Bangkok 2024: Toyota Hilux Revo facelift bersama varian GR Sport Wide Tread; harga dari RM76k

Bangkok 2024: Toyota Hilux Revo facelift bersama varian GR Sport Wide Tread; harga dari RM76k

Selepas dilancarkan untuk pasaran Thailand minggu lepas, sekarang kami bawakan gambar sebenar versi Toyota Hilux facelift yang lebih ranggi dan agresif, iaitu Hilux Revo GR Sport Wide Tread, bersama satu lagi varian, iaitu Z Edition yang dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024.

Pada bahagian enjin, Hilux Revo GR Sport Wide Tread masih menggunakan unit empat silinder diesel turbo 2.8 liter 1GD-FTV, tetapi kini mampu menghasilkan 224 PS (221 hp atau 165 kW) pada 3,400 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm – sama seperti varian GR Sport di Malaysia.

Walaubagaimanapun, penampilannya dijadikan lebih garang seperti model pasaran Australia, dengan menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, serta kit widebody bersama kemasan fender yang menambah lebarnya sebanyak 140 mm di hadapan dan 155 mm di belakang. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar BF Goodrich AT 265/65.

Kedudukan trak ini juga adalah lebih tinggi, hasil daripada penggunaan penyerap baru dan kelegaan dari tanahnya bertambah 37 mm menjadi 217 mm. Perubahan lain yang dibuat adalah termasuk spring yang ditala semula, stabiliser bar hadapan lebih besar, wishbone depan lebih tebal, tambahan titik kimpal pada casis, brek cakera belakang (sebelum ini dram) dan cakera brek hadapan lebih besar.

Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk lampu utama LED bi-beam, lampu kabus LED, tempat duduk balutan suede/kulit, roda stereng dengan tanda GR Sport, kawalan pendingin hawa dua zon, telematik T-Connect, kamera 360 darjah, sistem tanpa kunci, tujuh beg udara serta sistem keselamatan biasa seperti Hill Start Assist, Hill Descent Control, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning dan Prevention dan Rear Cross Traffic Alert.

Di bahagian dalam, varian GR Sport ini menerima sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci baru serta sistem yang boleh disambung kepada Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Senarai kelengkapan turut ditambah dengan cermin belakang boleh malap sendiri, pad pengecas tanpa wayar, soket pengecas USB-C untuk penumpang belakang dan corak kemasan baru.

Hilux Revo GR Sport Wide Tread ini dijual di Thailand pada harga 934,000 baht (RM121,230) dan dipamerkan bersama beberapa lagi varian Hilux facelift di BIMS 2024. Enjin 2.8L diesel turbo pada Hilux Revo varian selain GR Sport Wide Tread menghasilkan kuasa lebih rendah, iaitu 204 PS dan 500 Nm.

Turut disediakan adalah varian yang menggunakan enjin empat silinder 2.4L diesel turbo, yang menghasilkan 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 rpm ke 2,000 rpm. Ia boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

Harga untuk Hilux Revo facelift di Thailand bermula dari 584,000 baht (RM75,763) untuk Standard Cab dan diikuti 669,000 baht (RM86,786) untuk Z Edition, 775,000 baht (RM100,624) untuk Prerunner dan 4×4, 1,006,000 baht (RM 130,574) untuk Rocco dan seterusnya 934,000 baht (RM121,230) untuk GR Sport Wide Tread.

GALERI: Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread

GALERI: Toyota Hilux facelift

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required