LPT2_PTBM

Cadangan Kementerian Kerja Raya untuk membina laluan skyway di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan binatang liar melintas jalan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), disambut baik oleh kerajaan Terengganu.

Menurut laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu Ir Rosli Othman berkata perkara ini akan dirundingkan bersama beberapa pihak berkenaan sebelum melaksanakannya.

“Pada dasarnya Menteri Besar Terengganu bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan udara itu namun kajian rapi mengenainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan, termasuk membabitkan kos yang besar bagi tujuan pembinaan tersebut.

“Beberapa pihak seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian mengenai cadangan pembinaan itu,” katanya.

Walau bagaimana pun, beberapa aspek juga perlu dikaji termasuk lokasi cadangan pembinaan laluan udara yang menjadi tumpuan haiwan liar di LPT2 yang sepanjang 180 kilometer itu.

Cadangan pembinaan laluan udara itu dicadangkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melawat LPT2 baru-baru ini.

Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

Dalam perkembangan berkaitan Rosli berkata LLM melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pagar untuk memastikan pagar di sepanjang LPT2 tidak diroboh atau dirosakkan penternak haiwan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada semua penternak haiwan supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di LPT2 atau berdepan tindakan kompaun.