Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Puma Gen-E diperkenal – EV dengan kuasa 168 PS, jarak gerak sehingga 376 km, ruang barang 574 L

    Ford Puma Gen-E diperkenal – EV dengan kuasa 168 PS, jarak gerak sehingga 376 km, ruang barang 574 L

    Demi memberikan pengguna lebih banyak pilihan, Ford memperkenalkan Puma Gen-E, iaitu satu varian elektrik penuh bagi SUV kompak tersebut. Ia dipacu oleh motor elektrik hadapan berkuasa 168 PS/290 Nm, boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa lapan saat dan mencapai laju maksimum 160 km/j.

    Membekalkan tenaga kepada motor ini adalah bateri nickel manganese cobalt (NMC), yang boleh menerima pengecasan pantas sehingga 100 kW, dengan tahap bateri boleh naik 10-80% dalam masa 23.2 minit. Bateri yang mempunyai kapasiti 43 kWh mampu memberikan jarak gerak 376 km dalam keadaan bercampur, atau 523 km di dalam bandar (WLTP).

    Penggunaan penggerak elektrik menjadikan Puma Gen-E lebih praktikal berbanding versi yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) biasa. Menurut Ford, EV ini mempunyai GigaBox, iaitu ruang simpanan di belakang seluas 574 liter dengan semua tempat duduk tegak, dan ini adalah 118 liter lebih besar berbanding MegaBox pada Puma biasa. Turut disediakan adalah ruang simpanan tambahan di bawah hud depan.

    Masuk ke dalam, disebabkan EV ini tidak menggunakan transmisi seperti kereta biasa, konsol tengahnya dibuat supaya boleh terangkat dan menyediakan tambahan ruang simpanan. Lain daripada itu, kebanyakan bahagian sama seperti Puma ICE termasuk panel instrumen digital 12.8 inci, skrin sesentuh 12 inci di tengah dengan sistem SYNC 4 dan roda stereng yang bentuknya hampir kelihatan seperti petak.

    Berkenaan rekaan, Puma Gen-E ini dilihat mempunyai gril tertutup dan bampar hadapan tersendiri, sementara bahagian lain adalah sama seperti Puma ICE. Lampu utama LED matriks disediakan sebagai pilihan tambahan, dengan ciri lain yang disediakan adalah seperti Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring serta kamera 360 darjah.

     
     
  • Proton eMas 7 akan dilancarkan pada 16 Disember ini

    Proton eMas 7 akan dilancarkan pada 16 Disember ini

    Proton kini telah mendedahkan tarikh pelancaran rasmi bagi eMas 7 yang akan berlangsung pada 16 Disember ini. Merupakan kereta elektrik pertama Proton, SUV ini akhirnya akan dilancarkan setelah beberapa siri pra-tonton sebelum ini.

    Tempahan untuk eMas 7 sudah pun dibuka sejak Oktober lalu, ketika acara ACE 2024 berlangsung. Ketika itu juga bahagian dalamannya ditunjukkan kepada umum. Kemudian, kami juga sudah sempat memandu uji SUV berkenaan secara ringkas di kemudahan litar ujian Proton — pengalaman pemanduannya boleh dibaca di sini.

    Proton eMas 7 “Nadi” juga turut dipamerkan sepanjang Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 yang akan berakhir esok.

    Proton eMas 7 akan dilancarkan pada 16 Disember ini

    Akan ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan, iaitu Prime dan yang paling lengkap, Premium. Dari segi saiz, SUV EV Proton ini berada dalam segmen C dengan ukuran seperti berikut: 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm.

    Kedua-dua varian tersebut juga berkongsi unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal “12-dalam-1” yang memacu roda hadapan dengan janaan sebanyak 218 PS (160kW) dan 320 Nm tork puncak. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Untuk bateri, EV ini menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan rekaan “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Yang membezakan keduanya adalah kapasiti bateri yang berbeza — varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 49.52 kWj manakala varian Premium pula dengan kapasiti 60.22 kWj.

    Proton eMas 7 akan dilancarkan pada 16 Disember ini

    Untuk jarak perjalanan yang boleh dicapai Protom eMas 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 km untuk satu cas penuh bateri, manakala eMas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 km untuk satu cas penuh baterinya. Angka ini diperolehi menerusi kitaran ujian WLTP yang lebih tepat berbanding NEDC.

    Proton eMas 7 juga datang sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan pengecasan dari 30% hingga 80% dicapai dalam masa hanya 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dicapai dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. Dalam kiraan mudah, dengan setiap pengecasan DC selama 10 minit, pengguna boleh mendapat 135 km jarak perjalanan.

     
     
  • Xiaomi YU7 didedah — SUV jadi model ke-2 selepas sedan SU7, hingga 690 PS, dilancarkan Jun/Julai 2025

    Xiaomi YU7 didedah — SUV jadi model ke-2 selepas sedan SU7, hingga 690 PS, dilancarkan Jun/Julai 2025

    Sedan Xiaomi SU7 telah menarik banyak perhatian sejak didedahkan tahun lalu, dan kini model versi SUV-nya pula ditunjukkan mula ditunjukkan — bersekali dengan pengesahan nama yang akan digunakan, YU7 — lebih awal daripada tarikh pengenalannya pada Jun atau Julai 2025.

    Daripada gambar yang ada, YU7 mengambil banyak ilham dari rekaan model versi sedannya, Xioami SU7, dengan mengekalkan elemen lampu utama tirus yang sama, bukaan udara bentuk trapezoidal (dengan perincian warna badan), garis bumbung rendah, diffuser belakang besar serta lampu belakang bentuk C.

    Kerana ini sebuah SUV, ia turut datang dengan bahagian pelapik lengkung tayar warna hitam (dengan potongan tajam) serta bahagian fender depan yang lebih menonjol. Tampak keseluruhannya ada mirip kombinasi antara Porsche Cayenne dan Ferrari Purosangue.

    Xiaomi YU7 didedah — SUV jadi model ke-2 selepas sedan SU7, hingga 690 PS, dilancarkan Jun/Julai 2025

    Xioami bagaimanapun tidak menyediakan sebarang maklumat untuk kereta ini. Tetapi, ia telah muncul di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China dengan spesifikasi awal. Car News China melaporkan YU7 mempunyai ukuran dimensi 4,999 mm panjang, 1,996 mm lebar dan 1,600 mm tinggi — menjadikannya 2 mm lebih panjang, 33 mm lebih lebar dan 160 mm lebih tinggi berbanding SU7 — dengan jarak roda yang sama, 3,000 mm.

    Kereta ini juga akan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menjana sebanyak 690 PS (508 kW), yang lebih berkuasa daripada versi SU7 Max sedannya. Ia juga akan menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) oleh CATL yang belum didedahkan kapasitinya. Bateri tersebut mungkin akan lebih besar daripada bateri 101 kWj yang digunakan untuk SU7 Max sekiranya mampu memberikan jarak CLTC yang sama, iaitu 800 km kerana ia lebih berat.

    Tambahan model kedua ini dijangka akan melonjakkan lagi angka jualan kenderaan Xiaomi. Sejak pengenalan SU7 misalnya pada Mac lalu, syarikat itu telah menjual sebanyak 112,516 unit setakat bulan lalu.

     
     
  • Mitsubishi Triton diumum pemenang anugerah rekaan terbaik dalam Japan Car of The Year 2024-2025

    Mitsubishi Triton diumum pemenang anugerah rekaan terbaik dalam Japan Car of The Year 2024-2025

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengumumkan bahawa ia sekali lagi menggondol anugerah rekaan terbaik dalam Japan Car of The Year selepas trak pikap Triton menerima pengiktirafan tersebut dalam edisi 2024-2025 yang baru sahaja dimuktamadkan baru-baru ini. Ia merupakan kali kedua Mitsubishi menerima anugerah tersebut selepas model kei-car Delica Mini mencapai kejayaan yang sama bagi edisi tahun lalu.

    Anugerah Japan Car of The Year kali ke-45 ini memilih model-model yang dijual di pasaran Jepun bermula 1 November 2023 sehingga 31 Oktober 2024. 10 model terbaik telah dipilih dan diumumkan pada 6 November, dan pemenang bagi setiap kategori telah diumumkan pada 5 Disember lalu.

    Untuk Triton, rekaannya dipilih sebagai terbaik oleh juri kerana “menonjolkan imej kenderaan 4WD yang lasak serta mengispirasikan pelanggan untuk meneroka gaya hidup baharu”, kata MMC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Mitsubishi Triton diumum pemenang anugerah rekaan terbaik dalam Japan Car of The Year 2024-2025

    Model generasi baharu ini telah membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Julai 2023 dengan konsep rekaan baharu digelar sebagai ‘Beast Mode’. Ia tampil dengan muka hadapan Dynamic Shield yang berbeza dari generasi sebelumnya, terutama pada gril hadapan dan fender yang lebih menonjol.

    Di Malaysia, Triton baharu ini sudahpun dilancarkan pada Oktober lalu dengan ditawarkan dalam lima varian, dijual pada harga bermula RM101,980 untuk model asas Triton Single Cab sehingga RM165,980 untuk varian tertinggi Triton Athelete.

    GALERI: Mitsubishi Triton Athlete 2025

     
     
  • Honda PCX 160 2025 diperkenal di Indonesia – panel badan diperbaharui, varian tinggi dapat TFT lima inci

    Honda PCX 160 2025 diperkenal di Indonesia – panel badan diperbaharui, varian tinggi dapat TFT lima inci

    Selepas sekitar empat tahun PCX 160 diperkenalkan kepada pasaran (kali pertama pada tahun 2020 di Jepun), Honda kini memperbaharui skuter tersebut dan melancarkannya di negara jiran, Indonesia. Ia ditawarkan dalam beberapa versi, bermula daripada yang paling asas, PCX 160 CBS berharga 33.75 juta rupiah (RM9,425) hingga paling tinggi PCX 160 ABS-Roadsync berharga 40.35 juta rupiah (RM11,270).

    Keseluruhan panel badan skuter ini diubah tetapi masih mengekalkan identiti elegan yang digunakan pada model sebelumnya. Bahagian lampu yang kini semuanya menggunakan unit LED juga direka semula dengan jika diperhatikan, bahagian hadapan mempunyai DRL nipis bersambung sehingga ke lampu penunjuk arah yang berada di atas, sementara di belakang, lampu brek tidak lagi menggunakan pencahayaan berbentuk X dan kini cuma tinggal satu jalur sahaja.

    Melihat kepada varian paling tinggi, selain jelas menyatakan ia dilengkapi sistem ABS untuk brek cakera hadapan dan belakangnya, ia juga menerima skrin TFT baru bersaiz lima inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync untuk memberikan informasi dan kawalan tambahan seperti panggilan, pesanan, muzik dan navigasi. Kawalannya boleh dibuat menggunakan butang baru di sebelah kanan pemegang.

    Pada bahagian roda, PCX 160 2025 dilengkapi rim bersaiz 14 inci di hadapan, 13 inci di belakang dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak. Bagi varian ABS-Roadsync, penyerap belakangnya dinaik taraf dengan unit yang mempunyai tabung.

    Menggerakkan PCX 160 adalah enjin satu silinder 156.9 cc sistem suntikan bahan api PGM-Fi, penyejukan cecair dan eSP+, dipadankan bersama transmisi automatik V-Matic, mampu menghasilkan 16 PS pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada PCX 160 adalah termasuk tangki bahan api 8.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 30 liter, sistem kunci pintar, soket pengecas USB-C, lampu pass beam dan penghadang angin hadapan gelap.

     
     
  • MOT kaji cadangan wujudkan pusat latihan memandu bertingkat untuk tangani isu tunggakan permohonan

    MOT kaji cadangan wujudkan pusat latihan memandu bertingkat untuk tangani isu tunggakan permohonan

    Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji cadangan mewujudkan pusat latihan memandu bertingkat bagi menangani isu permohonan latihan memandu yang tertunggak di Kuala Lumpur, laporan Bernama.

    Kajian menyeluruh diperlukan untuk menilai kesesuaian dan kebolehlaksanaan elemen latihan memandu seperti berhenti selamat, mendaki dan menuruni bukit, serta komponen lain yang diperlukan dalam struktur bangunan bertingkat, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

    “Cadangan yang lengkap dengan reka bentuk dan konsep struktur bertingkat telah dikemukakan kepada kami. Bagaimanapun, kami masih dalam proses menilai kesesuaian lokasi dan potensi kesan terhadap keberkesanan projek ini,” kata Hasbi ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    MOT kaji cadangan wujudkan pusat latihan memandu bertingkat untuk tangani isu tunggakan permohonan

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan permohonan daripada pihak yang mengendalikan institut memandu untuk beroperasi di kawasan lebih kecil atau bangunan bertingkat bagi tujuan latihan memandu.

    Kajian itu juga akan mengkaji pematuhan cadangan itu terhadap piawaian keselamatan dan keberkesanannya dalam melahirkan pemandu yang cekap, tambahnya lagi.

    Sementara itu, kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk menyediakan insentif kepada institut latihan memandu yang menghadapi cabaran operasi seperti peningkatan kos. “Kami akan membincangkan perkara ini dengan pihak berkuasa yang berkaitan, khususnya kementerian kewangan, untuk mempertimbangkan insentif tersebut,” katanya.

     
     
  • Rapid KL sediakan bas perantara percuma ke KLIMS

    Rapid KL sediakan bas perantara percuma ke KLIMS

    Bagi sesiapa yang belum berkesempatan berkunjung ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 di MITEC yang bakal berakhir pada 11 Dis ini, masih belum terlewat untuk berbuat demikian. Mungkin terasa ‘berat’ nak pergi sebab mengenangkan soal parkir, tapi jangan risau kerana Rapid KL ada menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma.

    Rapid KL menyediakan tiga lokasi mengambil dan menurunkan penumpang iaitu di platform C Hab Pasar Seni, hentian bas di pintu masuk pusat membeli-belah Sunway Putra Mall dan juga di MITEC (pintu selatan). Jadi anda boleh menaiki pengangkutan awam seperti MRT dan LRT untuk ke Pasar Seni atau Sunway Putra Mall, dan kemudian naik pula bas perantara Rapid KL percuma ini ke MITEC.

    Bagi anda yang mahu berkunjung esok (10 Dis), bas perantara percuma itu akan mula beroperasi dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan kekerapannya adalah setiap 60 minit. Manakala untuk hari penutupnya pada 11 Dis (merupakan cuti umum bagi negeri Selangor), bas perantara percuma akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan kekerapannya adalah antara 30 hingga 40 minit.

    Untuk tiket masuk ke acara KLIMS 2024 ini, bayaran sebanyak RM20 (untuk 10 Dis) dan RM25 (untuk 11 Dis) akan dikenakan untuk pengunjung dewasa, RM10 bagi pelajar (usia 13-25 tahun dengan kad ID sah) dan percuma bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.

     
     
  • MGTC mulakan projek tukar bateri motosikal EV di Malaysia — 40 unit terlibat, dua bulan percubaan

    MGTC mulakan projek tukar bateri motosikal EV di Malaysia — 40 unit terlibat, dua bulan percubaan

    Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) kini telah memulakan projek sistem penukaran bateri motosikal elektrik bermula esok, 10 Disember 2024, dan akan berlangsung sehingga 9 Februari 2025.

    Projek berkenaan bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan, manfaat serta cabaran bagi pelaksanaan teknologi penukaran bateri untuk mempercepat pertumbuhan serta penerimaa motosikal elektrik di Malaysia. Tempoh percubaan bagi demonstrasi penukaran bateri motosikal elektrik ini akan meliputi Lembah Klang sepanjang tempoh yang dinyatakan itu, serta akan melibatkan pengguna motosikal dengan jarak perjalanan pertengahan dan jauh.

    40 buah motosikal elektrik akan terlibat untuk tujuan ini, terdiri daripada dua model — Blueshark R1 Lite, dan RydeEV Hyper: masing-masing 20 buah, dengan jarak perjalanan 100 km dan 110 km dan laju maksimum antara 80 km/j dan 90 km/j.

    MGTC mulakan projek tukar bateri motosikal EV di Malaysia — 40 unit terlibat, dua bulan percubaan

    Percubaan ini akan disokong oleh rangkaian penukaran bateri Blueshark dan Oyika, dengan keseluruhannya ada 29 stesen penukaran bateri EV yang terletak di stesen minyak, kedai runcit dan pusat beli-belah di Lembah Klang.

    Pihak yang ikut serta dalam demonstrasi ini antara terdiri daripada Majlis Bandar Petaling Jaya (MBPJ, lima unit) , Zalora Malaysia (12 unit), SPX Express (10 unit), Foodpanda (10 unit) dan Ions Technology (tiga unit).

    Pengumpulan data menjadi teras utama sepanjang tempoh percubaan ini, bertujuan untuk mendapatkan maklumat seperti jarak yang diliputi setiap motosikal bagi setiap penukaran, kelajuan yang dicapai, serta data prestasi bateri termasuk tempoh pengecasan dan kesihatan bateri.

    MGTC mulakan projek tukar bateri motosikal EV di Malaysia — 40 unit terlibat, dua bulan percubaan

    Projek ini juga akan menilai prestasi dan kebolehlaksanaan prasarana penukaran bateri motosikal, dari aspek seperti kemudahan penggunaan, jarak antara stesen penukaran bateri dan jumlah penukaran yang dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.

    Data yang dikumpul dari motosikal elektrik yang digunakan dalam percubaan ini adalah melalui peranti dan perisian yang disediakan oleh Blueshark dan RydeEV bagi motosikal mereka masing-masing, yang akan dimuat turun daripada setiap unit pada penghujung setiap bulan dalam tempoh tersebut. Selain pengumpulan data, percubaan ini juga akan menghimpunkan maklum balas daripada pengguna di pengujung program nanti.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor, motosikal elektrik walaupun dengan perkhidmatan penukaran bateri, kerap berdepan dengan penerimaan pengguna akibat terhadnya stesen yang ada, sekaligus menyukarkan akses dan jarak perjalanan, serta kos prasarana yang tinggi untuk pengendali.

     
     
  • Proton jual 12,194 unit kenderaan pada November 2024 — YTD kini 137,751 unit, perkongsian pasaran 18.8%

    Proton jual 12,194 unit kenderaan pada November 2024 — YTD kini 137,751 unit, perkongsian pasaran 18.8%

    Proton umumkan syarikat itu telah menjual sebanyak 12,194 unit kenderaan sepanjang November 2024. Itu melibatkan penurunan sebanyak 4.7% (atau 605 unit) berbanding 12,799 unit yang dijual pada Oktober. Bagaimanapun, menurut Proton, penguncupan itu selari dengan pengurangan TIV sebanyak 4.1% bagi jualan automotif di Malaysia.

    Jualan keseluruhan Proton bagi 11 bulan tahun ini ialah 137,751 unit, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan sebagai jenama nasional kedua paling popular. Syarikat itu menganggarkan perkongsian pasaran bulanan bagi Nov sebanyak 18.2%, dengan perkongsian pasaran tahunan setakat ini (YTD) ialah 18.8%.

    Seperti biasa, Saga mendahului dengan jualan 5,916 unit sepanjang November, dengan YTD jualannya ialah 66,094 unit, dan dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan 70,000 unit bagi tahun kedua berturut-turut.

    Proton jual 12,194 unit kenderaan pada November 2024 — YTD kini 137,751 unit, perkongsian pasaran 18.8%

    Di tempat kedua ialah X50, dengan 1,911 unit terjual, menjadikannya SUV paling popular untuk Proton. Setakat November, sudah 21,033 unit terjual di Malaysia. Bagi X70 pula, jualannya meningkat 7.7% berbanding Oktober, dengan 1,065 unit terjual, menjadikan YTD-nya 7,536 unit.

    X70 sebenarnya adalah model kelima popular bagi Proton, kerana di atasnya ada Persona dengan 1,394 unit terjual (YTD 17,325 unit) dan S70 dengan 1,312 unit (YTD, 17,512 unit) terjual sepanjang November. Iriz juga tidak ketinggalan, dengan 319 unit terjual, dan diikuti oleh X90 yang mencatatkan peningkatan 13.1% bagi November dengan 277 unit (YTD 3,246 unit).

    Proton jual 12,194 unit kenderaan pada November 2024 — YTD kini 137,751 unit, perkongsian pasaran 18.8%

    Untuk pasaran eksport pula, jumlah terkumpul setakat ini ialah 3,652 unit berbanding 3,636 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Sama seperti pasaran domestik, Saga mendahului jualan eksport dengan 2,203 unit — angka ini sudah melebihi eksport keseluruhan pada 2023. Ekport Saga pemanduan sebelah kiri ke Mesir bulan lalu ialah 480 unit, lebih tinggi berbanding Oktober dengan hanya 120 unit.

    Angka eksport bagi 2025 dijangka akan bertambah dengan pembukaan kilang CKD baru di Mesir, dengan kereta CKD pertama dijangka keluar bulan ini dengan pengeluaran 1,400 unit bagi 2024. Ini akan meningkat kepada 5,000 unit tahun depan, dan Proton jangkakan akan menghantar sejumlah 16,000 pek CKD ke negara Afrika Utara dalam tempoh tiga tahun menjelang 2026 nanti.

     
     
  • Perodua EV berdasarkan eMO-II dalam imej render

    Perodua EV berdasarkan eMO-II dalam imej render

    Minggu lalu kita sudah pun melihat model konsep EV Perodua eMO-II yang dipamerkan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024. Bagaimana agaknya rupa versi produksinya yang dijangka akan diperkenalkan pada suku keempat 2025 nanti?

    Pereka Theophilus Chin cuba membawakan jawapan untuk pertanyaan tersebut. Berdasarkan model konsep yang ditunjukkan, dia membayangkan bagaimana rupa model produksi yang dinamakan Perodua Ace ini melalui rekaan digital yang dilakukan.

    Rekaan ini antara lain mengeluarkan elemen berlebihan yang pada kereta yang dipamerkan itu, misalnya bahagian cermin sisi serta rim aero 19-inci yang digantikan dengan rekaan biasa. Turut digugurkan oleh Theo ialah corak geometri yang kelihatan di bahagian depan, belakang dan skirting sisi dan bumbung rekaan konsep berkenaan.

    Perodua EV berdasarkan eMO-II dalam imej render

    Wajah depannya diberikan lampu LED tirus (dan bukannya lampu berkelebaran penuh), corak di bahagian “hidung” kenderaan serta bahagian bukaan angin yang tampak lebih sederhana. Tiada juga lencana dengan pencahayaan, diganti dengan logo jenis biasa.

    Antara sentuhan rekaan menonjol pada model konsep tersebut ialah sisik di pintu belakang yang menyerupai lengkung roda. Sisik berkenaan mempunyai bukaan udara, yang telah digugurkan dalam rekaan produksi ini. Di belakang, rekaan lampu belakang dijadikan lebih realistik dengan mengekalkan jalur lampu melintang, serta tulisan Perodua menggantikan logo.

    Selebihnya, rekaan lain dikekalkan. Hasil akhirnya nampak tidak kalah menarik. Kalau belum sempat melihat sendiri Perodua eMO-II di KLIMS, bolehlah ke sana: KLIMS akan berakhir 11 Disember ini. Juga, baca lanjut berkenaan model EV Perodua ini di sini.

     
     
  • Hyundai Palisade 2025 didedah – bentuk berpetak, boleh sedia sehingga sembilan tempat duduk

    Hyundai Palisade 2025 didedah – bentuk berpetak, boleh sedia sehingga sembilan tempat duduk

    Sasaran Hyundai untuk menjadi lebih mewah diteruskan lagi dengan pengenalan Palisade 2025 di Korea Selatan. Sementara model sebelumnya menggunakan pendekatan lebih konvensional, model baru bagi SUV tiga baris tempat duduk ini pula adalah lebih radikal.

    Jelas mendapat inspirasi daripada Santa Fe terbaru, Palisade 2025 menggunakan rekaan berpetak dengan lampu DRL bertingkat sementara lampu utama pula seakan disepadukan dengan gril tengah. Lampu belakang juga menggunakan susunan garis bertingkat seperti DRL hadapan.

    Hyundai memberitahu, jarak roda yang lebih panjang pada Palisade ini, bersama dengan jarak antara roda dengan hujung bampar yang lebih pendek menjadikannya nampak lebih tegap. Penampilan ini kemudiannya diperlengkap dengan rim 21 inci serta kemasan krom panjang di bahagian tepi, sehingga ke d-pillar.

    Hyundai Palisade 2025 didedah – bentuk berpetak, boleh sedia sehingga sembilan tempat duduk

    Di dalam, Palisade menggunakan tema “Premium Living Space” untuk memberikan ruang kabin luas dengan rekaan yang mendapat inspirasi daripada perabot. Ia nampak ringkas tapi berkualiti, dan segala maklumat dipaparkan melalui panel instrumen serta skrin infotainmen yang masing-masing bersaiz 12.3 inci dan bersambung.

    Pada varian tertentu, SUV ini datang dengan konsol tengah “island-style” yang berasingan dengan papan pemuka, menempatkan soket pengecas USB-C 100-watt, pengecas Qi tanpa wayar, lubang cawan besar dan perehat tangan yang boleh dibuka dari kedua-dua sisi.

    Hyundai Palisade 2025 didedah – bentuk berpetak, boleh sedia sehingga sembilan tempat duduk

    Jika tidak ada konsol tengah ini, ia boleh diganti dengan tempat duduk tambahan, menukarkannya daripada tujuh tempat duduk kepada sehingga sembilan tempat duduk (tempat duduk jenis bangku untuk semua baris). Di Korea, kenderaan seperti ini bukan sahaja boleh menggunakan lorong bas, tetapi juga mendapat pengecualian cukai.

    Spesifikasi teknikal Palisade baru ini masih belum didedah, namun khabar angin mengatakan ia akan ditawarkan dengan enjin hibrid 2.5 liter turbo berkuasa 335 PS dan 456 Nm, menggantikan enjin V6 3.9 liter NA sebelum ini.

     
     
  • BYD Malaysia melancarkan pusat 3S pertama di Sabah; turut buka bilik pameran kedua di Sarawak

    BYD Malaysia melancarkan pusat 3S pertama di Sabah; turut buka bilik pameran kedua di Sarawak

    Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, telah mengumumkan pembukaan Pusat 3S BYD yang pertama di Sabah. Terletak di Kota Kinabalu, pusat 3S tersebut dikendalikan oleh wakil penjual sahnya, Regas EV Sabah, menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha untuk membawakan penyelesaian pengangkutan elektrik dan rendah karbon BYD kepada penduduk Sabah.

    Menurut Sime Motors, pencapaian ini menandakan pertumbuhan mantap BYD di seluruh Malaysia dan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan cemerlang dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) yang pantas berkembang di Malaysia Timur.

    Pusat 3S BYD baharu ini terletak di Lot 33, Taman Perindustrian Sedco, Jalan Lintas, 88450 Kota Kinabalu, dilengkapi kemudahan 3S terkini meliputi ruang seluas 1,288 meter persegi, menawarkan pilihan perkhidmatan yang serba lengkap seperti khidmat rundingan jualan, pandu uji kenderaan dan sokongan selepas jualan termasuk kemudahan baik pulih dan cat badan Kereta.

    Di samping itu, BYD Kota Kinabalu berbangga kerana menjadi salah satu daripada pusat EV pertama di Sabah yang dilengkapi dengan dua unit Pengecas Super DC yang menyediakan empat port pengecas. Kemudahan pengecas canggih ini dapat membekalkan kuasa sehingga 180kW, sedia menjanjikan pengalaman pengecasan yang pantas dan cekap bagi pelanggan.

    BYD Malaysia melancarkan pusat 3S pertama di Sabah; turut buka bilik pameran kedua di Sarawak

    “Sebagai pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, Sime Motors amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Regas EV Sabah untuk melancarkan Pusat 3S BYD baharu di Malaysia Timur.

    “Inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menyediakan pengalaman pelanggan terbaik sambil kami berusaha memenuhi keperluan masyarakat di Sabah yang kian berubah. Kami amat menghargai kesetiaan dan kepercayaan yang diletakkan oleh para pelanggan terhadap kami dan terus bertekad untuk mengatasi jangkaan mereka,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran, Asia Tenggara, Sime Motors.

    Datuk Matthew Tan, Pengarah Urusan Regas EV Sabah pula berkata, “Pusat 3S ini bukan satu kemudahan biasa semata-mata, ia merupakan komitmen kepada usaha memenuhi matlamat peralihan Sabah ke arah kaedah pengangkutan elektrik dan penyelesaian rendah karbon berpandangan jauh, dipacu oleh teknologi bertaraf dunia BYD.”

    Selain daripada Pusat 3S yang baru dilancarkan di Kota Kinabalu, Regas EV Auto turut membuka bilik pameran BYD baharu di Sibu, Sarawak, iaitu tambahan kepada bilik pameran sedia ada di Kuching. Ini bermakna kini terdapat sejumlah tiga bilik pameran di Malaysia Timur. Buat masa ini, BYD mempunyai 29 bilik pameran di seluruh negara, dengan rancangan untuk mencapai angka lebih 30 menjelang akhir 2024.

     
     
  • Jenama automotif China kini beralih ke hibrid di Eropah untuk elak tarif EV yang meningkat

    Jenama automotif China kini beralih ke hibrid di Eropah untuk elak tarif EV yang meningkat

    Bagi mengelakkan jenama-jenama Eropah tenggelam di pasaran sendiri, Oktober lalu Kesatuan Eropah telah pun mula mengenakan tarif baharu yang lebih tinggi untuk model-model kenderaan elektrik penuh (EV) dari China yang dijual dibenua berkenaan. Langkah itu menyaksikan ada pengeluar dari China terpaksa menanggung levi setinggi 45.3% dan ia akan dikenakan dalam tempoh sehingga lima tahun akan datang.

    Dengan kekangan tersebut, pengeluar-pengeluar China yang terjejas kini bertindak balas. Ada pengeluar yang memulakan operasi pemasangannya di Eropah bagi mengurangkan kos tarif itu, tetapi kebanyakkan jenama automotif China sekarang sudah mula memperbanyakkan eksport model-model hibrid ke benua berkenaan kerana tarif baharu yang dikenakan itu tidak membabitkan hibrid, lapor Reuters.

    Kenderaan hibird kini semakin popular di Eropah kerana pengguna menganggap model-model sedemikuan sebagai pilihan pertengahan mampu milik antara model EV dan unit rangkaian kuasa dengan enjin pembakaran dalaman. Menurut data Persatuan Kereta Penumpang China, jumlah eksport dari Julai hingga Oktober model-model hibrid ke Eropah kini meningkat tiga kali kepada 65,800 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Peningkatan itu membantu eksport hibrid plug-in dan hibrid konvensional menyumbang 18% daripada jumlah jualan kenderaan China ke Eropah pada suku ketiga 2024, meningkat dua kali ganda daripada 9% pada suku pertama. Kenaikan tersebut dapat mengimbangi eksport model-model EV kepada 58% daripada 62% dalam tempoh yang sama, di mana momentum tersebut akan dapat diteruskan dengan penganalisis mengunjurkan eksport hibrid ke Eropah meningkat kepada 20%, dan ia lebih tinggi lagi tahun depan.

    Jenama automotif China kini beralih ke hibrid di Eropah untuk elak tarif EV yang meningkat

    China perlu mengeksport kenderaan-kenderaan yang dibuat di negara tersebut bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti pengeluarannya yang kini berlaku di sana. Namun dengan tariff 100% dikenakan di Amerika Syarikat dan Kanada untuk EV yang dibuat di China, Eropah dilihat boleh menjadi penyelesaian terhadap masalah tersebut.

    Walaupun kemasukan model hibrid dari China boleh mencetuskan persaingan harga yang sengit dalam pasaran kenderaan hibrid Eropah, pakar menjangkakan bahawa jenama-jenama China mungkin akan bertindak lebih berhati-hati kerana bimbang akan mencetuskan satu lagi kenaikan tarif daripada EU.

    Sementara itu, jenama-jenama automotif Jepun juga turut mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan model-model hibrid konvensional di Eropah tahun ini. Ini turut membantu syarikat-syarikat dari negara matahari terbit tersebut untuk menangani masalah lebihan kapasiti mereka di China. Honda, yang mengalami kemerosotan 29% dalam jualan kenderaan China dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, mengeksport dua hibrid konvensional, satu hibrid plug-in dan satu model EV penuh dari China ke Eropah.

     
     
  • 3,402 saman dikeluarkan dalam Op Khas Semseng Jalanan di Negeri Sembilan sejak 15 Nov – Polis

    3,402 saman dikeluarkan dalam Op Khas Semseng Jalanan di Negeri Sembilan sejak 15 Nov – Polis

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sejumlah 3,402 saman sepanjang pelaksanaan Op Khas Samseng Jalanan sejak 15 November lalu.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, sepanjang operasi tersebut dilaksanakan, seramai 3,567 individu dan 2,539 kenderaan diperiksa dengan 1,919 daripadanya adalah motosikal, laporan Harian Metro.

    “JSPT Negeri Sembilan melaksanakan operasi selama 22 hari bermula dari 15 November hingga malam tadi (kelmarin). Ia bertujuan membendung aktiviti samseng jalanan daripada terus berleluasa. Ia juga ekoran aduan awam terhadap aktiviti merempit di tiga daerah di negeri ini. Hasil daripada operasi yang dilaksanakan, sebanyak 102 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ia membabitkan kesalahan penunggang bawah umur, tiada lesen memandu, ubah suai struktur atau peralatan kenderaan, ubah suai ekzos manakala sebanyak 12 tangkapan dibuat membabitkan lima individu mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain. Selain itu, dua tangkapan dibuat di bawah Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 iaitu menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam operasi yang dijalankan di Seremban kelmarin.

    Dalam operasi malam kelmarin, pihaknya turut menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang menunggang dari Ampang, Selangor ke Seremban dengan motosikal tiada nombor pendaftaran. Hasil pemeriksaan lanjut terhadap motosikal remaja itu mendapati nombor pendaftaran tersebut ada namun boleh ditukar-tukar dengan menterbalikannya.

    Motosikal ditunggang remaja berkenaan juga didapati tamat cukai jalan dan hasil soal siasat, dia bersama rakan mahu ke Senawang hanya untuk makan malam.

    Mengulas mengenai penunggang motosikal bawah umur yang sanggup datang dari daerah dan negeri lain, Ahmad Dzaffir berkata, ibu bapa atau penjaga boleh diambil tindakan.

    “Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan turut diambil tindakan saman mengikut Seksyen 111 iaitu membenarkan dan bersubahat serta Seksyen 39(5) APJ 1987 iaitu membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor. Sepanjang operasi ini, sebanyak 40 saman dikeluarkan kepada ibu bapa,” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 11 kes turut direkodkan atas perintah mahkamah hukuman Bon Berkelakuan Baik (BKB) dikenakan kepada ibu bapa atau penjaga bersama anak ketika perbicaraan. Terdapat satu kes seorang ibu ditangkap mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

    “Ia kerana membiarkan anak bawah umur memandu kenderaan menyebabkan berlaku kemalangan dan dituduh mengikut Seksyen 39(1)(5) APJ 1987 serta didenda RM700,” katanya.

     
     
  • Neta V terima penarafan sifar bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP – EV pertama diuji

    Neta V terima penarafan sifar bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP – EV pertama diuji

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) hari ini mengumumkan bahawa model EV Neta V yang diuji di makmal MIROS PC3 di Melaka baru-baru ini menerima penarafan sifar bintang. Menurut badan berkenaan, Neta V bukan sahaja EV pertama yang diuji, malah ia juga merupakan model pertama yang menerima sifar bintang di bawah protokol ujian ASEAN NCAP 2021-2025 yang lebih ketat.

    Neta V hanya ditawarkan dalam satu varian untuk model yang dijual di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Dalam ujian berkenaan ia menerima markah keseluruhan 28.55, terdiri dari kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dengan 7.89 markah, Perlindungan Penumpang kanak-kanak (COP) dengan 13.51 markah, Bantuan Keselamatan (SA) dengan 7.14 markah dan Keselamatan Penunggang Motosikal dengan sifar markah.

    Model yang dijual pada pasaran ASEAN ini hanya menerima dua beg udara, pengingat pemakaian tali pinggang keledar hanya untuk pemandu, sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) sebagai ciri standard.

    Neta V terima penarafan sifar bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP – EV pertama diuji

    Dalam ujian pelanggaran offset hadapan, ASEAN NCAP memaklumkan bahawa model ini menerima markah sifar kerana memberikan perlindungan yang lemah kepada pemandu pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan. Penumpang hadapan juga menerima perlindungan yang lemah kerana struktur badan kereta yang lemah dan tali pinggang keselamatan yang tidak mempunyai sistem pre-tensioner dan pengehad beban.

    Ini telah menyebabkan risiko kecederaan yang lebih tinggi kepada patung ujian kerana ia mengakibat sentuhan terhadap roda stereng dan juga beg udara. Namun dalam ujian pelanggaran sisi. Neta V menerima markah 6.31 daripada 8.00 markah di mana patung ujian menerima sedikit perlindungan pada bahagian dada.

    ASEAN NCAP juga menyatakan bahawa Neta V menerima markah yang rendah untuk Sistem Kekangan Kanak-kanak (CRS). Ini kerana walaupun ia diberikan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix dan penambat sebelah atas, ia sukar untuk dipasang dengan separuh dari senarai tempat duduk kanak-kanak yang disyorkan oleh ASEAN NCAP.

    Antara penyebab mengapa Neta V ini menerima penarafan sifar bintang adalah kerana ia juga tidak menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan sepert brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dan amaran keluar laluan. Ia juga tidak dilengkapi dengan teknologi pemantau titik buta yang penting untuk perlindungan penunggang motosikal, tiada bantuan lampu tinggi serta tidak mempunyai pelindung pejalan kaki.

    Kami adalah antara media yang dijemput ketika ujian pertama terhadap Neta V ini dibuat iaitu ujian pelanggaran sisi pada bulan lalu. Dalam ujian pertama untuk EV ini ketika itu, ASEAN NCAP menyatakan bahawa pihaknya turut akan membuat pengesanan kebocoran arus elektrik selepas setiap kali ujian ini dibuat. Namun tiada sebarang perincian berkenaan perkara itu dalam laporan yang baru diumum pagi ini, dan ini mungkin kerana tiada sebarang kebocoran arus elektrik dikesan selepas ujian berkenaan.

    Neta V dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2023. Ia adalah EV yang paling murah ditawarkan dalam pasaran buat masa sekarang iaitu RM100,000 – ia mungkin lebih murah sekiranya tiada larangan dari kerajaan yang menetapkan harga lantai EV di Malaysia buat masa sekarang hingga hujung tahun depan adalah RM100k.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025