Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda StepWGN e:HEV 2025 akan dilancarkan di Indonesia bulan depan, tempahan sudah dibuka

    Honda StepWGN e:HEV 2025 akan dilancarkan di Indonesia bulan depan, tempahan sudah dibuka

    Selepas ditunjuk dan dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun lalu, Honda Prospect Motor (HPM) telahpun membuka tempahan untuk Honda StepWGN generasi ke-6 di pasaran negara itu. MPV tersebut bakal dilancarkan pada 24 Julai nanti, sekali lagi ia akan dibuat ketika berlangsungnya GIIAS 2025.

    StepWGN merupakan MPV jenis ‘people mover’ yang menampilkan badan yang tinggi untuk berhadapan terus dengan model seperti Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy. HPM belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk StepWGN pasaran Indonesia tersebut, namun mengesahkan ia hanya akan ditawarkan dalam versi hibrid elektrik e:HEV.

    Unit yang dipamerkan idi GIIAS tahun lalu merupakan StepWGN dalam varian Spada e:HEV, iaitu model dengan unit rangkaian kuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Honda Civic dan CR-V e:HEV yang sudahpun ada dalam pasaran Malaysia.

    Sistem berkenaan menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm yang secara primari berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid. Manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 185 PS dan tork 315 Nm. Namun dalam situasi tertentu contohnya dalam kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.

    StegWGN generasi keenam ini tampil dengan rupa lebih ringkas berbanding model generasi kelima. Tetapi ia kini tidak lagi menampilkan rekaan pintu tailgate belakang “Wake-waku Gate” yang begitu praktikal pada model generasi sebelumnya, dan ia hanya diberikan pintu tailgate biasa.

    Namun ia masih lagi menawarkan kabin dan susunan tempat duduk yang praktikal, contohnya tempat duduk baris kedua yang boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan dan juga ke hadapan dan ke belakang, manakala tempat duduk baris ketiga boleh dilipat masuk ke lantai bagi memberikan ruang but lebih luas dengan lantai rata.

    GALERI: Honda StepWGN Spada e:HEV di GIIAS 2024

     
     
  • Hyundai Motor Malaysia umum kehadiran; kendali sendiri jenama, lancar 3 model baharu, teruskan CKD

    Hyundai Motor Malaysia umum kehadiran; kendali sendiri jenama, lancar 3 model baharu, teruskan CKD

    Hyundai Motor Company (HMC) hari ini mengumumkan bahawa ia kini menguruskan sendiri jenama automotif dari Korea Selatan itu pada pasaran Malaysia menerusi prinsipal yang dikenali sebagai Hyundai Motor Malaysia (HMY).

    “Peralihan ini merupakan sebahagian daripada strategi global Hyundai untuk membina hubungan yang lebih kukuh dalam pasaran pertumbuhan utama, selaras dengan visi jenamanya ‘Progress for Humanity‘, menunjukkan kepentingan strategik Malaysia dalam menentukan masa depan jenama itu. Melalui langkah ini, Hyundai akan mengambil alih peranan utama, memikul tanggungjawab penuh untuk jenama, pemasaran, jualan, dan pengalaman pelanggan. Sebuah pasukan tempatan yang khusus turut dibentuk dan diberi kuasa untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan relevan dengan pasaran, selain membina hubungan lebih erat, yang mengutamakan pelanggan.” kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu.

    Sebelum kenyataan rasmi ini dikeluarkan, awal bulan ini akaun-akaun media sosial rasmi HMY termasuk Facebook, Instagram, Youtube, LinkedIn dan TikTok sudah pun diaktifkan. Dalam pengumuman rasmi yang dibuat hari ini, selain dari menyatakan akan memberikan komitmen jangka masa panjang di Malaysia, HMY turut mengesahkan bahawa ia akan melancarkan tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.

    HMY juga menyatakan bahawa ia kini telah menubuhkan ibu pejabat di Menara Affin @TRX dengan jumlah tenaga kerja yang dijangka mencecah 100 orang menjelang akhir tahun ini. Selain itu, operasi pemasangan tempatan (CKD) yang sebelum ini telah pun berjalan menerusi kerjasama strategik dengan Inokom Corporation Sdn. Bhd. akan diteruskan bermula pada suku ketiga tahun 2025.

    “Kemudahan ini dijangka akan mengeluarkan sehingga tujuh model kenderaan dalam tempoh lima tahun, sekali gus mengintegrasikan Malaysia ke dalam rangkaian pengeluaran global Hyundai. Selaras dengan aspirasi negara ke arah kelestarian, peluasan operasi pembuatan Hyundai akan memberi tumpuan pada peringkat awal kepada pemasangan tempatan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV). Ini termasuk pelbagai model SUV dan MPV yang direka khusus untuk memenuhi permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna berspesifikasi tinggi. Dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, kira-kira 30 peratus daripada kenderaan yang dipasang di Malaysia akan dieksport ke pasaran jiran,” kata HMY lagi.

    Tahun lalu HMC telah mengumumkan bahawa ia akan membuat pelaburan sebanyak RM2.16 bilion di Malaysia, yang membabitkan kerjasama dengan Inokom bagi menaiktaraf kilang di Kulim, Kedah untuk membolehkan fasiliti tersebut memenuhi kapasiti yang ditetapkan oleh HMC. Pelaburan itu dilaporkan akan berjalan selama enam tahun iaitu bermula 2025 hingga 2030, dan ia termasuk untuk mewujudkan kilang pemasangan bateri EV dan juga penghasilan enam model CKD.

    Lebih perincian berkenaan pelaburan tersebut kemudiannya dilaporkan oleh media Korea iaitu Yonhap yang menyebut kilang CKD di Kulim tersebut akan memasang model-model MPV termasuk Staria bermula pertengahan 2025, serta rancangan untuk memperluaskan lagi barisan model CKD termasuk pemasangan SUV bersaiz sederhana dan besar. Kilang tersebut bukan sahaja akan membekalkan kenderaan untuk pasaran tempatan, malah turut akan dieksport ke pasaran ASEAN lain dengan kapasiti pengeluaran tahunan 20,000 unit.

    “Kami membuat keputusan pelaburan ini memandangkan kepentingan yang semakin meningkat di Asia Tenggara dan pasaran Malaysia. Kami menyasar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial rantau ini dengan mewujudkan pekerjaan dan pembangunan bakat tempatan,” kata HMC ketika itu, dilaporkan oleh Yonhap.

    Dengan peralihan ini, wakil pengedar Hyundai di Malaysia sebelum ini iaitu Hyundai Sime Motors dijangka bakal menjadi ‘pengedar super’ jenama itu di Malaysia seperti Auto Bavaria untuk BMW dan Cycle & Carriage untuk Mercedes-Benz.

    “Walaupun tumpuan ketika ini adalah memastikan peralihan operasi berjalan lancar dan perkhidmatan diteruskan dengan baik, Hyundai turut mempunyai visi jangka panjang yang lebih luas. HMY giat menaik taraf rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualannya dengan meletakkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan — daripada pemodenan bilik pameran dan integrasi digital yang dipertingkatkan hinggalah kepada pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih intuitif dan lancar.

    “Dalam masa yang sama, HMY menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan dengan memanfaatkan amalan terbaik global serta melabur dalam keupayaan perkhidmatan tempatan. Hyundai merancang untuk melakukan penambahbaikan utama ke atas rangkaian perkhidmatannya, termasuk membuka sehingga 25 cawangan menjelang tahun 2030 dan menaik taraf sistem selepas jualan bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan,” kata syarikat itu lagi dalam kenyataan yang sama.

    Ia juga menambah bagi memastikan pelanggan boleh terus mendapat akses kepada maklumat terkini yang penting, termasuk peringatan servis, kemas kini perisian, kempen penyelenggaraan, faedah pemilikan kenderaan dan pelbagai maklumat penting lain pada masa depan, pelanggan Hyundai sedia ada di Malaysia digalakkan untuk mengemaskini butiran hubungan mereka melalui kod QR di atas.

    “Langkah ini bertujuan memastikan HMY dapat memberikan khidmat sokongan secara berterusan tanpa gangguan serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar kepada keseluruhan pelanggan Hyundai di Malaysia,” tambah HMY lagi.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Jun – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing dinaikkan 7 sen seliter

    Harga minyak 19-25 Jun – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing dinaikkan 7 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Jun 2025, harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM3.14 seliter berbanding RM3.07 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM2.81 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Harga minyak mentah dunia dilaporkan melonjak ekoran konflik Iran-Israel dan ia meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih meluas di rantau itu berpotensi mengganggu bekalan minyak dari Timur Tengah. Pada Isnin lalu, media global melaporkan bahawa niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$1.70 (RM7.22) atau 2.3% kepada AS$75.93 (RM322.63) setong pada 10.53 malam manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat melonjak AS$1.62 (RM6.88) atau 2.2% kepada AS$74.60 (RM316.98) setong.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka Range Rover dikemaskini di China, ada pilihan 1.5L Turbo

    Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka Range Rover dikemaskini di China, ada pilihan 1.5L Turbo

    Tahun lalu Chery telah pun memperkenalkan SUV yang dikenali sebagai Tiggo 7 Sport di China – ia bukanlah seperti Chery Tiggo 7 yang kita temui di Malaysia, sebaliknya adalah Jaecoo J7 yang menerima muka direka seakan sebuah Range Rover sebenar. Dan tak sampai setahun, Tiggo 7 Sport ini menerima kemaskini di sana, termasuk penawaran varian baharu yang lebih mampu milik.

    Bagi model 2026 ini Tiggo 7 Sport ditawarkan dengan varian yang digerakkan dengan enjin lebih kecil iaitu 1.5 liter berkuasa 156 PS/230 Nm yang digandingkan dengan kotak gear klac berkembar basah DCT enam-kelajuan, dijual pada harga lebih mampu milik iaitu RMB87,900 (RM52k).

    Varian dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS/290 Nm digandingkan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan juga masih ditawarkan sebagai varian yang lebih tinggi dan lebih berkuasa.

    Namun pada bahagian luaran tiada perubahan besar dibuat pada versi kemaskini ini. Ia masih kekal menerima lampu, gril, bampar, fender dan juga penutup bonet hadapan yang direka seakan sebuah Range Rover sebenar. Manakala pada bahagian muncung penutup bonet tersebut diberikan tulisan “CHERY” bagi memastikan anda tidak tertipu bahawa ini bukanlah Range Rover sebenar.

    Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka Range Rover dikemaskini di China, ada pilihan 1.5L Turbo

    Tidak ada perubahan besar dibuat di bahagian belakang kerana rekaan asal Jaecoo J7 itu sendiri sebenarnya memang sudah mengambil inspirasi dari model-model terkini Range Rover yang menampilkan lampu belakang bersegi dan nipis. Cuma imej lasaknya diserlahkan lagi dengan panel skid plate pada bawah bampar belakang direka lebih besar dari J7 biasa.

    Pada sebelah dalam, Tiggo 7 Sport ini sememangnya menampilkan sedikit perubahan berbanding Jeacoo J7 biasa, seperti penawaran tema warna tan yang nampak lebih mewah selain kemasan hitam sepenuhnya, bersama perubahan pada konsol terowong di bahagian tombol gear dan pemegang cawan.

    Menurut laporan CarNewsChina, versi kemaskini untuk Tiggo 7 Sport ini menampilkan perincian seperti tempat duduk pemandu yang diberikan liang penghawa dingin, pemanas untuk tempat duduk hadapan, lampu pada cermin solek, kamera pemantau 540-darjah dan juga penghawa dingin automatik.

    Manakala paparan instrumen masih kekal dengan skrin 10.25-inci, dan sistem infotainment datang dengan skrin sesentuh 13.2-inci.

    Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka Range Rover dikemaskini di China, ada pilihan 1.5L Turbo

    Perincian lain yang turut dipadankan termasuk lampu tinggi automatik, bumbung suria panaromik, dashcam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W, beg udara tirai, pintu tailgate belakang berkuasa yang dilengkapi penderia pergerakan, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti, brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif.

    Tidak seperti ‘Range Rover Evoque palsu’ China iaitu Land Wind X7 yang disaman oleh Range Rover kerana meniru rekaannya satu ketika dahulu, rekaan pada Chery Tiggo 7 Sport ini mungkin sudah mendapat kebenaran dari Range Rover.

    Ini kerana Jaguar Land Rover dan Chery sememangnya merupakan rakan kerjasama di China yang telah berlangsung lebih sedekad yang lalu, dengan Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di negara tersebut.

    Tahun lalu kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut bagi membangunkan model-model SUV elektrik (EV).

     
     
  • Honda Rebel 500 2025 – dua warna baru, RM33,899

    Honda Rebel 500 2025 – dua warna baru, RM33,899

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd sekali lagi memberikan pembaharuan warna bagi Rebel 500, dengan untuk model tahun 2025 ini datang dalam pilihan Pearl Sugarcane Beige atau Matte Dim Grey Metallic, menggantikan Mat Laurel Green Metallic dan Seal Silver Metallic sebelum ini.

    Harga terkini yang dikeluarkan juga masih sama seperti tahun lepas, iaitu RM33,899 tanpa insurans dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Bahagian lain motosikal dengan gaya bobber ini tidak berubah, dan masih seperti model yang dilancarkan pada tahun 2020.

    Menggerakkan Rebel 500 adalah enjin dua silinder selari DOHC 471 cc berkuasa 45.6 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist/slipper.

    Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital berbentuk bulat, manakala tangki pula berkapasiti 11.2 liter. Rim bersaiz 16 inci, dengan tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang manakala brek pada kedua-dua bahagian adalah unit cakera sekali dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Rebel 500 adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 690 mm. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan di belakang terdapat dua penyerap hentak.

     
     
  • Nissan Leaf 2026 — perincian penuh EV generasi ketiga, kini SUV dengan 218 PS, 604 km jarak, CCS2

    Nissan Leaf 2026 — perincian penuh EV generasi ketiga, kini SUV dengan 218 PS, 604 km jarak, CCS2

    Nissan telah mendedahkan Leaf terbaru keluarannya, tiga bulan selepas imej awalnya muncul. Model berkenaan kini tidak lagi membawa rekabentuk hatchback, sebaliknya telah beralih menjadi sebuah SUV.
    Diposisikan di bawah Ariya, ia menggunakan binaan elektrik Common Module Family (CMF-EV) yang sama, kini dengan rekaan fastback.

    Menerapkan bahasa rekaan Timeless Japanese Futurism Nissan, Leaf baru ini meminjam ilham daripada model konsep Chill-Out yang ditunjuk pada 2021, dengan wajah depan V-motion yang direka semula dengan tambahan jalur lampu berkelebaran penuh serta beberapa bentuk petak.

    Dari sisi, bumbung hitamnya lebih rendah di belakang seperti sebuah coupe, dengan pemegang untuk pintu belakang tersembunyi, manakala lengkuk di bahagian tayarnya menjadikan lebih maskulin. Dengan pemegang pintu yang tersembunyi serta bahagian bawah badan tertutup sepenuhnya, bacaan aerodinamiknya sangat baik, Cd 0.26 — model di Eropah yang datang dengan cermin sisi lebih kecil menjadikan angka berkenaan 0.25.

    Nissan Leaf 2026 — perincian penuh EV generasi ketiga, kini SUV dengan 218 PS, 604 km jarak, CCS2

    Bahagian belakang pula pertama kali ditunjukkan, dengan rekaan mirip pada model konsep Chill-Out sebelum ini — dengan panel hitam yang ada dua kluster melintang dan tiga menegak untuk lampu 3D holografik.

    Walaupun dengan gaya badan yang sudah diubah, Leaf kekal kompak dengan ukuran 4,350 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, meletakkannya dalam segmen B. Dimensi ini hampir sama dengan Honda e:N1, yang merupakan versi elektrik untuk HR-V.

    Di dalam, Leaf mengekalkan tema yang sama dengan Ariya, dengan papan pemuka melintang, konsol tengah terpisah serta lantai yang rata. Panel paparan lebar boleh dilengkapi sama ada dengan skrin 12.3-inci atau 14.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen. Kawalan fizikal untuk pendingin juga masih di kekalkan.

    Nissan Leaf 2026 — perincian penuh EV generasi ketiga, kini SUV dengan 218 PS, 604 km jarak, CCS2

    Sistem infotainmen menampilkan perkhidmatan Google seperti Maps, Assistant dan Play Store yang siap tersedia. Ada juga aplikasi NissanConnect Services yang akan membolehkan pengguna memeriksa status bateri, pengecasan, suhu pendingin kabin, serta perancangan perjalanan.

    Ciri lain yang ada termasuklah pilihan untuk sistem bunyi Bose Personal Plus dengan pembesar suara di perehat kepala, serta bumbung kaca panoramik elektrokromik dengan perincian yang menarik, termasuk tulisan Leaf padanya. Ketiadaan pelindung matahari membolehkan kedudukan bumbungnya lebih rendah tanpa mengurangkan ruang kepala. Ruang but kekal sama dengan 437 liter, dan ada juga pilihan untuk pintu ruang barangan kuasa elektrik.

    Leaf baru ini datang dengan janaan kuasa yang lebih tinggi. Varian paling asasnya memberikan kuasa sebanyak 177 PS (130 kW) dan 345 Nm, sementara varian lebih tinggi dengan janaan output 218 PS (160 kW) dan 355 Nm. Ini melibatkan pertambahan sebanyak 68 PS (50 kW) dan 35 Nm berbanding model lama.

    Perkara yang lebih penting ialah jarak yang diberikan; bagi varian paling rendah, ia menyediakan jarak WLTP 436 km (daripada 385 km bagi model long-range e+ terdahulu), walaupun dengan kapasiti bateri lebih kecil 52 kWh. Versi yang lebih berkuasa pula menggunakan bateri 75 kWh dengan jarak 604 km. Nissan mendakwa, dengan kelajuan konsisten 130 km/j, ia dapat memberikan 330 km jarak.

    Pengecasan pantas DC juga menerima peningkatan, daripada kapasiti 50 kW kepada 150 kW. Ini boleh mencapai tahap 10%-80% dalam masa 35 minit — dengan kini menggunakan pengecas jenis CCS2.

    Leaf baru ini turut mempunyai fungsi vehicle-to-load (V2L) hingga 3.6 kW dan menyokong vehicle-to-grid (V2G), yang boleh membantu mengurangkan kos tenaga. Untuk suspensi belakang kereta ini ia menggunakan jenis multi-link untuk lebih selesa, dan datang dengan pemanduan pedal tunggal e-Pedal Step, brek regeneratif boleh ubah serta kamera 360-darjah dengan fungsi 3D.

    Untuk aspek keselamatan, ia lengkap dengan AEB, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong dan peninjau perhatian pemandu. Ia juga boleh dipilih dengan fungsi semi-autonomous ProPilot Assist Level 2, lengkap dengan bantuan penghad kelajuan pintar Navi-link.

    Nissan Leaf terbaru ini dipasang di Tochigi, Jepun dan juga di Sunderland di UK. Kereta ini akan dilancarkan di Amerika Utara dahulu tahun ini.

     
     
  • Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

    Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

    Apa akan terjadi jika anda gabungkan Chevrolet Corvette ZR1 – model terpantas dan paling ekstrem pernah dihasilkan Corvette – dengan Corvette E-Ray, model elektrifikasi pertama dalam sejarah jenama ini? Hasilnya ialah Corvette ZR1X, sebuah jentera hibrid pacuan semua roda (AWD) yang dikatakan antara kereta paling laju di dunia ketika ini.

    Chevrolet menggelar ZR1X sebagai hypercar sebenar buatan Amerika, tetapi mungkin ada peminat tegar yang tidak bersetuju kerana ia cuma mengambil asas sebuah kereta sports dan dipertingkat. Namun, prestasi yang ditawarkan memang layak.

    ZR1X mengekalkan asas daripada model ZR1 biasa, termasuk penggunaan enjin V8 5.5 liter LT7 twin-turbo dengan konfigurasi flat-plane crankshaft. Enjin ini menjana kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm, disalurkan ke roda belakang melalui transmisi klac berkembar 8-kelajuan.

    Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

    Namun, perbezaan ketara datang dari penggunaan motor elektrik di gandar hadapan, diambil daripada sistem Corvette E-Ray tetapi telah dipertingkatkan kepada 186 hp dan 197 Nm. Gabungan keseluruhan memberikan output luar biasa sebanyak 1,250 hp.

    Walaupun masih menggunakan pek bateri 1.9 kWh, keupayaan tenaga boleh guna telah ditingkatkan untuk prestasi pemanduan trek yang lebih baik. ZR1X bukan model plug-in hybrid, sebaliknya semua tenaga elektrik dijana sepenuhnya melalui sistem brek regeneratif, sama seperti E-Ray.

    Dari aspek prestasi, angka yang dicatat sangat mengagumkan – pecutan 0 ke 60 mph (97 km/j) di bawah dua saat dan suku batu (402 m) dalam masa kurang sembilan saat. Ini turut dibantu oleh keupayaan gandar hadapan untuk dinyahhubung pada kelajuan lebih tinggi, iaitu 258 km/j, berbanding 241 km/j pada E-Ray.

    Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

    Sistem pembahagian kuasa antara gandar hadapan dan belakang sentiasa dilaras mengikut input pemandu dan keadaan pemanduan bagi memberikan tindak balas dan cengkaman optimum. Di litar, pemandu boleh memilih beberapa mod termasuk Endurance Mode untuk pemanduan agresif berterusan, Qualifying Mode yang mengoptimumkan strategi kuasa untuk satu pusingan pantas dan Push-to-Pass, menyediakan kuasa maksimum seketika untuk memotong.

    ZR1X juga menerima mod baru dalam sistem kawalan cengkaman dipanggil PTM Pro, yang menutup sistem kawalan cengkaman dan kestabilan sepenuhnya tetapi masih mengekalkan fungsi pelarasan tork melalui brek regeneratif, launch control serta kawalan awal gandar hadapan untuk cengkaman maksimum semasa keluar selekoh.

    Untuk sistem brek, ZR1X dilengkapi brek karbon seramik J59 yang dinaik taraf, kini dijadikan standard berbanding sebagai pilihan tambahan pada ZR1 biasa. Ia dipadankan bersama angkup 10-piston dari Alcon di hadapan (cakera 420 mm – terbesar pernah dipasang pada Corvette) dan unit 4-piston di belakang. Chevrolet mendakwa sistem ini mampu memberikan daya henti sehingga 1.9g dari 290 km/j ke 200 km/j.

    Chevrolet Corvette ZR1X diperkenal – pencabar hypercar dengan penggerak hibrid AWD 1,250 hp

    ZR1X menggunakan suspensi adaptif jenis magnetorheological secara standard, sementara rim aloi bersaiz 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang hadir sebagai kelengkapan asas, manakala rim gentian karbon disediakan sebagai pilihan.

    Melihat kepada reka bentuk, ZR1X hampir sama seperti ZR1, yang mana adalah tidak banyak berbeza dengan Corvette Z06. Ciri seperti liang udara besar di hadapan, splitter depan, liang sisi berbentuk trilob, diffuser belakang bersaiz besar dan empat paip ekzos kekal dikongsi semua model ini. Perbezaan utama hanyalah bonet berliang udara yang hanya terdapat pada ZR1 dan ZR1X.

    Pelanggan boleh memilih pakej aerodinamik gentian karbon yang merangkumi flic hadapan, gurney flap di sekitar liang bonet, serta sayap belakang besar yang menghasilkan sehingga 544 kg daya tolakan ke bawah. Pakej ini datang sebagai standard dalam ZTK Track Performance Package, yang turut menyediakan penyerap hentak lebih keras dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (Pilot Sport 4S adalah standard biasa).

    Di dalam kabin, ZR1X menerima rekaan dalaman baru untuk barisan model Corvette tahun 2026, termasuk penghapusan “dinding butang” di sebelah penumpang. Butang-butang ini kini diletakkan di bawah skrin infotainmen utama 12.7 inci, manakala paparan meter digital 14 inci disertai oleh skrin tambahan 6.6 inci di sebelah kiri untuk paparan kenderaan dan tetapan PTM.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mei 2025 naik 12.4%

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mei 2025 naik 12.4%

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sejumlah 68,007 kenderaan telah dijual pada bulan Mei 2025. Ini turut mewakili peningkatan sebanyak 12.4% berbanding bulan April 2025, yang menyaksikan sejumlah 69,527 unit telah dihantar kepada para pelanggan.

    Faktor peningkatan jualan tersebut turut didorong dengan bilangan hari bekerja yang lebih tinggi pada Mei berbanding April. Selain itu, ia juga disebabkan aktiviti promosi yang berterusan oleh syarikat pengeluar kereta termasuk penghantaran kenderaan dari tempahan yang diterima pada suku pertama tahun ini.

    Walau bagaimana pun, dari segi perbandingan tahun ke tahun (YoY), jumlah keseluruhan bagi Mei 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 3% berbanding Mei 2024 (70,254 unit). Manakala bagi angka terkumpul tahun setakat ini, lima bulan pertama tahun 2025 menyaksikan sebanyak 316,737 unit terjual, iaitu penurunan sebanyak 5% berbanding 333,309 unit yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.

    Pengeluaran juga mencatatkan penurunan, dengan 65,970 unit dikeluarkan pada Mei 2025, iaitu susut sebanyak 12% berbanding bulan yang sama pada tahun lalu (74,609 unit). Jumlah pengeluaran terkumpul bagi tahun 2025 setakat ini adalah sejumlah 299,886 unit, juga menurun sebanyak 12% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang mencatatkan 342,344 unit.

    Bagi bulan Jun 2025, MAA menjangkakan jualan akan lebih rendah berbanding Mei 2025 disebabkan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini kerana pengeluar utama menutup kilang mereka selama seminggu.

     
     
  • Mazda CX-5 2026 – imej model generasi baharu tertiris di internet sebelum ia didedahkan secara rasmi

    Mazda CX-5 2026 – imej model generasi baharu tertiris di internet sebelum ia didedahkan secara rasmi

    Sebelum didedahkan secara rasmi, imej bagi model generasi baharu Mazda CX-5 kini sudahpun tertiris dan tular di internet. Foto berkenaan tersebar menerusi forum CocheSpias yang menyatakan imej tersebut diambil dari laman instagram Car Design News.

    Menerusi imej ini jelas CX-5 generasi ketiga tersebut menampilkan bayangan badan sisi dan bahagian cermin tingkap yang masih tidak jauh berbeza dari model sedia ada, menyamai versi prototaip dengan pelekat penyamaran yang sudah dijumpai diuji di atas jalan raya sebelum ini.

    Perbezaan paling ketara bagi model generasi baharu ini adalah pada bahagian muka, di mana ia menampilkan lampu hadapan lebih besar serta nampak seperti sebahagian dari gril hadapan. Gril pada bahagian bawah bampar juga nampaknya lebih besar dari versi sedia ada.

    Unit yang tertiris ini juga masih menampilkan pelindung-pelindung badan pada ruang roda dan bawah pintu berwarna hitam. Ada laporan menyatakan bahawa ini adalah varian lebih rendah kerana untuk varian lebih mahal ia menampilkan pelindung-pelindung berkenaan dalam kemasan warna badan.

    Mazda CX-5 2026 – imej model generasi baharu tertiris di internet sebelum ia didedahkan secara rasmi

    Mazda CX-5 generasi sedia ada

    Mazda CX-5 generasi baharu ini dijangka akan mula dijual pada tahun hadapan. Mazda juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa CX-5 generasi ketiga ini akan menjadi model pertama yang akan menerima enjin petrol generasi baharu yang dikenali sebagai SkyActiv-Z.

    Enjin tersebut dikatakan mampu beroperasi dengan kaedah pembakaran ‘lambda one’, iaitu ia akan mencapai pembakaran lengkap dengan 14.7 bahagian udara dan 1 bahagian bahan api (14.7:1 atau dikenali dengan 1 lambda) pada setiap tahap rpm enjin.

    Mazda turut mengesahkan enjin tersebut akan memenuhi peraturan emisi Euro 7 di Eropah dan juga LEV 4/Tier 4 di Amerika Syarikat. Dengan terhasilnya enjin yang boleh dijual tanpa masalah dalam era pelepasan karbon yang semakin ketat ini, Mazda mendakwa bahawa ia dapat menjimatkan banyak kos kerana enjin tersebut boleh beroperasi dengan unit kawalan elektronik dan juga komponen-komponen elektrikal yang jauh lebih sedikit berbanding model-model yang dibantu sistem elektrifikasi bagi kekal relevan dengan undang-undang berkenaan.

    Walau bagaimanapun varian dengan enjin SkyActiv-Z ini akan hadir sedikit lewat iaitu dijangka pada 2027. Sebelum itu, ia masih akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sedia ada dan turut akan menampilkan varian yang menggunakan sistem hibrid.

     
     
  • JPJ kutip lebih RM56 juta hasil bayaran kompaun khas kadar rata antara 3 Jan-6 Jun – libatkan 374,024 saman

    JPJ kutip lebih RM56 juta hasil bayaran kompaun khas kadar rata antara 3 Jan-6 Jun – libatkan 374,024 saman

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya memperoleh lebih RM56 juta hasil bayaran saman melalui inisiatif Saman Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang diperkenalkan sejak Januari lalu.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, jumlah itu melibatkan sebanyak 374,024 saman trafik yang telah diselesaikan setakat ini, laporan Berita RTM.

    Walau bagaimana pun, beliau berkata, kutipan itu masih rendah kerana hanya mewakili sekitar 20% daripada keseluruhan jumlah saman yang dikeluarkan tetapi masih belum dilangsaikan.

    “Kita harap orang ramai jangan tunggu saat akhir untuk bayar saman kerana dikhuatiri berlaku kesesakan. Saluran bayaran telah dibuka termasuk di kaunter, aplikasi MyJPJ, kioks, dan kemudahan bergerak (mobile),” katanya.

    JPJ kutip lebih RM56 juta hasil bayaran kompaun khas kadar rata antara 3 Jan-6 Jun – libatkan 374,024 saman

    Pada awal Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula 3 Januari 2025. Tiga kesalahan tersebut melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

    “Biasanya, kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula 3 Jan selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.

    “Sebab saman AWAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AWAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.

     
     
  • Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

    Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

    Ford Ranger Super Duty

    Ford telahpun mengumumkan spesifikasi trak pikap Ford Ranger yang lebih lasak dan bakal dilancarkan pada tahun hadapan iaitu Ford Ranger Super Duty.

    Maklumat rasmi terbaharu ini mendedahkan bahawa Ranger Super Duty akan dibekalkan dengan enjin V6 3.0 liter turbodiesel, namun ia hanya menghasilkan kuasa 209 PS pada takat 3,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 1,750 rpm. Ini bermakna kuasa yang dibekalkan adalah lebih 40 PS kurang berbanding Ranger Wildtrak yang menerima enjin sama tetapi menghasilkan 250 PS/600 Nm.

    Menurut Ford ia adalah kerana enjin Ranger Super Duty ini diberikan talaan khas bagi membolehkan ia melepasi undang-undang emisi Euro VI untuk kenderaan tugas berat yang lebih ketat. Selain itu sistem penyejukan enjin Super Duty ini juga telah dipertingkat bagi membolehkan ia beroperasi 25% lebih berkesan dari Ranger biasa.

    Ford Ranger Super Duty – spesifikasi didedah; 209 PS/600 Nm, boleh tampung beban sehingga 1.9 tan

    Ford Ranger Super Duty

    Sebelum ini Ford telah mengesahkan bahawa Ranger Super Duty ini dapat menampung berat keseluruhan beban dan kenderaan itu sendiri (GVM) pada kadar 4,500 kg, serta berat gandingan kenderaan dan tundaan (GCM) pada kadar 8,000 kg. Namun dalam siaran terbaharu yang disiarkan, jenama itu telah memperincikan angka beban yang boleh dibawa Ford Ranger Super Duty ini di mana casis Single Cab mampu menampung 1,982 kg, casis Super Cab sehingga 1,896 kg dan casis double cab sehingga 1,825 kg.

    Ranger Super Duty ini juga menerima gandar hadapan dan belakang yang dipertingkat bersama drive shaft berdiameter lebih besar bagi membolehkan gandar hadapan menampung beban sehingga 1,900 kg dan gandar belakang sehingga 2,800 kg. Untuk memastikan ia turut boleh melalui laluan off-road lebih lasak, unit locking differential bukan hanya diberi pada gandar belakang, malah turut disertakan pada gandar hadapan.

    Suspensi Ranger Super Duty ini juga direka bagi memberikan jarak kelegaan tanah lebih tinggi sehingga 299 mm, dan hab roda juga dipertingkat bagi membolehkan ia dipadankan dengan rim 18-inci dengan lapan lubang stad, bersama tayar all-terrain berdiameter 33-inci dipasang secara standard, menjadikan jarak trek roda lebih lebar sehingga 1,710 mm.

    Ia juga datang dengan unit Snorkel secara standard, membolehkan ia ‘menyelam’ meredah air pada kedalaman 850 mm. Selain itu perincian standard lain yang turut diberikan termasuk bampar besi hadapan dan belakang, fender flare lebih besar untuk lebih melindungi badan dan juga plat pelindung bawah yang besar.

    Trak pikap ini juga menerima tangki bahan api lebih besar berkapasiti 130 liter membolehkan ia berjalan masuk ke kawasan pedalaman yang lebih jauh. Dalam kabin, Ford telah menyediakan banyak cagak untuk membolehkan pemiliknya menambah pelbagai aksesori lain tanpa merosakkan kemasan dalaman trak pikap ini.

    Ford Ranger Super Duty ini masih akan diproduksi di Thailand, dan bakal di bawa ke pasaran Australia tahun hadapan di mana divisi pasaran berkenaan telah mengumumkan harga jualannya – varian single cab berharga AU$82,990 (RM230,100), varian super cab akan dijual pada harga AU$86,490 (RM239,800), manakala varian double cab pula berharga AU$89,990 (RM249,500).

     
     
  • PLUS umum susur masuk persimpangan bertingkat Bangi-Southville tutup hingga 10 Julai, 10mlm-5pagi

    PLUS umum susur masuk persimpangan bertingkat Bangi-Southville tutup hingga 10 Julai, 10mlm-5pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa jalan susur masuk persimpangan bertingkat Bangi ke Southville ditutup sementara kepada semua kenderaan sejak 11 Jun lalu sehingga 10 Julai 2025, setiap hari bermula jam 10 malam hingga 5 pagi.

    “Penutupan ini bagi adalah untuk membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan memotong pokok-pokok menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut. Sebagai alternatif, pengguna lebuhraya dari laluan Plaza Tol Bangi boleh masuk ke lebuhraya melalui Plaza Tol Kajang atau jalan negeri untuk ke Bangi pada waktu tersebut.

    “PLUS menasihatkan pengguna lebuhraya yang menggunakan laluan tersebut agar merancang perjalanan serta mematuhi papan tanda arahan yang disediakan oleh pihak PLUS,” kata PLUS.

     
     
  • iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Satu lagi sub-jenama dari Chery iaitu iCaur sudahpun dilancarkan secara rasmi ke Malaysia ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 bulan lalu. Masih belum ada modelnya yang dilancarkan di sini, namun ketika itu tiga model utamanya iaitu iCaur 03, 03T dan juga V23 ada dipamerkan untuk dilihat oleh orang ramai.

    Dari dua model tersebut, iCaur Malaysia telah mengesahkan bahawa model 03 akan dilancarkan terlebih dahulu iaitu pada suku ketiga tahun ini. Dan sebelum ia dilancarkan, kami telah diberi peluang untuk melihat model ini diluar dari dewan pameran.

    Di China jenama ini dikenali sebagai iCar, manakala pada pasaran-pasaran eksport tertentu termasuk Malaysia yang berhadapan dengan masalah pendaftaran tanda dagang, ia dikenali sebagai iCaur. Jenama ini wujud dengan kerjasama antara Chery dan Zhimi Technology (juga dikenali sebagai Smartmi) iaitu anak syarikat pengeluar peralatan elektronik iaitu Xiaomi.

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Dua varian 03 akan dijual di Malaysia iaitu 03 2WD yang bakal dijual pada harga RM145,000, dan varian iWD dijual pada harga RM155,000. Kami menerima varian paling tinggi iaitu iWD untuk tatapan anda kali ini.

    Sebelum kita pergi jauh, perlu penulis jelaskan bahawa iCaur 03 ini adalah sebuah SUV yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang didakwa dihasilkan dengan kebolehan meredah laluan off-road dengan baik. Bagi varian 2WD, ia menerima motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang dan memacu roda belakang berkuasa 184 PS dan tork 220 Nm.

    Manakala varian iWD ini pula, satu lagi motor elektrik tambahan berkuasa 95 PS dan tork 165 Nm diletakkan pada gandar hadapan bagi memacu roda hadapan. Mengapa ia digelar iWD dan bukan AWD? iCaur menyatakan ini kerana kuasa antara gandar hadapan dan belakang akan menggerakkan tayar secara pintar (intelligent) bagi mendapatkan cengkaman terbaik berdasarkan keadaan permukaan jalan dan mod yang dipilih.

    iCaur 03 iWD di Malaysia – SUV EV AWD 279 PS/385 Nm, harga jangkaan RM155k, lancar suku ke-3 2025

    Secara keseluruhan SUV ini dibekalkan dengan kuasa 279 PS dan tork maksima 385 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 150 km/j. Kuasa untuk menggerakkan kedua-dua motor elektrik berkenaan diterima dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 69.8 kWjm yang memberikan jarak gerak sejauh 418 km dengan satu cas penuh dalam kitaran ujian NEDC.

    Manakala untuk mengecas, pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dipenuhkan dari 30%-80% dalam masa 30 minit. Ia juga menyokong pengecas AC pada kadar 6.6 kW serta sistem vehicle-to-load (V2L) untuk memberi kuasa pada peralatan elektrik lain pada kadar 3.3 kW.

    Dengan gaya luaran yang direka berkotak seakan model-model SUV off-road ikonik seperti Land Rover Defender, iCaur ini nampak seperti sebuah SUV yang besar, namun sebenarnya ia adalah SUV dalam kelas segmen-B seperti Honda HR-V. Panjangnya adalah 4,406 mm bersama lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dan jarak roda sejauh 2,715 mm.

    Rupa berkotak SUV ini diselarikan dengan perincian-perincian lasak seperti bampar hadapan dan belakang seakan ‘disangkut’ pada casis ladder frame, pelindung-pelindung badan pada semua ruang roda, rel bumbung, kotak kargo yang disangkut pada pintu tailgate belakang seakan tayar gantian yang digantung pada SUV klasik, dan rim aloi 19-inci bersama tayar 225/55R19, tetapi diadun dengan bentuk lampu hadapan dan belakang berkotak yang nampak futuristik.

    Namun iCaur 03 ini masih diasaskan dari kerangka badan monocoque yang menampilkan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan suspensi bebas jenis multilink di belakang.

    Dalam kabin sekali lagi inspirasi dari Land Rover Defender diterapkan pada SUV ini, terutamanya pada bahagian papan pemuka yang juga direka berkotak. Namun elemen minimalis agak dititik beratkan kerana tiada sebarang suis atau butang kawalan ditempatkan pada papan pemuka tersebut.

    Selain dari suis-suis kawalan maya yang boleh digunakan menerusi skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci di tengah papan pemuka, kawalan untuk sistem penghawa dingin dan audio sebenarnya boleh dibuat menerusi suis fizikal yang ditempatkan pada roda stereng. Manakala suis lampu isyarat kecemasan pula diletakkan pada bumbung (berhampiran cermin pandang belakang) bagi mengekalkan rupa ringkas pada papan pemuka.

    Selain itu SUV ini juga menerima perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin 9.2-inci, sistem audio Infinity dengan 12-pembesar suara, bumbung suria panaromik, pengecas telefon pintar tanpa wayar, butang pembuka pintu, tempat duduk hadapan larasan kuasa, port pengecas USB-A dan USB-C di hadapan dan belakang, dan pelbagai lagi.

    Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2.5 yang menampilkan fungsi seperti bantuan kekal lorong, cruise control adaptif, bantuan kesesakan trafik dan pelbagai lagi. Ia juga datang dengan kamera pemantau 540-darjah yang memberikan visual ‘lutsinar’ di bawah lantai.

    Namun kami difahamkan unit yang diberikan kepada kami ini masih lagi dalam bentuk pra-produksi bagi pasaran Malaysia. Untuk spesifikasi sebenar kita masih perlu menunggu sehingga ia dilancarkan secara rasmi di sini kelak.

     
     
  • Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Penyelarasan semula subsidi petrol RON 95 akan menjadi keutamaan bagi kerajaan bagi tahun ini sebelum cukai karbon diperkenalkan pada 2026 nanti, jelas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Diumumkan pertama kali dalam Belanjawan 2025, cukai karbon bukan cukai jalan yang berasaskan CO2 seperti di negara lain, sebaliknya disasarkan terhadap logam dan besi, dan industri tenaga, dengan pendapatan dari situ akan digunakan untuk mendanai kajian dan program teknologi mesra alam, lapor The Sun.

    Beliau juga maklum bahawa Malaysia perlu terlebih dahulu mendepani masalah subsidi minyak, terutama yang melibatkan sektor tenaga, sebelum melaksanakan cukai karbon. “Ketika kita melakukan peralihan ini, perlulah dipastikan tiada kesan yang tidak dikehendaki berada dalam sistem kita. Sebagai contoh, Malaysia belum melaksanakan cukai karbon sebagai sebahagian daripada kerangka dasarnya. Walaupun dijadualkan untuk dilaksanakan pada 2026, ada langkah yang lebih penting perlu diambil,” jelasnya.

    “Satu masalah utama ialah ketidakseimbangan yang berlaku dalam sistem, terutamanya terhadap subsidi yang disediakan untuk sektor tenaga. Matlamat utamanya kini ialah untuk mula mengurangkan semua subsidi ini. Tidak masuk akal untuk mengenakan cukai di satu sisi, tetapi pada masa yang sama di sisi yang lain tetap memberikan subsidi petrol, diesel atau bahan api lain,” tambahnya.

    Penyelarasan semula subsidi RON95 akan buka jalan kepada cukai karbon untuk industri pada 2026

    Beliau juga menekankan bahawa penyelarasan semula subsidi adalah langkah kritikal ke arah mewujudkan asas yang kukuh bagi membangunkan kelestarian kaedah dan kerangka dasarnya. “Untuk itu, kita boleh jangkakan pengenalan kaedah berstruktur, termasuk kerangka tindakan iklim, alat pengukuran yang mantap, dan juga pelaksanaan cukai karbon untuk menyokong semua inisiatif ini,” jelas beliau.

    “Jika kita mahukan peralihan ini memberi kesan berterusan, keseluruhan sistem perlu memberi maklum balas. Ia tidak boleh dipacu oleh pengumuman yang terpisah atau polisi berasingan. Cabaran untuk kerajaan adalah untuk merangka semuanya bersekali agar ia selari dan berkesan,” tambahnya.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan semula subsidi petrol RON 95 akan diteruskan seperti yang telah dirancang, dan menambah bahawa ia tidak akan memberi kesan kepada 85%-95% penduduk.

     
     
  • Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Minggu lalu, Stellantis Malaysia umumkan kemaskini dan peningkatan yang dilakukan terhadap model Leapmotor C10 bagi tahun 2025, yang pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2024. Lebih menarik, model SUV elektrik berkenaan juga diberikan harga jualan baru yang lebih rendah, iaitu RM125,000 termasuk insurans daripada harga asalnya, RM159,000 — harga pengenalan ketika dilancarkan pula ialah RM149,000 hingga Oktober 2024 tahun lalu.

    Jadi, apa peningkatan dan kemaskini yang dilakukan terhadap Leapmotor C10? Antara yang utama ialah pengecas AC-nya kini dengan kapasiti kuasa 11 kW, menggantikan versi 6.6 kW sebelum ini. Ini menjadikan tempoh pengecasan lebih pendek, daripada enam jam kepada empat jam. Untuk pengecasan DC pula masih sama; 84 kW yang boleh mengecas bateri LFP 69.9 kWh dari 30%-80% dalam masa 30 minit.

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Untuk kelengkapan lain, model C10 2025 kini turut datang sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kit pam angin automatik untuk tayar. Turut ditambah ialah penutup ruang barangan belakang (tonneau cover) — kapasiti ruang simpanan belakang ialah 435 liter dengan tempat duduk belakang ditegakkan, dan boleh menjadi sehingga 1,410 liter jika tempat duduk dilipat. Ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan (frunk) menyediakan 32 liter ruang.

    Bahagian dalam C10 2025 pula menampilkan kemasan balutan hitam, menggantikan warna Midnight Aurora bagi varian dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey. Bagi model berwarna Glazed Green pula, upholsteri kini hadir dalam warna Camel Brown menggantikan Criollo Brown. Bahan balutannya masih menggunakan tekstil silikon Oeko-Tex.

    Untuk sistem hiburan, Leapmotor C10 2025 mengekalkan panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720, serta skrin tengah bersaiz 14.6 inci berdefinisi tinggi dengan resolusi 2560 x 1440. Sistem audio pula terdiri daripada 12-pembesar suara berkuasa 840 watt dengan bunyi keliling, lengkap dengan fungsi navigasi satelit, Wi-Fi dan Bluetooth.

    Leapmotor C10 2025 di Malaysia — pengecas AC 11 kW, kemaskini kelengkapan; harga turun jadi RM125k

    Sistem penggerak Leapmotor C10 ini tidak berubah, masih menggunakan tetapan motor tunggal yang menghasilkan 218 PS dan 320 Nm untuk memacu roda belakang. Kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

    Leapmotor C10 2025 dijual dengan harga bermula RM125,000 dan hadir bersama jaminan selama enam-tahun atau 150,000 km (terdiri daripada jaminan pengeluar empat tahun dan jaminan lanjutan dua tahun), serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025