Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Toyota Hilux GR Sport 2023 diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada Februari lalu, dan menjadi varian Hilux paling mahal yang ditawarkan di sini. Ia menggunakan asas daripada model CKD Hilux Double Cab 2.8 Rogue 4X4.

Trak pikap Hilux GR Sport 2023 ini menampilkan banyak perbezaan berbanding varian Rogue tersebut: misalnya gril baharu yang nampak sama seperti Hilux GR Sport pasaran Thailand. Semua overfender menerima kemasan warna badan, manakala perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi dan juga sports bar pada bed belakang disudahkan dengan warna hitam berkilat.

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Bagi melengkapkan rupa Hilux GR Sport ini, ia menerima rim aloi 18-inci dengan rekaan eksklusif serta diberikan kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar Highway Terrain (HT) bersaiz 265/60R18. Angkup brek model ini dalam warna merah dan turut menampilkan logo GR.

Perincian lain yang dibawa dari Hilux Rouge ke GR Sport termasuklah lampu projektor bi-LED automatik bersama lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi kawalan elektrik.

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Untuk enjin, sama seperti Rogue, Hilux GR Sport ini dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8L empat silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,800 rpm. Tiada talaan kuasa sehingga 224 PS/550 Nm seperti yang diterima pada Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan dan Australia diberikan.

Kuasa juga masih dihantar melalui kotak gear enam-kelajuan automatik dengan fungsi manual sequential, serta sistem 4WD yang boleh diaktif dan dinyahaktifkan ketika bergerak dengan menggunakan suis putar. Manakala gandar belakang dilengkapkan dengan LSD automatik, dan sistem pacuan ini turut berintegrasi dengan sistem Active Traction Control dan Diff Lock bagi memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Hilux GR Sport 2023 untuk pasaran Malaysia bagaimanapun masih diberikan talaan suspensi yang lebih sporty menerusi pemadanan penyerap hentak tiub tunggal dan pegas gegelung yang berbeza dari Hilux Rouge.

Untuk bahagian kabin, Hilux paling sporty ini menampilkan gaya lazim sebuah model GR dan GR Sport iaitu tema berwarna hitam bersama serlahan-serlahan panel dan jahitan benang merah. Ia hadir dengan tempat duduk yang berbeza dari Rouge, menampilkan struktur bagi memberikan rasa lebih sporty, balutan kombinasi kulit dan suede serta sulaman logo GR pada perehat kepala.

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Pemandu menerima butang penghidup enjin GR, roda stereng GR dan buat pertama kali Hilux pasaran Malaysia diberikan pedal penukar gear, set pedal kaki aluminium serta paparan instrumen dengan meter Optitron bersama skrin pelbagai info TFT berwarna 4.2-inci yang memberikan animasi selamat datang GR.

Aspek keselamatan Hilux GR Sport pula ada tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSC), cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix serta pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dari Rouge juga terus ditawarkan untuk Hilux GR Sport ini, memberikan fungsi yang terdiri dari Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

Mei lalu, harga Toyota Hilux 2023 dinaikkan sedikit berbanding ketika pengenalan rasminya, menjadikan versi GR Sport ini dijual dengan harga RM169,080, melibatkan peningkatan sebanyak RM6,900.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required