Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Xpander dengan lukisan tangan Nas Suha dan Izzati Suza kini sedang disiapkan di KLIMS 2024

    Mitsubishi Xpander dengan lukisan tangan Nas Suha dan Izzati Suza kini sedang disiapkan di KLIMS 2024

    Semalam ketika berkunjung ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, ada sebuah Xpander yang agak menarik perhatian kami diletakkan betul-betul di tengah-tengah reruai Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).

    Xpander berwarna putih berkenaan mengenakan kit badan keluaran pembuat aksesori tempatan iaitu D Mod Garage. Kit tersebut merangkumi penambahan panel bawah bampar hadapan, skirt sisi dan kemasan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang bagi menampakkan Xpander ini lebih labuh ke bawah.

    Mitsubishi Xpander dengan lukisan tangan Nas Suha dan Izzati Suza kini sedang disiapkan di KLIMS 2024

    Ia turut disertai dengan kemasan-kemasan hitam pada kesemua ruang roda dan juga bahagian bawah pintu, bagi memberikan rupa seakan pelindung badan. Dan yang paling menonjol, Xpander ini turut dipadankan dengan set rim Rotiform AeroDics berdiameter 18-inci dan dibalut dengan tayar Yokohama Advan AD09, membuatkan ia kelihatan seperti sebuah jentera rali jalan raya.

    Langsung tiada sebarang maklumat yang kami dapat dari MMM berkenaan Xpander tersebut. Namun tak lama selepas itu barulah kami tahu bahawa Xpander ini sebenarnya akan menjadi ‘kanvas lukisan’ untuk dua orang artis lukisan tempatan iaitu Nas Suha dan Izzati Suza menyiapkan hasil karya mereka.

    Kedua-dua pelukis tersebut akan melukis secara langsung pada keseluruhan badan Xpander tersebut dan ia boleh disaksikan orang ramai ketika berlangsungnya KLIMS 2024 ini, dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa tiga hari.

    Jadi sekiranya anda nak lihat sendiri apa yang kami katakan ini, datanglah ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia di KLIMS 2024 yang berlangsung bermula hari ini, 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

     
     
  • Peugeot e-3008 dipamer di KLIMS 2024 untuk melihat maklum balas orang ramai, pilihan enjin petrol, hibrid

    Peugeot e-3008 dipamer di KLIMS 2024 untuk melihat maklum balas orang ramai, pilihan enjin petrol, hibrid

    Stellantis Malaysia membawa Peugeot e-3008 ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 untuk melihat maklum balas orang ramai terhadap model tersebut. Diperkenalkan kepada dunia pertama kali September tahun lalu, Peugeot e-3008 ini juga sudah pernah ditemui atas jalan di Malaysia.

    Dibina atas platform STLA Medium, e-3008 ditawarkan dalam beberapa pilihan varian di pasaran luar. Ini termasuk yang menggunakan motor tunggal, 2WD dan kuasa 213 PS/343 Nm, Long Range dengan kuasa 231 PS/343 Nm dan dua motor, AWD 326 PS.

    Varian asas e-3008 ini dilengkapi bateri 73 kWh, yang menyediakan jarak gerak sehingga 525 km, manakala varian Long Range dengan satu motor mendapat bateri lebih besar, iaitu 98 kWh, membolehkan ia mencapai jarak gerak sehingga 700 km. Varian AWD dua motor masih menggunakan bateri sama seperti varian asas, iaitu 73 kWh dan dikatakan mampu menyediakan jarak gerak sama, 525 km.

    Dalam keadaan biasa, Peugeot e-3008 boleh dicas menggunakan pengecas AC 11 kW pada kereta, manakala pengecas AC 22 kW disediakan sebagai pilihan tambahan. Ia juga boleh menerima pengecas pantas sehingga 160 kW, dan menaikkan bateri 20-805 dalam masa 30 minit.

    Unit yang dipamerkan di KLIMS ini menggunakan kemasan GT yang bermakna ia datang dengan Peugeot Panoramic i-Cockpit bersama skrin sesentuh 21 inci melengkung serta beberapa panel sesentuh yang boleh ditetapkan sendiri oleh pemilik untuk kawalan 10 fungsi utama termasuk navigasi, panggilan, audio, pendingin hawa atau lain-lain.

    Pada bahagian keselamatan, e-3008 dilengkapi ADAS yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Assisted Lane Change, Speed Limit Notification, AEB, Lane Departure Warning dengan Lane Departure Correction, Driver Attention Alert, Blind Spot Monitoring (sehingga 75 m), Hill Descent Control dan Traction Control.

    Meskipun ini adalah versi elektrik bagi model Peugeot 3008, Stellantis Malaysia masih terbuka untuk pilihan enjin model sebenar yang akan dijual. Di pasaran antarabangsa, antara enjin yang disediakan adalah petrol tiga silinder 1.2 liter PureTech hibrid ringkas 136 PS dan petrol PHEV 1.6 liter dengan bateri 21 kWh dan kuasa 195 PS.

     
     
  • Honda Amaze 2025 dilancarkan di India – bermula RM42k, 1.2L i-VTEC, manual dan CVT, Honda Sensing

    Honda Amaze 2025 dilancarkan di India – bermula RM42k, 1.2L i-VTEC, manual dan CVT, Honda Sensing

    Honda secara rasmi telah melancarkan model generasi ketiga untuk sedan kompak Honda Amaze di India semalam, bagi membolehkan ia terus berada dalam segmen sedan sub-4 meter di negara tersebut untuk bersaing dengan model seperti Maruti Suzuki Dzire.

    Di India, Amaze ditawarkan dalam tiga gred kemasan iaitu V, VX dan ZX, di mana kesemuanya ditawarkan hanya dengan enjin petrol 1.2 liter tetapi boleh dipilih dengan kotak gear manual atau CVT automatik, dan tiada lagi enjin diesel ditawarkan. Model paling asas Amaze V MT dijual pada harga bermula INR8.00 lakh (RM42k), manakala varian paling mahal iaitu ZX CVT dijual pada harga INR 10.9 (RM57k).

    Amaze generasi baharu ini masih menampilkan ukuran panjang dan jarak roda yang sama seperti versi generasi sebelum ini iaitu masing-masing 3,995 mm dan 2,470 mm, tetapi ia kini lebih lebar dengan dimensi 1,733 mm berbanding 1,695 mm sebelum ini. Sedan kecil ini juga menawarkan ruang but sebesar 416 liter.

    Dari segi rupa, bahagian muka Amaze 2025 ini direka dengan mengambil inspirasi dari SUV segmen-A Honda yang dibangunkan untuk pasaran India iaitu Elevate, terutama pada bahagian lampu dan gril hadapan. Manakala di belakang, model ini kelihatan seperti Honda City dalam skala lebih kecil, terutamanya pada bahagian lampu.

    Honda Amaze 2025 dilancarkan di India – bermula RM42k, 1.2L i-VTEC, manual dan CVT, Honda Sensing

    Pada sebelah dalam, Amaze diberikan rekaan papan pemuka dan roda setereng yang sama seperti Elevate. Ia menampilkan skrin berdiri sendiri untuk infotainmen pada sebelah tengah, manakala pemandu menerima paparan instrumen dengan meter kelajuan analog bersama paparan separa digital menerusi skrin TFT berwarna tujuh-inci disebelahnya, dan ini adalah standard untuk semua varian.

    Varian asas V diberikan kelengkapan termasuk lampu hadapan projektor LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat membelok LED pada cermin sisi dan juga rim besi 14-inci dengan penutup plastik, skrin sesentuh Display Audio bersaiz lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta empat-pembesar suara.

    Ia juga menerima perincian lain seperti sistem kemasukan tanpa kunci, sistem penghawa dingin manual dengan pemanas dan penapis PM2.5, serta upholsteri fabrik dengan tema kabin berwarna hitam dan beige.

    Manakala untuk varian pertengahan VX, ia menerima tambahan kelengkapan seperti lampu hadapan automatik, lampu kabus hadapan LED, rim aloi 15-inci, butang penghidup enjin, kunci walkaway, penghidup enjin jarak jauh, sistem penghawa dingin automatik dengan liang penghembus kabin belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan enam pembesar suara.

    Honda Amaze 2025 dilancarkan di India – bermula RM42k, 1.2L i-VTEC, manual dan CVT, Honda Sensing

    Varian ini juga diberikan fungsi aplikasi Honda Connect bersama unit kawalan komputer telematik, di mana ia bukan hanya boleh disambungkan pada telefon pintar, malah turut menyokong fungsi pada jam tangan pintar.

    Untuk varian tertinggi ZX pula dibezakan dengan gril hadapan kemasan hitam berkilat, rim aloi 15-inci kemasan dua tona, pembuka pintu kemasan krom, lampu tinggi automatik, dan panel sentuhan lembut pada perehat tangan pintu.

    Honda Amaze 2025 ini masih mengggunakan enjin 1.2 liter SOHC i-VTEC empat silinder berkuasa 90 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 110 Nm pada takat 4,800 rpm. Untuk versi manual ia diberikan kotak gear lima kelajuan, manakala untuk versi CVT ia diberikan tujuh-kelajuan maya dan semua varian menerima pedal penukar gear.

    Untuk keselamatan, semua varian diberikan enam beg udara, sistem kestabilan elektronik, brek ABS, BA dan EBD, serta fungsi bantuan mula mendaki. Kamera titik buta Honda Lane Watch pula diberikan bermula varian VX. Sementara sistem bantuan pemanduan Honda Sensing pula diberikan pada varian tertinggi ZX.

    Sistem berkenaan merangkumi fungsi-fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, sistem pemberitahu pergerakan kenderaan hadapan dan sistem pengelak keluar jalan.

     
     
  • JPJ panggil balik kenderaan untuk syarikat pengeluar periksa semula demi keselamatan di jalan raya – Loke

    JPJ panggil balik kenderaan untuk syarikat pengeluar periksa semula demi keselamatan di jalan raya – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil balik kenderaan untuk diperiksa semula oleh syarikat pengeluar kereta yang berkaitan adalah bagi memastikan keselamatan kenderaan terbabit ketika di jalan raya.

    Katanya, panggilan semula atau ‘product recall’ itu adalah pengumuman rasmi daripada JPJ kepada pemilik kenderaan yang terbabit. Di mana sebelum ini jika terdapat masalah kenderaan berkaitan isu teknikal, kempen memanggil semula kebiasaan dilakukan sendiri oleh syarikat pengeluar, Berita Harian

    Di mana setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh syarikat pengeluar bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing (atau pemilik kenderaan turut dibenarkan hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara).

    “Namun pemilik kenderaan kebiasaan mengendahkan notis pengumuman itu dan beranggapan ia adalah perkara remeh. Sekarang ini kita menetapkan kepada syarikat pengeluar sekiranya mendapati ada masalah teknikal terhadap kenderaan, syarikat perlu memaklumkan kepada JPJ sebelum JPJ membuat pengumuman memanggil semula kenderaan untuk diperiksa,” katanya.

    Kempen panggil balik terkini yang diumumkan oleh JPJ pada awal November lalu ialah melibatkan 3,722 kenderaan model Perodua iaitu Alza dan Aruz serta motosikal Honda CB350RS yang kesemuanya merupakan model keluaran tahun 2024.

     
     
  • MG ZS Hybrid+ 2025 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-B gen-2 sertai EV; 1.5L NA, 196 PS, 465 Nm

    MG ZS Hybrid+ 2025 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-B gen-2 sertai EV; 1.5L NA, 196 PS, 465 Nm

    Menyertai MG3 Hybrid+ di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS)ialah MG ZS Hybrid+, yang dipertontonkan menjelang pelancarannya di pasaran tempatan kelak. Generasi kedua bagi SUV segmen-B jenama British (yang dimiliki China), melengkapkan versi elektrik generasi pertama yang dilancarkan di Malaysia pada Mac.

    Untuk generasi baharu ini, ada pertambahan saiz yang signifikan, di mana ZS terkini ini bersaiz 100 mm lebih panjang (4,430 mm), sembilan milimeter lebih lebar (1,818 mm) tetapi 14 mm lebih rendah (1,635 mm) serta 29 mm lebih panjang bagi jarak rodanya berbanding model sebelumnya. Ia juga diberikan rekaan yang lebih senada dengan HS yang lebih besar.

    Di mana garisan tingkapnya lebih melunjur ke hadapan, ditampilkan pula fender belakang yang lebih menonjol dan hujung belakang dengan gaya ala BMW X1 F48, hampir sama dengan HS yang original. Walau bagaimana pun, hujung hadpaannya pula diilhamkan dari model MG3, termasuk lampu utama yang lebih nipis, gril segi lapan yang lebih besar dan salur sudut berbentuk-L. Model yang dipertontonkan di KLIMS ini juga digandingkan dengan roda aloi dua-tona Sabre 18-inci.

    MG ZS Hybrid+ 2025 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-B gen-2 sertai EV; 1.5L NA, 196 PS, 465 Nm

    Bahagian dalamannya juga telah dipertingkatkan secara menyeluruh, dengan papan pemuka yang jauh lebih moden bersama corong udara trapezoid dan konsol tengah minimalis dengan pemilih gear. Ia juga diberikan paparan instrumen digital tujuh-inci dan juga skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, upholstery kulit, pengecas tanpa wayar Qi, ketersambungan aplikasi MG iSmart, sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar suara. Ia juga dilengkapi bantuan pemandu termasuk brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pemusatan lorong dan pemantauan titik buta.

    MG ZS Hybrid+ 2025 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-B gen-2 sertai EV; 1.5L NA, 196 PS, 465 Nm

    Di bawah bonetnya terletak enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder 102 PS/128 N, yang digandingkan motor elektrik 136 PS/250 Nm, transmisi hibrid tiga-kelajuan dan bateri 1.83 kWh, menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 196 PS dan tork 465 Nm. Ia membolehkan ZF dipecut dari 0-100/km dalam 8.7 saat, dan penggunaan bahan apinya sekitar 5.1 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran WLTP.

    Memandangkan 2024 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, maka ZS baharu ini akan dilancarkan bersama MG3 pada tahun hadapan. Ada perkhabaran menyatakan bahawa SAIC Motor Malaysia merancang untuk melaksanakan pengeluaran tempatan (CKD), adakah kebarangkalian boleh mendorong harganya menjadi lebih kompetitof dan mampu bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross?

     
     
  • Sistem MySikap dan portal JPJ diselenggara pada 6-8 Dis 2024, beberapa perkhidmatan bakal terjejas

    Sistem MySikap dan portal JPJ diselenggara pada 6-8 Dis 2024, beberapa perkhidmatan bakal terjejas

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pihaknya akan melakukan penyelenggaraan portal rasminya dan juga sistem MySikap dari jam 6 petang esok (6 Disember) sehingga jam 6 pagi, 8 Disember 2024.

    Di mana terdapat beberapa perkhidmatan yang akan terjejas iaitu portal awam dan portal rakan niaga, integrasi bersama agensi dan rakan niaga, kaunter JPJ di UTC, JPJ Mobile, aplikasi MyJPJ, JPJeBid, Vehicle Entry Permit (VEP) menerusi pembayaran eWallet dan juga Kios JPJ.

    Harap bersabar dengan gangguan capaian perkhidmatan ini dan sila lakukan urusan yang berkaitan dengan JPJ pada sebelum atau selepas kerja-kerja penyelenggaran sistem tersebut.

     
     
  • MG3 Hybrid+ turut dipamer di KLIMS 2024 – hatchback segmen-B dengan 1.5L hibrid 194 PS; 26.2 km/l; ADAS

    MG3 Hybrid+ turut dipamer di KLIMS 2024 – hatchback segmen-B dengan 1.5L hibrid 194 PS; 26.2 km/l; ADAS

    SAIC Motor Malaysia memilih acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 untuk mempamerkan MG3 Hybrid+. Didedahkan di peringkat global pada Mac tahun ini, hatchback segmen-B ini telah pun dijual di Thailand dan pernah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada Julai lalu.

    Berkenaan dengan penjana kuasanya, hatchback hibrid ini didatangkan dengan enjin 1.5 liter kitaran-Atkinson empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghasilkan 102 PS (101 hp atau 75 kW) dan tork 128 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik E-AT tiga-kelajuan.

    Enjin ini turut digandingkan dengan motor elektrik berkadaran 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 250 Nm, sekaligus menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 194 PS (192 hp atau 143 kW). Dengan ketatapan ini, MG3 HEV didakwa mampu memberikan penjimatan bahan api mencecah 26.2 km bagi setiap liter.

    Untuk ciri kelengkapannya, ia menerima roda aloi ‘Atlas’ 16-inci, tiga mod penjanaan semula, kluster instrumen digital tujuh-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, telematik kenderaan MG iSmart, pad pengecas tanpa wayar, upholstery kulit, tempat duduk hadapan manual dengan fungsi pemanas, dan kamera 360-darjah.

    Untuk sistem keselamatanya, ia dilengkapi enam beg udara, kawalan cengkaman, ABS, ESp, kawalan kelajuan adaptif dengan bantuan kesesakan lalu lintas, pemantauan titik buta, bantuan tukar lorong, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan autonomous.

    Di Thailand, MG3 Hybrid+ dijual pada harga antara 579,900 dan 619,900 baht (sekitar RM75k dan RM80k), dengan menawarkan dua varian. Malah varian tertinggi diberikan kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

    MG3 HEV ini berukuran 4,113 mm panjang, 1,797 mm lebar, 1,502 mm tinggi dan jarak rodanya 2,570 mm, mampukah ia memberikan persaingan sengit terhadap Honda City Hatchback, Toyota Yaris dan Mazda 2?

     
     
  • Nissan Hyper Tourer Concept tampil di KLIMS 2024 – petunjuk kepada Elgrand elektrik masa hadapan

    Nissan Hyper Tourer Concept tampil di KLIMS 2024 – petunjuk kepada Elgrand elektrik masa hadapan

    Ini adalah antara kereta unik yang boleh anda lihat di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Dipanggil sebagai Nissan Hyper Tourer Concept, ia sebelum ini pernah ditunjukkan di Japan Mobility Show 2023, tetapi sehingga kini masih lagi nampak luar biasa.

    Ia dihasilkan untuk memberi petunjuk kepada pengganti Elgrand di masa hadapan, dengan penggerak yang menggunakan elektrik penuh. Antara ciri rekaan yang menonjol pada kenderaan ini adalah termasuk muka hadapan dengan motif petak-petak, rim corak kumiko, spoiler besar di belakang serta pintu lungsur hadapan dan belakang tanpa bingkai.

    Di dalam anda boleh lihat terdapat empat tempat duduk yang dibuat menghadap satu sama lain (memberi petunjuk kepada teknologi pemanduan autonomous), serta panel LED leper di lantai yang diberitahu oleh Nissan boleh “memaparkan imej sungai dan langit, membantu mencipta ruang menenangkan yang menghubungkan digital dengan alam semula jadi.”

    Turut dipasang pada kenderaan ini adalah sistem V2X (kenderaan-kepada-semua benda) dan AI, yang boleh memerhati tanda biometrik termasuk gelombang minda, degupan jantung, pernafasan dan keringat, seterusnya melaras muzik serta keadaan sekeliling secara automatik.

     
     
  • Aksesori asli Mitsubishi Triton dan Xpander didedahkan di KLIMS 2024 – kit badan, sports bar, dll

    Aksesori asli Mitsubishi Triton dan Xpander didedahkan di KLIMS 2024 – kit badan, sports bar, dll

    Ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan bermula esok (dibuka kepada media terlebih dahulu hari ini), Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal mendedahkan barisan aksesori tulen untuk dua model baharunya iaitu trak pikap Triton generasi baharu dan juga versi facelift untuk MPV tujuh-tempat duduk Xpander.

    Kesemua aksesori ini masih belum mula dijual dan belum diumumkan sebarang harga, dan menurut MMM ia terlebih dahulu ditunjukkan pada orang ramai bagi membolehkan mereka melihat depan mata komponen yang bakal dilancarkan tersebut, dan mengetahui pelbagai informasi menerusi pakar-pakar produk yang berada di reruai itu berkenaan bagaimana untuk menjadikan kenderaan Mitsubishi masing-masing lebih baik.

    Untuk Xpander, aksesori luaran yang ditawarkan adalah termasuk kemasan krom untuk tip ekzos, pelindung penutup tangki bahan api, emblem ‘Xpander’ untuk penutup bonet hadapan serta kit badan yang merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan kemasan diffuser lebih labuh bawah bampar belakang.

    Aksesori asli Mitsubishi Triton dan Xpander didedahkan di KLIMS 2024 – kit badan, sports bar, dll

    Ia juga diberikan beberapa aksesori dalaman termasuk pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga tray untuk ruang but belakang.

    Manakala untuk Triton, ia menampilkan aksesori termasuk sports bar untuk bed belakang, yang bina sekali bersama rel sisi pada bahagian tersebut. Selain itu ia juga dipadankan dengan aksesori lain seperti sistem bantuan tailgate, visor pintu, scuff plate LED bernyala, perapi sisi pintu, pengunci tayar gantian dan pelindung pembuka pintu.

    Jadi sekiranya anda berminat untuk melihat aksesori-akseori yang belum berada dalam pasaran ini, datanglah ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia di KLIMS yang akan berlangsung sehingga hujung minggu ini.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2024 dengan aksesori asli

    GALERI: Mitsubishi Triton 2024 dengan aksesori asli

     
     
  • Honda Motocompacto dan eVTOL dipamer di KLIMS 2024 – cuba sendiri skuter elektrik boleh lipat ini

    Honda Motocompacto dan eVTOL dipamer di KLIMS 2024 – cuba sendiri skuter elektrik boleh lipat ini

    Honda bukan setakat mengeluarkan kereta dan kemampuan syarikat itu dalam bidang pengangkutan ditunjukkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Selain kereta, anda juga boleh melihat motosikal kompak serta kapal udara di kawasan pameran pengeluar Jepun itu.

    Sementara kami sudah buatkan laporan khas untuk Prelude Concept, di sini kami tampilkan pula dua lagi jentera unik, bermula dengan Motocompacto. Ia boleh dianggap sebagai versi moden kepada skuter boleh lipat 50 cc, Motocompo keluaran tahun 80-an, yang boleh dipakejkan sekali dalam but kereta Honda City generasi pertama.

    Memandangkan ia adalah sebuah jentera moden, Motocompacto menggunakan kuasa elektrik dan mampu menghasilkan tork sehingga 16 Nm untuk disampaikan kepada roda kecilnya. Bateri 6.8 Ah yang digunakan pada motosikal boleh lipat ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 20 km dan ia boleh dicas dalam masa 3.5 jam.

    Honda Motocompacto dan eVTOL dipamer di KLIMS 2024 – cuba sendiri skuter elektrik boleh lipat ini

    Walaupun nampak kecil seperti beg apabila dilipat, Motocompacto masih mempunyai kelengkapan utama sebuah motosikal termasuk lampu depan dan belakang LED, tongkat tepi, ruang simpanan, penunjuk tahap bateri serta meter digital. Di Amerika Syarikat, Motocompacto dijual pada harga US$995 (RM4,420), tetapi di sini ia masih belum dijual. Walaubagaimanapun, anda boleh mencubanya sendiri di KLIMS 2024.

    Tapi untuk eVTOL, ia cuma diletakkan sebagai pameran, dengan latar belakang langit di Kuala Lumpur untuk memberikan anda bayangan keadaan apabila ia beroperasi. Ia nampak seperti model yang diperkenalkan pada tahun 2021, mempunyai bateri kecil, sekaligus mengehadkan penggunaannya kepada di dalam bandar sahaja. Sebagai bantuan, ia juga dilengkapi turbin gas serta converter AC/DC untuk memberikan perjalanan sehingga 400 km.

    GALERI: Honda eVTOL di KLIMS 2024

    GALERI: Honda Motocompacto di KLIMS 2024

     
     
  • Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

    Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

    Honda Malaysia antara pengeluar yang dilihat sangat serius dalam penampilannya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) tahun ini. Selain membawa SUV EV e:N1 yang bakal dilancarkan di sini tahun hadapan, ‘kereta terbang’ eVTOL, dan juga skuter elektrik boleh lipat Motocompacto, syarikat itu juga membawa model konsep Honda Prelude generasi baharu yang bakal muncul dalam versi produksi tak lama lagi.

    Ini merupakan penampilan pertama Honda Prelude Concept tersebut di Asia selain dari Jepun. Malah unit berwarna merah yang dipamerkan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) ini juga berbeza dengan yang muncul di Japan Mobility Show tahun lalu, dan ia mungkin unit sama yang dibawa ke Eropah menerusi acara Goodwood Festival of Speed pada Julai 2024.

    Honda masih belum mengumumkan sebarang perincian teknikal berkenaan Prelude generasi baharu ini, dan cuma mendedahkan bahawa ia akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik, dan bakal memberikan “keseronokan memandu”. Namun berdasarkan rupanya, Prelude generasi baharu ini seakan dihasilkan menggunakan asas yang sama seperti Honda Civic generasi ke-11 dalam versi coupe dua-pintu serta muka hadapan dan belakang berlainan.

    Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

    Jadi tidak mustahil ia dibina berasaskan platform yang sama dan bakal berkongsi unit rangkaian kuasa hibrid sama seperti Civic, dalam kes ini ia mungkin akan menerima padanan enjin dua liter dan juga sistem hibrid i-MMD dengan dua motor elektrik sama seperti Civic Hybrid e:HEV.

    Dalam laporan sebelum ini ketua jurutera dan ketua projek utama Honda, Tomoyuki Yamagami ada menjelaskan bahawa Prelude merupakan coupe dua-pintu global yang diberikan tempat duduk belakang, dan ia bukanlah model yang fokus terhadap prestasi di litar seperti Honda Civic Type R mahupun Acura Integra Type S.

    Jadi nampaknya Prelude mungkin akan mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Honda CR-Z, yang sebelum ini merupakan hatchback hibrid yang memberikan prestasi pemanduan sporty. Unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD yang digunakan oleh Civic juga dilihat berpotensi memberikan prestasi sedemikian.

    Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

    Menerusi sistem tersebut, enjin 2.0 liter i-VTEC yang dibekalkan secara kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid. Sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Malah untuk pasaran Amerika Syarikat, motor tersebut dibekalkan dengan kuasa lebih besar iaitu 200 hp.

    Apa pun kita perlu tunggu perincian sebenar dari Honda yang mungkin akan diumumkan tahun depan. Namun apa yang penting Honda telah mengesahkan Prelude generasi baharu ini adalah model global yang akan dijual di seluruh dunia. Jadi dengan kemunculan versi konsep ini di Malaysia, ada kemungkinan model berkenaan turut akan dijual di Malaysia kelak.

     
     
  • Harga minyak 5-11 Disember – Tiada perubahan

    Harga minyak 5-11 Disember – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 5 hingga 11 Disember 2024, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • GAC Aion ES sedan dilancarkan di Malaysia, RM107k

    GAC Aion ES sedan dilancarkan di Malaysia, RM107k

    GAC Aion ES kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia di KLIMS 2024 yang baru bermula hari ini. Sedan EV berkenaan hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja, dan dijual dengan harga RM106,800. Sempena pelancarannya, pembeli turut akan menikmati pengecas wallbox 7 kW percuma bernilai RM3,500.

    Aion ES mempunyai ukuran dimensi 4,810 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,545 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm — menjadikannya lebih besar berbanding pesaing lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla Altis dan Mazda 3 Sedan.

    Ia digerakkan melalui roda depan oleh sebuah motor elektrik dengan kuasa 136 PS/225 Nm, yang dikuasakan oleh LFB berkapasiti 55.2 kWh, boleh mencapai kelajuan 130 km/j dengan jarak perjalanan 442 km NEDC. But pula mempunyai kapasiti 450 liter, sementara rim 17-inci dibalut tayar bersaiz 215/55.

    GAC Aion ES sedan dilancarkan di Malaysia, RM107k

    Aion ES boleh dicas sehingga 6.6 kW AC (11 jam untuk cas penuh) atau 60 kW DC (1.5 jam cas penuh; 30%-80% dalam masa 30 minit). Turut ada ialah fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW, pemanduan pedal tunggal dan tiga tetapan generasi semula tenaga melalui brek.

    Ciri standard termasuklah lampu LED penuh, lampu utama dan pengilap automatik, kawalan pendingin dua-tona, corong udara belakang, kerusi balutan kulit, tingkap kuasa sekali sentuh (naik dan turun tingkap; hanya turun untuk penumpang), kawalan melayar biasa dan pintu ruang barangan kuasa elektrik.

    GAC Aion ES sedan dilancarkan di Malaysia, RM107k

    Ia datang dengan pemilih gear bulat, cermin pandang belakang anti-silau, kerusi pemanduan larasan enam-arah, paparan multi-info LCD 3.5-inci dan skrin sentuh lapan-inci dengan Apple CarPlay.

    Bagi aspek keselamatan, hanya ada dua beg udara, Isofix, kamera undur dan ESP. Hanya ada tiga warna badan sebagai pilihan: Glamour Black, Holographic Silver dan Pure White.

    Jaminan lapan-tahun/160,000 km diberikan, serta lapan-tahun/200,000 km untuk bateri, motor dan ECU. GAC ketika ini mempunyai rangkaian 21 bilik pameran pengedar dan pusat servis di seluruh negara.

     
     
  • GWM Tank 500 dipertontonkan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk, 2.0T hybrid; bakal tiba di sini pada 2025

    GWM Tank 500 dipertontonkan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk, 2.0T hybrid; bakal tiba di sini pada 2025

    GWM turut mengambil kesempatan menerusi penganjuran Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 dengan mempertontonkan SUV off-road tujuh-tempat duduknya, Tank 500, iaitu abang kepada SUV lima-tempat duduk Tank 300. GWM Malaysia berkata Tank 500 ini bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun 2025, dan ia mampu memberikan persaingan buat Ford Everest dan Toyota Fortuner.

    Dengan dimensi berukuran 4,928 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, 500 adalah 160 mm lebih panjang, empat milimeter lebih lebar dan dua milimeter lebih tinggi berbanding 300, sementara jarak rodanya 2,850 mm iaitu 100 mm lebih panjang. Jika dibandingkan dengan Everest, GWM lebih panjang sebanyak 14 mm, 11 mm lebih lebar dan 64 mm lebih tinggi tetapi jarak rodanya lebih pendek sekitar 50 mm.

    Beberapa pilihan penjana kuasa turut ditawarkan untuk 500, termasuklah enjin 3.0 liter turbo-berkembar hibrid ringkas V6 dengan 360 PS dan 500 Nm, tetapi versi yang bakal ditawarkan di sini mungkin sama dengan di Thailand.

    Di sana, ia ditawarkan dengan versi hibrid, iaitu gandingan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder bersama hamburan kuasa 244 PS dan tork 380 Nm serta motor elektrik 106 PS/268 Nm. Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa sehingga 350 PS dan tork 616 Nm, yang disalurkan ke semua roda menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Aspek mekanikalnya juga termasuk 11 mod pemanduan serta electric differential locks hadapan dan belakang serta mechanical locking centre differential. Ia juga ada fungsi “tank turn” , sistem kawalan kelajuan off-road, pengesan kedalaman air dan Body Transparent System, di mana ia menggunakan kamera untuk superimpose imej jalan di bawah dan hadapan kenderaan untuk meningkatkan pandangan terhadap permukaan jalan yang dilalui.

    Kelengkapan standard yang ditawarkan termasuklah lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, kamera undur, pemijak sesi yang boleh dilaras secara kuasa, dan roda aloi 20-inci. Untuk ruang kabinnya, ia diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlar, serta upholstery kulit Nappa quilted dan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu.

    GWM Tank 500 dipertontonkan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk, 2.0T hybrid; bakal tiba di sini pada 2025

    Selain itu, ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon, sistem bunyi Infinity 12-pembesar suara, tirai suria untuk barisan kedya dan juga perehat belakang larasan kuasa untuk barisan ketiga. Bagi barisan ketiga, terdapat juga butang untuk melipat dan membuka tempat duduk di bahagian itu secara elektrikal dengan hanya menekan satu butang sahaja.

    Bagi aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemandu, Tank 500 diberikan brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan Wisdom Dodge System untuk mengerakkan SUV ini ke tepi luar lorong bagi memberi ruang kepada kenderaan besar dan motosikal.

    Berkenaan harganya, untuk pasaran rantau ini, Tank 500 dijangka berharga antara RM350k hingga RM400k. Jadi, agak-agak berapa harganya jika dilancarkan ke pasaran Malaysia?

     
     
  • MG Cyberster dilancarkan di Malaysia – AWD EV roadster, 544 PS, jarak gerak 444 km; RM320k

    MG Cyberster dilancarkan di Malaysia – AWD EV roadster, 544 PS, jarak gerak 444 km; RM320k

    Menerusi menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang bakal membuka tirainya esok, SAIC Motor Malaysia telah pun melancarkan jentera sports MG Cyberster untuk pasaran Malaysia selepas memperkenalkannya pada Ogos lalu. Merupakan roadsrer pertama MG selepas jenama yang asalnya milik British diambil alih oleh syarikat China, Cyberster dikatakan sebagai penerus model-model roadster klasik MG seperti MGA dan MGB.

    Untuk pasaran Malaysia, kita menerima varian tunggal pacuan-semua roda (AWD) yang ditawarkan pada harga atas jalan RM319,900 tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti pengeluar tujuh-tahun/150,000 km dan waranti bateri lapan-tahun/180,000 km.

    Cyberster AWD ini dilengkapi dengan motor berkuasa 544 PS (400 kW) dan tork 725 Nm, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 201 km/j. Roadster dengan dua tempat duduk ini juga diberikan bateri berkapasiti 77 kWh.

    MG Cyberster dilancarkan di Malaysia – AWD EV roadster, 544 PS, jarak gerak 444 km; RM320k

    Mengikut kitaran WLTP, jarak geraknya mampu mencecah 444 km, dan dengan pengecas pantas DC berkapasiti 144 kW, ia mampu mencapai status pengecasan 10-80% dalam masa 38 minit, sementara dengan sistem pengecas on-board 7 kW memerlukan masa 10.5 jam untuk memenuhkan bateri dari 10 hingga 100%.

    Dari segi rekaan pula, Cyberster dikatakan mengambil inspirasi dari model MGB. Ia menampilkan muncung seperti ikan jerung dengan lampu LED hadapan dengan bentuk seperti badam. Manakala di belakang, ia berikan lampu yang direka seperti bendera Union Jack.

    Untuk menambah nilai estetika, MG Cyberster menerima pintu yang dibuka ke atas seperti kepak kupu-kupu. Bagi pasaran Malaysia, ia diberikan roda aloi tujuh-jejari “Jetstream” bersaiz 20-inci seperti yang anda lihat menerusi foto di sini.

    Menjengah bahagian kabin, ia diberkan skema warna sama ada hitam-merah atau kelabu-putih. Kedua-duanya juga menerima tempat duduk sport dengan enam-larasan kuasa, fungsi memori dan kulit Nappa serta Alcantara upholstery sama ada dalam rona merah atay kelabu (bergantung pada pemilihan warna luaran), roda stereng leper di bawah dengan pedal untuk pemilihan mod pemanduan dan brek regeneratif.

    MG Cyberster dilancarkan di Malaysia – AWD EV roadster, 544 PS, jarak gerak 444 km; RM320k

    Walau bagaimana pun, daya tarikan utamanya ialah bahagian skrin yang terdiri daripada paparan instrumen digital 10.25-inci yang disambungkan dengan dua skrin sesentuh tujuh-inci yang mengawal infotainmen dan fungsi kenderaan. Selain itu, ada satu skrin sesentuh tujuh-inci yang menjadi perumah bagi kawalan suhu dwi-zon pada konsol tengah. Selain itu, ia juga diberikan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara.

    Cyberster kini ditawarkan dengan ciri bantuan pemandu sepenuhnya, yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, amaran titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang dan amaran membuka pintu.

    Sekali lagi, hanya satu varian sahaja ditawarkan untuk iaitu versi pacuan-semua roda (AWD) yang ditawarkan pada harga atas jalan RM319,900 tanpa insurans. Penawaran warna pula termasuk Dynamic Red, Inca Yellow, Camden Grey dan English White.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025