Mazda_2_LED_Thailand-2

Nampak gayanya Mazda 2 2016 tidak menanti masa yang lama untuk tiba di pasaran tempatan. Malah dengan senarai elemen yang dipertingkatkan, pastinya kehadirannya dinanti-nantikan kerana kepercayaan terhadap model ini yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang optimum. Walau bagaimana pun, harganya juga ada perubahan, bagi kedua-dua hatchback dan sedan.

Bagi model facelift ini, akhirnya ia menerima padanan lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED), memberikan Mazda 2 2016 ini beranjak ke aras yang lebih tinggi kerana menampilkan elemen yang sedang ‘in’ pada masa kini. Selain itu, lampu utama ini juga menampilkan larasan automatik dengan fungsi ‘on-off’, tetapi bukan Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS).

Peningkatan elemen ini lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan pada model bagi pasaran Thai, di mana Mazda 2 diperkenalkan dengan lampu utama LED ketika dipamerkan di Thai Motor Expo 2015. Manakala bagi lampu belakangnya pula, ia masih mengekalkan lampu jenis mentol dan rodanya juga masih kekal iaitu aloi 16-inci yang dibaluti tayar 185/60R16.

Selain lampu utama LED, semuanya masih kekal seperti mana model terdahulu. Ini termasuklah enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder suntikan-terus, dengan keupayaan menyalurkan kuasa sehingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 148 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

Klik untuk besarkan imej

Pada bahagian kabinnya, ia masih kekal dengan tempat duduk balutan kulit, kawalan suhu zon tunggal automatik, tempat duduk larasan manual, pedal penukar gear dan skrin paparan. Bagi hiburan, ia juga didatangkan dengan sistem MZD Connect dengan enam-speaker, skrin sesentuh tujuh-inci dan butang/tombol Commander Control. Sistem ini juga boleh dipertingkatkan dengan fungsi navigasi dengan kos pilihan (RM1,270).

Bagi harganya, Mazda 2 (sedan dan hatchback) kini bermula pada RM90,766.30, lebih RM5,300 berbanding model terdahulu (RM85,466.30). Walau bagaimana pun, harga ini ditawarkan bagi cat 2s iaitu Snowflake White Peark, Aluminium Metallic dan Metropolitan Grey.

Jika inginkan warna signatur iaitu Soul Red, pertambahan kos sebanyak RM530 akan dikenakan. Harga yang diberikan ini adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk dengan waranti tiga-tahun (100,000 lm) dan penyelenggaran percuma (60,000 km), yang mana tiba terlebih dahulu. Mazda 2 adalah model yang diimport sepenuhnya dari Thailand (CBU).

Bermaz turut menawarkan senarai pilihan aksesori termasuk ‘sports kit’ yang terdiri daripada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler belakang, dengan kos tambahan RM2,300 untuk sedan dan RM2,370 bagi hatchback. Selain itu, kos tambahan lain melibatkan paip ekzos (RM70), boot tray (RM130) dan plat keluli tahan karat dengan pencahayaan LED (RM275).

GALERI: Mazda 2 di Thailand Motor Expo 2015