.

    BAIC X55 adalah sebuah SUV segmen C yang dijangka tiba dalam dua varian iaitu Standard dan Premium. Dengan ukuran panjang 4,620 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak roda 2,735 mm, ia digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 188 PS/305 Nm, dan dipadankan bersama kotak gear kla berkembar tujuh kelajuan.

    Sementara itu, BJ40 Plus pula membawa gaya lebih ranggi dengan bentuk seperti Jeep Wrangler. Model Malaysia dijangka menggunakan enjin 2.0 liter turbo 221 hp/380 Nm yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF, dan mempunyai sistem pacuan empat roda Borg-Warner dengan mod 2H, 2L dan 4L. Antara yang unik adalah bumbung dan pintunya boleh dicabut seperti Wrangler.

    Pada masa ini, EPMB memasang Haval H6 HEV untuk Great Wall Motor Malaysia di kilang mereka yang bernilai RM240 juta dan berkeluasan 100,000 kaki persegi. BAIC pula adalah klien mereka yang kedua.

    GALERI: BAIC X55

    GALERI: BAIC BJ40 Plus

     
     
  • Chery Exeed Exlantix ET EREV dilancar di China

    Chery Exeed Exlantix ET EREV dilancar di China

    Jenama mewah di bawah Chery iaitu Exeed melancarkan versi range extender bagi SUV EV Exlantix ET di China. Dipanggil sebagai Sterra ET, ia ditawarkan dalam varian Max (RMB240k, RM147k), Ultra (RMB270k, RM165k) dan Premium (RMB290k, RM178k).

    Selain tambahan kemasan krom di sekitar bahagian lampu kabus, SUV ini nampak sama sahaja dengan Exlantix ET biasa. Ia mempunyai saiz yang besar, dengan catatan panjang, lebar dan tinggi masing-masing 4,955 mm, 1,975 mm dan 1,698 mm, menjadikan ia sedikit lebih besar berbanding Omoda C9 dan Tiggo 9. Jarak antara roda hadapan dan belakang yang menggunakan rim 20 inci adalah 3,000 mm.

    Exlantix ET EREV ini mempunyai sesuatu yang dipanggil sebagai Snow Leopard AWD, terdiri daripada enjin range-extender 1.5 liter turbo 154 hp/220 Nm, motor elektrik hadapan 201 hp/310 Nm, motor belakang 261 hp/324 Nm dan bateri 41.16 kWh. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.8 saat, laju maksimum adalah 195 km/j, manakala jarak gerak mengikut CLTC adalah 1,500 km secara keseluruhan dan 240 km menggunakan elektrik sahaja. Dengan binaan elektrik 400V, masa mengecasnya bateri 20-80% boleh menjadi 17.5 minit.

    Chery Exeed Exlantix ET EREV dilancar di China

    SUV ini juga menjadi kenderaan pertama yang dipasang dengan sistem Falcon Smart Driving daripada Chery, yang menggunakan 30 sensor dan dua cip Nvidia Orin-X, yang membolehkan fungsi navigasi kelajuan tinggi, navigasi bandar serta parkir pintar.

    Bahagian dalamnya serba ringkas, dengan roda stereng berbentuk lonjong, skrin 10.25 inci di belakangnya dan skrin sesentuh 15.6 inci dengan sistem Snapdragon 8295P Qualcom dan Exeed OS di tengah.

    Pada bahagian lain terdapat poket simpanan bukaan elektrik, kawalan suara Lion AI, 23 pembesar suara, lampu suasana 256 warna, bumbung panoramik dengan penghadang cahaya elektrik serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, liang udara dan mengurut. Dua tahun lepas Chery Malaysia pernah mengatakan bahawa Exlantix ET EV sedang dipertimbangkan untuk pemasangan tempatan di Malaysia, tetapi adakah ia akan menjadi kenyataan?

     
     
  • Pemandu Mercedes-Benz GLE450 AMG Coupe terbakar di SPE ditahan polis susulan kes langgar lari

    Pemandu Mercedes-Benz GLE450 AMG Coupe terbakar di SPE ditahan polis susulan kes langgar lari

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan pemandu Mercedes-Benz GLE450 AMG Coupe yang terbakar di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) tengahari semalam telah ditahan malam tadi, disyaki terbabit dengan kes langgar lari seorang penunggang motosikal di lebuhraya berkenaan.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Mohd Zamzuri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 12.35 tengah hari apabila seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun menunggang motosikal Honda Vario 160 di lorong kiri telah dilanggar SUV mewah tersebut.

    “Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal jatuh di jalan raya, manakala lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta itu tidak berhenti dan terus memandu ke arah Wangsa Maju. Kereta itu kemudian berhenti di Kilometer 18.1 Lebuhraya SPE sebelum Plaza Tol Wangsa Maju kerana mengalami kebakaran bermula dari bahagian bonet hadapan.

    “Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kepala, muka, dan perut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes ini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 oleh JSPT KL dan pemandu kereta berkenana telah ditahan di bawah seksyen yang sama,” ujarnya.

    Mohd Zamzuri berkata, orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.

    Sejak malam tadi, video mengenai insiden berkenaan tular di laman media sosial dan tindakan pemandu SUV berkenaan teruk dikecam para netizen. Malah Astro Awani melaporkan hasil temubual bersama kakak penunggang motosikal berkenaan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan yang agak kritikal dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

     
     
  • 1,000 unit GWM Haval H6 telah dipasang EPMB di Melaka – komponen lokal mula dibuat di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam, dan Melaka

    1,000 unit GWM Haval H6 telah dipasang EPMB di Melaka – komponen lokal mula dibuat di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam, dan Melaka

    EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan bahawa model pertama yang dipasang dikilangnya yang terletak di Pegoh, Melaka iaitu GWM Haval H6 kini telahpun mencapai angka pengeluaran yang ke-1000 unit. Operasi pemasangan berkenaan telahpun bermula pada September lalu sebelum pelancaran rasmi model tersebut yang dibuat pada bulan seterusnya.

    “Hari ini menandakan permulaan era baharu bagi EPMB. Mengimbas kembali cabaran semasa pandemik COVID-19, kami tetap tabah dan kembali membina asas rancangan yang kukuh untuk masa depan. Kini, kami melihatnya menjadi kenyataan. Kami berada di landasan menuju masa depan yang cerah bagi kumpulan ini.

    “EPMB adalah syarikat yang sebelum ini dinilai rendah, tetapi arus kini berubah memihak kepada kami. Fasa 1 Kilang Pemasangan Kenderaan kami di Pegoh, Melaka, adalah bukti visi kami. Kerjasama dengan GWM telah mencapai kejayaan besar, dengan pengeluaran kami secara konsisten memenuhi piawaian kualiti ketat GWM,” kata pengerusi eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.

    Beliau turut mendedahkan bahawa dalam Fasa 1 yang akan berakhir pada penghujung 2025, kilang berkenaan turut akan memasang model-model GWM yang lain termasuk SUV lebih kecil dari H6 iaitu GWM Jolion pada April 2025, dan juga sebuah MPV “untuk pasaran ASEAN” yang belum diumum namanya. Malah rancangan untuk memasang model-model dari BAIC turut akan berjalan tahun hadapan.

    “Justeru, kami bersedia untuk Fasa 2, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 30,000 kenderaan tambahan setiap tahun. Diikuti dengan Fasa 3 akan memberi tumpuan kepada pembuatan badan kenderaan dan proses pengecatan,” tambah beliau.

    Dalam kenyataan sama, EPMB turut menyatakan bahawa pihaknya turut telah memulakan pembuatan komponen-komponen GWM dalam negara menerusi fasilitinya yang terletak di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam, dan Melaka. Antara komponen-komponen berkenaan termasuk kerusi, rangka depan stereng, sistem suspensi dan brek, modul gandar belakang dengan sistem suspensi dan brek, serta komponen dalaman seperti panel instrumen, konsol tengah, dan trim pintu dalaman.

    “Bersama GWM, EPMB juga menyokong pembekal tempatan lain untuk memperkukuh rantaian bekalan, memupuk pembangunan ekosistem automotif di Melaka. Ekosistem ini memberikan kesan yang signifikan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan industri tempatan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025