Bagi memperbaiki aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya menjelang waktu puncak di kawasan komersial dan perumahan di sekitar Seksyen 1 PJ Old Town, beberapa perubahan trafik bakal dilaksanakan mulai 16 Mac ini, laporan The Sun Daily. Menurut wakilrakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakarn, notis pemberitahuan menerusi papan tanda dan banner telah diletakkan di empat lokasi mulai awal bulan ini untuk memberitahu orang ramai mengenai perubahan trafik ini.
Perubahan tersebut akan melibatkan Jalan 1/10 dan 1/19 akan ditukar menjadi jalan sehala (berhampiran kedai kopi Heng Kee Bak Kut Teh dan Soon Lee). Pengguna jalan rayayang ingin ke Jalan 1/14 perlu memasuki simpang pertama di Jalan 1/14, kerana tidak boleh melalui simpang kedua.
Sementara itu, Jalan Dispensary (Jalan 2/28) dan Jalan 1/18 juga akan menjadi jalan sehala. Pengguna jalan raya dari Jalan 1/12 yang ingin ke Jalan Othman perlu memasuki simpang selepas Restoran C&S atau selepas Medan Selera Jati.
Rajiv turut berkata, pembahagi jalan juga akan diletakkan di Jalan Pasar 1/21 untuk mengelakkan orang ramai dari meletakkan kenderaan secara berlapis (double-parking) di bahu jalan dan bagi menghalang pemandu daripada terus membelok ke Jalan 2/38. Malah pusingan-U akan dibina di lampu isyarat Jalan Othman untuk mengurangkan kesesakan. Walau bagaimana pun, kedua-dua perkara tersebut masih belum dimuktamadkan kerana sedang menanti keputusan daripada majlis bandaraya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa agar orang ramai tidak membuat sebarang andaian mengenai implementasi ini kerana memahami semua perubahan dan polisi akan mengambil sedikit masa untuk diterima oleh semua.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.