Menurut menteri pengangkutan, Anthony Loke, keputusan kerajaan untuk menghentikan amalan penjualan nombor plat istimewa melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah bagi memastikan pendapatan yang diperoleh sampai ke laluan yang betul. Tambah beliau, kerugian yang berlaku disebabkan amalan ini adalah sukar untuk dipastikan.

“Sukar bagi saya untuk memberi jangkaan kerugiannya. NGO yang berjaya cuma perlu membayar kerajaan RM1 juta untuk mendapatkan plat tersebut, tetapi nilai jualan semula boleh menjadi sehingga RM20 juta bagi setiap siri plat. Ini sahaja sudah merupakan satu kekurangan pendapatan yang besar bagi kerajaan,” kata beliau dalam satu temu ramah dengan The Star.

Berkaitan dengan pengangkutan pula, Loke memberitahu walaupun projek MRT3 telah dibatalkan, kerajaan masih lagi komited kepada pengangkutan awam, dan nanti akan dilakukan pembangunan seterusnya pada bahagian itu, meskipun sekiranya keputusan pelaksanaan kereta nasional baru diteruskan.

“Projek kereta nasional baru akan diterangkan selanjutnya oleh perdana menteri. Setakat yang diketahui oleh kementerian, kami masih komited kepada pengangkutan awam. Saya tidak melihat akan berlaku pemilihan hanya satu perkara sahaja (zero-sum game), di mana kalau ada jenama kereta nasional baru, kami tidak akan melabur untuk pengangkutan awam,” jelas Loke lagi.

“Walaupun kerajaan telah membatalkan projek MRT3 buat masa ini, kami masih mahu menambah hubungan kepada MRT1 dan MRT2. Kami perlu melabur lebih banyak kepada pengangkutan awam, dan MRT mestilah disepadukan dengan sistem bas transit untuk servis yang lebih baik berhampiran stesen,” kata beliau.

Untuk projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Loke memberitahu masih belum ada keputusan sama ada ia akan dibatalkan terus atau ditangguh. Keputusan hanya boleh diketahui setelah kementerian hal ehwal kewangan melengkapkan kajian berkenaannya