
Jenama premium Chery, Luxeed, merancang untuk memperkenalkan enam model kenderaan tenaga baru (NEV) di pasaran luar China sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya. Menurut laporan CarNewsChina, pelancaran akan dilakukan secara berperingkat mulai 2027, dengan pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) dan Timur Tengah menjadi antara sasaran awal.
Ditubuhkan pada 2023, Luxeed merupakan hasil usaha sama antara Chery dan Huawei serta sebahagian daripada Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA). Di China, jenama itu menawarkan empat model elektrifikasi, iaitu sedan S7, SUV gaya coupe R7, SUV RX dan MPV mewah V9.
Bagi pasaran global, enam model berkenaan akan dibahagikan kepada tiga rangkaian produk dengan pilihan sehingga tiga jenis rangkaian kuasa. Dua model yang akan mengetuai pengembangan ini ialah V9 dan RX, masing-masing akan menggunakan nama LLounge dan Stormax di pasaran antarabangsa. Empat lagi model crossover yang masih menggunakan nama sementara 3, 5, 7 dan 9 akan melengkapkan rangkaian ketiga, dengan kedudukan lebih mewah berbanding Stormax yang lebih berorientasikan pemanduan.

Australia dijangka menjadi antara pasaran pemanduan sebelah kanan terawal untuk Luxeed, manakala Malaysia juga berpotensi menerima jenama itu. Kemungkinan tersebut timbul susulan penampakan sebuah Luxeed R7 di jalan raya tempatan, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada SUV itu bakal menjadi model ‘7’ dalam rangkaian crossover globalnya.
Di China, Luxeed R7 dijual pada harga antara 239,800 hingga 319,800 yuan (sekitar RM147,000 hingga RM195,000). SUV elektrik penuh (BEV) ini berukuran 4,982 mm panjang, 1,981 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, dengan jarak roda 2,950 mm. Ia menggunakan seni bina elektrik 800 volt dan ditawarkan dengan satu motor elektrik pacuan roda belakang yang menghasilkan 309 PS, bersama pilihan bateri LFP 81 kWj atau NMC 100 kWj. Jarak pemanduan yang diukur mengikut kitaran CLTC masing-masing ialah 705 km dan 855 km.
R7 turut ditawarkan dalam versi dua-motor dengan pacuan semua roda (AWD), yang menambah sebuah motor elektrik hadapan berkuasa 204 PS dan menggunakan bateri NMC 100 kWj. Konfigurasi ini memberikan pilihan kepada pembeli yang mahukan prestasi lebih tinggi berbanding versi pacuan roda belakang.

Sementara itu, Luxeed Stormax yang dikenali sebagai RX di China mempunyai reka bentuk yang dikatakan menyerupai Ferrari Purosangue. SUV lima tempat duduk ini dijual pada harga antara 259,800 hingga 389,800 yuan (sekitar RM159,000 hingga RM238,000), dengan dimensi 5,020 mm panjang, 2,007 mm lebar dan 1,600 mm tinggi serta jarak roda 3,000 mm.
Seperti R7, Stormax menggunakan sistem elektrik 800 volt dan ditawarkan dengan bateri LFP 81 kWj atau NMC 100 kWj. Jarak pemanduannya berada antara 672 km hingga 852 km mengikut CLTC. Versi pacuan roda belakang menghasilkan 377 PS, manakala varian AWD menerima tambahan motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS.
Bagi model MPV mewah LLounge, yang dikenali sebagai V9 di China, harganya bermula daripada 389,800 yuan hingga 519,800 yuan (sekitar RM238,000 hingga RM318,000). Berbeza daripada R7 dan Stormax, LLounge menggunakan sistem elektrik range extender (REEV) yang menggabungkan motor elektrik dengan enjin petrol empat silinder sebaris 1.5 liter turbo.

MPV tujuh tempat duduk dengan susun atur 2+2+3 ini turut menggunakan seni bina elektrik 800 volt dan bateri NMC berkapasiti 53.4 kWj. Bergantung pada konfigurasi, jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik sahaja ialah 285 km atau 305 km, manakala jarak keseluruhan dalam mod hibrid mencecah 1,230 km atau 1,320 km mengikut CLTC. Pilihan rangkaian kuasa merangkumi motor elektrik belakang berkuasa 309 PS atau sistem AWD dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan 211 PS.
Satu lagi model dalam rangkaian Luxeed ialah sedan elektrik S7, yang sebelum ini diperkenalkan menggunakan nama EH3. Model BEV ini dijual di China pada harga antara 229,800 hingga 289,800 yuan (sekitar RM141,000 hingga RM177,000). Seperti R7, S7 menggunakan sistem elektrik 800 volt dengan pilihan rangkaian kuasa yang merangkumi konfigurasi motor tunggal pacuan roda belakang dan dua-motor AWD. Jarak pemanduannya dianggarkan antara 705 km hingga 855 km mengikut kitaran CLTC.
Setakat ini, Luxeed belum mengumumkan secara terperinci pasaran yang akan menerima keenam-enam model tersebut atau jadual pelancaran khusus bagi setiap negara. Namun, perancangan untuk memasuki pasaran pemanduan sebelah kanan mulai 2027 membuka kemungkinan jenama premium usaha sama Chery dan Huawei itu turut diperkenalkan secara rasmi di Malaysia.