Prestasi jualan kenderaan di Malaysia 2015 vs 2014 – siapa yang menang, siapa yang tewas tahun lalu

Malaysia-TIV-2015-vs-2014

Industri automotif Malaysia telah pun melalui cabaran yang getir pada tahun 2015. Ini termasuklah implementasi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit dalam pertukaran mata wang asing memberikan sumbangan pada faktor kelembapan tahun lalu. Walau bagaimana pun, data di atas menunjukkan yang kita masih berada pada tahap yang baik, dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi yang direkodkan.

Seperti mana yang dilaporkan semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015 yang ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014.

Tidak dinafikan, implementasi GST turut membuatkan sesetengah pembeli menangguh niat untuk membeli kenderaan baharu. Malah ada sesetengah jenama automotif juga terpaksa berhempas pulas untuk menawarkan diskaun dan promosi menarik bagi memastikan produk mereka terjual.

Namun ada juga sesetengah jenama yang bernasib baik kerana dengan adanya perancangan yang penuh teliti, mereka mampu berkembang melebihi jangkaan, iaitu Mercedes-Benz Malaysia. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jenama seperti Peugeot, Kia, Hyundai dan Mitsubishi mengalami penurunan jualan pada tahun lalu.

Tahun lalu, menyaksikan kejayaan dua jenama kerana berjaya menduduki carta teratas bagi jualan kenderaan iaitu Perodua, dan Honda. Mengulangi sejarah kejayaan pada tahun 2014 (dengan 195,579 unit terjual), Axia dan Myvi menambahkan lagi kejayaan buat Perodua yang telah melonjakkan lagi rekod jualannya sehingga 9.1% (17,728 unit) pada tahun lalu.

Begitu juga dengan Honda yang berjaya menduduki carta teratas bagi jenama bukan-nasional di negara ini dengan peningkatan jualan sebanyak 22.5% (17,407 unit) berbanding tahun 2014. Bukan suatu yang memeranjatkan kerana model HR-V, City dan Jazz begitu meledak di pasaran, sekali gus memberikan saingan yang cukup sengit kepada Toyota selaku pesaing paling rapatnya.

Walau pun model Camry Hibrid dikecualikan cukai dan kemunculan model Camry yang dipertingkatkan, namun data menunjukkan rekod jualan Toyota sedikit menurun iaitu 8.1%, kurang daripada 8,275 unit berbanding tahun sebelumnya. Malah dengan rekod yang dicatatkan, meletakkan Toyota di belakang Honda dengan perbezaan sebanyak 1,142 unit iaitu 93,760 unit terjual pada tahun 2015.

Mazda turut dilihat sebagai jenama yang turut memperoleh kejayaan pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 25.9% berbanding tahun sebelumnya. Ia merangkumi jualan sebanyak 14,325 unit pada tahun 2015, pastinya banyak disumbangkan dengan kehadiran Mazda 2 baharu dan model CX-5.

Manakala jualan yang dicatatkan oleh Nissan turut meningkat sebanyak 1.9% (883 unit) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 47,235 unit. Model Nissan X-Trail dan Serena S-Hybrid antara penyumbang terbesar dalam rekod jualan Nissan ini.

Tidak perlu diperkatakan lagi tentang kejayaan yang dicatatkan oleh Mercedes-Benz Malaysia kerana jenama ini telah mengungguli segmen kenderaan premium pada tahun lalu. Dengan rekod jualan sebanyak 11,034 unit pada tahun lalu, ia menyaksikan lonjakan yang begitu besar iaitu 54.7% berbanding prestasi pada tahun 2014. Manakala BMW pula berada di belakangnya dengan jualan keseluruhan sebanyak 7,515 unit pada 2015 (-3.8%), diikuti oleh Lexus dan Audi (yang jika dihitungkan kedua-duanya iaitu 2,101 + 1,592 = 3,693 unit) yang tidak mencapai setengah pun jualan daripada BMW.

Malah tahun lalu turut menyaksikan prestasi yang begitu lemah berbanding tahun sebelumnya bagi model Volkswagen yang menyosot sebanyak 28.2%, hanya mampu terjual 6,405 unit pada tahun lalu, walau pun giat menawarkan pelbagai promosi jualan yang menarik.

Perkara ini turut dirasai oleh Kia yang hanya mencatat jualan sebanyak 4,674 unit iaitu setengah daripada jumlah pada tahun sebelum ini. Manakala bagi Mitsubishi pula, walau pun model baharu Triton diperkenalkan, turut merosot sebanyak 22.7% iaitu hanya 10,992 unit yang terjual. Bagi Chevrolet dan Peugeot pula, jualannya merosot sebanyak masing-masing 46.9% dan 45.7%.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • truck driver on Jan 26, 2016 at 1:09 pm

    KIA is the biggest loser here, 50% degradation. Is Korean car that bad? After the sales moving up last year and then people avoid this?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required