Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Insentif kerajaan bagi industri yang gunakan ECRL untuk kargo; akan kurangkan jumlah lori dari atas jalan

    Insentif kerajaan bagi industri yang gunakan ECRL untuk kargo; akan kurangkan jumlah lori dari atas jalan

    Kerajaan akan memberikan insentif kepada syarikat bagi menggalakkan penggunaan East Coast Rail Link (ECRL) bagi penghantaran kargo, sebaik sahaja projek itu siap dan beroperasi pada 2027 nanti.

    Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang menjawab pertanyaan di parlimen semalam berkaitan kaedah untuk mengurangkan jumlah kenderaan berat di jalan ketika waktu puncak, bagi mengurangkan kadar kemalangan, lapor Bernama.

    Anthony berkata, dengan industri menggunakan ECRL adalah satu daripada cara terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan berat di lebuh raya, yang juga akan berupaya mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan. “Kami melihat ini (ECRL untuk kargo barangan) sebagai alternatif yang baik, terutama bagi laluan kenderaan berat dari atau menuju Pantai Timur. Insentif ini akan diperkenalkan apabila ECRL siap nanti,” jelas beliau.

    Bulan lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata yang ECRL — yang menghubungkan Kota Bharu ke Port Klang, merentasi empat negeri — telah mencapai tahap 78.5% siap setakat Januari 2025, dan ia dijadualkan mula beroperasi pada 2027.

     
     
  • Rapid KL On-Demand bakal ke tujuh laluan baharu mulai 10 Mac – Bangi, Titiwangsa, Kinrara, OUG dll

    Rapid KL On-Demand bakal ke tujuh laluan baharu mulai 10 Mac –  Bangi, Titiwangsa, Kinrara, OUG dll

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid KL) bakal memperluaskan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau DRT) ke tujuh laluan baharu bermula 10 Mac ini.

    Laluan terbabit ialah Taman Melati-Gombak Setia (T202B), Bukit Antarabangsa-Setiawangsa (T255B), Bangi-UNITEN (T466B), Taman OUG-Kuchai Lama (T651B), Titiwangsa-Chow Kit (T254B), Bandar Kinrara-Jalan Puchong (T606B) dan LRT Wangsa Maju-Sri Rampai (T253B).

    Anda boleh menempah tempat duduk di dalam van ini sama ada menggunakan aplikasi Kummute (Kumpool), Trek atau Mobi bergantung pada lokasi, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang yang dikenakan ialah RM1 sehala, dan juga boleh dibayar menggunakan My50/MyCity/Pas Famili, Touch n Go, kad konsesi MyRapid dan juga pas OKU Smile.

    Pada pertengahan Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan ini yang akan beroperasi secara berperingkat sejak bulan lalu hingga Jun tahun ini. Ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.

     
     
  • Projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal bermula suku keempat 2025 – 17.4 km; siap tahun 2030

    Projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal bermula suku keempat 2025 – 17.4 km; siap tahun 2030

    Tidak lama lagi ada satu lebuhraya baharu yang bakal memulakan pembinaan di Pulau Pinang. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dijadualkan bermula suku keempat tahun ini

    Menurut beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 bakal mengurangkan kesesakan teruk di jajaran antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua termasuk di beberapa persimpangan seperti Jambatan Pulau Pinang, Perai, Permatang Pauh dan Sungai Dua, laporan Harian Metro.

    “Lebuhraya sepanjang 17.4 km itu akan mempunyai jajaran bertingkat sejauh sembilan km melibatkan lapan fasa pembangunan. Ia juga akan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.

    Tambah beliau, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pihak berkaitan bagi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar. Menurutnya, konsep lebuhraya baharu itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti yang dilaksanakan di Ipoh, Perak.

    “KKR memaklumkan persetujuan bersama PLUS sudah dicapai iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja fizikal bermula suku keempat tahun ini dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan. Jumlah kos sebenar akan dimuktamadkan, bagaimanapun saya difahamkan berlaku penjimatan iaitu lebih rendah daripada kos sebenar RM3 bilion seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

    Selain pembinaan lebuh raya, Zairil berkata, beberapa persimpangan kritikal turut akan dinaik taraf termasuk persimpangan bertingkat Juru Utara (Autocity), persimpangan Jambatan Pulau Pinang serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan.

     
     
  • FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    FGV Biotechnologies iaitu anak syarikat gergasi industri sawit tempatan, Felda Global Ventures (FGV) baru-baru ini melancarkan kempen Biodiesel B100 di Fraser Hill, Pahang. Jika B10 adalah bahan api diesel dengan campuran 10% minyak kelapa sawit, seperti namanya, Biodiesel B100 ini merupakan bahan api diesel yang diperbuat dari 100% minyak kelapa sawit.

    Menurut syarikat itu, usaha memperkenalkan bahan api ini bukan sekadar satu langkah ke hadapan dalam penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit, tetapi juga satu usaha yang signifikan dalam menyokong pekebun kecil dan memperkasa industri minyak sawit tempatan.

    “Dengan pelaksanaan B100, kita dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam penggunaan bahan api lestari, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar,” kata FGV dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    Walau bagaimanapun syarikat tersebut tidak menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan sasaran dan parameter ujian berkenaan. Namun ia ada menjelaskan bahawa buat masa sekarang ujian yang dibuat adalah terhadap kenderaan penumpang biasa untuk tempoh setahun. Kenderaan yang dimaksudkan adalah sebuah Mazda CX-8, iaitu salah sebuah SUV untuk kegunaan harian yang ditawarkan dengan enjin diesel di Malaysia.

    CX-8 juga mewakili model dengan enjin diesel paling moden ditawarkan dalam pasaran, dipadankan dengan enjin 2.2 liter Skyactiv-D berkuasa 188 PS dan tork maksima 450 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional.

    Dalam kenyataan yang sama, FGV menjelaskan bahawa ia telah pun menjalankan ujian perintis penggunaan B100 selama empat bulan ke atas lori tangki. Ujian berkenaan mungkin telah berjaya, justeru ia dilanjutkan untuk diuji pada kenderaan penumpang biasa pula.

    Ini bukan kali pertama bahan api biodiesel B100 ini diuji di Malaysia. Pada 2023, Shell telah melancarkan ujian perintis biodiesel B100 terhadap lori-lori tangki Scania yang dioperasikan oleh Konsortium Port Dickson. FAME (asid lemak metil ester) merupakan istilah kimia generik untuk biodiesel yang dihasilkan dari sumber yang boleh diperbahrui, dan semua trak Scania sudahpun boleh menggunakan bahan api FAME sehingga B100 sejak 2019.

    Penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit ini memberikan kelebihan kepada negara-negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia dan Indonesia, di mana ia bukan sahaja boleh mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api diesel serta pemberian subsidi (ada lagi bahagian di Malaysia masih menerima subsidi tersebut), dan dalam masa yang sama meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit.

    Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) juga sebelum ini sudahpun mensasarkan untuk Malaysia agar beralih kepada biodiesel B30 menjelang 2030. Dalam pasaran buat masa sekarang, biodiesel yang ditawarkan masih lagi B10, manakala pengenalan untuk penggunaan biodiesel B20 telah beberapa kali ditangguhnkan.

     
     
  • JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    Selain versi diesel, JAC Malaysia juga turut melancarkan trak pikap T9 versi elektrik (EV) untuk pasaran tempatan. Sama seperti versi diesel, T9 EV juga diimport terus dari China (CBU) dan ditawarkan pada harga atas jalan RM199,888 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan dan enam-tahun atau 200,000 km untuk bateri. T9 EV ini merupakan trak pikap 4×4 elektrik bukan-komersil pertama yang diperkenalkan di Malaysia.

    Berkenaan dengan dimensinya, ia sama seperti T9 diesel dengan panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Begitu juga dengan ruang kargonya yang sepanjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm.

    Bagi versi EV ini, ia diberikan tetapan dua motor elektrik dengan yang di hadapan berkuasa 70 kW (95 PS), dan 160 kW (218 PS) dari motor belakang. Gabungan dua motor ini mampu menghasilkan tork keseluruhan 516 Nm dan bolehkan trak pikap ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum cecah 140 km/j.

    Motor ini dijanakan oleh bateri LFP 88 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 340 km mengikut ujian WLTP. Ia boleh dicas menggunakan sumber DC sehingga 88 kW melalui sambungan CCS2 dan boleh mencapai status pengecasan (SoC)30-80% dalam masa 35 minit. Apabila dicas menggunakan sumber AC dengan sambungan Type 2 sehingga 11 kW pula, baterinya akan naik 15-100% dalam masa enam jam 50 minit.

    JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    Untuk rekaan luarannya, tidak nampak bezanya dengan versi diesel, namun untuk mengenali T9 EV ini, ia diberikan lencana JAC biru (rona merah untuk T9 diesel) yang terdapat pada gril hadapannya. Ia juga tidak mempunyai pengesan jarak hadapan serta rel bumbung, seperti mana yang diberikan untuk T9 diesel.

    Selain daripada itu, ciri kelengkapan lain masih sama seperti lampu hadapan, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang yang kesemuanya unit LED, rim 18-inci dengan tayar 265/60R18, brek cakera hadapan dan belakang, sports bar, pemijak tepi serta cangkuk penarik (towing hook) di bampar hadapan.

    Untuk bahagian kabinnya, ia juga mirip dengan versi diesel termasuk dilengkapi panel instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh 10.4-inci untuk infotainmen dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disediakan adalah pengecas tanpa wayar serta konsol tengah dengan fungsi penyejuk.

    Walau bagaimana pun, untuk tempat duduknya, hanya bahagian pemandu sahaja yang menerima fungsi pelarasan elektronik. sementara tombol pemilih gear transmisi dan 4WD diganti dengan tombol tunggal. Ia juga diberikan Intelligent Electronic Shift dengan lima mod pemanduan (ECO, Normal, Snow, Sport dan Off Road).

    Malah ciri keselamatan yang diperoleh T9 EV juga sedikit berbeza dengan versi diesel. Di mana versi EV hanya diberi ciri keselamatan asas yang terdiri tujuh beg udara, Passive Cruise Control, ABS, EBD, Brake Override, Hill Start Assist, Brake Assist, Traction Control, Stability Control dan Blind Spot Detection .

    Lima pilihan warna luaran yang ditawarkan untuk T9 EV ini iaitu merah, hitam, perak, kelabu dan putih, sementara warna balutan kulit dalam pula disediakan dalam rona hitam. Sekali lagi, T9 EV ini ditawarkan pada harga atas jalan RM199,888 tanpa insurans yang didatangkan dengan waranti enam-tahun atau 200,000 km untuk bateri.

     
     
  • JAC T9 diesel dilancar di Malaysia – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    JAC T9 diesel dilancar di Malaysia  – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    Selepas hampir lima bulan ia diperkenalkan di Malaysia, petang ini JAC T9 diesel, telah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Selain versi enjin pembakaran dalaman (ICE), Evolvelectric Motors Sdn Bhd selaku pengedar JAC untuk Malaysia turut melancarkan T9 EV yang merupakan trak pikap elektrik bukan-komersil pertama dipasarkan di sini.

    Trak pikap double-cab yang diimport terus dari China (CBU) ini hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja iaitu Grand-ES. Ia ditawarkan dengan harga bermula RM119,888 dan didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had batuan dan 8-tahun (juga tanpa had perbatuan) untuk enjin (bagi pemilik pertama sahaja).

    T9 diesel ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter diesel turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 170 PS (125 kW) pada 3,600 rpm dan tork 410 Nm antara 1,500 rpm ke 2,500 rpm, dengan pacuan dihantar kepada semua roda melalui tranmsisi automatik lapan-kelajuan ZF, sistem 4WD separa masa BorgWarner serta differential belakang boleh kunci secara elektronik.

    Bagi sistem suspensi, ia diberikan tetapan double wishbone di hadapan, dan spring dedaun multi-link untuk belakang. Selain itu, ia juga menerima stereng kuasa elektrik seperti mana yang digunakan oleh persaingnya iaitu Ford Ranger dan Mitsubishi Triton Athlete.

    JAC T9 diesel dilancar di Malaysia  – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    Seperti kebiasaan bagi sebuah trak pikap, JAC T9 diletakkan atas kerangka ladder frame dan hampir separuh daripada binaan badan T9 ini dibuat daripada besi berkekuatan tinggi, dan bahagian tepinya diperkuat untuk menahan impak. Di hadapan pula terdapat sepasang cangkuk yang boleh menarik sehingga 3,100 kg setiap satu.

    T9 diesel ini berukuran panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Berat keseluruhan trak pikap ini adalah 2,055 kg, dan boleh membawa berat sehingga 1,000 kg, dengan kapasiti menarik 3,500 kg. Ruang kargonya mencatat ukuran panjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm.

    Untuk kelengkapan luarannya, T9 ini ditampilkan dengan rekaan gril hadapan yang garang, lampu utama LED yang langsing, lampu belakang LED menegak dan lampu nyalaan siang (DRL) LED persegi, lampu kabus hadapan dan belakang, pengesan jarak hadapan dan belakang, rel bumbung, sports bar serta pemijak kaki tepi. Ia juga diberikan rim aloi pelbagai-jejari 18-inci yang dibaluti tayar 265/60R18, manakala brek pada semua roda pula adalah daripada jenis cakera.

    Menjengah bahagian kabinnya, kelengkapan yang diberikan boleh dikatakan agak canggih juga. Bahagian papan pemukanya diberikan panel instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh 10.4-inci untuk infotainmen (dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto). Ia juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Snow.

    Selain itu, kelengkapan yang turut diberikan termasuklah pengecas tanpa wayar, pemilih gear elektronik, brek parkir elektronik serta stereng yang boleh dilaras ketinggiannya. Turut diberikan adalah kamera 360 darjah berserta kamera undur dan soket pengecas USB-A (18W), USB-C (60W) serta 220-volt (150W) untuk pelbagai kegunaan lain. Untuk kedua-dua tempat duduk hadapan, ia didatangkan dengan larasan kuasa serta pemanas. Tempat duduknya juga dibaluti kulit dengan paten berlian.

    Bagi sistem bantuan pemandu ADAS, ia merangkumi Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Emergency Lane Keeping, Blind Spot Detection, Rear Cross-Traffic Alert, Forward Collision Warning, Door Opening Warning, Traffic Jam Assistant, Driver Monitoring dan Autonomous Emergency Braking (depan dan belakang).

    Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada ABS, EBD, Brake Override, Hill Start Assist, Brake Assist, Traction Control, Stability Control serta pemerhati tekanan angin tayar. T9 diesel juga diberikan tujuh beg udara dan menjadi satu-satunya trak pikap di Malaysia yang mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) mengikut protokol terkini.

    T9 diesel ini ditawarkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu merah (dengan kemasan dalaman kulit rona hitam), hitam (kemasan dalaman coklat), kelabu (kemasan dalaman hitam), perak (kemasan dalaman coklat) dan putih (kemasan dalaman hitam atau coklat).

     
     
  • Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka akan menjalankan operasi percubaan pada 15 Mac sebagai hentian pusat bagi penumpang yang tiba dari Pantai Timur, jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Terletak di lokasi strategik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan berdekatan dengan tol plaza Gombak serta stesen LRT Gombak, TBG akan menjadi gerbang pengangkutan utama ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

    Beliau turut maklumkan jika TBG akan mula beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, ia akan membantu mengurangkan kesesakan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS). TBG juga akan memulakan perkhidmatan mengambil penumpang seminggu kemudiannya, dan tiket bas boleh dibeli di TBS memandangkan kaunter tiket TBG belum dibuka.

    “Kementerian bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemeriksaan akhir sebelum hujung minggu depan,” jelasnya kepada wartawan selepas memeriksa terminal berkenaan dan ketersambungannya dengan perkhidmatan LRT serta East Coast Rail Link (ECRL).

    Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    “Selain bas ekspres, terminal berkenaan juga disambungkan dengan perkhidmatan bas dalam bandar serta bersepadu dengan stesen LRT Gombak. Selain itu, pembinaan stesen ECRL Gombak juga sedang berlangsung,” tambah beliau. Pembinaan ECRL ketika ini sudah 79% selesai.

    TBG akan turut menempatkan kedai runcit, kedai makanan dan minuman ringan, dewan serba guna dengan kapasiti 2,000 dan 1,200 ruang parkir. Terminal tujuh tingkat ini terdiri daripada tiga tingkat bagi perkhidmatan bas dan empat tingkat untuk jualan dan beli-belah. Turut disediakan ialah platform bagi golongan kelainan upaya (OKU).

    “Ketika pelanggan membeli tiket, ada ciri yang membolehkan mereka untuk memaklumkan sekiranya mereka OKU. Sistem akan merekodkan maklumat ini, dan memastikan pas yang ditugaskan nanti akan mengambil penumpang di platform mesra OKU,” tambahnya.

     
     
  • Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Susulan pelancaran Xpeng X9 semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan turut berkongsi maklumat berkaitan adakah kemungkinan pemasangan CKD bagi model-model Xpeng di Malaysia.

    Dari aspek perkembangan serantau, minggu ini Xpeng mengumumkan bakal menjalankan CKD bagi dua modelnya, G6 dan X9 di Indonesia bermula separuh kedua tahun ini. Jadi, bagaimana dengan Malaysia? X9 yang dilancarkan semalam adalah unit CBU dari China. Adakah selepas ini model yang dipasarkan di sini datangnya dari Indonesia?

    Menurut beliau, Xpeng Malaysia sentiasa mempertimbangkan kemungkinan itu, bahkan sejak pengenalan model G6 pada Ogos tahun lalu. “Adalah lebih baik sekiranya kerajaan boleh menyatakan dengan jelas arah tuju polisi Malaysia selepas ini bagi memudahkan sebarang pertimbangan oleh pemain industri untuk menentukan sama ada Malaysia boleh dijadikan sebagai hab automotif rantau ASEAN atau sebaliknya,” ujarnya.

    Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Ketika ini, EV CBU diberikan pengecualian cukai import dan duti eksais hingga penghujung tahun ini, manakala EV CKD pula akan menikmati pengecualian cukai jualan dan duti eksais sehingga 31 Disember 2027.

    “Walaupun begitu, saya pasti kami akan menjalankan beberapa bentuk CKD di Malaysia, dan mungkin akan melakukan bertukaran dan timbal balik dengan negara jiran: ini adalah penyelesaian yang terbaik. Jika sebuah negara melakukan semua CKD (untuk satu jenama), dan mengeksportnya ke negara lain yang tidak melakukan CKD (untuk jenama yang sama itu), tetapi merupakan negara CKD juga, maka akan ada banyak perkara yang perlu ditangani,” tambahnya.

    Beliau juga menyatakan bahaawa Bermaz Xpeng Sdn Bhd, selaku pengedar jenama itu di Malaysia, ketika ini sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk menjalankan program CKD. “Untuk model yang mana, kami masih belum tentukan kerana bagi tempoh setahun ke hadapan, akan ada model baru yang dilancarkan. Kami boleh memilih model mana yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia bagi tujuan program CKD tersebut,” jelasnya.

     
     
  • Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Selepas beberapa kenderaan elektrik (EV) yang dihasilkan dalam bentuk SUV dan MPV, akhirnya Volvo mendedahkan sedan EV pertamanya – ini dia, Volvo ES90! Model ini bukan sahaja sedan EV pertama Volvo, malah ia sebenarnya EV pertama jenama automotif Sweden itu yang menggunakan asas seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan ia dicas lebih cepat.

    Seperti SUV EV flagship EX90, ES90 juga masih diasaskan dari platform SPA2, iaitu platform EV evolusi dari platform SPA yang menjadi asas kepada model-model dengan enjin pembakaran dalaman Volvo seperti XC90 dan S90. Dan walaupun ES90 ini merupakan alternatif EV untuk sedan S90, ia menampilkan rupa yang lebih sporty dan bertenaga seperti S60.

    Ini kerana ES90 diberikan siluet badan seperti sebuah fastback dengan muncung hadapan panjang serta bahagian but yang tinggi dan pendek. Malah bahagian but berkenaan turut dibuka bersama cermin belakang seperti sebuah fastback sebenar. Selain itu Volvo turut memberikan unsur-unsur SUV pada S90 ini dengan memadankan set roda bersaiz besar bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang tinggi, dengan pilihan rim aloi bermula 20- hingga 22-inci.

    Pada bahagian muka, S90 menampilkan rekaan signatur model-model khusus EV Volvo iaitu dengan lampu hadapan LED bersama grafik lampu nyalaan siang membentuk ‘Tukul Thor’ yang lebih jelas, palang dan logo ‘iron mark’ Volvo tanpa gril di belakangnya. Untuk bahagian bampar hadapan pula, inspirasi dari EX90 masih kuat dengan jalur LED menegak pada kedua-dua sisi bersama gril bawah berbentuk trapezoid.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Manakala pada sebelah belakang, bukan hanya bentuk but, malah bentuk lampu belakang berbentuk-C juga direka menyerupai S60. Bagi menguatkan rekaan fastback, turut boleh dilihat nyalaan LED pada lampu belakang turut disambung pada kedua-dua sisi cermin belakang.

    Namun menerusi lakaran-lakaran rekaan yang ditunjukkan, Volvo seolah-olah mahu memberitahu bahawa bahagian muka dan juga belakang S90 ini dihasilkan dari inspirasi Volvo 780, iaitu versi coupe untuk Volvo siri 700 pada era 80’an (seperti 740, 760) yang direka oleh firma rekaan Itali iaitu Bertone. Secara keseluruhan, bentuk S90 ini memberikan pekali geseran hanya 0.25.

    Untuk saiz, sedan ini menampilkan dimensi yang agak besar iaitu panjang 5,000 mm, lebar 1,942 mm, dan jarak roda sejauh 3,102 mm. Manakala tinggi kereta ini berdasarkan sama ada ia menerima suspensi udara atau tidak dan juga jenis unit rangkaian kuasa yang dibekalkan. Jadi untuk ES90 dengan suspensi udara ia mencatatkan tinggi 1,547 mm untuk versi pacuan belakang dan 1,546 mm untuk versi pacuan semua roda. Manakala model dengan spring gegelung biasa dan AWD, tingginya adalah 1,553 mm.

    Ini juga menjadikan jarak kelegaan tanahnnya juga berbeza-beza. Volvo ES90 dengan suspensi udara menampilkan jarak kelegaan tanah 181 mm untuk versi pacuan belakang dan 177 mm mm untuk versi pacuan semua roda. Manakala model dengan spring gegelung biasa dan AWD, jarak kelegaan tanahnya adalah 184 mm. Menurut Volvo, kesemua versi ini mampu untuk mengharungi air pada kedalaman 2.5 meter.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Tiga unit rangkaian kuasa berbeza ditawarkan untuk ES90 ini iaitu Single Motor, Twin Motor dan Twin Motor Performance. Varian Single Motor diberikan hanya satu motor elektrik berkuasa 333 PS (245 kW) dan tork maksima 480 Nm bagi memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/ dalam masa 6.9 saat.

    Manakala varian Twin Motor pula diberikan dua motor elektrik dengan kemampuan pacuan semua roda. Motor yang memacu roda belakang mengahasilkan kuasa 272 PS (200 kW)/405 Nm, manakala satu lagi motor yang memacu roda hadapan pula berkuasa 177 PS (130 kW)/265 Nm. Secara keseluruhan varian ini dibekalkan dengan kuasa 449 PS (330 kW) dan tork maksima 670 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat.

    Sementara bagi model Twin Motor Performance, ia masih menerima dua motor bagi memacu semua roda, tetapi motor yang dibekalkan adalah lebih berkuasa – motor belakang menghasilkan 381 PS (280 kW)/480 Nm, dan motor hadapan menghasilkan 299 PS (220 kW)/390 Nm. Secara keselurhan ES90 Twin Motor Performance ini dibekalkan dengan kuasa 680 PS dan tork 870 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat.

    Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima untuk kesemua varian ES90 ini hanya dihadkan pada 180 km/j sejajar dengan matlamat Volvo bagi mengurangkan kadar kematian di atas jalan raya.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Untuk bateri, model Single Motor diberikan bateri berkapasiti 92 kWj (88 kWj boleh digunakan), memberikan jarak gerak sejauh 650 km mengikut kitaran ujian WLTP dan 700 km untuk kitaran ujian standard CLTC di China. Varian Twin Motor dan Performance menerima bateri dengan kapasiti 106 kWj (102 kWj boleh digunakan) memberikan jarak gerak 700 km dalam standard WLTP dan 740 km dalam standard CLTC.

    Manakala untuk mengecas, platform 800-volt ini membolehkan bateri pada varian Single Motor dipenuhkan dari 10-100% dalam masa lapan jam menggunakan pengecas AC 11 kW, dan 10-80% dipenuhkan dalam masa 20 minit dengan pengecas pantas DC 300 kW.

    Bagi varian Twin Motor dan Twin Motor Performance pula, bateri dapat dipenuhkan dari 10-100% dalam masa 10 jam dengan pengecas AC 11 kW, dan 10-80% dalam masa 20 minit dengan pengecas pantas DC 350 kW.

    Untuk kabin, ES90 menampilkan rekaan papan pemuka yang sama seperti EX90. Oleh itu ia menerima paparan instrumen digital dengan skrin sembilan-inci dan paparan head-up. Ia juga menerima skrin infotainmen utama bersaiz 14.5-inci yang diletak menegak, diberikan sistem Google bina-dalam yang menawarkan servis seperti Google Maps, Google Assistant, dan pelbagai aplikasi lain yang boleh di muat turun menerusi Google Play.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk enam tema warna untuk lampu suasana kabin, bumbung panaromik yang boleh dipilih dengan fungsi elektrokromik, sistem penghawa dingin empat zon dengan penyegar udara. Manakala untuk sistem audio, Volvo menawarkan tiga peringkat termasuk sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara yang mempunyai mod istimewa bagi menghasilkan bunyi seakan berada di studio Abbey Road di London.

    Seperti yang disebut tadi, bahagian but ES90 ini boleh dibuka seperti sebuah fastback bagi memberikan praktikaliti lebih baik. Ruang yang diberikan pada bahagian tersebut adalah 424 liter, dan ia boleh meningkat kepada 733 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia juga diberikan bahagian but depan atau frunk dengan kapasiti 22-liter bagi menyimpan kabel pengecas.

    Untuk keselamatan, Volvo ES90 ini dibekalkan standard dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang merangkumi fungsi pengelak pelanggaran, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, pemantau titik buta, kamera 360 darjah, pemantau pemandu, amaran bukaan pintu, penderia penumpang penuh dan banyak lagi.

    Sejajar dengan langkah kemampanan Volvo, binaan ES90 ini menggunakan 29% aluminium dan 18% logam yang dikitar semula. Ia juga menggunakan 16% bahan polimer yang dikitar semula, material-material berasaskan bio, serta panel-panel kayu bahagian kabin yang diperbuat dari kayu yang diiktiraf FSC. “Battery Passport” pada kereta ini juga menggunakan teknologi rantaian blok bagi mengenalpasti pergerakan bahan mentah yang digunakan pada bateri.

    Volvo ES90 ini kini sudah boleh ditempah di pasaran Eropah dan juga United Kingdom. Manakala bagi pasaran lain, ia akan mula ditawarkan pada 2026.

     
     
  • MBSA tawar diskaun 80% untuk kompaun dan kadar tetap saman parkir hanya RM10 sepanjang Ramadan

    MBSA tawar diskaun 80% untuk kompaun dan kadar tetap saman parkir hanya RM10 sepanjang Ramadan

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 80% bagi kompaun sepanjang bulan Ramadan ini. Walau bagaimana pun, ia hanya melibatkan kompaun terpilih sahaja.

    Selain itu, dalam masa yang sama juga, MBSA melaksanakan kempen pengurangan saman tempat letak kereta berjumlah RM10 bagi Kompaun Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA 2007.

    “Kedua-dua kempen ini telah pun bermula sejak 2 Mac lalu dan bakal berakhir pada 30 Mac 2025. Ayuh rebut peluang ini untuk menyelesaikan kompaun tertunggak anda!” kata MBSA menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya.

    Untuk menyemak sekiranya nama anda tersenarai bagi kesalahan yang dikompaun dan disaman ini, anda boleh mengimbas kod QR yang terpapar menerusi poster di atas.

    Sebagai makluman, selain pembayaran secara dalam talian, ia juga boleh dibayar di kaunter MBSA yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum), namun kaunter ditutup untuk waktu rehat Jumaat dari jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang. Sebarang pertanyaan sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, MBSA di talian 03-5513 3919.

     
     
  • Perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi

    Perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid KL) telah mula menghebahkan bahawa perkhidmatan Rapid KL On-Demand (sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau DRT) bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi.

    Lokasi terbabit ialah Wangsa Maju, Titiwangsa, Taman OUG, Bangi, Bandar Kinrara, Bukit Antarabangsa dan Taman Melati. Walau bagaimana pun, syarikat berkenaan masih belum memperincikan laluan yang bakal terlibat dengan perkhidmatan ini.

    Pada pertengahan Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan ini yang akan beroperasi secara berperingkat sejak bulan lalu hingga Jun tahun ini. Ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.

    Anda boleh menempah tempat duduk di dalam van ini sama ada menggunakan aplikasi Kummute (Kumpool), Trek atau Mobi bergantung pada lokasi, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang yang dikenakan ialah RM1 sehala, dan juga boleh dibayar menggunakan My50/MyCity/Pas Famili, Touch n Go, kad konsesi MyRapid dan juga pas OKU Smile.

     
     
  • Cyclone RT3e tiba di Malaysia Jun ini – RM12,888

    Cyclone RT3e tiba di Malaysia Jun ini – RM12,888

    Satu lagi model yang dipertontonkan kepada media oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd di Chongqing, China adalah RT3e. Ia juga bakal tiba di pasaran Malaysia pada bulan Jun ini, dengan harga RM12,888 tidak termasuk insurans.

    RT3e adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, DOHC 247 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm.

    Mempunyai badan panjang seakan model Lambretta moden, RT3e ini terletak di atas rim aluminium 12 inci hadapan dan belakang, dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Brek terdiri daripada unit cakera tunggal hadapan dan belakang, sementara informasi penting dipaparkan melalui meter digital lengkap dengan paparan kelajuan, rpm, serta tahap bateri. Pada bahagian keselamatan, skuter ini datang dengan sistem kawalan cengkaman serta ABS dual-channel.

    Kelengkapan lain pada skuter ini adalah termasuk semua lampu jenis LED, peletak kaki luas, cangkuk barangan, besi pelindung di bahagian tepi badan pemula enjin elektrik, rak barangan hadapan serta tangki bahan api 10 liter. Di bawah tempat duduknya hanya terdapat ruang barangan kecil.

     
     
  • Cyclone RA600 dan RE600 dipertonton – scrambler dan bobber 550 cc masuk Malaysia bulan Jun, RM26k

    Cyclone RA600 dan RE600 dipertonton – scrambler dan bobber 550 cc masuk Malaysia bulan Jun, RM26k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dalam satu majlis di Chongqing, China mendedahkan dua model bergaya ala klasik, iaitu RA600 dan RE600 yang akan tiba di Malaysia pada bulan Jun tahun ini dengan harga jualan RM25,888 tidak termasuk insurans.

    Kedua-duanya berkongsi enjin yang sama, iaitu unit dua silinder selari 550.4 cc DOHC berkuasa 58 hp pada 8,500 rpm dan tork 55 Nm pada 6,500 rpm, tetapi datang dengan bentuk badan yang berbeza – RA600 sebagai bobber dan RE600 lebih menyerupai scrambler. Transmisi adalah unit kelajuan.

    Bahagian lain yang berbeza antara dua model ini adalah rim, kedudukan menunggang (pemegang dan peletak kaki), bentuk meter digital berwarnanya serta sistem pacuan. RA600 datang dengan rim 16 inci depan dan belakang serta pacuan rantai, sementara RE600 menggunakan rim 17 inci dan pacuan tali sawat.

    Selain daripada itu, RA600 juga mempunyai pelarasan tambahan pada fork hadapannya, selain tangki bahan api 14.5 liter dan tetapan cakera brek tunggal di hadapan, sementara RE600 menggunakan fork tanpa pelarasan, tangki bahan api 20 liter serta tetapan cakera brek hadapan berkembar.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RA600 dan RE600 adalah termasuk angkup brek daripada J.Juan (tetapan tunggal di belakang), semua lampu jenis LED, sistem kawalan cengkaman serta brek ABS dual-channel.

    GALERI: Cyclone RA600

    GALERI: Cyclone RE600

     
     
  • Xpeng X9 dilancarkan di Malaysia — bateri 84.5 kWh dan 101.5 kWh, jarak hingga 590 km; dari RM271k

    Xpeng X9 dilancarkan di Malaysia — bateri 84.5 kWh dan 101.5 kWh, jarak hingga 590 km; dari RM271k

    Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Xpeng di Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model MPV flaghsip Xpeng X9 Ultra Smart Large tujuh-tempat duduk. MPV mewah tersebut kini mula dibuka untuk tempahan dengan harga bermula RM270,708 atas jalan belum termasuk insurans.

    Dibangun menggunakan binaan SEPA 2.0 termaju oleh Xpeng sendiri, X9 membawa takrifan baru bagi segmen MPV dengan menampilkan rekaan yang inovatif, kepintaran, ruang, kendalian serta aspek keselamatan. Xpeng X9 mempunyai ukuran dimensi 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.

    Terdapat tiga varian Xpeng X9 yang diperkenalkan di Malaysia, masing-masing dengan harga seperti berikut:

    • Xpeng X9 Standard Range 2WD Pro — RM270,708
    • Xpeng X9 Long Range 2WD Pro — RM288,708
    • Xpeng X9 Lorng Range 2WD Pro Plus — RM300,708

    Xpeng X9 dilancarkan di Malaysia — bateri 84.5 kWh dan 101.5 kWh, jarak hingga 590 km; dari RM271k

    Wajah depan X9 menampilkan “Reboot Face” yang menampilkan antaranya DRL melintang, gril kristal dengan rekaan berlapis yang dipadankan dengan sistem Active Grille Shutter (AGS) untuk memberikan kesan aerodinamik yang menambahbaik kecekapan dan prestasinya. X9 juga menampilkan bahagian tiang A dengan sudut yang tajam, visual bumbung terapung dan tingkap sisi yang luas. Bahagian belakangnya datang dengan sentuhan gaya coupe 23-darjah yang nampak agresif.

    Di dalam pula X9 menggabungkan ciri mewah dan teknologi canggih. Konsol tengahnya menempatkan semua kawalan sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang menyeluruh dan mudah, ditambah dengan material premium seperti kemasan kayu dan corong pendingin aluminium untuk memberikan sentuhan moden yang minimal.

    Di tengah papan pemuka ada skrin 21.4-inci untuk hiburan, dengan lampu ambient boleh kustom serta sistem penapisan udara untuk kabin lebih nyaman. Sistem bunyi pula menggunakan X-Opera Sound System dengan 23-pembesar suara. MPV besar ini mempunyai radius pusingan 5.4 meter.

    Xpeng X9 dilancarkan di Malaysia — bateri 84.5 kWh dan 101.5 kWh, jarak hingga 590 km; dari RM271k

    Menarik dengan Xpeng X9 ini, ruang dalaman boleh diubah konfigurasinya daripada tujuh-tempat duduk yang cukup luas kepada empat-tempat duduk yang lebih lumayan ruangnya — dengan hanya satu sentuhan sahaja kerusi barisan ketiga akan terlipat.

    Dalam keadaan ini, ruang but yang asalnya berkapasiti 755 liter akan menjadi 2,554 liter, membolehkan ruang yang luas itu digunakan untuk apa saja tujuan. Kerusi Zero Gravity yang tidak memenatkan, sistem lipat barisan ketiga secara elektrik dan fungsi urut yang tersedia memberikan lebih keselesaan. Turut ada ialah peti sejuk untuk kemudahan penumpang.

    Untuk pengecasan, MPV ini menggunakan binaan SEPA 2.0 dengan platform 800V high-voltage silicon carbide (SiC) untuk memberikannya pengecasan ultra-pantas. Varian Standard Range 2WD Pro datang dengan bateri LFP 84.5 kWh yang menawarkan jarak sejauh 500 km WLTP, dengan kuasa 315 hp dan 450 Nm tork. Sementara bagi varian Long Range pula menggunakan bateri NMC 101.5 kWh yang lebih besar, memberikan jarak 590 km WLTP dengan janaan output yang sama.

    X9 ini menyokong pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 317 kW, membolehkan kadar 10%-80% SoC dicapai dalam masa hanya 20 minit. Ia juga MPV BEV tujuh-tempat duduk pertama yang menampilkan struktur badan aluminium die-cast yang disepadukan depan dan belakang, mempertingkatkan lagi keselamatan dan ketahanannya. Ia juga ada fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.

    Bagi aspek keselamatan, X9 dilengkapi dengan enam beg udara dengan child lock elektronik, sementara bantuan pemandu canggih memanfaatkan radar definisi tinggi, sensor ultrasonic dan kamera 360-darjah HD yang dikuasakan oleh cip Nvidia Orin-X.

    Sistem XPilot 2.5 yang melengkapinya pula terdiri antara daripada ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS) dan Active Lane Change (ALC).

    Untuk memudahkan letak kereta, ciri Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP) dan Straight Summon yang boleh dicapai melalui aplikasi mudah alih Xpeng untuk kesenangan pemandu. Ciri XPilot ini juga menyepadukan ciri lain seperti Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA) dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).

    Xpeng X9 Ultra Smart Large Seven-Seater ini dibawa masuk secara CBU dari China, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna — Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black.

    Untuk ruang dalaman, dua pilihan warna ditawarkan — Starry Night Black dan Moon Shadow Brown. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro menampilkan balutan material seakan kulit, sementara Long Range 2WD Pro Plus diberikan sentuhan lebih mewah dengan kulit Nappa untuk kerusi Zero Gravity.

    X9 yang mula dibuka untuk tempahan ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun (atau 120,000 km, yang mana dulu) dan lima-tahun servis serta penyelenggaraan percuma (atau 100,000 km, yang mana dulu). Ia juga termasuk dengan jaminan lapan-tahun untuk baterinya, dengan had perbatuan 160,000 km.

    Xpeng X9 Long Range 2WD Pro Plus 2025

    Xpeng X9 Long Range 2WD Pro 2025

     
     
  • Autobacs Super GT 2025 Malaysia bakal berlangsung pada 27-28 Jun di Sepang, tiket sudah mula dijual

    Autobacs Super GT 2025 Malaysia bakal berlangsung pada 27-28 Jun di Sepang, tiket sudah mula dijual

    Haro Sports & Entertainment, pemegang hak dan promoter untuk pusingan Autobacs Super GT di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tiket untuk perlumbaan berkenaan kini sudahpun mula dijual. Perlumbaan berkenaan akan berlangsung dari 27 hingga 28 Jun ini di Litar Antarabangsa Sepang Petronas sebagai pusingan ketiga Autobacs Super GT 2025.

    Satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sejak 2019 itu juga akan menampilkan festival makanan dan kebudayaan Jepun, dan ia turut akan menjadi pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya di sini.

    “Super GT terus dikenali dengan suasana seperti karnival. Ia adalah salah satu daripada beberapa acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati secara lebih peribadi dengan pemandu, pasukan dan kereta kegemaran mereka, Ia adalah acara yang penuh warna dan watak yang menawarkan pelbagai aktiviti daripada sesi pit terbuka, pit walk, grid walk dan safari litar kepada paparan pelbagai gerai jualan dan barangan. Festival Super GT Malaysia 2025 tahun ini juga akan menyaksikan sambutan yang menarik dan bertemakan tema budaya Jepun,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.

    Festival makanan dan kebudayaan Jepun yang akan berlangsung sekali dengan perlumbaan ini dikenali sebagai Nihon Matsuri, iaitu acara tahunan yang dianjurkan oleh Trumpet International, dikenali sebagai festival ini makanan dan kebudayaan terbesar di Malaysia.

    Manakala untuk siri perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia, sebanyak 30 buah GR86 akan bersaing dalam siri tersebut, di mana tiga pusingan akan berlangsung selepas pusingan pertama diadakan bersama perlumbaan Autobacs Super GT berkenaan, menjadikan empat pusingan secara keseluruhan berlangsung untuk musim pertama ini.

    Secara tradisinya, Super GT masih dilangsungkan dalam dua kategori iaitu GT500 dan GT300, di mana kedua-duanya dilangsungkan serentak, dilepaskan dengan cara rolling start, serta setiap kereta perlu menampilkan dua orang pelumba.

    Namun untuk mereka yang mungkin sudah lama tidak mengikuti perlumbaan ini, kereta-kereta GT500 terkini sudahpun dibina berdasarkan undang-undang FIA Class 1 Touring Car, iaitu undang-undang sama digunakan oleh kejohanan DTM yang berlangsung di Jerman.

    Oleh itu kesemua kereta lumba GT500 terbaharu kini menampilkan casis jenis spaceframe, menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo dan memacu roda belakang. Tiga pengeluar automotif utama Jepun masih lagi berlumba dalam kategori ini iaitu Nissan dengan Z GT500, Toyota dengan GR Supra GT500 dan juga Honda dengan Civic Type R GT.

    Sementara untuk kategori GT300, kebanyakkan pasukan kini menggunakan jentera dalam spesifikasi FIA GT3 seperti Mercedes-AMG GT3, Nissan GT-R Nismo GT3 dan pelbagai lagi. Namun masih ada pasukan yang masih menggunakan jentera-jentera ‘Mother Chassis’ (MC), iaitu jentera lumba yang dibina berasaskan kereta-kereta produksi yang diambil dari bilik pameran, dan juga jentera yang dibina berdasarkan JAF-GT300.

    Antara jentera MC GT300 yang akan bertanding termasuk GR Supra pasukan Green Brave Racing yang dibina oleh salah satu pengedar Toyota di Jepun iaitu Saitama Toyopet, dan juga jentera yang menggunakan enjin boxer empat-silinder dalam perlumbaan ini iaitu Subaru BR-Z GT300 dibangunkan dengan spesifikasi JAF-GT300.

    Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.

    Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama. Namun untuk tempoh masa terhad, pembeli-pembeli tiket terawal akan diberikan harga istimewa lebih murah iaitu RM80 untuk Grandstand K1, RM200 untuk Grandstand Utama, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025