Volkswagen Golf Mk7 untuk pasaran Malaysia telah ditingkat taraf dengan sedikit pembaharuan. Kunjungan kami ke bilik pameran Volkswagen Glenmerie menyaksikan Golf varian 1.4 TSI telah dilengkapi beberapa ciri yang tidak terdapat padanya sebelum ini. Berdasarkan maklumat dari Penasihat Jualan Volkswagen di situ, Golf 1.4 TSI kini telah dibahagikan kepada dua trim iaitu varian asas Comfortline dan varian Highline yang menampilkan beberapa ciri tambahan.

Varian Highline seperti di dalam gambar menampilkan roda aloi 17-inci “Madrid” dan lampu hadapan yang direka semula dengan lebih elemen krom (di tempat lampu nyalaa siang LED pada model lama). Pada bahagian belakang, sepasang lampu belakang baru dipadankan dengan rekaan seiras Golf R yang sememangnya nampak lebih garang.

Ciri baharu yang dipadankan termasuk sistem kunci pintar KESSY yang menampilkan suis penghidup enjin tekan diletakkan pada konsol tengah (bersebelah tombol gear), dan juga tempat duduk hadapan baharu yang lebih sporty dibalut dengan fabrik bermotif “Mel Stripe”.

Turut ditampilkan pada varian Highline ini ialah Bantuan Parkir untuk membantu pemandu memarkir kenderaan pada kedudukan sisi, dan Bantuan Rehat yang akan memberi amaran jika ia mengesan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk.

Dengan semua kelengkapan terkini diterapkan, Golf 1.4 TSI Highline dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM159,888. Varian Comfortline dengan hanya kelengkapan asas (lampu hadapan dibekalkan dengan hanya lampu halogen) pula dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM149,888. Walaubagaimana pun, kedua-dua varian ini sebenarnya dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding Golf TSI terdahulu yang dijual pada harga RM163,888.