Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Laluan Bidor-Sungkai di KM344.83 di Lebuhraya PLUS selamat digunakan oleh semua jenis kenderaan

    Laluan Bidor-Sungkai di KM344.83 di Lebuhraya PLUS selamat digunakan oleh semua jenis kenderaan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa hasil rondaan berterusan dan pemeriksaan berkala baru-baru ini, pihaknya telah menemui kesan kerosakan peringkat awal (minor defect) pada permukaan jalan di KM344.83 di laluan antara Bidor dan Sungkai arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan.

    “Kerja-kerja pemulihan sementara telah disiapkan di lokasi bagi memastikan tahap keselamatan pengguna lebuhraya. Walau bagaimana pun, punca kerosakan masih dalam siasatan bagi memperoleh penyelesaian jangka masa panjang yang bersesuaian yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

    “Pada masa yang sama, pemeriksaan oleh pasukan teknikal PLUS serta pihak-pihak yang berkaitan juga telah diadakan dan hasil pemeriksaan mendapati laluan berkenaan selamat digunakan oleh semua jenis kenderaan,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut PLUS lagi, pihaknya juga sentiasa mengadakan pemantauan berterusan terhadap aset lebuhraya termasuklah semua pembetungan (culvert) serta cerun di lebuhraya kendaliannya bagi memastikan pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa pada setiap masa.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihati para pengguna agar mematuhi semua papan tanda di lokasi terbabit dan memandu dengan berhati-hati.

     
     
  • Aplikasi Pecman tawar produk penjagaan kereta menyeluruh, harga dari kilang — lancar di KLIMS

    Aplikasi Pecman tawar produk penjagaan kereta menyeluruh, harga dari kilang — lancar di KLIMS

    Bukan hanya kereta yang dilancarkan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 — aplikasi Pecman pun ada! Aplikasi ini membawakan produk penjagaan kereta yang 100% asli daripada jenama tersohor dalam pasaran, seperti LLumar® (AS), Pecca Leather (Malaysia) dan GS27 (Perancis) dan menawarkannnya dengan harga terus dari pengilang.

    Merupakan idea Pengarah Eksekutifnya, Hugo Teoh Zi Yi, Pecman mengiri kekosongan dalam pasaran penjagaan kenderaan yang mana pelanggan selalu sukar mengesakan keaslian sesuatu produk. Dengan menghubungkan pelanggan dan pengeluar secara langsung, aplikasi ini memastikan capaian kepada barisan produk yang 100% asli. Dengan pemasangan dilakukan di cawarangan sah pengedar oleh profesional terlatih, pelanggan juga akan menikmati jaminan penuh pengilang.

    Sempena meraikan pelancarannya, Pecman akan memberikan filem penapis haba LLumar® penuh dengan PIPL yang bernilai RM5,000 secara percuma atau kerusi kulit Pecca Leather bernilai RM3,000 hanya untuk RM0.99. Masing-masing boleh dituntut di 50 pengedar LLumar® dan lokasi pemasangan sah Pecca Leather di seluruh negara! Pecman akan mengumumkan seorang pemenang setiap hari di reruainya sepanjang KLIMS.

    Anda juga akan mendapat baucar pengguna baharu bernilai RM10 (sah untuk 30 hari dan untuk semua perkhidmatan termasuk cucian kereta) dan 1% pulangan tunai daripada semua pembelian bagi tempoh terhad.

    Turut disediakan adalah tawaran menarik daripada jenama yang bersama Pecman — LLumar® menawarkan Solar Tint (ATR) dari RM799 serta Security & Solar Tint (PIPL) 4 mm dari RM1,999 — dengan harga terendah di Malaysia. Produk GS27 yang merupakan jenama penjagaan kereta nombor satu di Perancis pula akan membuat penampilan pertama mereka di Malaysia secara eksklusif melalui Pecman.

    Selain itu, ada promosi kulit premium Pecca Leather dari RM1,299, pelapik kerusi TurboSeat dari RM249, pelapik kaki FloMAX 3D dari RM199 dan diskaun sehingga 50% bagi PPF dan lapisan pelindung cat daripada Vasto Detailing Hub.

    Ada banyak lagi yang menanti di reruai Pecman di KLIMS 2024 yang terletak di 4M17, Dewan 4, MITEC. Temui juga juara SuperGT dan pelatih pemandu Maezawa Racing Naoki Yokomizo dari 6-8 Disember, serta bintang media sosial, Ashley “Sayang”. Selain barangan kulit eksklusif Pecman, ada juga permainan setiap hari jam 5 petang yang menawarkan hadiah kredit Touch ‘n Go RM100, baucar dan banyak lagi.

    Peraduan Kongsi & Menang juga memberikan anda peluang untuk memenangi filem penapis haba LLumar® PIPL penuh bernilai RM5,000 dan kerusi Pecca Leather bernilai RM3,000. Apa yang perlu anda lakukan adalah memuat turun aplikasi Pecman dan ambil gambar di reruai Pecman, pelayan wanita serta Porsche 911 di lokasi, kemudian muat naik ke media sosial dengan hashtag #PecmanKLIMS2024.

    Jadi, tunggu apa lagi? Cuba aplikasi Pecman hari ini (Muat turun untuk iOS | Muat turun untuk Android) — ada banyak ganjaran untuk kesetiaan juga! Ketahui lanjut tentang Pecman melalui laman web, Facebook, Instagram dan TikTok, dan jumpa ada di KLIMS 2024!

     
     
  • Zeekr X dilancarkan di Malaysia – saingan smart #1 dan Volvo EX30, bermula RM158k, sehingga 428 PS

    Zeekr X dilancarkan di Malaysia – saingan smart #1 dan Volvo EX30, bermula RM158k, sehingga 428 PS

    Selain dari MPV EV 009, hari ini Zeekr Malaysia turut melancarkan SUV EV kompak Zeekr X. Bagi pasaran tempatan, Zeekr X ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium RWD dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM155,800 dan Flagship AWD dijual pada harga RM172,800.

    Untuk model asas Premium RWD, ia hanya diberikan satu motor tunggal untuk memacu roda belakang berkuasa 272 PS dan tork maksima 343 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat. Manakala varian Flagship AWD pula menerima satu lagi motor tambahan untuk memacu roda hadapan bagi menghasilkan 428 PS dan tork 543 Nm, membolehkan pecutan sama dibuat hanya 3.8 saat.

    Namun kedua-duanya menerima bateri NMC berkapasiti 66 kWj, membolehkan varian Premium RWD bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP, manakala varian Flagship AWD yang lebih berkuasa pula mencatatkan jarak gerak 420 km untuk satu cas penuh bateri.

    Zeekr X dilancarkan di Malaysia – saingan smart #1 dan Volvo EX30, bermula RM158k, sehingga 428 PS

    Kelajuan maksima kedua-duanya ditetapkan pada 190 km/j dan ia menyokong cas pantas DC dengan kapasiti maksima 150 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 30 minit.

    Spesifikasi ini macam pernah nampak bukan? Ya, ini kerana Zeekr merupakan satu lagi kembar yang dibina berasaskan unit rangkaian kuasa dan Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely sama dengan smart #1 dan Volvo EX30 yang turut sudah dilancarkan di Malaysia.

    Ia menampilkan dimensi panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,566 mm dan juga jarak roda yang sama sepenuhnya dengan smart #1 iaitu sejauh 2,750 mm.

    Zeekr X pasaran Malaysia ini menerima perincian standard seperti lampu hadapan LED penuh, lampu nyalaan siang LED, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, skrin sesentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen, bumbung panoramik, pintu but bukaan kuasa serta pengecas tanpa wayar. Manakala untuk varian AWD, ia menerima tambahan paparan head-up serta sistem bunyi Yamaha dengan 13 pembesar suara.

    Zeekr X dilancarkan di Malaysia – saingan smart #1 dan Volvo EX30, bermula RM158k, sehingga 428 PS

    Kelengkapan keselamatan yang dibekalkan pula termasuk tujuh beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan tukar lorong, kawalan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, bantuan parkir dan pemantau pemandu.

    Lima warna badan ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Manakala bahagian dalaman pula datang dengan tema warna gandingan Charcoal Black dan Stone Grey.

    Setiap pembelian Zeekr X ini dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km, manakala untuk bateri pula ia diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Pembeli yang mahu menempah model ini perlu membuat bayaran tempahan berjumlah RM2,000 yang boleh dipulangkan semula.

    GALERI: Zeekr X Flagship

    GALERI: Zeekr X Premium

     
     
  • Zeekr 009 rasmi dilancar di Malaysia – RM350k-RM360k, 603 hp/693 Nm, 6- & 7-tempat duduk

    Zeekr 009 rasmi dilancar di Malaysia – RM350k-RM360k, 603 hp/693 Nm, 6- & 7-tempat duduk

    Selepas hampir enam bulan bertapak di Malaysia, Zeekr Malaysia yang dioperasikan oleh Sentinel Automotive hari ini secara rasmi melancarkan model pertamanya di sini iaitu MPV EV Zeekr 009.

    Model ini ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, bermula dengan varian asas Luxury 7-tempat duduk dijual pada harga RM349,800, dan juga varian paling mewah Ultra Luxury 6-tempat duduk berharga RM359,800. Harga-harga yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Pembeli yang mahu menempah model ini perlu membuat bayaran tempahan berjumlah RM4,000 yang boleh dipulangkan semula.

    Zeekr 009 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture atau SEA binaan Geely. Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    Zeekr 009 rasmi dilancar di Malaysia – RM350k-RM360k, 603 hp/693 Nm, 6- & 7-tempat duduk

    Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90. Namun berbeza dengan MPV Volvo yang lebih mewah berkenaan hanya digerakkan oleh motor tunggal berkuasa 272 PS/343 Nm bagi memacu roda belakang.

    Kedua-dua varian pasaran Malaysia ini merupakan versi dua motor yang memacu semua roda menghasilkan kuasa 603 hp dan tork maksima 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat. Motor berkenaan digerakkan dengan bateri NMC berkapasiti 116 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 582 km dalam kitaran ujian WLTP. Dengan sistem pengecas pantas DC membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 30 minit.

    Zeekr 009 pasaran Malaysia ini menerima tempat duduk hadapan dan pemandu larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, pengurut dan liang udara serta suis ‘bos’ pada bahagian penumpang. Untuk tempat duduk baris kedua ia diberikan rel gelangsar elektrik sepanjang 1.1 meter, manakala pada baris ketiga ia diberikan fungsi mudah masuk dan keluar dengan suis elektrik satu butang.

    Zeekr 009 rasmi dilancar di Malaysia – RM350k-RM360k, 603 hp/693 Nm, 6- & 7-tempat duduk

    Antara perincian standard untuk kedua-dua varian adalah termasuk upholsteri kulit Nappa, peti sejuk 8.6 liter, bumbung suria panoramik dan panel sesentuh pada pintu gelangsar berkuasa untuk kawalan suhu. Ia juga di berikan kamera barisan kedua sekiranya anda ingin membuat panggilan video atau memantau penumpang pada kabin belakang.

    Bagi varian enam-tempat duduk pula, ia menerima tempat duduk Sofaro First Class Aeronautic pada baris kedua yang menampilkan perehat tangan lebar, perehat kaki boleh laras, liang udara serta fungsi pengurut dan memori.

    Selain itu model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima lampu hadapan Matrix LED pintar, paparan instrumen digital dengan skrin LCD HD penuh 10.25-inci, paparan head-up AR 35.95-inci, pengecas telefon pantar tanpa wayar 50W dan sembilan port pengecas USB Type C.

    Untuk sistem infotainmen, MPV ini diberikan skrin sesentuh OLED 15.05-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kabin belakang pada bumbung OLED 17-inci bersama skrin smart bar untuk baris kedua, serta sistem bunyi Yamaha dengan 30 pembesar suara termasuk laman perehat kepala tempat duduk.

    MPV ini menerima konfigurasi suspensi jenis double wishbone yang dipadankan bersama suspensi udara dengan fungsi larasan ketinggian automatik. Zeekr mendakwa kabin 009 ini hanya menghasilkan bunyi serendah 64.5 dB pada kelajuan 120 km/j.

    Untuk keselamatan pula Zeekr 009 pasaran Malaysia ini diberikan sistem pemantau pemandu (DMS) bagi mengesan tahap kecergasan pemandu, kamera 360 darjah dan perekod video digital, Kawalan kekal lorong (LLC), cruise control adaptif (ACC), sokongan pengelak pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), brek parkir kecemasan dan lain-lain.

    Tiga warna badan ditawarkan untuk Zeekr 009 ini iaitu Phantom Black, Electric Blue dan Crystal White Pearl. Ia boleh dipadankan dengan upholsteri kulit Nappa dalam kabin dengan pilihan tema warna hitam, Stone Grey dan Polar White atau Midnight Blue dan Polar White

    Setiap pembelian Zeekr 009 ini dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km, manakala untuk bateri pula ia diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Zeekr turut memberikan servis terhubung percuma selama dua tahun.

    Istimewa untuk 500 pelanggan terawal, Zeekr Malaysia turut menawarkan pengecas wallbox, pengecas mudah alih dan juga filem penapis haba secara percuma.

    GALERI: Zeekr 009 Ultra Luxury 6-tempat duduk

    GALERI: Zeekr 009 Luxury 7-tempat duduk

     
     
  • Aston Martin Valour – dua daripada 110 unit yang dikeluarkan berada di Malaysia, V12 5.2 liter, manual

    Aston Martin Valour – dua daripada 110 unit yang dikeluarkan berada di Malaysia, V12 5.2 liter, manual

    Semasa pelancaran Vanquish di Aston Martin Kuala Lumpur bulan lalu, kami bukan sahaja disaji dengan model V12 baru itu, tetapi juga dua buah lagi kenderaan istimewa. Ia adalah Aston Martin Valour, yang hanya dikeluarkan terhad 110 unit di seluruh dunia. Dua daripadanya baru tiba di Malaysia dan akan dihantar kepada pelanggan.

    Bagi mereka yang kurang arif dengan sejarah pengeluar United Kingdom ini, mungkin ada yang akan mengatakan bahawa rekaan kereta ini seperti Mustang. Sebenarnya langsung tidak, kerana Valour direka dengan mengambil inspirasi daripada model lama terkenal Aston Martin seperti V8 Vantage asli dan kereta lumba Le Mans 80-an RHAM/1 ‘Muncher’.

    Di bawah hudnya terdapat enjin V12 5.2 liter, yang mampu menghasilkan kuasa sama seperti DBS Superleggera, iaitu 715 PS dan tork 753 Nm. Jika dibandingkan dengan Vanquish, Valour ini cuma kekurangan 120 PS dan 247 Nm.

    Enjin 12 silinder itu kemudiannya boleh didapati dengan kotak gear enam kelajuan – sesuatu yang sangat sukar didapati sekarang. Menambahkan lagi kepuasan untuk pemandu, ia diberikan dengan LSD mekanikal dan bahagian suspensi menerima talaan khas dengan penyerap jenis adaptif.

    Di bahagian dalam, selain penggunaan banyak gentian karbon termasuk pada tempat duduk, barangan lain yang menjadi perhatian adalah tombol gear. Jika anda lihat lebih terperinci, sambungan kepada bahagian bawahnya dibiar terdedah. Tombolnya pula boleh dipilih untuk dibuat daripada aluminium, titanium, gentian karbon atau kayu.

    Kedua-dua model yang tiba di Malaysia ini menggunakan cat khas daripada bahagian ubah suai khas Aston Martin, Q, iaitu Tayos Turquoise dan Buckinghamshire Green. Tidak perlu tanya berkenaan harga kerana perkara pertama yang diperlukan untuk membelinya adalah masuk dalam senarai terlebih dahulu.

     
     
  • Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia – 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD; dari RM169k

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia – 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD; dari RM169k

    Setelah dipertontonkan pada September lalu, akhirnya Omoda C9 yang dijual oleh Jaecoo ke pasaran tempatan, dilancarkan petang ini. ‘SUV coupe off-road premium’ yang berada dalam segmen-D ini ditawarkan dengan dua varian iaitu versi 2WD dengan harga atas jalan RM168,800 tanpa insurans manakala versi AWD dengan berharga RM188,800. Untuk pasaran Malaysia, ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Chery di Shah Alam.

    C9 ini memiliki dimensi berukuran 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,671mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm. Ketinggian dari permukaan tanahnya pula ialah 165 mm, dengan kemampuan meredah air setinggi 450 mm. Ruang but barangan di belakang mempunyai kapasiti antara 660 liter ke 1,783 liter. Walaupun ia SUV lima-tempat duduk, namun saiznya lebih besar berbanding Chery Tiggo 8 Pro yang hadir dengan tujuh-tempat duduk.

    Bagi bahagian mekanikalnya, C9 dipacu oleh unit 2.0 TGDI petrol empat-silinder sebaris (sama dengan model Chery Tiggo 8 Pro) yang mampu menghamburkan 261 PS hp dan tork 400 Nm, dengan gandingan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia – 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD; dari RM169k

    Bagi versi pacuan dua roda (2WD), ia disediakan tiga-mod pemanduan (Normal, Eco, Sport), manakala bagi pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh-mod pemanduan (Normal,ECO,Sport, Sand, Mud, Snow, Off-Road) bagi kegunaan dalam bandar dan juga off-road. Ia diberikan tetapan sistem suspensi McPherson di hadapan dan multi-link di belakang, namun bagi memantapkan lagi pengendaliannya, C9 menerima penyerap adaptif, namun versi AWD menerima teknologi Continuous Damping Control (CDC) sebagai tambahan.

    Daripada sudut penggayaan luaran, SUV ini memang cukup hensem dengan sentuhan ala futuristik. Ia menampilkan gril hadapan dengan rekaan matriks berlian bersama lampu nyalaan siang bentuk sigma dan juga pemegang pintu jenis ‘pop-out‘. Ia juga diberikan lampu hadapan adaptif LED, lampu belakang LED, pintu tailgate dengan fungsi penderia auto dan dilengkapi juga dengan cermin hadapan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan di dalam kenderaan, kaliper merah untuk AWD (perak untuk 2WD) manakala rimnya pula bersaiz 20-inci dibaluti tayar Michelin e-Primacy bersaiz 245/50.

    Untuk bahagian kabinnya pula, ia dibentangi sentuhan mewah dan sofistikated terutamanya jelas kelihatan pada bahagian papan pemukanya. Walau pun sekadar dengan penggayaan ala ringkas, namun kelengkapan yang diberikan berpadanan dengan harganya. Ini termasuklah dengan adanya skrin HD tunggal 24.6-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50W, ruang pendingin untuk barangan di bahagian konsol tengah, stereng dengan paddle shifter, perakam video digital (DVR) terbina dalam, dan kamera pandangan sekeliling 540-darjah.

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia – 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD; dari RM169k

    Selain itu, ia juga diberikan sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara (8 unit untuk 2WD), kawalan pendingin tiga-zon, corong pendingin hawa pada tiang-B untuk tempat duduk belakang, tempat duduk balutan kulit premium, tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik lapan-arah (enam- untuk 2WD) bersama enam fungsi memori, penyandar tempat duduk belakang dengan larasan kuasa elektrik dan kawalan kualiti udara.

    Versi AWD juga diberikan stereng eksklusif balutan kulit larasan kuasa, sistem pewangi udara (yang menggunakan cartridge dengan tiga wangian berbeza yang boleh ditentukan melalui skrin sesentuh), pencahayaan ambien sisi pintu hadapan dan kusyen tempat duduk yang lebih gebu.

    Bagi aspek keselamatan, Omoda C9 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).

    Bukan itu sahaja, C9 turut diberikan ciri kawalan adaptif pintar, sistem pintar tanpa kunci dengan ciri NFC yang boleh dikunci secara automatik ketika pemandu menjauhi kenderaan. Untuk ketenangan fikiran tambahan, bahagian badan C9 diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan lapan-beg udara.

    Kedua-dua varian boleh didapati dalam tiga warna iaitu Khaki White, Carbon Crystal Black dan jika memilih Matte Grey, kos tambahan dikenakan sebanyak RM3,000. Sekali lagi, C9 ditawarkan dengan dua varian iaitu versi 2WD dengan harga atas jalan RM168,800 tanpa insurans manakala versi AWD dengan berharga RM188,800.

    Ia turut disediakan bersama waranti tujuh-tahun atau jarak perjalanan sehingga 150,000km. Untuk pembeli terawal yang menempah C9 sehingga 31 Disember 2024, bakal menerima waranti 10-tahun atau 1,000,000 km untuk enjin dan suspensi. Oleh kerana Omoda C9 ini sebuah SUV premium, pelanggannya akan menghantar kenderaan untuk tujuan servis di pusat servis Jaecoo dan bukannya di pusat servis Chery.

    GALERI: Omoda C9 2WD

    GALERI: Omoda C9 AWD

     
     
  • MINI Cooper S 5 Door 2025 tiba di Malaysia pada harga RM293,888 – enjin 2.0L turbo 204 PS, tujuh kelajuan

    MINI Cooper S 5 Door 2025 tiba di Malaysia pada harga RM293,888 – enjin 2.0L turbo 204 PS, tujuh kelajuan

    Dipertontonkan kali pertama di Malaysia Oktober lalu, MINI Cooper S 5 Door kini sudah mempunyai harga jualan untuk pasaran Malaysia. Model yang masih menggunakan enjin petrol ini dijual pada harga RM293,888 tidak termasuk insurans, dan datang bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan. Jika pemilik mahukan jaminan empat tahun dan pakej servis, ia menjadi RM304,288.

    Dalam barisan produk yang ditawarkan oleh MINI, model F65 baru ini menyertai model F66 3 Door, dengan spesifikasi serta prestasi yang sama, tetapi datang dengan pintu tambahan dan harga RM14,000 lebih tinggi. Berbeza berbanding model elektrik Cooper SE J01 yang menggunakan rekaan serba baru, model ini pula boleh dianggap lebih kepada facelift kepada F55 sebelumnya.

    Disebabkan itu, bahagian mekanikal masih sama, iaitu menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 204 PS dan tork 300 Nm untuk dihantar kepada roda hadapan.

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah rim dua-tona ‘Slide Spoke’ 18-inci, lampu utama LED adaptif, kemasan dalam hitam berkilat, pantulan lampu logo MINI di luar, dan lampu belakang LED matriks. Di dalam pula ia dilengkapi sistem tanpa kunci, MINI Digital Key Plus, pelindung papan pemuka kaitan 3D, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk larasan manual yang dibalut kulit tiruan Vecsin kelabu/hitam dan lampu bercorak di papan pemuka.

    Berkenaan teknologi, anda akan menerima skrin sesentuh OLED diameter 9.4-inci dijanakan oleh MINI Operating System 9, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, head-up display, pengecas Qi tanpa wayar, bantuan letak kenderaan, kamera 369 darjah serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

    MINI Cooper S 5 Door ini datang secara standard dengan pakej Driving Assistant Plus, yang memberikan Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Traffic Sign Recognition dan Rear Collision Warning. Untuk warna, ada empat pilihan yang disediakan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri QM_R dan DFG bakal dibuka bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Sarawak, QM_R, bakal dibuka bidaan mulai 9 Disember ini. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 13 Disember ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 Disember 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DFG, bidaannya pula bakal dibuka mulai 16 Disember dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Disember 2024.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Aion Hyper HT — pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Aion Hyper HT — pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Pendaftaran minat untuk GAC Aion Hyper HT kini telah dibuka di Malaysia. Dikongsikan dalam satu hantaran di Instagram rasmi jenama tersebut, ini adalah susulan kepada pratonton model sama yang dilakukan pada Mei lalu. Hyper merupakan sub-brand kepada Aion untuk barisan produk yang lebih premium.

    Jelas kelihatan model ini mengambil ilham daripada Tesla. Reka bentuk SUV coupe mirip dengan Tesla Model Y, sementara elemen “falcon” di pintu belakang adalah dari Model X. Dari segi saiz, Hyper HT lebih dekat dengan Model X dengan ukuran dimensi 4,935 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,700 mm.

    Hyper HT menerima dua varian RWD dengan empat pilihan kapasiti bateri — motor tunggal di belakang dengan janaan 245 PS/355 Nm, atau 340 PS/430 Nm — yang membolehkan pecutan 0-100 km/j masing-masing dalam masa 6.8 saat dan 5.8 saat.

    Motor dengan output yang lebih rendah digandingkan sama ada dengan bateri berkapasiti 70 kWj atau 72.7 kWj, yang masing-masing memberikan jarak CLTC 550 km dan 600 km. Kapasiti bateri yang lebih tinggi pula hadir dengan 80 kWj atau 99.5 kWj dengan jarak masing-masing 670 km dan 825 km.

    Varian yang lebih berkuasa bagi Hyper HT ini menerima binaan elektrikal 800-volt, yang membolehkan pengecasan DC yang memberikan 425 km dengan hanya 15 minit pengecasan. Varian yang lebih rendah pula hadir dengan binaan 400-volt, yang boleh dicas DC untuk mendapatkan 140 km dalam masa 10 minit.

    Aion Hyper HT — pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Di dalam, Aion Hyper HT mengikut kebiasaan pendekatan rekaan EV China semasa, dengan skrin infotainmen yang besar di tengah, dengan unit skrin sentuh 14.6-inci yang bergandingan dengan paparan digital bagi instrumen pemanduan bersaiz 8.8-inci.

    Belum ada perincian harga untuk pasaran Malaysia yang didedahkan untuk GAC Aion Hyper HT ini. Namun, di Thailand, harga jualannya adalah bermula dari 1,999,900 baht (RM257,000).

     
     
  • Perodua dijangka capai jualan 353,000 unit untuk 2024 – rekod baru, 7% lebih tinggi; kini no.3 dalam ASEAN

    Perodua dijangka capai jualan 353,000 unit untuk 2024 – rekod baru, 7% lebih tinggi; kini no.3 dalam ASEAN

    Perodua agak senyap sepanjang tahun ini – tiada sebarang pelancaran model baharu dibuat, malah tiada juga sebarang hebahan berkenaan rekod jualannya diumum setiap bulan mahupun setiap suku. Namun hakikatnya Perodua macam ubi sekarang ini – diam-diam tapi berisi.

    Ketika hari pertama Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 dibuka kepada media Rabu lalu, Perodua bukan sahaja mendedahkan model konsep EV eMO-II yang bakal dijelmakan sebagai model produksi EV dengan harga bawah RM100k dijadualkan akan dilancarkan hujung tahun depan, malah presiden dan CEO pengeluar automotif tempatan itu, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa syarikatnya bakal mencatatkan satu lagi rekod jualan tahun ini.

    Dengan baki hanya tinggal sebulan, Perodua kini mensasarkan jualan sekitar 353,000 unit untuk tahun ini. Sekiranya tiada sebarang masalah berlaku, kilang-kilang Perodua di Rawang bakal menghasilkan sebanyak 364,000 unit kenderaan menjelang hujung tahun nanti, dan sasaran jualan itu bakal dicapai kerana kebanyakkan unit yang dihasilkan biasanya tidak banyak disimpan sebagai stok tanpa pembeli.

    Perodua dijangka capai jualan 353,000 unit untuk 2024 – rekod baru, 7% lebih tinggi; kini no.3 dalam ASEAN

    Mei lalu Perodua mengumumkan bahawa sasaran jualannya untuk tahun ini adalah sama seperti 2023, di mana ia berjaya menjual sebanyak 330,325 unit tahun lalu. Angka berkenaan adalah 17.1% lebih tinggi dari 282,019 unit yang didaftarkan pada 2022, dan ia juga merupakan rekod jualan tahunan tertinggi Perodua setakat ini. Jadi sekiranya jumlah 353,000 unit dicapai tahun ini, ia merupakan satu lagi rekod baharu dan 7% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

    Zainal menjangkakan jumlah volum industri (TIV) Malaysia tahun ini juga akan berada pada tahap lebih kurang sama dengan tahun lalu iaitu sekitar 800,000 unit. Sekiranya jumlah jualan 353,000 unit berjaya dicapai oleh Perodua berbanding TIV 800,000 unit, ini bermakna ia memegang bahagian pasaran sebanyak 44.1%.

    Bagi yang belum mengetahui, Perodua sudahpun menjadi pengeluar automotif ketiga terbesar di ASEAN pada 2023. Dengan jumlah jualan lebih baik tahun ini, ia sudah tentu masih boleh mengekalkan kedudukan tersebut tahun ini. Sasaran untuk jadi nombor tiga dalam ASEAN ni macam pernah dengar kan?

     
     
  • Polis Negeri Sembilan beri 50% diskaun saman trafik pada 7 Dis 2024 di Dataran Melang, Kuala Pilah

    Polis Negeri Sembilan beri 50% diskaun saman trafik pada 7 Dis 2024 di Dataran Melang, Kuala Pilah

    Bagi yang berada di Kuala Pilah atau daerah sekitarnya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan esok, 7 Disember 2024.

    Anda boleh ke Dataran Melang, Kuala Pilah antara jam 8.30 pagi hingga 4 petang, untuk mendapatkan penawaran diskaun saman ini, tetapi ia hanya untuk kesalahan terpilih sahaja. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Kuala Pilah atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Perodua eMO-II ialah “Episod 2”, yang ketiga model produksi pada 2025, dengan harga bawah RM90k

    Perodua eMO-II ialah “Episod 2”, yang ketiga model produksi pada 2025, dengan harga bawah RM90k

    Pasti menarik dan bermakna untuk melihat hadirnya sebuah kereta konsep oleh pengeluar tempatan, memandangkan ia adalah cerminan kepada sesuatu reka bentuk yang boleh kita miliki apabila siap diproduksi nanti. Ini samalah halnya dengan rekaan konsep Perodua eMO-II yang mula ditunjukkan semalam di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.

    Ia adalah lanjutan kepada perkembangan pembangunan EV nasional oleh Perodua, seperti yang diminta oleh kerajaan. eMO pertama sekali muncul sebagai model skala 1:6 pada Mei 2023. Tapi model eMO-II yang ditunjuk semalam adalah lanjutan daripada perkembangan tersebut — ia kini sebuah model konsep dengan saiz sebenar, dan menjadi tanda kepada perjalanan EV Perodua setakat ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad menjelaskan ini sebagai “episod kedua” bagi perjalanan EV itu. “Episod ketiga” harapnya kita akan melihat EV yang siap diproduksi yang akan muncul tahun depan.

    Perodua eMO-II ialah “Episod 2”, yang ketiga model produksi pada 2025, dengan harga bawah RM90k

    “Prototaip ini adalah penerus perjalanan EV kami, dalam usaha Perodua untuk membangunkan teknologi berkenaan dari sifar. eMO-II menampilkan banyak penambahbaikan berbanding pendahulunya dari segi penggayaan dan ciri, dan kini lebih menyerlah sebagai calon EV di masa hadapan,” ujarnya. eMO-II masih lagi sebuah prototaip, dan akan ada banyak lagi ciri yang diperkemas sebelum diproduksi.

    eMO-II dibangunkan sepenuhnya sendiri oleh pasukan R&D Perodua. “Ia menjadi satu lekuk pembelajaran yang penting bagi pasukan kami dalam kerjasama dengan beberapa perunding untuk memahami gerak kerja sesebuah EV. Apapun, semuanya berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” tambah Zainal.

    Antara perkara yang perlu dilakukan adalah untuk mendapatkan bantuan bakar dalam bidang masing-masing, dan Bufori sangat arif tentang penyudah dan mengecat kenderaan — hasil yang dilihat pada protoip eMO-II ini melibatkan kerja tangan mereka yang berpusat di Sungai Buloh.

    Perodua eMO-II ialah “Episod 2”, yang ketiga model produksi pada 2025, dengan harga bawah RM90k

    Memandangkan ekosistem EV di Malaysia belum kukuh, pengeluaran EV Perodua ini nanti bakal menyaksikan komponen seperti motor, inverter dan bateri akan diimport, dengan hasrat untuk melakukan lokalisasi sentiasa ada. Bateri misalnya akan didapatkan daripada CATL, satu daripada pengeluar bateri EV utama dunia.

    Perodua juga sebelum ini telah menandatangani MoU bersama pengendali stesen pengecas, Gentari — yang merupakan sebuah anak syarikat Petronas — yang bakal menyaksikan pemasangan kemudahan pengecasan di pusat servis Perodua. Ia bertujuan untuk menyokong keperluan pelanggan Perodua dalam peralihan mereka kepada EV.

    Perodua eMO-II ialah “Episod 2”, yang ketiga model produksi pada 2025, dengan harga bawah RM90k

    “Kami akan membuat pengumuman lanjut berkaitan sistem pengecasan kerana kami merancang untuk mempunyai stesen pengecas di setiap 40 atau 50 km, sama ada dalam bentuk pengecas tetap atau mudah alih, yang ketika ini masih dikaji. Kami juga sedang melihat kepada nilai jualan semula, kerana kami ingin mengekalkan nilai unit terpakai walaupun untuk EV,” tambahnya.

    Untuk harga, ia menjadi faktor penting yang akan menentukan sama ada pelanggan akan membeli EV ini nanti atau sebaliknya. Untuk itu, model produksi eMO-II nanti akan dijual dalam julat harga antara RM50,000 hingga RM90,000 jelas Zainal. Beliau yakin yang EV Perodua nanti akan jadi yang termurah yang dijual di Malaysia.

     
     
  • Polis Pahang beri 50% diskaun saman trafik sehingga 13 Dis 2024 di seluruh kaunter saman trafik negeri

    Polis Pahang beri 50% diskaun saman trafik sehingga 13 Dis 2024 di seluruh kaunter saman trafik negeri

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih sejak 2 Disember lalu sehingga 13 Disember 2024. .

    Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini dibuka di seluruh kaunter saman trafik dalam negeri Pahang termasuk Kaunter Saman Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada Sabtu dan Ahad.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Pahang, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Mitsubishi Triton dengan kit badan D Mod, pelbagai aksesori di KLIMS 2024 – beri inspirasi ubah suai

    Mitsubishi Triton dengan kit badan D Mod, pelbagai aksesori di KLIMS 2024 – beri inspirasi ubah suai

    Selain Xpander, Mitsubishi juga membawa sebuah Triton yang diubah suai khas untuk pameran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Ia dihasilkan untuk memberi inspirasi kepada pemilik jika mereka mahu mengubah suai kenderaan sendiri.

    Sama seperti Xpander putih di sebelahnya, Triton Athlete warna Yamabuki Orange ini juga menggunakan kit badan daripada D Mod, yang termasuk spoiler hadapan dengan lampu LED, pelindung badan di bahagian tepi, panel tambahan pada bampar belakang serta panel hiasan di pintu ruang barang belakang. Semua bahagian ini, bersama gril hadapannya dicat hitam, memberi kontras kepada badannya.

    Aksesori lain yang dipasang adalah termasuk panel tambahan atas bumbung dan sports bar, serta rim Enkei Tuning SC59 yang dibalut tayar Yokohama Geolandar A/T G015. Di dalam anda akan nampak balutan kulit hitam/merah dengan corak berpetak di bahagian penyandar badan, serta jahitan merah pada papan pemuka dan tepi pintu.

    Tiada perubahan dibuat pada bahagian mekanikal, bermakna Triton Athlete ini dipacu oleh enjin diesel empat silinder 2.4 liter turbo 4N16 yang digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda Easy Select, mampu menghasilkan kuasa 204 PS dan tork 470 Nm.

    Melalui model Triton generasi sebelum ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sudah menunjukkan mereka tiada masalah untuk menawarkan beberapa model ubah suai edisi terhad kepada pengguna dan ia harapnya boleh juga diteruskan pada model baru ini.

     
     
  • Tiada diskaun 20% bagi kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang kerana prestasi penjanaan hasil rendah

    Tiada diskaun 20% bagi kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang kerana prestasi penjanaan hasil rendah

    Diskaun 20% untuk kadar tol bagi Jambatan Pulau Pinang tidak akan diberikan untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang Kedua (juga dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah), laporan Bernama. Ini disebabkan oleh kos pembinaan yang jauh lebih tinggi dan prestasi penjanaan hasil yang rendah.

    Bercakap di Dewan Negara, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kos pembinaan bagi kedua-dua jambatan adalah jauh berbeza, dengan Jambatan Pulau Pinang menelan kos RM850 juta, manakala Jambatan Kedua Pulau Pinang jauh lebih tinggi iaitu RM4.8 bilion.

    Dari segi pendapatan, Jambatan Pulau Pinang menjana RM29.3 juta pada 2023, manakala Jambatan Pulau Pinang kedua pada awalnya dijangka mampu menjana RM137.2 juta. Bagaimanapun, ia hanya mencapai RM53.8 juta, 42% daripada unjuran pendapatannya,” jelas Ahmad Maslan.

    “Penjanaan hasil yang kurang ini adalah salah satu sebab utama kami tidak boleh menawarkan diskaun 20%,” katanya menjawab soalan yang dikemukakan oleh senator Lingeshwaran Datuk Seri R. Arunasalam, yang bertanya sama ada diskaun itu juga boleh diberikan kepada pengguna Jambatan Pulau Pinang Kedua.

    Ahmad Maslan menegaskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan, yang menyelia pengurusan hasil bagi jambatan itu, untuk pertimbangan selanjutnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025