Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ Perak raih RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat ANU – ANU 1 catat bidaan tertinggi bernilai RM269k

    JPJ Perak raih RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat ANU – ANU 1 catat bidaan tertinggi bernilai RM269k

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak meraih keuntungan berjumlah RM2.368 juta menerusi bidaan siri plat nombor ‘ANU’ yang dibuka dari 19-23 Disember, laporan Bernama.

    “Dalam tempoh lima hari tersebut, seramai 1,768 pembida mengambil bahagian daripada 1.99 juta pembida berdaftar di seluruh negara. Bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk ‘ANU 1’,” kata pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan. Baki nombor pendaftaran yang tidak menerima tawaran akan dibuka kepada orang ramai pada harga minimum yang ditetapkan.

    Walaupun RM2.368 juta yang diperoleh untuk siri ‘ANU’, Mohammad Yusoff berkata siri ‘AMG’ kekal sebagai siri yang paling menguntungkan. “Sebelum ini, ‘AMG’ telah mencatatkan jumlah jualan melebihi RM6 juta dan masih memegang rekod jualan tertinggi bagi plat popular,” katanya.

    Dalam hal lain, Mohammad Yusoff menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka terjumpa “ejen kosmetik” yang menawarkan perkhidmatan seperti “tayar sewa” untuk pemeriksaan Puspakom. Perkhidmatan ini dikatakan ditawarkan di media sosial, dan JPJ akan meneliti perkara itu kerana perkhidmatan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi kerana ia melibatkan isu teknikal.

     
     
  • JPJ buka pejabat Putrajaya baharu di Galeria PJH – tambahbaik kapasiti, pertingkatkan skop perkhidmatan

    JPJ buka pejabat Putrajaya baharu di Galeria PJH – tambahbaik kapasiti, pertingkatkan skop perkhidmatan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka pejabat cawangan Putrajaya baharu yang terletak di Tingkat 1, bangunan komersil Galeria PJH Presint 4. Ini susulan lawatan mengejut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di pejabat lama pada September lalu, di mana beliau mendapati terdapat beberapa isu seperti masa menunggu yang panjang untuk pelanggan dan kawasan menunggu yang tidak mesra pengguna.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang merasmikan pembukaan kemudahan baharu itu, berkata pejabat baharu itu melambangkan komitmen JPJ untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. “Orang ramai tidak datang ke JPJ untuk acara atau anugerah. Mereka datang ke sini untuk menyelesaikan masalah. Justeru, keutamaan kami adalah memastikan setiap urusan mereka dipermudahkan, dengan perkhidmatan yang pantas dan cekap,” katanya dalam ucapan perasmian.

    Loke berkata cawangan baharu itu, yang siap dalam tempoh empat bulan sahaja, menawarkan kemudahan moden yang lebih kondusif dan mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk menampung pelanggan dengan lebih baik. Katanya, bilangan perkhidmatan yang ditawarkan cawangan itu telah diperluaskan daripada 27 jenis transaksi kepada 106, yang meletakkannya setanding dengan pejabat JPJ negeri, mencerminkan peningkatan keupayaan jabatan itu untuk memenuhi keperluan rakyat.

    Tambahnya, pejabat itu juga dilengkapi dengan JPJ Assist dan perkhidmatan kiosk bagi membolehkan pelanggan menyelesaikan transaksi mereka dengan lebih mudah. Bagaimanapun, kaunter fizikal masih ada untuk melayani para pelanggan yang lebih selesa dengan pendekatan tradisional.

    Cawangan Putrajaya bukan satu-satunya yang dirombak, kerana Loke berkata semua pejabat JPJ di seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat dengan konsep lebih mesra pelanggan, dengan keutamaan diberikan kepada lokasi yang sentiasa sesak, laporan Bernama.

    Tambahnya, kementerian sedang mempertimbangkan untuk membuka satu lagi cawangan JPJ di Nilai bagi mengurangkan beban di JPJ Bangi, yang merupakan antara cawangan paling sibuk.

     
     
  • Stesen LRT KLCC ditutup seketika susulan insiden kepulan asap; bas perantara percuma disediakan

    Stesen LRT KLCC ditutup seketika susulan insiden kepulan asap; bas perantara percuma disediakan

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa Stesen LRT KLCC ditutup buat sementara waktu kerana dilaporkan terdapat insiden kepulan asap di bilik peralatan elektronik yang terletak di dalam stesen terbabit. Pihak bomba juga dilaporkan telah berada di lokasi kejadian dan para penumpang diminta untuk bertenang serta patuhi arahan petugas operasi stesen.

    Tambahnya, tren juga tidak akan berhenti di stesen tersebut dan sebagai alternatif, penumpang boleh menaiki tren laluan MRT Putrajaya dari Persiaran KLCC dan Ampang Park.

    Penumpang juga disaran untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma yang disediakan atau mengambil mod pengangkutan alternatif lain. Tambah Rapid Rail, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi.

    Stesen LRT KLCC ditutup seketika susulan insiden kepulan asap; bas perantara percuma disediakan

    Menerusi kemaskini di laman Facebook rasminya, syarikat ini turut berkata, penumpang boleh menunggu bas di lokasi yang dinyatakan untuk menaiki perkhidmatan bas perantara percuma; bas akan berhenti di Avenue K untuk ke Ampang Park dan lokasi kedua ialah di Decathlon KL City Centre bagi penumpang yang mahu ke Dang Wangi.

    “Untuk makluman, bas perantara percuma tidak boleh memasuki Stesen Kampung Baru disebabkan laluan yang sempit. Penumpang boleh menunggu bas di Decathlon KLCC. Kakitangan operasi berada di lokasi untuk bantuan lanjut.

    “Sebagai alternatif, penumpang boleh menaiki tren Laluan Putrajaya di Persiaran KLCC dan Ampang Park serta stesen Ampang Park Laluan Kelana Jaya. Penumpang juga boleh mengambil mod pengangkutan alternatif lain. Kekerapan bas adalah setiap 15 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa,” katanya lagi.

    KEMASKINI 02/01/2025 9 malam: Stesen LRT KLCC telah kembali beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Remaja basikal lajak kena denda ketuk ketampi: Itu sebagai amaran dan advokasi – Ketua JSPT KL

    Malam kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan sekatan jalan raya di sekitar ibu kota.

    Antara yang ditahan ialah sekumpulan remaja yang menunggang basikal secara berbahaya yang kemudiannya dikenakan denda ketuk ketampi secara sukarela dan video adegan tersebut telah pun tular di laman media sosial serta mendapat perhatian netizen yang memuji pendekatan budi bicara yang digunakan oleh pihak polis dan JPJ.

    Menurut Ketua JSPT KL sisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua 21 remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam dalam sekatan jalan raya yang dilaksanakan.

    “Kumpulan remaja ini dikesan melakukan kesalahan menunggang basikal yang tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara berbahaya. Tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan ke atas penunggang basikal. Selain itu, tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Walau bagaimana pun, seorang pegawai kanan JSPT Kuala Lumpur bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit. Remaja itu diberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Mohd Zamzuri berkata, kumpulan remaja ini kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal dan terus pulang ke rumah masing-masing.

    “Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan berkenaan. Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik sekali gus memberi peluang untuk memperbaiki diri dan mengelakkan dari melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari,” katanya.

    Dalam masa yang sama, JSPT menasihati golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan lalu lintas dan menunggang dengan cara berbahaya supaya kecederaan atau kemalangan jiwa dapat dielakkan.

    “Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang,” katanya.

     
     
  • Tiket ekstra KTM ETS untuk CNY 2025 bermula 3 Jan

    Tiket ekstra KTM ETS untuk CNY 2025 bermula 3 Jan

    Keretapi Tahah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan tren ETS tambahan sempena Tahun Baru Cina yang bersekali dengan cuti sekolah, yang bakal berlangsung hujung Januari ini. Tiket untuk tren tambahan ini akan mula dibuka untuk pembelian pada 10 pagi esok, 3 Januari 2025.

    Tren tambahan yang dimaksudkan ialah EP9283 dan EP9286. Yang pertama tersebut akan berlepas dari Padang Besar pada 11.05 pagi dan akan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang. Yang kedua pula akan berlepas dari KL Sentral pada 5 petang dan tiba di Padang Besar pukul 10.20 malam.

    Tarikh perjalanan yang terlibat adalah dari 17-19 Januari, 24 Januari-2 Februari, 7-9 Februari dan 14-16 Februari. Tiket akan dibuka untuk pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile, laman web KTMB serta boleh juga dibeli di kaunter atau kiosk.

    Dalam perkembangan yang sama, kerajaan juga telah membeli 10 lagi tren ETS baru yang dijangka akan beroperasi bermula dari suku pertama 2025.

     
     
  • Jalan Masjid India dibuka semula sepenuhnya – DBKL

    Jalan Masjid India dibuka semula sepenuhnya – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa Jalan Masjid India, yang sebelum ini terlibat dengan insiden lubang benam pada 23 Ogos 2024, kini telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam.

    DBKL dalam kenyataannya berkata, selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat mangsa yang merupakan wanita warganegara India dihentikan dan mangsa gagal ditemui, kerja-kerja telah diteruskan kepada operasi pemulihan dan pembaikan.

    “Alhamdulillah, dengan kesungguhan semua pihak, kerja-kerja pemulihan dan pembaikan ini telah berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada Februari 2025.

    “Susulan insiden ini, DBKL telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menilai keselamatan struktur tanah, menyediakan cadangan teknikal, mengkoordinasi tindakan pelbagai agensi dan pada masa yang sama untuk menangkis persepsi negatif yang timbul. Antara agensi luar yang terlibat adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institusi Jurutera Malaysia serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia,” kata DBKL.

    Jalan Masjid India dibuka semula sepenuhnya – DBKL

    Tambahnya, pasukan Khas yang dibentuk telah bermesyuarat lebih dari lima kali bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam. Ulasan daripada ahli Pasukan Khas ini telah diterima dan dikumpulkan oleh DBKL.

    “DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan setelah itu laporan tersebut akan dikemukakan ke Kabinet pada awal tahun 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum.

    “Sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara deep boring bagi mendapatkan profail tanah di sekitar Jalan Masjid India. Sebanyak empat ujian deep boring telah dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir Insiden Jalan Masjid India,” jelasnya lagi.

    Selain itu, DBKL berkata, beberapa kerja telah dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK), kerja-kerja pembaikan kemasan siar kaki di “Ground Zero” yang rosak serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India yang telah disiapkan oleh DBKL.

    Jalan Masjid India dibuka semula sepenuhnya – DBKL

    “Sebagai langkah proaktif DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan-kawasan sekitar insiden secara berkala. Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak Syarikat Utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malahan meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur.

    “Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada DBKL untuk tahun 2025, akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang,”tambahnya.

    Dalam masa yang sama, DBKL juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dijalankan. Dengan pembukaan semula Jalan Masjid India, DBKL bertekad untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan, dan selesa untuk didiami.

    Sekiranya terdapat tanda-tanda mendapan di rezab jalan awam atau wujudnya lubang benam, orang ramai boleh membuat aduan melalui portal Adu@KL atau menghubungi talian skuad penyelamat di talian 03-40106337.

     
     
  • Monopoli Puspakom berakhir, 10 syarikat baru sudah memohon lesen untuk pemeriksaan kenderaan — Loke

    Monopoli Puspakom berakhir, 10 syarikat baru sudah memohon lesen untuk pemeriksaan kenderaan — Loke

    Monopoli selama tiga dekad oleh Puspakom bagi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di sini bakal berakhir. Terbaru, ada 10 syarikat yang telah membuat permohonan untuk menjadi pesaingnya, lapor The Star.

    Akhbar tersebut memetik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai berkata, jumlah tersebut belum lagi dimuktamadkan, tetapi beliau berharap pengendali baru tersebut akan memulakan perniagaan mereka pada penghujung 2025.

    “Terdapat kira-kira 10 syarikat yang telah memohon lesen pemeriksa kenderaan. Namun, jumlah sebenar syarikat yang akan diberikan lesen berkenaan akan diumumkan kelak,” ujarnya dengan menambah bahawa pengendali baru juga memerlukan masa untuk membangunkan kemudahan masing-masing.

    Seperti yang diumumkan pada penghujung Mac 2023, bermula 1 September 2024, Puspakom tidak lagi akan menjadi satu-satunya agensi yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, sekaligus menamatkan monopoli yang telah dinikmatinya sejak 1994.

    Puspakom juga kebelakangan ini banyak terpalit dengan perkembangan yang kurang memberangsangkan, dengan yang terbaru adanya dakwaan bahawa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Ayer Keroh baru-baru ini turut mendapat kelulusan untuk beroperasi di atas jalan walaupun keadaan adalah sebaliknya.

     
     
  • JPJ tawar kompaun khas dengan kadar purata RM150 untuk 3 kesalahan selama 6 bulan mulai esok – Loke

    JPJ tawar kompaun khas dengan kadar purata RM150 untuk 3 kesalahan selama 6 bulan mulai esok – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula esok (3 Januari 2025), laporan Bernama.

    Beliau berkata, tiga kesalahan tersebut melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

    “Biasanya, kompuan bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok 3 Jan untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.

    JPJ tawar kompaun khas dengan kadar purata RM150 untuk 3 kesalahan selama 6 bulan mulai esok – Loke

    “Sebab saman AwAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AwAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.

    Jelasnya, pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, embayaran kompaun khas itu tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

    Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun 2025. Loke berkata dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor FG dibuka bidaan hingga 6 Jan

    JPJ eBid: Plat nombor FG dibuka bidaan hingga 6 Jan

    Plat nombor pendaftaran terkini dari Putrajaya, FG, membuka tirai Tahun Baharu 2025 dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan ia sudah boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid bermula hari ini. Menurut JPJ, siri Putrajaya FG itu adalah sempena pembukaan cawangan pejabat baharunya di Bangunan Komersial PJH Presint 4.

    Bidaan bagi FG akan berakhir jam 10 malam pada 6 Januari 2025. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Januari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jalan Sultan Ismail banjir kerana paip pecah – trafik terjejas, laluan ditutup; sila guna jalan alternatif

    Nampaknya semangat Tahun Baharu 2025 bagi warga kota mungkin sedikit merudum, terutamanya bagi yang bekerja di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur. Ini kerana pagi tadi berlakunya banjir di Jalan Sultan Ismail yang berpunca daripada insiden paip pecah, dengan lokasi tepatnya di hadapan The Ritz-Carlton Residences dan di bawah stesen Monorel Bukit Nanas.

    Akibat insiden tersebut, lorong paling kiri ditelenggami air banjir, menyebabkan gangguan lalu lintas di kawasan itu dan polis trafik bertindak segera bagi mengawal keadaan. Banjir itu dilaporkan oleh Pusat Kawalan Kuala Lumpur (KLCCC) pada 7:40 pagi tadi, dan sejam kemudian ia menyiarkan kemas kini menunjukkan lorong ditutup dan laluan berkenaan ditenggelami banjir.

    Paip yang pecah itu telah menyebabkan kerosakan besar pada bahagian tepi jalan dan turapan, dan kerja-kerja pembaikan yang dijalankan turut menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup buat seketika dan pastinya menyebabkan kesesakan trafik di lokasi kejadian. Justeru, pengguna jalan raya diminta untuk mencari laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

     
     
  • Rapid KL catat 1.5 juta penumpang ketika sambutan Tahun Baharu 2025 – tertinggi dalam sejarahnya

    Rapid KL catat 1.5 juta penumpang ketika sambutan Tahun Baharu 2025 – tertinggi dalam sejarahnya

    Rapid KL merekodkan hampir 1.5 juta penumpang (1.27 juta menerusi perkhidmatan rel, 207,266 menerusi bas) ketika sambutan Tahun Baharu 2025, sekaligus mencatatkan sejarah tertinggi dalam satu hari dengan lebih 30% berbanding angka harian pada 2024.

    Jumlah pengunjung yang tinggi ke acara sambutan ambang tahun baharu yang berlangsung di sekitar pusat bandar seperti di KLCC, TRX, Lalaport, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid KL.

    “Rapid KL amat berbangga kerana dapat memenuhi keperluan pengguna pada malam tersebut dan sekali gus meningkatkan keyakinan penduduk bandar untuk memilih pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan mereka pada 2025,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

    Menurut beliau lagi, kelancaran operasi berkenaan turut ditunjangi hampir 3,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL yang menjalankan tugas sehingga operasi perkhidmatan tersebut selesai jam 3 pagi pada 1 Januari 2025.

    Rapid KL catat 1.5 juta penumpang ketika sambutan Tahun Baharu 2025 – tertinggi dalam sejarahnya

    “Kejayaan operasi berskala besar ini membuktikan kakitangan Rapid KL mempunyai kemahiran dan kecekapan tinggi serta pengalaman luas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Jutaan terima kasih kepada semua pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang yang telah menyokong perkhidmatan Rapid KL sepanjang 2024. Rekod ini akan menjadi batu loncatan kepada Rapid KL untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan cekap kepada semua pengguna pengangkutan awam,” katanya sambil menambah pihaknya turut bekerjasama rapat dengan polis, penganjur acara dan agensi untuk memastikan operasi yang lancar.

    Rapid KL dalam kenyataannya turut berkata ia akan terus meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam, dan antara inisiatif baharunya untuk tahun 2025 ialah pemerolehan bas elektrik baharu dan van Transit Responsif Permintaan, serta pembukaan Laluan Shah Alam bagi perkhidmatan LRT.

     
     
  • JPJ laksana Op Tunggak di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan bagi kesan kenderaan asing tak bayar saman

    JPJ laksana Op Tunggak di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan bagi kesan kenderaan asing tak bayar saman

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksanakan Op Tunggak di negeri-negeri sempadan dengan tumpuannya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi mengesan kenderaan asing terutama dari Thailand yang melanggar undang-undang.

    Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi khas berkenaan dijalankan sepanjang tahun bermula semalam (1 Januari 2025) bertujuan mengesan pemandu asing yang mempunyai saman tertunggak dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengarahkan pemandu untuk membayar saman secara serta-merta sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan, laporan Bernama.

    Tambahnya, pihaknya mengesan terlalu banyak kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan asing terutama dari Thailand. Di mana kesalahan yang dilakukan juga sentiasa berulang dan menganggap peraturan jalan raya di negara ini dipandang ringan.

    “Kita dapati kenderaan asing terutama dari Thailand ini melakukan kesalahan jalan raya secara berleluasa serta berulang dan paling banyak dikesan adalah di Perlis. Justeru, kita nak pastikan selain warga tempatan, pemandu asing juga mematuhi dan membayar saman yang dikeluarkan,” katanya.

    Pada November 2024, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut mula melaksanakan operasi saman tertunggak warganegara asing (OSTWA) bagi memburu pesalah trafik warga asing yang masih degil melangsaikan saman mereka. Operasi berkenaan dilakukan menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya yang dilaksanakan secara berterusan, menurut Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.

     
     
  • Kad debit/kredit kini boleh diguna di Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya LINKEDUA untuk bayar kadar tol

    Kad debit/kredit kini boleh diguna di Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya LINKEDUA untuk bayar kadar tol

    PLUS Malaysia Berhad selaku syarikat konsesi Lebuhraya LINKEDUA telah mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol melalui Sistem Pembayaran Terbuka menggunakan kad debit dan kredit di Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

    “Sistem ini mula beroperasi sejak 30 Disember 2024 bagi memudahkan pengguna laluan Singapura-Malaysia untuk membayar tol dengan kad bank. Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk memastikan baki akaun bank mencukupi dan kad kredit/debit boleh digunakan untuk perjalanan yang lancar di lorong tol.

    “Kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTAG, dan RFID masih tersedia, bagaimanapun, pengguna yang ingin membuat pusingan-u perlu menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG, atau RFID sahaja,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Jan – petrol RON 97 naik 3 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 3 sen seliter

    Harga minyak 2-8 Jan – petrol RON 97 naik 3 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak mentah dunia, bagi minggu pertama 2025 yang bertarikh 2 hingga 8 Januari, kerajaan menetapkan harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 3 sen, menjadi RM3.28 seliter berbanding RM3.25 seliter pada minggu sebelum ini.

    Bagi harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak 3 sen seliter, daripada RM2.95 seliter kepada RM2.98 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    MOF turut berkata kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraab rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Xiaomi SU7 terjual 130k unit, capai sasaran tahun ini

    Xiaomi SU7 terjual 130k unit, capai sasaran tahun ini

    Bersempena dengan ulang tahun SU7 yang pertama hujung minggu lalu, Xiaomi mengumumkan kereta pertama mereka itu sudah mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 130,000 unit. Ini adalah sasaran yang dilaras semula menjadi lebih tinggi selepas pada 18 November, sedan elektrik itu sudah mencapai sasaran awal 100,000 unit.

    Jumlah ini dapat dicapai meskipun SU7 hanya mula dibuka untuk jualan pada penghujung bulan Mac, menjadikan tempoh jualannya bagi tahun 2024 hanya sembilan bulan sahaja. Model ini ternyata popular dengan keseluruhan unit yang akan dikeluarkan untuk tahun 2024 sudah terjual dalam masa 24 jam selepas pelancarannya dan pada satu masa, tempoh menunggunya mencecah sehingga tujuh bulan.

    Syarikat teknologi ini juga pandai mengekalkan minat pengguna terhadap SU7 dengan memperkenalkan pula versi prestasi tinggi, Ultra pada bulan Oktober. Sedan terpantas di dunia ini menggunakan tiga motor untuk menghasilkan 1,548 PS, dan membolehkan ia untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 1.98 saat – lebih laju daripada Tesla Model S Plaid, Lucid Air Sapphire dan Porsche Taycan Turbo GT.

    Xiaomi SU7 terjual 130k unit, capai sasaran tahun ini

    Pakej penggerak sama digunakan pada model versi litar, Ultra Prototype, yang mencatat rekod 6 minit 46.874 saat untuk kenderaan empat pintu di Litar Nurburgring. Jualan untuk model produksi dijangka berlaku pada bulan Mac tahun depan.

    Juga akan dilancarkan pada tahun 2025 adalah kereta kedua Xiaomi, YU7 yang merupakan sebuah SUV. Jualannya dijangka bermula pada bulan Jun atau Julai, dan ia mempunyai penampilan mirip seperti Ferrari Purosangue dan dijangka mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding SU7 Max (673 PS).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025