Kementerian Ekonomi mengesahkan mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU) manakala penentuan kumpulan sasar ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.
Sistem PADU adalah repositori data individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap yang berada di Malaysia. Setakat 31 Mac 2024, seramai 10.55 juta individu telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU, ujar kementerian terbabit
“Ketika ini, sistem berkenaan berada dalam Fasa 2, penganalisisan data yang melibatkan proses penentuan isi rumah, perbelanjaan asas kehidupan wajar dan pendapatan boleh guna bersih,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis untuk Dewan Rakyat semalam.
Ia bagi pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai jumlah pendaftaran penuh PADU dan mengapa data PADU tidak digunakan bagi permohonan subsidi bersasar diesel.
Selain itu, kementerian berkata langkah penyasaran semula subsidi minyak dimulakan dengan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI). Di mana penyasaran subsidi diesel melalui BUDI MADANI telah menggunakan semua pangkalan data sedia ada kerajaan yang berkaitan.
“Maklumat daripada BUDI MADANI akan dikongsi dan diintegrasi ke dalam PADU dari semasa ke semasa bagi menambah baik data tersedia,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.