kedai-potong

Sepanjang tahun 2015 lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik 1,136 kenderaan buruk yang ditinggalkan pemilik di kawasan parkir sekitar ibu kota.

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad jumlah itu meningkat berbanding 634 kenderaan pada tahun 2014 dan 415 pada 2013, laporan Bernama.

Di mana sepanjang tempoh Januari dan Februari tahun ini sahaja, sebanyak 288 kenderaan buruk yang ditinggalkan berjaya dialihkan menerusi tinjauan harian dan operasi selepas menerima 196 aduan daripada orang ramai.

Mohd Sauffi berkata kenderaan buruk yang ditinggalkan menjejaskan imej kawasan persekitaran selain mengundang kepada pembiakan nyamuk.

Beliau berkata kebanyakan kawasan yang dikesan mempunyai kenderaan buruk terbiar ialah di kawasan perumahan awam dan pangsapuri sekitar Kepong dan Bukit Bintang. Di mana setiap aduan kenderaan buruk akan diambil tindakan awal dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan mereka.

“Sekiranya mempunyai pendaftaran nombor plat, kami akan mencari pemilik kenderaan itu dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia dan memberikan notis untuk mengalihkannya,” katanya.

Katanya lagi, jika pemilik gagal mematuhi arahan notis itu, kenderaan mereka akan dihantar ke depoh simpanan DBKL Salak Selatan sebelum surat makluman diberi kepada pemilik untuk membuat tuntutan dalam tempoh sebulan. Malah pemilik kenderaan akan dikenakan caj tuntutan iaitu kos alihan oleh DBKL sebanyak RM100 dan kos penyimpanan di depoh sebanyak RM10 sehari.

“Jika tiada tuntutan dalam masa sebulan selepas surat makluman dikeluarkan, maka kenderaan tersebut akan dilupuskan. Bagi rangka kenderaan dan kenderaan tanpa enjin yang tiada nombor plat, tindakan pelupusan dilakukan serta merta,” katanya.