Toyota Hilux GR Sport dengan badan & suspensi lebih lebar mula dijual di Australia; RM222k, 221 hp/550 Nm

Toyota Hilux GR Sport dengan badan & suspensi lebih lebar mula dijual di Australia; RM222k, 221 hp/550 Nm

2023 Toyota HiLux GR Sport_Feverish Red with Black Roof

Selepas didedahkan pada Januari tahun ini, Toyota Hilux GR Sport pasaran Australia yang menerima enjin lebih berkuasa, badan lebih lebar dan juga sistem suspensi lebih baik kini sudahpun mula dijual di negara berkenaan dengan harga bermula AUD73,990 (RM222k).

Ini menjadikan Hilux GR Sport sebagai varian berpestasi tinggi dan juga model paling mahal dalam barisan trak pikap itu di Australia berbanding Hilux Rouge (yang juga kini lebih lebar dari Hilux biasa) yang dijual pada harga AUD70,760 (RM212k). Pelanggan boleh memilih Hilux GR Sport dengan warna badan premium dengan tambahan AUD675 (RM2k) dan juga warna badan dua tona dengan harga tambahan AUD1,000 (RM3k).

Rekaan badan yang lebih lebar dan lebih sporty ini dihasilkan oleh Pasukan Rekaan Toyota Australia di studio yang terletak di Altona dan sebelum ini didakwa turut dibangunkan dengan terowong angin bagi memberikan fungsi aerodinamik lebih baik. Model ini juga diinspirasikan dari jentera rali Toyota GR DKR Hilux T1+ yang bertanding dan menjuarai rali Dakar.

Toyota Hilux GR Sport dengan badan & suspensi lebih lebar mula dijual di Australia; RM222k, 221 hp/550 Nm

2023 Toyota HiLux GR Sport_Silver Sky

Pada bahagian muka ia diberikan gril dengan skrip ‘Toyota’ pada kedudukan lebih tinggi dan kemasan sebelah bawah berbeza dengan ruang liang udara lebih banyak. Bampar hadapan juga kelihatan jauh berbeza dari model biasa dengan perumah lampu kabus tidak bersegi dan panel skid plate yang lebih agresif dalam kemasan perak.

Malah bampar hadapan Hilux GR Sport ini juga direka bagi memberikan sudut approach dan jarak kelegaan tanah yang lebih baik. Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang. Logo GR yang besar juga dapat dilihat pada panel kemasan bed belakang.

Bagi menjadikan Hilux GR Sport ini lebih lebar untuk rupa yang jauh lebih agresif, ia diberikan overfender yang jauh lebih lebar berbanding Hilux biasa dalam kemasan Satin Black. Ia bukan hanya untuk kosmetik semata-mata kerana suspensi Hilux GR Sport ini juga telah di ubah bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar.

Ia dibuat dengan memadankan rekaan wishbone baharu pada sebelah hadapan dan juga gandar belakang yang lebih lebar dan diperkuat. Secara keseluruhan perubahan ini memberikan jarak trek roda hadapan dilebarkan sebanyak 140 mm dan belakang bertambah 155 mm.

Suspensi dengan geometri yang sudah berubah ini turut menerima penyerap hentak monotube isitimewa dari KYB yang turut menerima talaan unik khas untuknya. Bar penstabil pada bahagian belakang juga juga telah dibuka bagi membolehkan jarak pergerakan turun-naik suspensi ini lebih jauh.

Set roda Hilux GR Sport ini pula terdiri dari set rim 17-inci dengan jejari berbeza dari Hilux biasa dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar All-terrain Bridgestone Dueler 265/65R17. Ia juga menerima kelengkapan ‘pertahanan’ tambahan untuk laluan off-road seperti skid plate sebenar di bawah ruang enjin yang diilhamkan dari jentera rali dakar, pemijak sisi logam dari jenis rock rail serta dua cangkuk penyelamat belakang dalam kemasan merah – kesemua ini dibina secara tempatan oleh Toyota Australia.

Toyota menyatakan segala perubahan mekanikal ini tidak menjejaskan kapasiti tunda brek Hilux ini yang dicatatkan pada 3,500 kg. Ia juga datang standard dengan bar tunda asli pada bahagian belakang, lengkap dengan bebola penunda dan pendawaian tujuh-pin untuk treler belakang.

Toyota Hilux GR Sport 2023 ini masih dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder yang sama seperti Hilux biasa. Namun ia telah menerima talaan semula pada suntikan bahan api dan juga kemaskini yang dibuat pada pengecas turbo bagi mengerah 224 PS (165kW) pada takat 3,000 rpm dan tork maksima 550 Nm pada takat 2,800 rpm.

Ia adalah 10% lebih berkuasa berbanding kuasa asal pada kadar 204 PS dan tork maksima 500 Nm dan Toyota menyatakan bahawa ini adalah Hilux paling berkuasa pernah ditawarkan di Australia. Enjin ini masih dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, tetapi ia turut menerima talaan semula pada pemetaan dan kawalan lock-up bagi mengoptimakan penghantaran kuasa ke roda.

Toyota Hilux GR Sport dengan badan & suspensi lebih lebar mula dijual di Australia; RM222k, 221 hp/550 Nm

2023 Toyota HiLux GR Sport_Feverish Red with Black Roof

Untuk menghentikan Hilux GR Sport dengan bekalan kuasa lebih besar ini, ia diberikan set brek hadapan yang lebih besar terdiri dari cakera berliang dengan angkup empat omboh dalam kemasan merah. Dan di belakang, brek dram pada Hilux biasa tidak lagi digunakan dan digantikan dengan brek cakera bersama angkup omboh tunggal yang turut diberi kemasan merah.

Gaya lebih agresif pada Hilux GR Sport ini turut dibawa ke bahagian kabin. Ia menerima tema hitam monokromatik pada bahagian kabin, dengan tempat duduk sport bersama upholsteri gabungan kulit bersama kemasan-kemasan sued, serlahan perak, jahitan benang kelabu dan juga sulaman logo GR pada perehat kepala hadapan.

Ia juga diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit GR dengan penanda pukul 12 berwarna merah, logo GR pada pedal penukar gear, set pedal aloi yang disesuaikan dengan kemasan ‘Technical Mesh’ pada papan pemuka dan panel pintu dan tali pinggang keledar berwarna merah.

Untuk sistem hiburan, Hilux GR Sport pasaran Australia ini menerima sistem bunyi premium dari JBL dengan sembilan pembesar suara. Bagi sistem keselamatan pula, semua perincian yang ada pada Hilux Rouge termasuk sistem bantuan pemanduan yang ada pada Hilux Rouge dibawa pada Hilux GR Sport ini.

Model ini ditawarkan dalam warna badan Glacier White, Frosted White, Silver Sky (Stunning Silver bermula akhir 2023), Eclipse Black dan Feverish Red. Manakala untuk warna badan dua tona dengan bumbung berwarna hitam ditawarkan hanya untuk warna Glacier White, Frosted White dan Feverish Red.

Toyota Hilux GR Sport turut sudah ditawarkan di Malaysia bermula Februari tahun ini. Ia tidak diberikan badan dan suspensi lebih lebar, tetapi menerima kit penggayaan lebih sporty dan juga talaan suspensi berbeza dari Hilux biasa. Namun pada awal bulan ini, UMW Toyota telah mengumumkan bahawa Hilux GR Sport pasaran tempatan kini turut menerima talaan enjin lebih berkuasa 224 PS/550 Nm dengan harga atas jalan yang tidak berubah iaitu RM169,080 tidak termasuk insuran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required