Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR Yaris facelift muncul di KLIMS 2024 – bakal dilancar disini tahun depan, pilihan auto dan manual

    Toyota GR Yaris facelift muncul di KLIMS 2024 – bakal dilancar disini tahun depan, pilihan auto dan manual

    Selain banyak model-model konsep, UMW Toyota turut menyediakan satu reruai khas untuk sayap perlumbaan rasminya iaitu Toyota Gazoo Racing di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Dan antara yang menarik, buat pertama kali model facelift bagi hot-hatch GR Yaris telah dipertontonkan di Malaysia menerusi acara ini.

    Model ini membuat kemunculan sulungnya di Tokyo Auto Salon 2024 pada Januari lalu. Selain dari rupa yang sedikit berbeza dan juga kuasa enjin yang dipertingkat, model kemaskini ini juga buat pertama kali ditawarkan dengan kotak gear automatik, berbanding hanya manual sebelum ini. Kami difahamkan bahawa UMW Toyota bakal melancarkan model ini pada separa pertama tahun hadapan, dan ia akan dibawa dengan kedua-dua jenis transmisi.

    GR Yaris facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini. Namun kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm pada versi sebelumnya kini sudah dipertingkat bagi menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm, atau 32 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini.

    Bagi model manual, ia masih menerima kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala bagi pilihan versi transmisi automatik yang baru ditawarkan menerusi model facelift ini, ia dibekalkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang diberi nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

    Toyota GR Yaris facelift muncul di KLIMS 2024 – bakal dilancar disini tahun depan, pilihan auto dan manual

    Untuk bahagian luaran, perbezaan paling ketera untuk GR Yaris ini boleh dilihat pada muka, dengan gril di bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

    Manakala kemasan pada bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Liang aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

    Terdapat juga liang udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Liang udara pada bahagian bawah bampar belakang direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

    Kluster lampu belakang baharu pada GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut Toyota, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

    Toyota GR Yaris facelift muncul di KLIMS 2024 – bakal dilancar disini tahun depan, pilihan auto dan manual

    Kesemua cermin pada unit yang dibawa ini telah digelapkan sepenuhnya – jadi kami bukan sahaja tidak dapat mengambil gambar bahagian kabin, malah turut didiketahui sama ada ia adalah dari versi manual atau automatik. Namun menerusi pendedahan sebelum ini, sudah diketahui GR Yaris facelift kini menerima perubahan kabin yang agak drastik.

    Ia diberikan papan pemuka yang diubah sepenuhnya dengan rekaan yang agak pelik. Namun rekaan ini sebenarnya dibuat untuk mengutamakan pemandu dan direka diinspirasikan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

    Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya. Toyota turut menawarkan opsyen tuil brek tangan yang terletak bersebelahan tombol gear seakan brek tangan jentera WRC sebenar untuk varian RC yang dijual untuk diubah menjadi kereta lumba.

    Toyota GR Yaris facelift muncul di KLIMS 2024 – bakal dilancar disini tahun depan, pilihan auto dan manual

    Berbeza dari versi pre-facelift yang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

    Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah. Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

    Tidak dapat dipastikan sama ada jumlah yang akan dijual di Malaysia kelak masih lagi dihadkan mengikut kuota atau tidak seperti model asal yang dilancarkan di sini pada 2021, ketika itu pasaran Malaysia hanya menerima 127-unit sahaja model yang diproduksi terhad hanya 25,000 unit seluruh dunia.

     
     
  • Nissan X-Trail e-Power 2025 dipertonton di M’sia — 1.5L VC-Turbo hibrid, 204 PS/330 Nm, lancar 2025?

    Nissan X-Trail e-Power 2025 dipertonton di M’sia — 1.5L VC-Turbo hibrid, 204 PS/330 Nm, lancar 2025?

    Selain pelancaran Kicks e-Power, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) turut mempertontonkan model e-Power berikutnya untuk pasaran Malaysia di KLIMS 2024 — model yang dimaksudkan ialah Nissan X-Trail generasi keempat.

    Tiba di sini empat tahun selepas ditunjukkan di AS (sebagai Rogue), SUV segmen C tujuh-tempat duduk ini akan membawakan penambahbaikan besar dan kesegaran bagi model semasa di pasaran sini. Perincian model SUV terbaru ini untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan, tetapi jangkaan kami adalah ia akan dilancarkan pada tahun depan.

    Kuasanya dijana oleh motor elektrik yang menghasilkan sebanyak 204 PS (150 kW) dan 330 Nm tork. Enjin pula menggunakan unit yang lebih besar berbanding Kicks, iaitu enjin 1.5 liter KR15DDT turbocas tiga-silinder dengan teknologi variable-compression (VC-Turbo). Ia menggunakan siri sambungan boleh ubah yang kompleks ke bahagian top dead centre (TDC) dan bottom dead centre (BDC) omboh, dan memberikan kawalan lebih baik terhadap kuasa dan kecekapan.

    Nissan X-Trail e-Power 2025 dipertonton di M’sia — 1.5L VC-Turbo hibrid, 204 PS/330 Nm, lancar 2025?

    Enjin berkenaan menghasilkan 158 PS pada 4,600 rpm dan 250 Nm tork dari 2,400 hingga 4,400 rpm, yang digunakan sepenuhnya untuk motor elektrik dan bateri 2.1 kWh. Ini membolehkan X-Trail memecut dari 0-100 km/j dalam masa lapan saat untuk mencapai laju maksimum 170 km/j, manakala kadar penggunaan minyak ialah 5.8 liter per 100 km.

    Dari luaran, X-Trail diberikan lampu utama LED terpisah, gril V-motion yang besar, bumbung hitam pilihan serta lampu belakang dengan grafik bentuk C. Suasana moden turut boleh dilihat di dalam, dengan rekaan papan pemuka bentuk sayap, konsol tengan yang lebar dan skrin sentuh apung untuk infotainmen.

    Unit yang dipamer ini dibawa dari Singapura. Dari apa yang boleh dilihat, ia dilengkapi dengan rim 19-inci dua-tona, paparan instrumen dan infotainmen 12.3-inci, head-up display 10.8-inci, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, kawalan melayar adaptif serta sistem pacuan semua roda e-4orce.

     
     
  • Honda e:N1 dipamerkan di KLIMS 2024 – HR-V EV bakal dilancar di Malaysia pada 2025, 204 PS/310 Nm

    Honda e:N1 dipamerkan di KLIMS 2024 – HR-V EV bakal dilancar di Malaysia pada 2025, 204 PS/310 Nm

    Honda Malaysia hari ini secara rasmi buat pertama kali mendedahkan model EV Honda e:N1 di Malaysia menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang mula dibuka kepada media hari ini. SUV berkenaan telahpun membuat kemunculan sulungnya di Indonesia dan Thailand pada awal tahun ini.

    Kemunculan model ini bukan hanya untuk menunjukkan teknologi terkini Honda kepada pengguna Malaysia semata-mata. Kami difahamkan bahawa ia memang dirancang untuk dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun hadapan, namun garis masa yang lebih terperinci masih belum didedahkan oleh Honda Malaysia.

    Model ini didedahkan buat pertama kali di China pada 2021, dikenali dengan nama e:NS1 di sana. Ia turut dibawa ke Eropah, dikenali sebagai e:NS1 di benua berkenaan. Honda e:N1 ini juga telah mula diproduksi di Thailand bermula akhir tahun lalu, dan ia telah pun mula masuk ke pasaran negara berkenaan, namun hanya ditawarkan secara sewaan menerusi 12 syarikat terpilih.

    Pada bahagian luaran, e:N1 ini menampilkan rupa yang sama seperti model petrol penuh dan hibrid Honda HR-V, dibezakan hanya pada bahagian gril hadapan tertutup yang menyorokkan palam pengecas di sebaliknya. Begitu juga pada sebelah dalam, ia juga menampilkan asas papan pemuka yang sama dengan HR-V, tetapi dibezakan dengan penampilan skrin menegak bersaiz 15.1-inci pada bahagian tengah, dan paparan instrumen diganti dengan skrin 10.25-inci tanpa perumah.

    Di Thailand skrin menegak berkenaan menampilkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay. Konsol tengah juga agak berbeza kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis PRND jenis tekan. Walaupun rupa luaran dan dalamannya memang seiras dengan HR-V, Honda menyatakan bahawa e:N1 ini diasaskan dari platform e:N Architecture F yang baru sahaja dibangunkan.

    Platform tersebut menampilkan satu motor elektrik yang diletakkan di hadapan bagi memacu roda hadapan bagi memberikan tiga karekter asas iaitu struktur badan khas dengan ketegaran tinggi, pusat graviti rendah serta bahagian aerodinamik bawah yang dihasilkan secara berhati-hati bagi memastikan faktor “pemanduan yang seronok dan diinspirasikan dari keyakinan” dengan “dinamik Honda yang dikenali”.

    Bagi e:N1 pasaran ASEAN yang telah didedahkan sebelum ini, motor elektrik yang dipadankan mampu menghasilkan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm. Ini membolehkan SUV EV segmen-B ni memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

     
     
  • Mazda CX-80 dipamer di KLIMS 2024 – SUV 7-tempat duduk, penjana kuasa PHEV; pengganti CX-8, CX-9

    Mazda CX-80 dipamer di KLIMS 2024 – SUV 7-tempat duduk, penjana kuasa PHEV; pengganti CX-8, CX-9

    Bermaz telah memperkenalkan SUV tujuh-tempat duduk Mazda CX-80 menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan CX-80. Sebagai SUV premium dengan tiga-barisan tempat duduk, CX-80 ini disasarkan bersaing dengan BMW X5, Audi Q7, Mercedes-Benz GLE dan Hyundai Santa Fe generasi kelima.

    Berukuran 4,995 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, CX-80 adalah 250 mm lebih panjang dan and 24 mm lebih tinggi berbanding CX-60, sementara jarak rodanya mencecah 3,120 mm juga lebih panjang sebanyak 250 mm. Jika dibandingkan dengan GLE, model SUV Jepun ini adalah 71 mm lebih panjang, 120 mm lebih sempit dan 87 mm lebih rendah, tetapi jarak rodanya 125 mm lebih panjang.

    Regangan jarak roda yang besar itu memberikan rupa SUV ini kelihatan ‘kurus’, cuma bahagian belakangnya terlihat agak besar. Dengan pacuan roda-belakang, kebanyakan rekabentuk CX-80 mirip dengan CX-60, termasuk reka bentuk lampu hadapan dan lampu belakangnya, gril dilingkari krom yang besar dan fender hadapannya yang menyerlah. Manakala tingkap belakangnya juga lebih besar memberikan pandangan yang lebih luas untuk penumpang yang duduk di barisan ketiga.

    Ruang dalamanya juga lebih besar, juga seperti CX-60, dengan papan pemuka berbentuk ala-sapa, konsol tengah yang lebar dan banyak material sentuhan lembut di segenap ruang. Ciri tipikal Mazda juga kelihatan termasuk paparan instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, ketersambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto, paparan utama dan sistem bunyi Bose bersama 12-pembesar suara.

    Turut diberikan sebagai pilihan ialah bentangan enam-tempat duduk dengan bangku kapten pada barisan kedua, tirai tingkap sisi untuk tempat duduk belakang dan bumbung suria kaca panoramik. Mazda mendakwa SUV ini memiliki ruang but berkapasiti 687 liter dengan tempat duduk barisan ketiga dibaringkan (258 liter jika ia ditegakkan) dan mencecah 1,971 liter sekiranya kedua-dua barisan tempat duduk belakang dibaringkan. Kelengkapan bantuan pemanduan i-Activsence turut diberikan, termasuk brek kecemasan autonomous hadapan dan belakang, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go dan bantuan pemusatan lorong.

    CX-80 yang dipamerkan sekarang ini menampilkan penjana kuasa plug-in hybrid, di mana ia merupakan salah satu pilihan untuk SUV tersebut. Versi plug-in hybrid ini adalah gandingan enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder 192 PS/261 Nm dan motor elektrik 175 PS/270 Nm dengan keseluruhan kuasa cecah 328 PS dan tork 500 Nm, bersama bateri 17.8 kWh yang membolehkannya mencapai jarak gerak hingga 60 km. Model PHEV ini juga dikhabarkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dan pastinya cukai jalannya lebih rendah berbanding versi enjin 3.3 liter.

    Selain itu, untuk peringkat global, ia juga ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin lain, termasuk 3.3 liter hibrid ringkas pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol 284 PS/450 Nm, 3.3 litr turbodiesel enam-silinder 231 PS/500 Nm dan hibrid ringkas 254 PS/550 Nm. Kesemuanya didatangkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan sama ada pacuan roda-belakang atau pun semua-roda.

     
     
  • Mazda CX-60 dipertonton di KLIMS 2024 – SUV pacuan RWD/AWD, enjin enam silinder bakal dilancar?

    Mazda CX-60 dipertonton di KLIMS 2024 – SUV pacuan RWD/AWD, enjin enam silinder bakal dilancar?

    Mazda CX-60 dipertontonkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, sebelum ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia (kami jangkakan pada tahun hadapan). Buat masa ini, pengedar rasmi Mazda, Bermaz Motor masih belum memberitahu bila SUV lima tempat duduk ini akan mula dijual, berapa harganya dan bagaimana spesifikasinya.

    Apa yang diketahui, CX-60 ini akan menjadi satu produk dalam kelas yang lebih tinggi, bagi menarik pelanggan yang melihat kepada model seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC, Volvo XC60 dan Lexus NX. Ia dibina atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture versi Large Product, dengan enjin menegak di hadapan dan pacuan roda belakang.

    Berkenaan dimensi, CX-60 mencatat ukuran panjang 4,740-4,745 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,680 mm tall dan jarak roda sekitar 2,870 mm. Ukuran ini tidak jauh beza dengan pesaingnya yang lain, kecuali NX yang lebih kecil.

    Mazda CX-60 dipertonton di KLIMS 2024 – SUV pacuan RWD/AWD, enjin enam silinder bakal dilancar?

    Sebenarnya, CX-60 ini datang dengan pelbagai penggerak bergantung kepada pasaran. Berikut adalah pilihan yang terdapat di beberapa negara jiran, bersama harganya:

    Filipina – harga antara PHP2.79 ke 2.89 juta (RM213k ke RM221k)

    Petrol enam silinder 3.3 liter e-Skyactiv-G turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V

    • Kuasa: 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan tork 450 Nm
    • Kuasa motor elektrik: 16 PS (16 hp atau 12 kW) dan tork 153 Nm
    • Bateri: 0.33 kWh lithium-ion
    • Transmisi: Automatik lapan kelajuan; AWD

    Diesel enam silinder 3.3 liter e-Skyactiv-D turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V

    • Kuasa: 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan tork 550 Nm
    • Kuasa motor elektrik: 16 PS (16 hp atau 12 kW) dan tork 153 Nm
    • Bateri: 0.33 kWh lithium-ion
    • Transmisi: Automatik lapan kelajuan; AWD

    Mazda CX-60 dipertonton di KLIMS 2024 – SUV pacuan RWD/AWD, enjin enam silinder bakal dilancar?

    Singapura – harga SGD338,888 (RM1.12 juta)

    Petrol empat silinder 2.5 liter Skyactiv-G NA

    • Kuasa: 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm
    • Transmisi: Automatik lapan kelajuan; RWD
    Indonesia – harga antara 799 juta ke 1.1888 bilion rupiah (RM224k ke RM333k)

    Petrol enam silinder 3.3 liter e-Skyactiv-G turbo dengan sistem hibrid ringkas 48V

    • Kuasa: 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan tork 450 Nm
    • Kuasa motor elektrik: 16 PS (16 hp atau 12 kW) dan tork 153 Nm
    • Bateri: 0.33 kWh lithium-ion
    • Transmisi: Automatik lapan kelajuan; AWD

    Petrol empat silinder 2.5 liter Skyactiv-G NA

    • Kuasa: 188 PS (185 hp atau 138 kW) dan tork 250 Nm
    • Transmisi: Automatik lapan kelajuan; AWD

    CX-60 diperkenalkan kepada dunia pada Mac tahun 2022 dengan penggerak plug-in hybrid pertama jenama itu, yang menampilkan enjin petrol empat silinder NA 2.5 liter Skyactiv-G 192 PS (189 hp atau 141 kW) pada 6,000 rpm dan tork 261 Nm.

    Ia kemudiannya dibantu motor elektrik berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 250 Nm, yang terletak antara enjin dan tranmsisi lapan kelajuannya, dan dijadikan lengkap dengan sistem pacuan semua roda i-Activ. Hasilnya, kuasa keseluruhan yang mampu dikeluarkan adalah 327 PS (323 hp atau 241 kW) dan 500 Nm. Bateri lithium-ion 17.8-kWh padanya mampu memberikan jarak gerak elektrik sehingga 60 km dan boleh dicas penuh dalam masa 1.5 jam menggunakan sumber AC maksimum 7.2 kW.

    Kenderaan yang dipertonton di Malaysia digerakkan oleh enjin petrol enam silinder 3.3 liter turbo e-Skyactiv-G dengan sistem hibrid ringkas 48V dan transmisi automatik lapan kelajuan. Sekali lagi perlu dinyatakan, ini tidak bermakna kita akan mendapat spesifikasi yang sama seperti unit ini, jadi kita perlu menunggu kata putus daripada Bermaz Motor.

     
     
  • Kia Sportage CKD 2025 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 1.6L turbo, 2.0L NA; dari RM147k-RM187k

    Kia Sportage CKD 2025 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 1.6L turbo, 2.0L NA; dari RM147k-RM187k

    Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia telah pun melancarkan Kia Sportage 2025 menerusi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 yang bakal membuka tirainya esok di MITEC KL. Barisan Sportage 2025 ditawarkan dengan empat varian bersama dua pilihan enjin iaitu 2.0G 2WD yang berharga atas jalan RM147,218.60 tanpa insurans, 2.0G 2WD High berharga RM157,218.60, 1.6T 2WD High berharga RM176,899 dan model tertinggi 1.6T AWD Hi pula berharga RM186,899.

    Ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, Sportage 2025 ini merupakan generasi kelima (NQ5) dalam versi sebelum facelift terbarunya, yang hanya telah dilancarkan secara eksklusif untuk Korea Selatan sahaja ketika ini. Malahan pasaran Indonesia dan Thailand juga belum menerima kehadirannya setakat ini.

    Barisan Sportage 2025 ini memiliki dimensi berukuran 4,660 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,660 mm tinggi dan 2,755 mm bagi jarak roda, manakala jarak kelegaan tanahnya (ground clearance) pula mencecah 181 mm.

    Kia Sportage CKD 2025 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 1.6L turbo, 2.0L NA; dari RM147k-RM187k

    Bagi varian 2.0 dan 2.0 High, ia diberikan enjin Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT yang dengan hamburan kuasa 154 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,500 rpm. Digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum hingga 181 km/j dan penggunaan bahan api didakwa sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km.

    Manakala bagi varian 1.6T High dan 1.6T High AWD, ia menerima penjana kuasa Gamma II 1.6 T-GDI empat-silinder sebaris D-CVVT dengan output mencecah 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia juga diberikan transmisi DCT e-Shift tujuh-kelajuan, dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 201 km/j. Kia mendakwa, penggunaan bahan apinya lebih menjimatkan iaitu sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 km.

    Kesemua varian Sportage 2025 ini diberikan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Multi-Link di belakang. Manakala untuk sistem breknya, ia menerima ventilated disc untuk hadapan dan solid disc di belakang.

    Kia Sportage CKD 2025 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 1.6L turbo, 2.0L NA; dari RM147k-RM187k

    Bagi imej luarannya, wajah hadapannya nampak agresif dengan penampilan lampu utama dengan jaluran ala boomerang bersama gril radiator yang lebih besar. Untuk model asas, ia digandingkan bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang dengan material hitam. Manakala tiga varian tertinggi lebih ranggi bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang ditampilkan material piano black bersama kemasan krom satin.

    Sisi agresif juga ditampilkan pada bahagian belakang yang dilengkapi dengan antena shark fin dan spoiler. Untuk rim pula, ia diberikan unit aloi 17-inci dibaluti tayar profil 235/65 R17 untuk kedua-dua varian enjin 2.0, manakala bagi versi 1.6T pula menerima aloi 18-inci bersama tayar profil 235/60 R18.

    Untuk ruang kabinnya, kemasan papan pemuka pula tidaklah begitu sarat dan tidak menampakkan sifat futuristik walau pun masih kekal bergaya> Ia diberikan material lembut dengan rona hitam untuk varian asas, manakala varian selebihnya menerima kemasan piano black.

    Kia Sportage CKD 2025 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 1.6L turbo, 2.0L NA; dari RM147k-RM187k

    Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah butang penghidup enjin, Brek Parkir Elektronik (EPB), cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam, suis pemilihan mod pemanduan, pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang, pencahayaan dalaman, sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh lapan-inci, Apple CarPlay dan Android Auto dan kamera undur dengan Paparan Pandangan Sekeliling (SVM).

    Bagi aspek keselamatan pula, kesemua varian menerima enam beg udara, ABS, Kawalan kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Fungsi Menahan Auto, Amaran pemakaian tali pinggang keledar, Amaran keluar selamat, cagak Isofix, sistem pemantauan tekanan tayar, Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC) dan Kawalan Kelajuan.

    Manakala tiga varian teratas menerima kelengkapan teknologi keselamatan termaju yang merangkumi Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA) dan Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go.

    Harga atas jalan bagi 2.0G 2WD ialah RM147,218.60 tanpa insurans, 2.0G 2WD High berharga RM157,218.60, 1.6T 2WD High berharga RM176,899 dan model tertinggi 1.6T AWD Hi pula berharga RM186,899. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis. Untuk yang berminat memilikinya, tempahannya telah pun dibuka sekarang.

    Berikut merupakan spesifikasi penuh bagi setiap varian:

    Sportage 2.0

      Mekanikal:

    • Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT
    • 154 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,500 rpm
    • Kotak gear automatik enam-kelajuan
    • Luaran:

    • Lampu utama LED
    • lampu nyalaan siang (DRL) LED
    • Lampu belakang kombinasi LED & jenis mentol
    • Lampu kabus jenis mentol
    • Penderia hujan pada cermin hadapan
    • Kemasukan tanpa kunci pintar
    • Tailgate bukaan manual
    • 4 unit penderia belakang
    • Dalaman:

    • Butang penghidup enjin
    • Brek Parkir Elektronik (EPB)
    • Roda stereng material urethene dengan fungsi kawalan audio dan bluetooth bebas tangan
    • Cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam
    • Kluster instrumen LCD TFT 4.2-inci
    • Suis pemilihan mod pemanduan
    • Pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang
    • Dua unit port kuasa 12-voltan
    • Pencahayaan dalaman
    • Tempat duduk balutan fabrik dengan 6-cara larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan 4-cara larasan manual untuk penumpang hadapan
    • Sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh 8-inci
    • Apple CarPlay dan Android Auto
    • Dua unit port USB
    • Kamera undur dengan Paparan Pandangan Sekeliling (SVM)
    • Ciri keselamatan:

    • 6 beg udara
    • ABS
    • Kawalan kestabilan Elektronik (ESC)
    • Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC)
    • Fungsi Menahan Auto
    • Amaran pemakaian tali pinggang keledar
    • Amaran keluar selamat
    • Cagak Isofix
    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC)
    • Kawalan Kelajuan Pasif

    Sportage 2.0 High

    Luaran:

  • Lampu kabus hadapan LED
  • Tailgate kuasa pintar
  • 4 unit penderia hadapan
  • Welcome light
  • Dalaman:

  • Tempat duduk balutan kulit dengan 8-cara larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu
  • 4 unit port USB
  • Ciri teknologi keselamatan termaju:

  • Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
  • Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW)
  • Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta
  • Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
  • Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go
  • Sportage 1.6T High

    Mekanikal:

  • Gamma II 1.6 T-GDI empat-silinder sebaris D-CVVT
  • 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm
  • Kotak gear automatik enam-kelajuan
  • transmisi DCT e-Shift tujuh-kelajuan
  • Luaran:

  • Lampu utama projektor LED
  • Lampu lampu belakang LED
  • Dalaman:

  • Sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh 12.3-inci
  • Pendingin hawa dwi-zon dengan panel kawalan digital untuk hadapan
  • Pencahayaan ambien
  • Ciri teknologi keselamatan termaju:

  • Pemantauan Pandangan Titik Buta
  • Sportage 1.6T High AWD

    Luaran:

  • Rel bumbung
  • Dalaman:

  • Pedal penukar gear
  • Suis pemilihan mod pemanduan dengan fungsi differential lock
  • Sistem bunyi Harman Kardon
  •  
     
  • Mazda CX-5 MS Limited Edition 2025 dilancarkan di Malaysia – pakej lebih bergaya; harga kit RM12,000

    Mazda CX-5 MS Limited Edition 2025 dilancarkan di Malaysia – pakej lebih bergaya; harga kit RM12,000

    Bermaz Motor telah melancarkan pakej MS Limited Edition baharu untuk Mazda CX-5 bagi meningkatkan penggayaan yang lebih estetika dan menaikkan prestasi SUV ini. Pakej ini ditawarkan pada harga RM12,000 dan diberikan waranti setahun, dan ia boleh ditempah bermula hari ini dan akan tiba pada tahun 2025.

    Bagi perubahan visualnya, pakej MS Limited Edition memperkenalkan kemasan hitam berkilat untuk gril, bampar, cermin sisi, sekeliling gerbang roda dan panel rocker. Roda 19-inci juga dalam kemasan yang sama dengan spoiler bumbung yang sama dengan warna badan serta kemasan ekzos dengan perkataan ‘MS’.

    Bagi yang mungkin tidak tahu, ‘MS’ bermaksud Mazdasports, terma jenama yang digunakan oleh syarikat ini terhadap beberapa modelnya bagi menggambarkan rekaan yang lebih sporty.

    Untuk bahagian dalamnya, suede upholstery digunakan bagi tempat duduk CX-5 MS ini, juga pada panel pintu, roda stereng dan gear shift boot. Jahitan merah pula kelihatan pada beberapa bahagian kabin, termasuk pada roda stereng, kemasan pintu, tempat duduk dan konsol tengah.

    Sentuhan kemasan lain termasuk alas lantai bersulam, butang penghidup enjin merah, pedal sport dan lencana ‘MS Limited Edition’ yang terpampang di bahagian papan pemuka. Manakala untuk prestasi pula, penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan adanya palang topang hadapan bersama lencana ‘MS’ di atasnya.

    Pakej MS Limited Edition boleh dibeli dengan mana-mana varian CX-5, yang ditawarkan dengan lima pilihan, serta harga atas jalan antara RM144,469.20 dan RM188,760.40 tanpa insurans.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Hybrid facelift dilancar di KLIMS 2024 – 1.8V, HEV; GR Sport kini hibrid, RM134k-149k

    Toyota Corolla Cross Hybrid facelift dilancar di KLIMS 2024 – 1.8V, HEV; GR Sport kini hibrid, RM134k-149k

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi UMW Toyota melancarkan Corolla Cross facelift pada pasaran Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Bagi kemaskini kali ini, Corolla Cross ditawarkan dalam tiga varian dengan hanya model paling asas diberikan enjin petrol penuh, manakala dua varian lebih tinggi menerima unit rangkaian kuasa hibrid.

    Varian paling asas Corolla 1.8V dijual pada harga RM133,800, diikuti Corolla Cross Hybrid Electric dijual pada harga RMRM140,800, manakala varian lebih sporty Corolla Cross HEV GR Sport (sebelum ini hanya ditawarkan dengan enjin petrol penuh sahaja) dijual pada harga RM148,800. Angka-angka yanbg disebut merupakan harga atas jalan tanpa insuran.

    Model kemaskini ini masih dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang UMW Toyota yang terletak di Bukit Raja, Selangor. Ia menerima rombakan rekaan pada bahagian muka dengan diberikan lampu hadapan LED-penuh baharu dengan lampu isyarat membelok sequential, bersama gril atas yang lebih nipis. Manakala gril pada bahagian bampar kini direka tanpa bingkai dan menampilkan elemen sarang lebah.

    Lima warna ditawarkan untuk Corolla Cross Hybrid Electric iaitu Celestite Grey Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic, Platinum White Pearl dan warna baharu Dark Turquoise.

    Toyota Corolla Cross Hybrid facelift dilancar di KLIMS 2024 – 1.8V, HEV; GR Sport kini hibrid, RM134k-149k

    Pada bahagian dalaman, ia masih menerima papan pemuka yang sama seperti sebelum ini tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Antaranya adalah pedal kaki untuk brek parkir pada model sebelum ini telah digantikan dengan brek parkir elektronik yang lebih moden, serta memberikan fungsi brake hold automatik.

    Untuk model dengan enjin petrol sepenuhnya, ia masih diberikan paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi menerusi skrin TFT berwarna 4.2-inci. Manakala model hibrid pula diberikan paparan instrument digital sepenuhnya menerusi skrin 12.3-inci bagi memberikan informasi sistem hibrid. Skrin tersebut juga menampilkan tiga susunan berbeza dan juga empat tema visual (Casual, Smart, Tough, Sporty) yang boleh dipilih.

    Manakala skrin infotainmen sembilan-inci sebelum ini telah digantikan dengan skrin 10.1-inci yang lebih besar dan diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, serta memberikan paparan monitor pandangan 3D panaromik. Sistem telemetik kenderaan yang telah ditingkat taraf dengan fungsi penghidup enjin jarak jauh.

    Varian 1.8V dan juga Hybrid Electric menerima balutan upholsteri yang sama menggandingkan kulit hitam dan perang pada tempat duduk dan serlahan benang perak.

    Toyota Corolla Cross Hybrid facelift dilancar di KLIMS 2024 – 1.8V, HEV; GR Sport kini hibrid, RM134k-149k

    Bagi varian GR Sport, ia dilihat masih menggunakan rekaan yang hampir sama seperti versi sebelum facelift. Ia hadir dengan gril GR Sport, lampu belakang dengan lensa jernih sepenuhnya dan juga kemasan bawah bampar belakang dengan lencana GR. Model ini juga ditawarkan dengan tiga warna duo tona iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise – semuanya digandingkan dengan bumbung hitam.

    Manakala pada bahagian dalaman, model GR Sport ini datang dengan upholsteri kulit hitam dan serlahan jahitan benang merah serta logo GR yang cop pada perehat kepala tempat duduk hadapan dan juga tombol gear serta roda stereng balutan kulit.

    Varian GR Sport ini bukan hadir dengan hanya gaya lebih garang, malah ia turut menawarkan set suspensi lebih keras, talaan lebih sporty pada kotak komputer stereng kuasa elektrik (EPS) dan juga set pendakap-pendakap casis bagi memberikan prestasi pengendalian yang lebih sporty.

    Unit rangkaian kuasa masih tidak berubah dengan model petrol penuh dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan tujuh-kelajuan maya dengan mod manual, bagi memacu hanya roda hadapan.

    Manakala varian-varian dengan unit rangkaian kuasa hibird, ia menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 142 Nm bersama dua motor elektrik di mana motor utamanya berkuasa 72 PS/163 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS untuk memacu roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT.

    Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri Ni-MH 168 sel yang diletakkan dibawah tempat duduk belakang, membolehkan ruang but belakang kekal besar dengan kapasiti 440 liter.

    Kesemua tiga varian menerima rim aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar Toyo bersaiz 225/50R18. Namun rekaannya berbeza di mana varian 1.8V dan Hybrid Electric datang dalam kemasan Dark Grey Metallic dan aloi digilap, manakala varian GR Sport datang dalam kemasan dua tona.

    Untuk keselamatan, kesemua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Kesemua varian juga datang dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Semua varian diberikan pelindungan waranti lima tahun tahun tanpa had perbatuan. Manakala bagi varian-varian hibrid ia ditambah dengan waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid, inverter dan juga unit kawalan komputer (ECU) pengurusan tenaga.

    Pembeli turut ditawarkan dengan perlindungan tambahan selama dua-tahun untuk sistem elektrifikasi tersebut dengan tambahan bayaran, dan waranti ini turut boleh ditukar kepada pemilik seterusnya bagi memberikan nilai jualan balik yang lebih baik serta memberikan ketenangan minda buat pemilik, kata UMW Toyota.

    Toyota Corolla Cross Hybrid Electric

     
     
  • Proton eMas 7 Nadi, visual lain sebelum pelancaran

    Proton eMas 7 Nadi, visual lain sebelum pelancaran

    Bakal dilancarkan bulan ini, Proton eMas 7 yang masih belum ditunjukkan luarannya secara terbuka, tetap membuat penampilan di KLIMS 2024 dengan memperagakan pelekat samaran berbeza. Dikenali sebagai Nadi eMas 7, ia menampilkan motif kemapanan dan hijau sebagai matlamat penawarannya — dihadirkan dalam tema bintik-bintik sebagao kesan visualnya.

    Proton eMas 7 akan ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan, iaitu Prime dan yang paling lengkap, Premium. Dari segi saiz, SUV EV Proton ini berada dalam segmen C dengan ukuran seperti berikut: 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm.

    Kedua-dua varian tersebut juga berkongsi unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal “12-dalam-1” yang memacu roda hadapan dengan janaan sebanyak 218 PS (160kW) dan 320 Nm tork puncak. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Proton eMas 7 Nadi, visual lain sebelum pelancaran

    Berkenaan bateri, EV ini menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan rekaan “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Yang membezakan keduanya adalah kapasiti bateri yang berbeza — varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 49.52 kWj manakala varian Premium pula dengan kapasiti 60.22 kWj.

    Untuk jarak perjalanan yang boleh dicapai Protom eMas 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 km untuk satu cas penuh bateri, manakala eMas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 km untuk satu cas penuh baterinya. Angka ini diperolehi menerusi kitaran ujian WLTP yang lebih tepat berbanding NEDC.

    Proton eMas 7 juga datang sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan pengecasan dari 30% hingga 80% dicapai dalam masa hanya 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dicapai dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. Dalam kiraan mudah, dengan setiap pengecasan DC selama 10 minit, pengguna boleh mendapat 135 km jarak perjalanan.

    Untuk maklumat yang lebih terperinci, ikuti laporan pandu uji ringkas yang kami lakukan untuk Proton eMas 7.

     
     
  • Toyota Camry 2025 dilancarkan di Malaysia – hibrid 2.5 HEV, kuasa 230 PS, jarak gerak 1,250 km, RM248,800

    Toyota Camry 2025 dilancarkan di Malaysia – hibrid 2.5 HEV, kuasa 230 PS, jarak gerak 1,250 km, RM248,800

    UMW Toyota Motor melancarkan Toyota Camry 2025 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Model generasi kesembilan yang menggunakan asas TNGA ini datang dalam satu varian hibrid 2.5 HEV sahaja, dijual pada harga RM248,800 tidak termasuk insurans, diimport penuh (CBU) dari Thailand.

    Menggerakkan Camry baru ini adalah enjin empat silinder 2.5 liter Dynamic Force A25A-FXS 186 PS/221 Nm, yang digabungkan bersama motor permanent magnet synchronous 136 PS/208 Nm, bateri lithium-ion serta transmisi eCVT untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 230 PS dan jarak gerak keseluruhan 1,250 km.

    Muka hadapan baru Camry ini dipanggil oleh Toyota sebagai ‘Hammerhead’, dengan melibatkan rekaan gril atas nipis dan bukaan udara bawah lebar, menghasilkan rupa yang moden dan agresif, sementara sirip di tepi bampar membantu mengurangkan pergolakan angin. Rim menggunakan unit 18 inci, dibalut tayar Bridgestone Turanza 235/45 dan tayar gantian yang lebih kecil disediakan di dalam but.

    Masuk ke dalam anda akan melihat bumbung panoramik yang terbahagi dua, tempat duduk hadapan berliang udara, skrin sesentuh 12.3 inci dengan sambungan Android Auto/Apple CarPlay, panel instrumen 12.3 inci dan head-up display. Roda stereng boleh dilaras atas/bawah dan hadapan/belakang, sementara tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik dan datang dengan fungsi memori.

    Sedan segmen D ini juga dilengkapi dengan sembilan pembesar suara JBL (bersama subwoofer dan amplifier), sistem kawalan fungsi suara Voice Agent, pendingin hawa automatik tiga zon, pengecas tanpa wayar 15W, soket pengecas USB-C, tempat duduk belakang boleh sandar secara elektrik, penghadang cahaya cermin belakang dan suis untuk melaras tempat duduk kiri hadapan di bahagian tepi.

    Untuk sistem keselamatan, kereta ini disediakan dengan tujuh beg udara, pemerhati panoramik, dan Toyota Safety Sense 3.0 yang termasuk AEB, ACC, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Auto High Beam, Safe Exit Assist dan Blind Spot Monitor. Anda juga akan menerima sistem telematik, perakam video hadapan dan belakang serta penapis haba cermin.

    Warna yang ditawarkan untuk Camry baru ini adalah Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, Emotional Red, Platinum White Pearl dan Attitude Black. Setiap pembelian datang dengan jaminan kenderaan lima tahun tanpa had batuan, serta jaminan lapan tahun tanpa had batuan untuk sistem hibrid yang termasuk bateri, inverter serta unit kawalan pengurusan kuasanya. Pelanggan juga boleh melanjutkan jaminan hibrid ini kepada 10 tahun dengan bayaran tambahan RM3,500.

     
     
  • Geely tidak lupakan Proton – masih komited jadikan Tg. Malim sebagai hab produksi dan R&D ASEAN

    Geely tidak lupakan Proton – masih komited jadikan Tg. Malim sebagai hab produksi dan R&D ASEAN

    Baru-baru ini Geely telahpun melancarkan SUV EV EX5 di Thailand, dan mengesahkan bahawa model sama akan masuk ke pasaran Australia dan New Zealand tahun depan. Kesemua pasaran ini merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang sebelum ini dikatakan akan diberikan kepada Proton.

    Namun menerusi jawapan yang diberikan kepada paultan.org baru-baru ini, Geely mengesahkan bahawa ia masih komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D untuk rantau ASEAN.

    “Geely tetap berdedikasi pada ikrar awalnya bagi menjadikan AHTV sebagai hab pengeluaran dan R&D serantau untuk pasaran ASEAN,” kata Ash Sutcliffe, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group kepada paultan.org dalam respon kepada artikel yang kami keluarkan baru-baru ini berkenaan komitmen Geely terhadap Proton dan Malaysia.

    Geely tidak lupakan Proton – masih komited jadikan Tg. Malim sebagai hab produksi dan R&D ASEAN

    Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) telah diumumkan pada April 2022, disasarkan untuk menjadi hab bagi pengeluaran Next Generation Vehicles (NxGV) seperti yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020. Projek berkenaan akan diketuai Geely bersama rakan kongsi tempatan iaitu DRB-Hicom dengan menjadikan Tanjong Malim iaitu pusat operasi Proton sebagai lokasi utama.

    “Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,” tambah Sutcliffe.

    Ini bermakna Proton dan Geely tidak akan memasuki pasaran yang sama, walaupun Proton sebelum ini pernah hadir di Thailand dan Australia tetapi telah menghentikan operasinya di pasaran-pasaran tersebut.

    “Geely akan memanfaatkan sumbernya dalam pasaran ini, sama ada untuk membantu kemasukan Proton pada masa hadapan atau mengeksport produk dari Malaysia menggunakan AHTV sebagai hab pengeluaran, memaksimumkan sinergi dengan Proton dan rakan kongsi kami DRB-Hicom,” tambahnya lagi.

     
     
  • Perodua Ativa Fuze tampil di KLIMS 2024 — rekaan futuristik dengan lampu di luar, Sony PS5 di dalam

    Perodua Ativa Fuze tampil di KLIMS 2024 — rekaan futuristik dengan lampu di luar, Sony PS5 di dalam

    Perkenalkan, Perodua Ativa Fuze, sebuah kereta konsep yang dibangunkan khusus untuk Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024. Fuze adalah singkatan kepada “Futuristic Urban Zen Experience”, ia mencerminkan sebuah rekaan masa depan untuk persekitaran urban.

    Berbanding Ativa biasa, antara modifikasi yang dilakukan terhadap Fuze termasuklah rekaan wajah depan yang baru dengan adanya gril honeycomb beserta adanya jalur bersambung ke logo Perodua dengan pencahayaan. Lampu kabus yang bulat telah diganti dengan elemen “X”, disertai juga dengan jalur lampu di bahagian bawah bampar.

    Perodua Ativa Fuze tampil di KLIMS 2024 — rekaan futuristik dengan lampu di luar, Sony PS5 di dalam

    Ada juga corak khusus yang diberikan di bahagian atas bukaan udara yang turut digunakan di tiang C. Dari sisi, lengkung tayarnya menggunakan dua tona warna, dengan rim gaya cakera, serta diiringi lencana nama Fuze dengan banyak elemen lampu di sekitar panelnya.

    Di belakang, lampu belakang gelap digantikan dengan versi cerah dan jelas, dan kini ada jalur lampu di kedua-dua sisi logo Perodua di belakang. Bampar belakang yang lebih menonjol turut menempatkan corak sama yang ada di tiang C, dengan jalur lampu yang sama seperti di depan seperti di bampar depan. Tidak lupa, ada jalur lampu di bahagian bumbung juga.

    Perodua Ativa Fuze tampil di KLIMS 2024 — rekaan futuristik dengan lampu di luar, Sony PS5 di dalam

    Di dalam, Perodua meletakkan Sony PlayStation 5 dalam bahagian but Ativa Fuze. Ini disambungkan dan dipaparkan di bahagian belakang kerusi depan, setiap satunya dengan controller individu sendiri.

    Head unit standard juga digantikan dengan sistem yang lebih besar, yang kelihatannya menggunakan asas Android, sementara roda stereng lebih sporty diberikan serta lampu ambient yang ketara. Ada juga sentuhan warna Jalur Gemilang dalam bentuk jalur di bahagian pemegang pintu serta kerusi.

     
     
  • Proton X50 Sport Edition didedah – guna asas varian 1.5T Premium, tampil serba gelap, kit badan merah

    Proton X50 Sport Edition didedah – guna asas varian 1.5T Premium, tampil serba gelap, kit badan merah

    Bersempena dengan Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang baru bermula hari ini, Proton mendedahkan X50 Sport Edition, dengan membawa penampilan yang lebih sporty bagi SUV segmen B tersebut.

    Kit badan yang diberikan pada model ini terdiri daripada splitter hadapan, side skirt dan tambahan panel pada bampar belakang, dan ia nampak berbeza dengan X50 R3 sebelum ini kerana diberikan sentuhan merah termasuk pada bahagian tepi pintu dan gril.

    Menjadikan SUV ini lebih garang adalah penggunaan warna serba gelap pada kebanyakan bahagian termasuk kemasan pada pintu but (biasanya berwarna krom satin) serta rim 18 inci yang diambil daripada Geely Binyue varian bawah. Melengkapkan penampilannya adalah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan ia juga diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki baru serta dulang barangan di belakang.

    X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium, yang membawa makna ia menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm. Sistem bantuan seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist yang ada pada varian Flagship tiada pada X50 Sport Edition ini.

    Setakat ini Proton cuma memberitahu mereka akan menjual X50 Sport Edition ini kepada awam, tetapi masih belum diketahui sama ada keluarannya adalah terhad dan harga juga masih belum ada. Jangkaan harganya sudah tentu sedikit mahal berbanding X50 Premium yang dijual pada RM101,800.

     
     
  • Perodua eMO-II Concept didedah – prototaip petunjuk kepada EV pertama P2, jarak gerak sehingga 412 km

    Perodua eMO-II Concept didedah – prototaip petunjuk kepada EV pertama P2, jarak gerak sehingga 412 km

    Perodua mendedahkan kereta konsep eMO-II di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 hari ini, yang dikatakan sebagai “satu evolusi kepada prototaip kenderaan elektrik bateri” mereka dan memberi petunjuk kepada model produksi yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

    “Prototaip ini adalah satu kesinambungan kepada perjalanan EV kami sambil kami terus membina teknologi ini daripada mula. eMO-II telah dipertingkat daripada model sebelumnya pada aspek penggayaan dan ciri, dan sekarang ia nampak lebih lengkap sambil kami merencana perjalanan EV masa hadapan kami,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

    Berbanding model konsep yang ditunjukkan tahun lepas, eMO-II ini bukan sahaja menampakkan ciri rekaan yang lebih jelas, tetapi juga lebih sporty. Banyak garis-garis tajam digunakan pada badannya dan di hadapan terdapat jalur lampu panjang bersama logo Perodua yang menyala.

    Perodua eMO-II Concept didedah – prototaip petunjuk kepada EV pertama P2, jarak gerak sehingga 412 km

    Bahagian belakangnya pula menggunakan rekaan hatchback dengan bumbung yang menjunam, menjadikannya nampak sporty dan juga agresif, apatah lagi apabila digabungkan dengan spoiler serta diffuser yang besar. Corak pecahan petak yang dikatakan mendapat inspirasi daripada songket turut digunakan, dengan terdapat di bahagian lampu hadapan dan belakang, cermin belakang dan bumbung kacanya. Rim bersaiz 19 inci.

    Menurut Perodua, projek yang dibangunkan sendiri oleh mereka ini masih berada dalam tahap prototaip, dan ia akan diberikan pelbagai lagi ciri dan peningkatan untuk menjadikannya sebuah produk yang lengkap.

    Pada bahagian dalam, eMO-II mendapat rekaan yang moden dengan roda stereng dua cabang, panel instrumen digital melengkung serta konsol tengah petak berkilat yang menempatkan butang pemilih gear serta pengecas Qi tanpa wayar. Kereta yang dipamerkan ini menggunakan warna dua tona dan di dalamnya terdapat empat tempat duduk bucket.

    Ada juga beberapa ciri unik lain pada pintu eMO-II ini, termasuk payung tersembunyi seperti Rolls-Royce, serta bahagian bawah yang boleh dicabut untuk menjadi beg galas. Pintu belakang pula boleh menempatkan kerusi ringkas yang boleh digunakan waktu berkhemah, namun semua ciri ini tidak diketahui sama ada akan diletak pada kereta produksi ataupun tidak.

    Perincian teknikal masih belum didedah, tetapi spesifikasi awal yang diketahui adalah termasuk pecutan 0-100 km/j dalam antara enam ke tujuh saat, serta jarak gerak antara 400 ke 410 km daripada bateri lithium iron phosphate (LFP).

    Perodua juga mengesahkan bahawa model EV produksi nanti akan menggunakan nama sendiri yang berlainan berbanding Myvi dan mempunyai saiz yang lebih kecil, terletak di bahagian bawah segmen B. Mereka meletakkan sasaran untuk menjadikannya sebagai EV paling murah di Malaysia dan harga yang tidak melebihi RM90,000.

     
     
  • Proton S70 Concept dipamerkan di KLIMS 2024 – ini prebiu untuk model prestasi tinggi R3 akan datang?

    Proton S70 Concept dipamerkan di KLIMS 2024 – ini prebiu untuk model prestasi tinggi R3 akan datang?

    Selain dari pelancaran X50 Sports Edition, Proton hari ini turut mendedahkan sebuah S70 dengan rupa jauh lebih sporty dari model asal. Namun model ini masih lagi dalam peringkat konsep dan digelar sebagai S70 Concept. Walaupun menampilkan rupa yang sangat garang, Proton nampaknya masih belum memberikan lencana sayap perlumbaan rasminya iaitu R3 pada versi konsep ini.

    S70 Concept ini menampilkan kit badan berbeza berbanding kit yang sudah dipadankan model produksi sedia ada. Spoiler hadapannya di reka dengan lebih agresif menampilkan bahagian ‘sayap’ yang lebih lebar dan labuh serta mempunyai sepasang ‘kaki’ pada bahagian tengah.

    Skirt sisi juga menerima ‘sayap’ yang seakan-akan menerima aliran udara dari spoiler hadapan, dan ia diteruskan ke diffuser belakang yang lebih agresif. Walau bagaimanapun, masih tiada ruang diberikan untuk menonjolkan dua tip ekzos pada pada bahagian belakang sedan ini.

    Proton S70 Concept dipamerkan di KLIMS 2024 – ini prebiu untuk model prestasi tinggi R3 akan datang?

    Pada bahagian but, S70 Concept ini menerima spoiler GT bersaiz besar dengan sudut sayap yang boleh di laras. Keseluruhan badan S70 ini dibalut dengan warna kuning dengan bumbung hitam, bersama jalur badan berkembar bermula dari bonet hadapan hingga but belakang.

    Manakala keseluruhan gril bersama logo ‘Thundercats’ hadapan telah digelapkan, begitu juga dengan cermin sisi yang menerima kemasan hitam. Akhir sekali model konsep ini menerima rim aloi 18-inci kemasan hitam berkilat yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE004 bersaiz 235/40R18. Stance kereta ini juga nampak gagah menerusi badan yang telah direndahkan.

    Proton tidak mendedahkan sebarang perincian berkenaan model konsep ini – sama ada ia akan dijual sebagai model edisi khas atau prebiu untuk aksesori S70 yang akan ditawarkan pada masa akan datang. Namun sebelum ini Proton ada membayangkan bahawa ia akan menawarkan S70 dengan talaan prestasi lebih tinggi dilekat dengan lencana R3 selepas kemunculan semula pasukan lumba berkenaan dalam saingan perlumbaan Sepang 1000KM tahun ini.

    Kereta lumba berkenaan turut dipamerkan bersebelahan S70 Concept ini, dalam keadaan sama selepas ia menamatkan S1K 2024 ditempat ke-5 dalam kelas MTC dua minggu lalu, dengan pelbagai ‘battle scars’ di sekeliling badan.

    Mungkin S70 Concept ini merupakan bayangan model prestasi jalan raya S70 R3 yang diperkatakan sebelum ini?

    Proton S70 Concept

    Jentera lumba Proton S70 R3 S1K #82

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025