Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Super GT Malaysia Festival 2025 – UMWT, Toyota Gazoo Racing Malaysia diumum penaja utama

    Haro Sports & Entertainment, pemegang hak dan promoter untuk pusingan Autobacs Super GT di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa UMW Toyota Motors dan juga Toyota Gazoo Racing Malaysia kini merupakan penaja utama acara yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dari 26 hingga 28 Jun itu nanti.

    Jadi selain dari perlumbaan utama GT500, GT300 dan juga perlumbaan ‘one make’ Toyota GR86 Cup Malaysia pusingan pertama, perlumbaan Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival musim ke lapan pusingan kedua turut akan diadakan sekali.

    Selain itu, acara yang turut dianjurkan bersama oleh Nihon Matsuri ini juga disahkan turut akan disertakan dengan konsert selepas perlumbaan GT-Live! dan juga pelbagai lagi acara-acara sampingan yang telah diumumkan sebelum ini.

    “Festival Super GT Malaysia bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah acara yang pasti menghiburkan semua orang. Daripada pameran automotif kepada ekstravaganza budaya Jepun, dan perhimpunan kereta JDM ke konsert GT Live! selepas perlumbaan. Walau apa pun minat anda, satu tiket memberi anda akses kepada semua keseronokan.” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.

    Super GT Malaysia Festival 2025 – UMWT, Toyota Gazoo Racing Malaysia diumum penaja utama

    Untuk pusingan kedua Toyota Gazoo Racing Festival 2025 pusingan kedua, seperti biasa ia bukan hanya menampilkan aksi perlumbaan, malah turut diadakan pameran kereta lumba dan model-model eksklusif, zon interaktif bersama peminat dan simulator, penampilan pelumba dan duta Gazoo Racing serta pemberian eksklusif dan barangan rasmi jenama itu.

    “Perkongsian ini menyatukan yang terbaik dari perlumbaan GT Jepun dengan semangat sukan permotoran Malaysia. Ia adalah sambutan yang menakjubkan bagi kepantasan, budaya dan komuniti,” kata Fahrizal lagi.

    Bagi perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia pula, perkembangan terbaharu menyaksikan perlumbaan yang dianjurkan oleh Haro ini kini disokong oleh Toyota dan juga Bridgestone sebagai pembekal tayar rasmi. Perlumbaan yang diadakan sempena Super GT ini merupakan perlumbaan pertama untuk musim pertama siri berkenaan, dan ia akan berlangsung sebanyak 10-lap.

    Untuk konsert selepas perlumbaan GT Live yang dinyatakan tadi, ia akan menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa, antaranya trio Tenxi, Naykilla & Jemsii aka TNJ dari Indonesia yang akan membuat persembahan “Garam & Madu (Sakit Dadaku)”, kumpulan penyanyi wanita KLP48 dari Malaysia tetapi terkenal dalam arena muzik J-Pop, Fareed dari kumpulan K-CLIQUE, Sabhi Saddi dan juga Kaka Azraff.

    Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.

    Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama. Namun untuk tempoh masa terhad, pembeli-pembeli tiket terawal akan diberikan harga istimewa lebih murah iaitu RM80 untuk Grandstand K1, RM200 untuk Grandstand Utama, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality.

     
     
  • Geely Galaxy PHEV sedan terdedah di China – model mesra bajet, akan masuk Malaysia sebagai Proton?

    Geely Galaxy PHEV sedan terdedah di China – model mesra bajet, akan masuk Malaysia sebagai Proton?

    Sebuah model menarik Geely Galaxy telah muncul tanpa dijangka, dengan gambar prototaip yang masih mengenakan pelekat samar dimuat naik oleh Autohome. Ia adalah sebuah sedan yang nampak lebih kecil berbanding Starshine 8 dalam segmen D, berkemungkinan menjadi lebih murah dan mewujudkan kebarangkalian tiba di Malaysia sebagai sebuah Proton.

    Model empat pintu yang masih belum mempunyai nama ini nampak seperti berada dalam segmen C, dan menampilkan ciri seperti jalur lampu penuh di hadapan dan belakang, serta pembuka pintu jenis biasa, bukannya yang rata sama dengan badan, sesuai dengan konsep mesra bajetnya.

    Tertulis di bahagian tepi kereta ini ia mempunyai jarak gerak keseluruhan 2,100 km dan penggunaan bahan api sekitar 2.0L/100 km, meskipun pada waktu kadar bateri rendah. Ini memberi petunjuk ia menggunakan penggerak EM-i Geely yang lebih fokus kepada kecekapan, menggabungkan enjin empat silinder 1. liter NA 111 PS/136 Nm dengan motor elektrik 218 PS/262 Nm yang disepadukan dalam transmisi E-DHT.

    Geely Galaxy PHEV sedan terdedah di China – model mesra bajet, akan masuk Malaysia sebagai Proton?

    Unit sama yang dipasang pada Starshine 8 dapat memberikan jarak gerak sehingga 1,600 km. Jadi, mungkin ada kelebihan lain pada sedan baru ini, seperti lebih ringan atau tangki bahan api dan bateri lebih besar, yang membantu menjadikan ia lebih jimat.

    Sementara kereta itu masih lagi diuji di China, Proton pernah mengeluarkan teaser eMas sedan sebelum ini. Julai lalu, syarikat itu menunjukkan bayang tiga model – sebuah SUV (eMas 7), sebuah hatchback (eMas 5) dan sedan yang mempunyai profail sama seperti S70. Mungkinkah ini model dalam gambar tersebut?

     
     
  • CFLite 250NK tiba di Malaysia – 250 cc 27 hp, RM10k

    CFLite 250NK tiba di Malaysia – 250 cc 27 hp, RM10k

    Di pasaran global, CFMoto mempunyai satu sub jenama, CFLite, dibuat khas untuk motosikal kapasiti rendah dan lebih mampu milik. Sekarang, salah satu model daripada CFLite sudah tiba di Malaysia, iaitu 250NK, dengan harga jualan RM9,888 tidak termasuk insurans dan disediakan dalam empat pilihan warna.

    Memacu motosikal naked ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan cecair 249 cc, bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 27.4 hp pada 9,750 rpm dan tork 22 Nm pada 7,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter.

    Suspensi menjadi antara bahagian yang menampakkan bagaimana model ini dapat dijual lebih murah berbanding CFMoto 250NK, di mana ia menggunakan fork teleskopik biasa sahaja, bersama monoshock dan lengan ayun besi petak di belakang.

    Ia memegang rim 17 inci aluminium, yang dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 40/60 di belakang. Tugas membrek dijalankan unit cakera tunggal 292 mm dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang – ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Pada bahagian kokpit, tersedia skrin LCD yang boleh memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear, tahap kelajuan dan rpm, sementara di bawahnya tersedia soket pengecas USB. Berat keseluruhan 250NK daripada CFLite ini adalah 158 kg, dengan tinggi tempat duduk 795 mm, dan ia menawarkan tunggangan yang lebih mudah untuk pengguna.

     
     
  • Produksi percubaan Geely EX5 bermula di Indonesia – CKD penuh kembar Proton eMas 7 mula suku-4 2025

    Produksi percubaan Geely EX5 bermula di Indonesia – CKD penuh kembar Proton eMas 7 mula suku-4 2025

    Menurut laporan dari CnEVPost, Geely kini telah pun memulakan produksi percubaan bagi model SUV EV EX5 di kilang PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang terletak di keregenan Purwakarta.

    Laporan itu menyebut bahawa selepas percubaan ini, EX5 atau dikenali sebagai Geely Galaxy E5 di China akan mula diproduksi secara besar-besaran pada suku keempat tahun ini. Kilang berkenaan didakwa mampu untuk menghasilkan 20,000 kenderaan setahun, dan Geely turut merancang bagi melancarkan antara lima hingga tujuh model di Indonesia dalam tempoh masa tiga tahun akan datang, membabitkan model-model EV, plug-in hybrid (PHEV) dan enjin pembakaran dalaman petrol biasa.

    Kilang ini juga bukan hanya menghasilkan kenderaan untuk permintaan pasaran domestik Indonesia sahaja, malah turut akan mengeksport kenderaan ke pasaran ASEAN yang lain. Buat masa sekarang Geely sudahpun mempunyai 15 pengedar di Indonesia, dan dijangka akan berkembang sehingga ke 100 lokasi lain dalam masa tiga tahun.

    Seperti yang di ketahui, EX5 juga merupakan kembar kepada Proton eMas 7 di Malaysia. Ia telah dilancarkan di Indonesia pada Januari lalu, selepas dilancarkan di Thailand pada November 2024. Dua varian ditawarkan di sana iaitu EX5 Pro dijual pada harga 475 juta rupiah (sekitar RM124k) dan EX5 Max berharga 515 juta rupiah (RM135k). Geely turut menawarkan harga pengenalan istimewa dengan diskaun 10 juta rupiah (RM2.6k) untuk kedua-dua varian.

    Untuk spesifikasi pula, EX5 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, menerima kuasa dari bateri LFP berkapasiti 60.22 kWj. Varian Pro boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan jarak gerak NEDC sejauh 495 km. Varian Max pula membuat pecutan sama dalam masa 7.1 saat dengan jarak gerak sejauh 490 km.

     
     
  • Seorang maut setiap 36 jam dalam kemalangan jalan raya melibatkan lori dan treler di Malaysia – MIROS

    Seorang maut setiap 36 jam dalam kemalangan jalan raya melibatkan lori dan treler di Malaysia – MIROS

    Apabila memandu dan melintasi atau pun menghampiri kenderaan berat seperti lori dan treler, tentu ada yang berasa agak cuak memandangkan masa kini banyak pula terjadinya kemalangan yang berpunca dari kedua-dua jenis kenderaan berkenaan. Memang tidak salah untuk berasa sebegitu agar kita lebih berhati-hati, lebih peka dan mempertingkatkan fokus dalam pemanduan.

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat telah meragut sekurang-kurangnya 1,457 nyawa sejak enam tahun lalu, dengan purata satu kematian setiap 36 jam,

    Harian Metro melaporkan, kajian MIROS itu mendapati kemalangan lori di lebuhraya lebih cenderung mengakibatkan kematian berbanding jalan raya lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri, dan jalan perbandaran. Faktor seperti kelajuan tinggi dan berat muatan lori berlebihan menyumbang kepada risiko kematian yang lebih tinggi, terutamanya apabila kemalangan berlaku di selekoh.

    Aktivis jalan raya, Datuk Mohamad Hisham Shafe berkata, sepanjang enam tahun lalu, sebanyak 1,457 kemalangan maut membabitkan lori direkodkan. Di mana nisbah purata adalah satu kemalangan lori berlaku bagi setiap 2,164 minit atau bersamaan satu hari 12 jam.

    Seorang maut setiap 36 jam dalam kemalangan jalan raya melibatkan lori dan treler di Malaysia – MIROS

    Tambahnya, kemalangan membabitkan kenderaan berat sememangnya mengundang risiko kemalangan jiwa yang tinggi berikutan saiz dan impak hentakan lori lebih besar berbanding mana-mana kenderaan lain, terutamanya apabila ia dipandu dalam kelajuan yang tinggi di lebuhraya.

    Selain saiz dan beban, Mohamad Hisham berkata, pemandu lori sering terdedah kepada risiko keletihan akibat waktu bekerja yang panjang. Selain itu, bebanan kerja berlebihan dan muatan tidak seimbang juga menjadi penyumbang kepada ketidakstabilan lori di jalan raya. Malahan kenderaan ini juga seringkali tidak melalui proses penyelenggaraan yang betul dan ia memberi kesan kepada pemanduan jangka panjang, katanya.

    “Kajian MIROS juga turut mendedahkan hanya 32% pengendali kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP) pada tahun 2022. Semua data ini jelas menunjukkan bahawa aspek keselamatan kenderaan dagangan tidak begitu diambil berat malah ada pengusaha yang masih culas untuk melakukan penilaian penyelenggaraan dan menggunakan tayar celup,” katanya.

     
     
  • Enam lebuhraya, 25 jalan utama di Lembah Klang ditutup berperingkat sempena ASEAN 2025 – 23-28 Mei

    Enam lebuhraya, 25 jalan utama di Lembah Klang ditutup berperingkat sempena ASEAN 2025 – 23-28 Mei

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengumumkan sebanyak enam lebuhraya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (ASEAN 2025).

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Mei ini melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), laporan Utusan Malaysia.

    “Setiap penutupan dijangka berlangsung 30 hingga 45 minit antara 8 pagi dan 8 malam secara berkala mengikut tarikh yang ditetapkan. Antara laluan utama yang terlibat adalah Jalan Istana, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.

    Enam lebuhraya, 25 jalan utama di Lembah Klang ditutup berperingkat sempena ASEAN 2025 – 23-28 Mei

    “”Selain itu, ia juga melibatkan Persimpangan Jalan Ampang/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan Pinang, Persimpangan Jalan Stonor/Jalan Kia Peng, dan Persimpangan Jalan Stonor/Persiaran KLCC,” katanya.

    Tambah beliau, enam lebuhraya yang terlibat pula ialah Lebuhraya ELITE, NKVE, GUTHRIE, MEX, KL–Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta. Ia juga melibatkan laluan utama ke lapangan terbang iaitu KLIA dan TUDM Subang termasuk Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA.

    “Sebagai persiapan awal, raptai pergerakan konvoi akan dilaksanakan pada 21 dan 22 Mei ini melibatkan kawalan laluan, lokasi persidangan, petugas pools serta pergerakan motoked. Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas sepanjang tempoh sidang kemuncak ini berlangsung,” katanya.

    Mohd. Yusri turut menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan laluan terlibat serta merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

     
     
  • Honda e:N1 ada perancangan CKD di Malaysia, tetapi insentif cukai perlu lebih panjang daripada 2027

    Honda e:N1 ada perancangan CKD di Malaysia, tetapi insentif cukai perlu lebih panjang daripada 2027

    Dengan pengenalan model elektrik pertamanya Honda e:N1 di hujung tempoh pengecualian eksais duti dan import yang akan berakhir pada 31 Disember 2025, apa perancangan Honda Malaysia selepas itu? Adakah model EV yang dibawa masuk sepenuhnya dari China (dikeluarkan oleh Dongfeng Honda Automobile) itu bakal menyaksikan pemasangan tempatan pula nanti, memandangkan tempoh pengecualian cukai untuk kenderaan EV CKD masih berbaki dua tahun lagi, yang akan tamat pada 31 Disember 2027?

    Bagi Honda Malaysia, semua itu ada dalam perancangan. Ini disokong juga oleh perancangan oleh syarikat itu yang akan memperkenalkan tiga model EV dalam tempoh tiga tahun untuk pasaran Malaysia. Satu daripadanya sudah kita ketahui: e:N1 untuk tahun ini. Maka, perancangan Honda Malaysia terhadap EV di sini tentulah akan melangkaui tempoh pengecualian cukai tersebut.

    Presiden dan COO Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum memaklumkan langkah untuk CKD adalah yang paling tepat, namun menyatakan bahawa tempoh yang lebih lama diperlukan untuk pengecualian duti CKD sekiranya cita-cita negara untuk mencapai 15% jualan kereta baru adalah EV menjelang 2030. Ini akan memberikan ruang untuk pengeluar merancang pelaburan mereka.

    Honda e:N1 ada perancangan CKD di Malaysia, tetapi insentif cukai perlu lebih panjang daripada 2027

    “Bergerak ke depan, tidak hanya bagi Honda, saya fikir semua pengeluar perlu meneroka pilihan untuk CKD. Jika dilihat semula Rancangan Mobiliti Rendah Karbon, kerajaan merancang untuk mencapai tahap 15% EV bagi TIV menjelang tahun 2030. Jika mengambil contoh berdasarkan TIV tahun lalu dengan angka 800,000 unit, itu bermakna 120,000 daripadanya adalah EV.”

    “Memang CKD adalah jalan yang terbaik. Namun, jika semua pengeluar beralih kepada CKD selepas ini, pengecualian cukai tersebut akan berakhir pada 2027. Tidak terlalu banyak masa. Kerajaan perlu melanjutkan tempoh berkenaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun. Sebagai contoh, jika ada pengeluar yang memulakan program CKD mereka pada 2027, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk menampung semula pelaburan yang dibuat,” jelasnya.

     
     
  • Kembar Proton eMas 5, Geely Geome Xingyuan kini terlaris dalam kelasnya di China, produksi cecah 200k

    Kembar Proton eMas 5, Geely Geome Xingyuan kini terlaris dalam kelasnya di China, produksi cecah 200k

    CarNewsChina melaporkan bahawa berdasarkan data dari Persatuan Kereta Penumpang China, Geely Geome Xingyuan atau dikenali sebagai Geely Star Wish pada pasaran eksport kini merupakan kenderaan paling laris di China untuk suku keempat 2025 dalam segmen sedan/hatchback.

    Untuk bulan April sahaja sebanyak 36,119 unit Xingyuan telah terjual di China, manakala untuk empat bulan pertama tahun ini jualan bagi model elektrik penuh kompak berkenaan telah mencapai 125,334 unit. Saingan terdekat bagi model ini adalah BYD Seagull, di mana ia telah terjual sebanyak 34,005 unit sepanjang April, dan kini mencecah 113,099 unit untuk jualan dari Januari hingga April 2025.

    Dalam perkembangan berkaitan, Geely sendiri telah pun mengumumkan bahawa sebanyak 200,000 unit Geome Xingyuan ini telah diproduksi di China, selepas unit pertama dihasilkan hanya pada Februari tahun ini. Di sana Xingyuan dijual pada harga bermula 68,800 dan 97,800 yuan (sekitar RM41k dan RM58k).

    Ia digerakkan dengan motor elektrik tunggal memacu roda belakang yang menjana 79 PS dan tork maksima 130 Nm, dipadankan standard dengan bateri LFP berkapasiti 30.12-kWj bagi memberikan jarak gerak kitaran CLTC sejauh 310 km. Bateri lebih besar berkapasiti 40.16-kWj ditawarkan sebagai opsyen bagi menawarkan jarak gerak 410 km, dengan motor lebih kuat berkuasa 116 PS dan tork 150 Nm.

    Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 awal bulan ini, Proton telah mengesahkan bahawa model EV terbaharunya yang lebih kecil dari eMas 7 bakal diasaskan dari Geome Xingyuan ini dan bakal digelar sebagai Proton eMas 5. Unit prototaipnya sudah didedahkan dengan pelekat penyamaran, menyaksikan ia menerima rupa luaran yang sama seperti Xingyuan, cuma dibezakan dengan logo Proton.

    Namun tidak seperti eMas 7 yang menerima stok awalan yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, eMas 5 ini mungkin akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dipasang di kilang EV Proton di Tanjong Malim yang dijangka mula beroperasi lewat tahun ini.

     
     
  • Tempahan EV Honda e:N1 kini capai 200 unit, Honda Malaysia yakin stok akan habis hujung tahun ini

    Tempahan EV Honda e:N1 kini capai 200 unit, Honda Malaysia yakin stok akan habis hujung tahun ini

    Ketika pelancaran rasminya minggu lalu, Honda Malaysia memaklumkan telah menerima sebanyak 200 tempahan bagi model elektrik Honda e:N1, yang dijual dengan harga RM149,900 atas jalan belum termasuk insurans. Syarikat itu juga yakin akan dapat menjual semua stok tersedia model berkenaan yang ada ketika ini menjelang hujung tahun nanti, sebelum tempoh pengecualian duti import dan duti eksais tamat pada 31 Disember 2025.

    Tidak dinyatakan berapa angka sebenar e:N1 yang ada ketika ini, tetapi Honda Malaysia menyatakan yang jumlahnya adalah terhad, dengan harga pengenalan yang diberikan itu juga adalah berdasarkan siapa yang membeli terlebih dahulu. Angka ini mungkin berada di sekitar 500 unit untuk membolehkan stok EV berkenaan dihabiskan — juga mengambil kira yang ia sudah merima 200 unit tempahan setakat pelancarannya.

    e:N1 merupakan model elektrik pertama yang dijual oleh Honda Malaysia. Ia merupakan unit CBU dari China dan mempunyai ukuran dimensi 4,380 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,592 mm tinggi dengan jarak kelegaan tanah 142 mm.

    Tempahan EV Honda e:N1 kini capai 200 unit, Honda Malaysia yakin stok akan habis hujung tahun ini

    e:N1 dibangun menggunakan platformnya yang tersendiri, e:N Architecture F, yang menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa yang terdiri daripada sebuah motor elektrik, unit pemacu kuasanya serta transmisi di gandar depan yang sekaligus memacu roda hadapan.

    Motor elektrik Honda e:N1 menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm dari 0-4,621 rpm. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksima hingga 160 km/j.

    Kuasa elektrik bagi kereta ini dibekalkan oleh bateri litium-ion (nickel manganese cobalt atau NMC) 68.8 kWj yang memberikan jarak perjalanan sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC (412 km WLTP).

    Bateri berkenaan boleh dicas menggunakan pengecas DC CCS2 berkapasiti sehingga 78 kW, yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk membolehkannya mencapai status pengecasan 10%-80% (SoC). Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 10 kW pula, ia mengambil masa lebih kurang enam jam untuk baterinya dicas penuh.

     
     
  • Pemandu Malaysia didenda polis Thai kerana ganggu ketenteraman termasuk berlumba haram di Hat Yai

    Pemandu Malaysia didenda polis Thai kerana ganggu ketenteraman termasuk berlumba haram di Hat Yai

    “Mmasuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.. sila fahami peribahasa ini yang membawa maksud “Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.” Itulah yang perlu dilakukan apabila kita memasuki atau berkunjung ke tempat orang, ikuti peraturan yang ditetapkan, dan usah buat ‘ikut kepala sendiri’.

    Tidak seperti sekumpulan rakyat Malaysia yang memandu pelbagai kereta mewah memasuki wilayah Hat Yai di Thailand dan membuat onar di sana pada Jumaat lalu. Mereka telah ditahan oleh polis Thailand kerana mengganggu ketenteraman penduduk di sana kerana membuat bising dan berlumba haram berhampiran Pasar Malam Greenway.

    Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand (Wilayah Ketujuh), Leftenan Kolonel Sakarin Anusaman Sakul berkata, penduduk juga memaklumkan mereka melihat beberapa kereta berdaftar dari Malaysia berlumba di sekitar Hat Yai. Berikutan aduan itu, katanya, polis Kho Hong dengan bantuan pegawai pelancong dan trafik berjaya mengenal pasti rakyat Malaysia itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan Harian Metro.

    “Kira-kira 11 pagi semalam (waktu Thailand), pihak polis berjaya mengesan kumpulan berkenaan bersama enam kenderaan dan semua individu ditahan. Kesemua 10 individu, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 21 hingga 25 tahun, didenda mengikut undang-undang lalu lintas Thailand,” katanya.

    Menurut Sakarin, kesemua individu yang terlibat turut berdepan empat pertuduhan iaitu menghalang lalu lintas, memandu secara melulu, mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran menggunakan alat ganti tidak mematuhi piawaian, dan tidak melengkapkan kelengkapan wajib pada kenderaan. Malah pihaknya turut menyita enam kenderaan yang terlibat termasuk Honda Civic Type R dan kereta Mercedes-Benz.

    “Sebagai tanda kesal, kesemua mereka turut melakukan isyarat tradisional Thailand iaitu ‘wai’ sebagai permohonan maaf. Mereka memohon maaf atas tindakan dan gangguan yang ditimbulkan. Mereka juga berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut,” katanya sambil menambah kumpulan terbabit diarahkan pulang ke Malaysia dengan serta-merta.

    Sakarin turut mengingatkan semua pemandu asing termasuk dari Malaysia supaya mematuhi undang-undang di Thailand. Dalam masa yang sama, beliau juga menggesa pengendali pelancongan Thailand supaya memberi penerangan yang jelas kepada pelancong mengenai peraturan lalu lintas sebelum memasuki negara itu.

     
     
  • Neta Malaysia sangkal operasi tempatan terjejas

    Neta Malaysia sangkal operasi tempatan terjejas

    Kini adalah tempoh paling mencabar buat Neta, sebuah syarikat kenderaan elektrik China yang sedang berdepan dengan masalah kewangan dan muflis di sana. Dan, ini tentunya memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada rakan niaga yang mengedarkan kenderaan jenama itu di Malaysia, Intro Synergy.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat tempatan itu menyangkal bahawa dakwaan perundangan dan kemuflisan yang sedang dihadapi oleh syarikat induk Neta di China, Hozon Auto oleh salah satu kreditornya, Yuxing Advertising yang memfailkan perintah mahkamah berkaitan masalah hutang antara mereka, adalah satu presedur perundangan biasa dan tidak memberi kesan kepada operasi di sini.

    “Hozon Auto dengan tegas menafikan tuduhan bankrap dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya,” jelas satu kenyataan oleh Intro Synergy, yang menjalankan perniagaan di sini sebagai Neta Auto Malaysia.

    Syarikat itu menekankan bahawa semua operasinya di Malaysia, yang termasuk jualan, serahan kenderaan dan khidmat lepas jualan terutamanya alat ganti, tidak terkesan dan diteruskan seperti biasa. “Kami kekal fokus untuk menyediakan produk berkualiti dan sokongan yang boleh diharap kepada semua pelanggan.” Syarikat itu juga memaklumkan akan terus dengan perancangan untuk memperluas rangkaian jualan dan servis yang selari dengan strategi pertumbuhannya.

    Berita terbaru ini tentunya akan menambah keresahan ramai terhadap cabarang yang sedang dihadapi Neta ketika ini. Hutang yang terkumpul telah menyebabkan pengeluarannya dihentikan pada November lalu, dengan syarikat juga memotong gaji dan memberhentikan pekerja — termasuk keseluruhan bahagian R&D. Bulan lalu, syarikat itu dilaporkan telah mencapai persetujuan penukaran hutang-kepada-equiti bersama 134 pembekal, walaupun ada beberapa kreditor lain tidak yakin dengan langkah tersebut.

    Namun, Intro Synergy masih percaya bahawa Neta akan mampu melalui cabaran ini untuk terus kekal ada. “Kami percaya sepenuhnya dengan kemampuan jangka panjang serta kualiti jenama Neta serta kemampuan Hozon Auto untuk mengatasi masalah ini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2026 dilancar di Indonesia – 6-beg udara, instrumen digital, skrin sesentuh 10″

    Mitsubishi Xpander facelift 2026 dilancar di Indonesia – 6-beg udara, instrumen digital, skrin sesentuh 10″

    Kita di Malaysia baru sahaja menerima versi facelift untuk Mitsubishi Xpander pada September tahun lalu, di mana facelift berkenaan sudahpun diterima pada pasaran Indonesia sejak November 2021. Oleh itu bagi pasaran Indonesia yang telah menerima Xpander ini sejak 2017, ia kini sekali lagi diberikan versi facelift yang menerima beberapa penyegaran rupa dan juga tingkat taraf perincian.

    Pada bahagian luar, agak sukar untuk dilihat perbezaan rupa model facelift 2025 dengan versi sebelum ini. Ini kerana ia masih dipadankan dengan lampu nyalaan siang dan juga bampar hadapan yang sama, dengan perubahan hanya diberikan pada gril baharu yang kini turut diberikan ‘misai’ krom, lampu utama yang digelapkan perumahnya bagi menggantikan kemasan krom dan juga panel bawah bampar dengan rekaan sedikit berbeza menampilkan serlahan kemasan perak.

    Set rim aloi dengan jejari turbin sebelum ini pula telah digantikan dengan rim 10-jejari baharu. Manakala di belakang bahagian bampar telah dirombak di mana unit reflektor menegak sebelum ini telah diubah ke bahagian panel kemasan bawah dan diletakkan secara melintang.

    Versi facelift ini juga melibatkan perubahan bagi versi lebih lasak iaitu Xpander Cross, di mana kemasan pada bawah bampar kini diberikan sepasang bonjolan berhampiran skid plate seakan pada Mitsubishi Pajero satu ketika dahulu. Benjolan yang sama turut diberikan pada bampar belakang,dan ia juga menerima set rim aloi baharu dengan rekaan jejari kembar tiga dalam kemasan dua-tona.

    Pada bahagian dalaman, kini semua varian Xpander pasaran Indonesia diberikan tema warna hitam sepenuhnya berbanding Beige sebelum ini. Manakala untuk Cross, ia menerima kabin berwarna Burgundy dengan kemasan-kemasan kayu palsu.

    Perbezaan terbesar untuk bahagian dalaman Xpander facelift 2025 ini adalah ia kini menerima skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10-inci, paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci, dan pemadanan roda stereng baharu yang sama dengan Triton generasi terkini dan SUV Mitsubishi XForce.

    Mitsubishi Xpander Cross facelift 2026

    Sedikit tingkat taraf turut dibuat pada kabin belakang di mana tempat duduk baris kedua kini diberikan perehat kepala pada bahagian tengah, bersama perehat tangah sebelah tengah yang turut menempatkan dua pemegang cawan.

    Dan yang paling penting dan mungkin paling ditunggu-tunggu oleh pelanggan di Malaysia, versi tingkat taraf terkini untuk Xpander ini menampilkan enam-beg udara berbanding hanya dua sebelum ini. Namun perincian tersebut hanya ditawarkan pada varian tertinggi pasaran Indonesia. Malah sistem bantuan pemanduan (ADAS) juga masih tidak dipadankan walaupun dengan sistem asas seperti brek kecemasan automatik.

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa Xpander facelift 2025 pasaran Indonesia ini. Ia menampilkan enjin 4A91 MIVEC DOHC 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu sepenuhnya roda hadapan. Namun ia kini telah ditambah dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang sama seperti XForce bagi memberikan kestabilan lebih baik.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2026 pasaran Indonesia

    GALERI: Mitsubishi Xpander Cross facelift 2026 pasaran Indonesia

     
     
  • Ujian kalibrasi kamera AWAS di PLUS jajaran Bukit Beruntung-Sg Buaya; lorong tutup malam ini

    Ujian kalibrasi kamera AWAS di PLUS jajaran Bukit Beruntung-Sg Buaya; lorong tutup malam ini

    PLUS telah mengumumkan ujian kalibrasi bagi pemasangan kamera (Automated Awareness Safety System – AwAS) akan dijalankan di KM 431.55 Jajaran Bukit Beruntung – Sungai Buaya arah selatan menghala ke KL. Ia akan dilaksanakan hari ini, 19 Mei 2025, bermula jam 11 malam hingga 3 pagi (20 Mei).

    Lokasi yang terlibat akan dilaksanakan penutupan lorong. Menerusi paparan grafik diatas, terdapat dua lorong yang akan ditutup termasuk lorong kecemasan. Hanya lorong paling kanan sahaja yang boleh dilalui oleh kenderaan. Justeru, pengguna laluan terbabit dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit.

    Pada awal Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

     
     
  • QJMotor AX200S tiba di Malaysia – 175 cc, RM7,988

    QJMotor AX200S tiba di Malaysia – 175 cc, RM7,988

    Bersama dengan SYM ADXTG 400, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah lagi skuter, iaitu daripada jenama QJMotor, AX200S. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu coklat, biru dan kelabu, pada harga RM7,988 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan AX200S ini adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair, suntikan bahan api 175 cc, bersama transmisi automatik CVT dengan pacuan akhir tali sawat, menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,500 rpm dan tork 15.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Bahagian rodanya menggunakan rim 14 inci, dengan tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan kedua-duanya juga dilengkapi dengan brek cakera tunggal, lengkap bersama sistem ABS. Turut membantu ciri keselamatannya adalah sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup).

    Memegang bahagian roda adalah fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak dengan tabung di belakang. Di bahagian kokpit, skuter ini menggunakan panel LCD berwarna untuk memaparkan informasi penting, dan ia juga didatangkan sekali dengan sistem kunci pintar, lampu jenis LED serta tangki bahan api 10 liter.

    Berat keseluruhan AX200S adalah 127 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 780 mm. Di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan helmet.


     
     
  • SYM ADXTG 400 dilancar secara rasmi untuk pasaran Malaysia – skuter 399 cc dengan pacuan akhir rantai

    SYM ADXTG 400 dilancar secara rasmi untuk pasaran Malaysia – skuter 399 cc dengan pacuan akhir rantai

    Skuter yang kami tunjukkan awal kepada anda bulan lalu, iaitu SYM ADXTG 400 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans.

    SYM memanggil skuter ini sebagai sebuah skuter dengan jatidiri adventure sebenar, membawa beberapa kelebihan seperti enjin satu silinder SOHC 399 cc yang digantung pada kerangka di kedudukan tengah, berbanding lebih ke belakang pada skuter lain, dan menyumbang kepada pengendalian yang juga lebih seperti motosikal biasa. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 34.5 hp pada 7,000 rpm dan tork 37 Nm pada 5,500 rpm.

    Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT, dan dijadikan unik dengan sistem pacuan rantai untuk memusingkan roda belakang. Menjadikannya lebih sporty, roda belakang yang bersaiz 14 inci dipegang oleh lengan ayun aluminium serta monoshock dengan sistem gantungan multi-link. Roda hadapan menggunakan saiz 15 inci dan dipegang oleh fork USD.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian hadapan dan belakang menggunakan tetapan cakera, dengan sistem ABS dual-channel dan kemudiannya sistem keselamatan ditambah baik lagi dengan kawalan cengkaman. Kedua-dua sistem ini boleh ditutup menggunakan butang yang terdapat pada meter LCD.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada ADXTG 400 adalah termasuk sistem kunci pintar, penghadang angin larasan manual, pelindung tangan dan bawah enjin, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB dan ruang barangan bawah tempat duduk 32 liter. Tinggi tempat duduknya adalah 790 mm manakala berat adalah 213 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025