Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Chery Tiggo Cross pemasangan CKD di M’sia — unit pertama 1.5 Turbo, Hybrid dari kilang Inokom bermula

    Chery Tiggo Cross pemasangan CKD di M’sia — unit pertama 1.5 Turbo, Hybrid dari kilang Inokom bermula

    Baru saja dilancarkan pada 9 Julai lalu, kini pemasangan tempatan (CKD) bagi model Chery Tiggo Cross telah dimulakan, dan unit pertama bagi SUV kompak itu sudah dikeluarkan dari kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah.

    Pengeluaran CKD itu melibatkan kedua-dua varian Tiggo Cross yang ditawarkan dalam pasaran di sini, iaitu 1.5 Turbo yang dijual dengan harga RM88,800, dan juga 1.5 Hybrid CSH yang dijual dengan harga RM99,800 — kedua-duanya harga atas jalan, belum termasuk insurans.

    “Tiggo Cross merupakan SUV paling kecil dan paling mampu milik yang kami keluarkan, dan kami berbangga membuat pemasangan tempatan di Malaysia, dengan memanfaatkan kemampuan tempatan serta kerjasama strategik bagi memastikan kami memberikan kualiti global untuk memenuhi keperluan pelanggan di sini,” jelas Timbalan Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

    Chery Tiggo Cross pemasangan CKD di M’sia — unit pertama 1.5 Turbo, Hybrid dari kilang Inokom bermula

    “Melakukan pemasangan model Chery di sini mencerminkan kesungguhan kami terhadap pasaran tempatan, dan dalam masa yang sama mempertingkat kapasiti kami untuk memberi penawaran yang lebih kompetitif. Ia juga mencerminkan strategi lokalisasi serta visi jangka panjang untuk pertumbuhan yang mapan di dalam landskap automotif di Malaysia,” tambahanya.

    Bagi Tiggo Cross petrol, ia menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.

    Bagi Tiggo Cross HEV versi hibrid pula, ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terbaru. Ia menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat-silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 96 PS dan tork makisma 120 Nm.

    Chery Tiggo Cross pemasangan CKD di M’sia — unit pertama 1.5 Turbo, Hybrid dari kilang Inokom bermula

    Ia juga menampilkan sebuah kotak gear khas hibrid DHT150 dengan CVT serta dua buah motor elektrik yang
    membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Kuasa elektrik untuk sistem hibrid dibekalkan dari bateri LFP berkapasiti 1.8 kWj.

    Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km. Sistem hibrid ini berfungsi memberikan rasa pemanduan hampir seperti EV sebenar — ia akan mula bergerak dengan menggunakan motor elektrik dan boleh mencapai sehingga 80 km/j sebelum enjin pembakaran dalaman digerakkan.

    Kedua-dua varian Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam warna badan Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Manakala warna Blood Stone Red hanya eksklusif untuk varian 1.5L Turbo, dan warna Moonlight Silver hanya ditawarkan untuk varian 1.5L HEV.

    Untuk perincian lanjut tentang model ini, baca laporan pelancarannya di sini.

     
     
  • LRT3 kini capai kemajuan 99.21% – ujian dan pentauliahan tren sedang dijalankan sepanjang laluan

    LRT3 kini capai kemajuan 99.21% – ujian dan pentauliahan tren sedang dijalankan sepanjang laluan

    Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai dan dijangka akan memulakan operasi pada 30 September ini. Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tersebut pada Februari lalu, namun menyebut peratusan terkini dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

    Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN – Permatang Pauh), yang meminta kementerian untuk menjelaskan punca kelewatan dan peningkatan kos projek, menurut laporan The Star.

    Beliau menjelaskan bahawa projek ini mengalami kelewatan terutamanya disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang mengganggu kerja-kerja pembinaan antara Mac 2020 hingga Oktober 2021, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan rantaian bekalan dan menyebabkan kekurangan bahan binaan, khususnya besi dan simen. Ia juga menyebabkan kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir, apabila permit kemasukan pekerja asing hanya disambung semula pada November 2023.

    Mengenai kos pula, Loke berkata hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.

    Pada asalnya, projek ini direka dengan 26 stesen untuk perkhidmatan di koridor barat Lembah Klang Raya, dan dilancarkan pada tahun 2016 dengan bajet RM9 bilion. Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan menangguhkan pembinaan lima stesen dan membatalkan satu, menjadikan jumlah kos berkurangan kepada RM16.63 bilion.

    Namun begitu, melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa lima stesen tersebut – Tropicana (sebelum ini dikenali sebagai Lien Hoe), Temasya, Raja Muda (Sirim), Bukit Raja dan Bandar Botanik – akan diteruskan semula dengan kos RM5.3 bilion.

    Kos tersebut turut merangkumi tujuh set tren tiga-gerabak, depot tren yang diperluas di Johan Setia, 150 bas ulang-alik elektrik dan pembinaan tiga depot bas.

    Pada 25 Julai lalu, dimaklumkan bahawa LRT3 Laluan Shah Alam kini sedang menjalani ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang laluan dari Stesen Bandar Utama ke Depot Johan Setia. Pada Februari lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata LRT3 Laluan Shah Alam ini dijadualkan bakal beroperasi mulai 30 September 2025.

     
     
  • Polis saman pemandu lori yang halang laluan bomba

    Polis saman pemandu lori yang halang laluan bomba

    Gara-gara menghalang laluan jentera pasukan bomba dan penyelamat ketika dalam perjalanan ke satu destinasi dengan memasang siren kecemasan, seorang pemandu lori dikenakan tindakan saman oleh polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, susulan penularan video yang tular di laman TikTok, pihaknya mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.

    “Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran jentera bomba tersebut disebabkan oleh bunyi enjin lori yang kuat dan keadaan tingkap tertutup sepenuhnya sehingga dia tidak dapat mendengar siren jentera bomba terbabit.

    “Sehubungan itu, saman telah dikeluarkan ke atas pemandu lori terbabit mengikut Seksyen 9(2) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana gagal memberi laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, pihaknya ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis, dan bomba apabila siren atau lampu amaran digunakan.

    “Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja kesalahan undang-undang malah boleh menjejaskan kelancaran operasi penyelamatan dan mengancam nyawa,” katanya.

     
     
  • KTMB tambah 2 perkhidmatan ETS KL Sentral-Padang Besar untuk cuti sekolah dan cuti umum akan datang

    KTMB tambah 2 perkhidmatan ETS KL Sentral-Padang Besar untuk cuti sekolah dan cuti umum akan datang

    KTM Berhad telah mengumumkan tambahan dua perkhidmatan tren ETS untuk musim cuti akan datang, iaitu termasuk cuti umum (Hari Merdeka, Mulidur Rasul dan Hari Malaysia, ditambah pula ‘cuti bonus’ pada 15 September seperti yang diumumkan oleh PMX baru-baru ini) dan juga cuti persekolahan.

    Perkhidmatan tambahan ini melibatkan laluan KL Sentral-Padang Besar dan ia beroperasi untuk 18 hari antara 28 Ogos hingga 21 September. Ia juga menyediakan 630 tempat duduk tambahan setiap hari, termasuk tempat duduk kelas perniagaan. KTMB berkata, sejumlah 11,340 tempat duduk disediakan bagi perkhidmatan tambahan dalam tempoh yang dinyatakan ini. Jualan tiket juga mula dibuka hari ini.

    Tren ETs tambahan ini akan bertolak dari Padang Besar pada jam 11.05 pagi dan sampai di KL Sentral jam 4.30 petang. Tren ini kemudian akan bergerak kembali ke utara dari KL Sentral jam 5 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.20 malam.

    KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang yang lebih murah berbanding pembelian saat akhir. Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style yang boleh dimuat turun dari Play Store, App Store atau Huawei AppGallery. KTMB juga sentiasa berpesan, pintu akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas, jadi pastikan anda tiba di stesen lebih awal.

     
     
  • NPE, BESRAYA ditutup untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge Run 2025 – Ahad 3 Ogos, 1 pagi-11 pagi

    NPE, BESRAYA ditutup untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge Run 2025 – Ahad 3 Ogos, 1 pagi-11 pagi

    Bagi pengguna Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), ini ada makluman buat anda. Sebanyak 31 laluan di kedua-dua lebuhraya berkenaan akan ditutup dan dilencongkan sempena acara IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025, Ahad ini, 3 Ogos, dari jam 1 pagi hingga 11 pagi.

    Penganjuran acara itu membabitkan penggunaan penuh jajaran NPE dan BESRAYA bagi kategori 42.195 km, 21 km, 10 km dan 5 km. Semua kategori akan bermula dan berakhir di hadapan Sunway Pyramid. Peserta akan berlari ke arah Templer dan Kuchai Lama sebelum kembali ke Sunway. Walau bagaimana pun, hanya peserta dalam kategori marathon penuh (full marathon/FM) yang akan berlari di jajaran Lebuhraya NPE dan BESRAYA.

      Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA):

    • Kuchai Lama (KM11.5 arah selatan)
    • Pusingan U ke Nirvana (KM11.5 arah utara)
    • Shell BESRAYA ke Sungai Besi (KM13.7 arah selatan)
    • Taman Salak Jaya ke Sungai Besi (KM14.4 arah selatan)
    • Salak Selatan ke Sungai Besi (KM14.8 arah selatan)
    • Pusingan U KM15.2 arah selatan ke Razak City
    • Pusingan U KM15.6 arah utara (Median)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Salak Selatan (KM16.0 arah selatan)
    • Pusat Bandar ke Plaza Tol Loke Yew (KM50.4 arah selatan)
    • Jalan Istana ke Plaza Tol Loke Yew (KM52.0 arah timur)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Istana (KM52.0 arah timur)
    • Jalan Loke Yew ke Plaza Tol Loke Yew (KM19.4 arah barat)
    • Jalan Cheras ke Plaza Tol Loke Yew (KM19.4 arah barat)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Cheras (KM19.4 arah timur)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Pandan Indah (KM P0.04)
    • Pandan Indah ke Plaza Tol Loke Yew (KM P0.04)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Pandan 1 (KM21.2)
    • Plaza Tol Loke Yew ke Maluri (KM21.2)
    • Pandan 1 ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.2)
    • Persiaran Pandan ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.2)
    • Plaza Tol Loke Yew ke MRR2 (KM21.8)
    • MRR2 ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.8)
    • Lebuhraya Baru Pantai (NPE):

    • Susur Kampung Pasir (masuk ke NPE)
    • Susur Kampung Pasir (keluar dari NPE)
    • Susur dari NPE ke Pantai Sentral Park
    • Susur dari Pantai Sentral Park ke NPE
    • Lebuhraya NPE / susur Pantai Sentral / susur Pantai Dalam
    • Simpang Kuchai Maju / Lebuhraya NPE
    • Lebuhraya NPE / Susur Kuchai Lama / Sungai Besi (KM16.9)
    • Lebuhraya NPE / Susur Kuchai Lama
    • U-turn Kuchai

    Flag-off bagu FM akan bermula jam 3 pagi. Manakala flag-off untuk half-marathon, 10 km dan 5 km akan bermula masing-masing jam 5 pagi, 5:30 pagi dan 6:50 pagi.

    Kawasan sekitar Sunway dijangka bakal mengalami kesesakan pada hari tersebut, di mana para peserta akan meletakkan kenderaan masing-masing di situ. Jadi, jika anda menuju ke lokasi berkenaan pada awal pagi Ahad ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya. Sila patuhi arahan anggota polis dan para petugas untuk kelancaran acara.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VPP dan QDD bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Sarawak yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VPP bakal dibuka bidaan mulai 4 Ogos 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDD, akan dibuka bidaan bermula 7 Ogos 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya,12 Ogos 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Isuzu dan Volvo Group meterai perjanjian bangunkan trak bersama – platform Isuzu, guna teknologi Volvo

    Isuzu dan Volvo Group meterai perjanjian bangunkan trak bersama – platform Isuzu, guna teknologi Volvo

    Isuzu Motors dan juga Volvo Group telah memeterai kerjasama strategik baharu untuk membangunkan trak bersama. Menerusi perjanjian itu, model-model baharu tersebut akan dihasilkan menggunakan platform modular bagi trak tugas berat sederhana yang dibangunkan khas untuk pasaran Jepun dan juga pasaran-pasaran Asia rekaan bersama oleh Isuzu dan UD Truck, serta menggunakan teknologi dari Volvo Group.

    Perjanjian ini diwujudkan menerusi perjanjian rangka kerja kerjasama strategik yang telah dimeterai oleh kedua-dua syarikat pada Oktober 2020, dan ia adalah kerjasama jangka masa panjang yang akan berlangsung sekurang-kurangnya selama 20-tahun.

    Perjanjian baharu ini turut meliputi peruntukan untuk pembekalan berterusan komponen utama, terutamanya rangkaian kuasa daripada Volvo Group. Ia juga memastikan sokongan teknikal berterusan dalam pembangunan dan jaminan kualiti. Perkongsian ini akan memberi tumpuan kepada memajukan pembangunan platform dan mengukuhkan sistem sokongan pelanggan untuk memastikan pengenalan pasaran yang stabil dan berjaya.

    “Perjanjian baharu ini menandakan peristiwa penting dalam kerjasama antara Isuzu Motors dan Volvo Group bagi memberikan kepercayaan yng lebih mendalam. Dengan menggabungkan kekuatan teknologi dan kepakaran kami, kami membuka jalan untuk masa depan trak tugas berat sederhana di Jepun dan seluruh Asia. Dan ia akan meningkatkan lagi kestabilan dan kebolehpercayaan produk dan perkhidmatan kami untuk pelanggan,”kata Pengerusi dan CEO Isuzu, Masanori Katayama.

    “Tetapan ini mewujudkan situasi menang-menang sebenar. Dengan memanfaatkan teknologi yang dikongsi, kedua-dua pihak boleh memacu kecekapan industri dan nilai jangka panjang untuk pelanggan. Ia mengukuhkan keupayaan kami untuk mengembangkan pendapatan sambil menyumbang lebih kepada penawaran yang lebih kompetitif di pasaran Asia,” kata Martin Lundstedt Presiden dan CEO Kumpulan Volvo.

    Dengan menandatangani perjanjian ini, Isuzu Motors dan Volvo Group akan melengkapkan kekuatan masing-masing, memanfaatkan teknologi masing-masing, dan mewujudkan sinergi berskala lebih besar untuk mengukuhkan lagi pakatan strategik mereka dan menangani cabaran logistik masa depan, kata kenyataan yang dikeluarkan bersama kedua-dua syarikat.

     
     
  • Harga minyak 31 Julai – 6 Ogos 2025 – petrol RON97 diturunkan 4 sen seliter menjadi RM3.17 seliter

    Harga minyak 31 Julai – 6 Ogos 2025 – petrol RON97 diturunkan 4 sen seliter menjadi RM3.17 seliter

    Bagi minggu bertarikh 31 Julai hingga 6 Ogos 2025, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak empat sen kepada RM3.17 seliter, berbanding RM3.21 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia turut dikekalkan pada paras RM2.91 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak juga masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • Maxim umum terima kebenaran APAD untuk teruskan operasi di M’sia, pastikan semua pemandu ada EVP

    Maxim umum terima kebenaran APAD untuk teruskan operasi di M’sia, pastikan semua pemandu ada EVP

    Susulan penjelasan daripada InDrive semalam yang mana syarikat itu telah menerima pengesahan daripada Kemeterian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di Malaysia, sebuah lagi penyedia perhidmatan e-hailing, Maxim turut mengikut jejak yang sama.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah memberi kebenaran untuk mereka meneruskan operasi di negara ini, namun tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. Maxim mengalu-alukan keputusan itu, dengan jaminan bahawa pelanggan boleh mengakses perkhidmatan itu dengan selamat, sementara rakan pemandunya pula berpeluang untuk terus meraih pendapatan yang stabil.

    “Kami bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk menyambung operasi di Malaysia di bawah pengawasan APAD, dan kami akan pastikan semua perkhidmatan yang disediakan adalah mematuhi keperluan seperti digariskan oleh APAD. Maxim terus komited memberikan perkhidmatan yang selamat dan lancar yang mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” jelas Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley.

    Sebagai sebahagian daripada komitmennya, syarikat itu akan memastikan semua rakan pemandu yang aktif ketika ini mempunyai permit kenderaan e-hailing (EVP) yang sah dan dilindungi oleh insurans. Maxim juga bersedia untuk bekerjasama dengan lebih rapat bersama APAD dan pemegang taruh yang lain bagi memastikan suasana perkhidmatan pengangkutan yang selamat untuk semua warga Malaysia.

    Maxim umum terima kebenaran APAD untuk teruskan operasi di M’sia, pastikan semua pemandu ada EVP

    Pengemuman yang dibuat oleh kedua-dua syarikat tersebut adalah susulan daripada laporan Mei lalu bahawa APAD telah menggantung permit operasi InDrive dan Maxim, dengan arahan untuk memberhentikan operasi berkuatkuasa pada 24 Julai lalu. Tindakan itu diambil selepas mendapati kedua-dua syarikat terbabit gagal memenuhi beberapa syarat terutamanya berkaitan keperluan EVP.

    Kedua-dua syarikat itu membuat rayuan ke atas keputusan tersebut dan diminta untuk mengambil langkah penambahbaikan sebelum 24 Julai bagi membolehkan mereka meneruskan operasi di negara ini. APAD juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat itu telah memperbaiki sistem pendaftarannya bagi memastikan semua pemandu memiliki EVP yang sah untuk membolehkan mereka beroperasi dengan sah, dan menyediakan data mereka untuk membantu silang-semak EVP berkenaan.

    Pada 24 Julai lalu, APAD juga telah mengeluarkan kenyataan membenarkan dua syarikat e-hailing ini untuk meneruskan operasi, dengan tempoh pengawasan selama tiga bulan.

     
     
  • Brabus 1000 diperkenal – Mercedes-AMG GT63S E Performance dengan kuasa 1,000 PS, tork 1,820 Nm

    Brabus 1000 diperkenal – Mercedes-AMG GT63S E Performance dengan kuasa 1,000 PS, tork 1,820 Nm

    Brabus sekali lagi menampilkan kepakaran talaan ekstremnya menerusi Mercedes-AMG GT63S E Performance yang kini dikenali sebagai Brabus 1000. Walaupun namanya ringkas, angka yang ditawarkan oleh jentera hibrid berprestasi tinggi ini sememangnya luar biasa dan selari dengan reputasi jenama penala dari Jerman itu.

    Asas kepada Brabus 1000 ialah enjin V8 petrol 4.0 liter dwi-turbo AMG yang kini telah dinaik taraf secara signifikan. Kapasiti enjinnya meningkat kepada lebih 4.4 liter (secara tepat 4,407 cc) hasil daripada pembesaran diameter silinder kepada 84 mm dan penggunaan piston tempa baru. Brabus turut membangunkan crankshaft aluminium jenis billet dengan lejang sepanjang 100 mm bagi meningkatkan sesaran enjin.

    Peningkatan lain termasuk penggunaan pengecas turbo Brabus dan sistem ekzos stainless steel berprestasi tinggi, lengkap dengan injap untuk mengawal tahap bunyi. Semua komponen ini diselaraskan menerusi sistem pengurusan enjin khas, membolehkan jentera ini menghasilkan 796 PS (785 hp atau 585 kW) pada 5,900 rpm dan tork setinggi 1,250 Nm pada 2,900 rpm.

    Namun begitu, bagi menjaga ketahanan sistem pacuan, tork maksimum telah dihadkan secara elektronik kepada 1,050 Nm. Kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dengan multi-clutch serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ dikekalkan.

    Sistem hibrid Brabus 1000 masih menggunakan motor elektrik AMG yang tidak diubah – dengan transmisi dua kelajuan – yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 320 Nm. Jika digabungkan, sistem janaan kuasa keseluruhan menghasilkan angka yang mengagumkan – 1,000 PS (986 hp atau 735 kW) dan tork 1,820 Nm. Seperti enjin petrolnya, tork maksimum sistem turut dihadkan kepada 1,620 Nm demi menjaga ketahanan komponen.

    Jentera ini masih mematuhi piawaian emisi Euro 6D ISC-FCM, lengkap dengan pensijilan dari kementerian pengangkutan Jerman. Sebagai perbandingan, versi asal AMG GT63S E Performance hanya menghasilkan 816 PS (805 hp atau 600 kW) dan 1,420 Nm. Maka, Brabus 1000 menawarkan lonjakan kuasa yang ketara.

    Brabus 1000 diperkenal – Mercedes-AMG GT63S E Performance dengan kuasa 1,000 PS, tork 1,820 Nm

    Dari segi prestasi, Brabus 1000 mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.6 saat, berbanding 2.8 saat pada model standard. Kelajuan maksimum kekal dihadkan secara elektronik pada 320 km/j. Sesi pecutan dari 0 ke 200 km/j mengambil masa 9.5 saat, manakala dari pegun ke 300 km/j memerlukan 23.6 saat. Untuk memastikan kestabilan pada kelajuan tinggi, Brabus menjalankan ujian dalam terowong angin dan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan aerodinamik.

    Bahagian luaran diserlahkan dengan komponen gentian karbon yang terdiri daripada spoiler hadapan dengan sirip sisi, canard hadapan, sisipan pada gril radiator, diffuser belakang dengan ruang untuk empat muncung ekzos 76 mm, serta sayap belakang yang menonjol. Semua elemen ini boleh didapati dalam kemasan gentian karbon terdedah atau dicat.

    Rim pula menggunakan rekaan Brabus Monoblock Z dengan sepuluh jejari, bersaiz 21 inci di hadapan (tayar profil 305/30) dan 22 inci di belakang (tayar profil 335/25). Turut ditawarkan ialah set penyerap hentakan sport boleh laras hasil kerjasama dengan KW, membolehkan ketinggian kereta direndahkan sehingga 20 mm.

    Di dalam, kabin disaluti kulit hitam dengan corak jahitan berlian yang turut menghiasi pelapik lantai dan ruang but. Siling dalaman pula menggunakan kemasan Dinamica, manakala kemasan gentian karbon dan pelbagai elemen khas dengan logo ‘77’ timbul memberi penghormatan kepada tahun penubuhan Brabus, iaitu 1977.

     
     
  • Kerajaan tidak teruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) – kementerian kewangan

    Kerajaan tidak teruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) – kementerian kewangan

    Selepas sesi Dewan Rakyat pada 29 Julai 2025, kerajaan secara rasmi membatalkan rancangan untuk melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (High Value Goods Tax – HVGT), lebih setahun selepas ia diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.

    Pada asalnya, HVGT dirancang untuk dikuatkuasakan bermula 1 Mei 2024, namun pelaksanaannya ditangguh susulan bantahan daripada pemain industri. Cukai yang dicadangkan itu melibatkan kadar antara 5% hingga 10% dan bakal dikenakan ke atas barangan seperti kereta mewah bernilai melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 serta barang kemas yang bernilai lebih RM10,000. Kerajaan sebelum ini menjangkakan hasil kutipan cukai ini mencecah RM700 juta setahun.

    Namun begitu, dalam jawapan bertulis Parlimen pada hari Selasa, Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan pelaksanaan HVGT yang sebelum ini dikenali sebagai cukai barangan mewah. Walaupun begitu, beberapa elemen dalam HVGT telah dimasukkan ke dalam sistem cukai jualan yang telah ditambah baik, di mana barangan mewah dan barangan bersifat pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar 5% atau 10%.

    Kerajaan tidak teruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) – kementerian kewangan

    Jawapan itu diberikan sebagai maklum balas kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang bertanyakan mengenai unjuran peningkatan hasil negara daripada pelaksanaan reformasi fiskal kerajaan. Reformasi tersebut termasuk cadangan pelaksanaan HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT), cukai barangan nilai rendah (LVGT) serta peluasan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

    Meskipun HVGT dibatalkan, kerajaan masih menjangkakan peningkatan hasil menerusi pelaksanaan dan peluasan cukai lain. Peluasan SST yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dijangka menyumbang tambahan hasil sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, dan angka ini dijangka meningkat kepada RM10 bilion menjelang 2026.

    Sementara itu, CGT yang mula dilaksanakan pada 1 Mac 2024 dijangka menjana hasil sekitar RM800 juta setahun, manakala LVGT yang telah bermula lebih awal pada 1 Januari 2024 telah menghasilkan kutipan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun 2024.

     
     
  • Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    Nissan bakal menutup satu lagi kilangnya dalam plan penstrukturan semula yang dikenali sebagai Re:Nissan bagi menyelamatkan jenama automotif dari krisis kewangan yang sedang dihadapi buat masa sekarang. Kilang yang bakal ditutup kali ini adalah kilang CIVAC yang terletak di Cuernavaca, Mexico, di mana operasinya akan dihentikan pada penghujung tahun fiskal 2025 syarikat itu, iaitu pada Mac 2026.

    Kilang CIVAC berkenaan merupakan salah satu kilang bersejarah buat Nissan kerana ia adalah kilang pertama jenama tersebut yang beroperasi di luar Jepun dan mula dibuka pada 1966. Model pertama yang mula dipasang di kilang berkenaan adalah Datsun Bluebird, dan sehingga kini sebanyak 6.5 juta kenderaan telah dihasilkan menerusi fasiliti tersebut.

    Buat masa sekarang kenderaan-kenderaan yang dipasang di kilang CIVAC itu masih mewakili 11% jumlah keseluruhan produksi Nissan di Mexico. Antara model-model yang masih di pasang di situ termasuk trak pikap Nissan Frontier (dikenali sebagai Navara di Malaysia) dan juga versi single cab yang lebih asas NP300, serta sedan Nissan Versa (atau Almera di di sini).

    Menurut Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan, produksi bagi model-model yang dipasang olenh kilang CIVAC ini akan dipindahkan di kilang COMPAS (Cooperation Manufacturing Plant Aguascalientes) yang juga terletak di Aguascalientes, juga di Mexico.

    Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    “Selama lebih 60 tahun, Nissan Mexicana telah membina hubungan yang kukuh dan dipercayai dengan pemegang kepentingannya di Mexico, memperoleh pengiktirafan global sebagai salah satu operasi utama syarikat itu,” kata CEO Nissan, Ivan Espinosa.

    “Hari ini, kami telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu, yang akan membolehkan kami menjadi lebih efisien, lebih berdaya saing dan lebih mampan. Sepanjang peralihan ini, kami tetap amat menghargai sumbangan tidak ternilai yang disumbang oleh rakan usaha sama kami di kilang CIVAC. Dedikasi mereka selama ini telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami. Saya mengambil peluang ini untuk mengesahkan komitmen kami kepada pekerja, pelanggan dan syarikat kami,” tambah beliau.

    Bukan hanya kilang CIVAC, malah satu lagi kilang bersejarah Nissan iaitu kilang Oppama di Jepun yang digelar sebagai ‘ibu kilang’ jenama itu di negara kelahirannya turut akan ditutup menjelang Mac 2028. Ia selaras dengan rancangan Re:Nissan bagi mengurangkan kapasiti pengeluaran globalnya daripada 3.5 juta unit (tidak termasuk China) kepada 2.5 juta unit sambil mengekalkan kadar penggunaan kilang sekitar 100%.

    Ini akan menyaksikan beberapa operasi pengeluaran akan disatukan, bagi membolehkan jumlah 17 kilang dikecilkan hanya kepada 10 kilang. Nissan turut mengumumkan bahawa produksi van NV200 yang kini dibuat di kilang Nissan Shatai Shonan yang terletak di wilayah Kanagawa akan berakhir pada tahun kewangan 2026 (Mac 2027). Ia akan digantikan dengan model kenderaan komersil ringan (LCV) baharu yang akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2027.

     
     
  • Suzuki eVitara dipertonton sebelum pelancaran awal tahun depan di Indonesia – jarak gerak cecah 500 km

    Suzuki eVitara dipertonton sebelum pelancaran awal tahun depan di Indonesia – jarak gerak cecah 500 km

    Suzuki bakal melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya di pasaran Indonesia menerusi model eVitara yang dijangka mula dijual pada awal tahun 2026. Perkara ini dilaporkan oleh CNN, yang turut menyatakan bahawa model elektrik tersebut kini sedang dipertontonkan kepada umum di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), sebagai sebahagian daripada pengenalan awalnya kepada pasaran.

    Suzuki eVitara pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada November tahun lalu dan berkongsi platform serta rekaan asas dengan Toyota Urban Cruiser. Dibina menggunakan platform HEARTECT-e, eVitara hadir dengan dimensi 4,275 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,700 mm.

    SUV elektrik ini akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 49 kWh dan 61 kWh. Versi dengan bateri 49 kWh dipadankan dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa sebanyak 144 PS (bersamaan 142 hp atau 106 kW) serta tork 189 Nm. Sementara itu, varian 61 kWh pula hadir dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, menjana 174 PS (172 hp atau 128 kW) dengan tork yang sama.

    Bagi mereka yang inginkan lebih kuasa dan cengkaman, bateri berkapasiti lebih besar ini juga ditawarkan dalam konfigurasi pacuan semua roda menerusi sistem ALLGRIP-e. Ia menerima tambahan motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 65 PS (64 hp atau 48 kW), menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sistem kepada 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork mencecah 300 Nm. Suzuki mendakwa bahawa varian 61 kWh mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 500 km bagi satu cas penuh, namun angka rasmi masih belum diumumkan.

    Menurut laporan Autocar India, Suzuki eVitara merupakan model global yang akan dikeluarkan di kilang Suzuki di Gujarat, India. Separuh daripada jumlah pengeluaran akan dieksport ke pasaran Eropah dan negara lain di seluruh dunia. Pasaran pertama yang akan menerima model ini ialah India, dengan pelancaran rasmi serta pengumuman harga dijangka berlangsung pada bulan September tahun ini.

     
     
  • PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

    PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

    Sejujurnya penulis bukan ‘pencinta’ kenderaan elektrik (EV), belum punya hajat mahu pun impian untuk memilikinya. Ya, mungkin penulis boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman dan ‘kurang menghargai teknologi terkini’.

    Namun selepas memandu Leapmotor C10 buat pertama kalinya pada akhir Februari lalu ketika menyertai sambutan Hari Wanita Sedunia yang dianjurkan khas oleh Stellantis Malaysia untuk rakan media wanita, rasanya koordinat hati mengenai EV sedikit berubah. Tiba-tiba macam ‘tersuka tanpa sengaja’ pula dengan C10, walau pun hanya memandu dalam jarak yang dekat iaitu dari Petaling Jaya ke Putrajaya. Tapi hajat untuk memiliki EV masih belum muncul tiba.

    Ini bukanlah EV pertama yang penulis pandu uji… adalah beberapa model sebelum ini yang pernah dilenjan. Tapi C10 ini bagai mampu ‘mencuri hati’ pula. Alasan utama..keselesaan tika berada di dalam kabinnya. Ya, cukup selesa. Tetapi, penulis bukanlah nak memuji 100%, C10 tetap ada kekurangannya. Tiada penciptaan sesuatu teknologi atau buatan yang serba sempurna kan… Namun keselesaan yang sungguh jitu ini membuatkan penulis terasa ingin ‘mengenali’ SUV EV ini secara lebih intim. Maka, ini sesi pandu uji buat kali kedua bersama C10.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Johor dijangka akan dapat menggunakan 4 km pertama lebuhraya yang dilebarkan dari dua lorong sehala kepada tiga lorong sehala bermula seawal tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor YB Ir.Ts.Mohamad Fazli Mohamad Saleh dalam satu hantaran Facebook yang dibuat.

    Menurut beliau, bagi kerja pelebaran Fasa 1 Pakej 1 iaitu dari Kulai ke Sedenak dengan jarak 14 km telah bermula pada 28 Jun 2024 dan dijangka siap pada 28 Jun 2027. Status semasa projek dengan kos RM249 juta ini ialah 16.44% berbanding jadual 20.02% iaitu kelewatan sebanyak 3.58%.

    Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri telah berunding dengan pihak LLM, PLUS dan juga kontraktor dan dijangka kemajuan projek akan kembali mengikut jadual pada bulan September 2025.

    Manakala bagi Fasa 1 Pakej 2 yang melibatkan laluan sejauh 7 km dari Sedenak ke Simpang Renggam, Fazli menyatakan bahawa kerja-kerja projek yang bernilai RM160 juta ini telah bermula pada 22 Jun 2025 dan baru diperingkat awal kerja di tapak, dijangka siap pada 22 Disember 2027.

    Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    “Bagi Fasa 2 pula, kontraktor utama baru sahaja dilantik pada 1 Julai 2025 yang lalu dan akan mula masuk ke tapak pada 27 Julai 2025. Fasa 2 ini melibatkan panjang 16 km dari Simpang Renggam ke Machap dengan kos RM439 juta dan dijangka siap 27 Julai 2029.

    “InsyaAllah, pengguna lebuhraya utara selatan PLUS akan mula merasai lebuhraya 6 lorong seawal tahun depan apabila 4 km dijangka akan siap dan boleh digunakan secara berperingkat,” katanya.

    Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

    Buat masa sekarang laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025