Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan bahawa penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard mandatori adalah tidak dibenarkan di kalangan pengguna jalan raya kerana ciri-ciri pembinaannya tidak ditentusahkan dan aktiviti pengujian tayar tersebut tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.
Di mana tayar celup yang mematuhi standard adalah tayar yang telah diuji daripada aspek ketahanan dan prestasi penggunaan di mana ia telah terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.
Menteri MOT, Anthony Loke berkata, berdasarkan kepada ketetapan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, hanya tayar celup mempunyai persijilan pematuhan terhadap standard mandatori sahaja dibenarkan digunakan oleh kenderaan di atas jalan raya.
Di mana terdapat tiga standard mandatori membabitkan tayar celup yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Malaysian Standard (MS) 224, Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle, Peraturan United Nation (UN) R108, Retreaded Pneumatic Tyres dan Peraturan United Nation (UN) R109, Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat di Parlimen, semalam bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai mekanisme kawal selia tayar celup digunakan kenderaan perdagangan dalam mengurangkan kemalangan akibat cebisan tayar atas jalan raya yang boleh menyebabkan kerosakan serius hingga meragut nyawa.
Loke turut berkata, penentusahkan terhadap ciri-ciri pembinaan dan aktiviti pengujian terhadap sesebuah tayar amat penting untuk dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian atau standard yang telah dikuatkuasakan bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar khususnya berkaitan dengan tayar kenderaan yang meletup yang boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
“Sehubungan itu, JPJ akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan melalui penguatkuasaan di jalan raya atau melalui pemeriksaan berkala di Puspakom bagi memastikan kenderaan perdagangan sentiasa menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori yang telah ditetapkan,” tambahnya.