Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kadar tambang untuk pengangkutan awam darat seperti bas atau teksi tidak ditentukan oleh harga minyak dunia, walaupun harga komoditi tersebut menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, menurut Bernama.

Beliau berkata ini adalah kerana kos petrol atau diesel hanya menyumbang sebanyak 10% dari kos keseluruhan operasi syarikat yang menyediakan servis pengangkutan awam. Tambah beliau lagi, kos penjagaan kenderaan-kenderaan tersebut adalah lebih mempengaruhi tambang perkhidmatan.

“Ada elemen lain yang mempengaruhi kos operasi syarikat pengendali ketika ini seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap alat ganti kenderaan,” kata Syed Hamid. “Selain itu, syarikat juga berdepan kenaikan premium insurans dan kadar tukaran wang yang tidak menentu,” jelas beliau lagi.

Syed Hamid juga mendakwa walaupun pengguna merungut berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam darat, mereka juga mengakui kualiti servis-servis berkenaan juga sedang meningkat naik sekarang.