2016-Mazda-BT-50-2.2-AT-1

Bermaz baru sahaja memperkenalkan Mazda BT-50 baharu di Malaysia selepas diperkenalkan di Thailand pada tahun lalu. Ia menampilkan wajah baharu dan beberapa kit tambahan.

Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.2AT yang dijanakan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder sebaris turbodiesel (MZ-CD 2.2) yang mampu memberikan kuasa 150 hp pada 3,700 rpm dan tork 374 Nm pada 2,500 rpm.

Manakala varian 3.2AT pula dipadankan dengan enjin 3.2 liter empat-silinder sebaris (MZ-CD 3.2) dengan kuasa 200 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm pada 2,500 rpm. Kedua-dua varian digabungkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan didatangkan dengan pacuan empat-roda secara standard.

Perubahan yang dapat dilihat, bermula dengan gril hadapan baharu dengan logo Mazda diposisi di bahagian tengah. Gril tersebut turut disambungkan pada lampu utama halogen yang direka semula (dengan fungsi automatik on/off) dan lampu nyalaan siang jenis-mentol. Selain itu, lampu belakang turut direka semula dan rim aloi dua-tona bersaiz 17-inci baharu yang dibaluti tayar 265/65 turut ditampilkan.

Tidak semua bahagian dalaman BT-50 diubah. Ia masih dihiasi dengan bentangan yang lebih kurang sama, sistem audio standard (dengan Bluetooth, USB, CD dan AUX), enam pembesar suara, sistem penghawa dingin automatik dua-zon, tempat duduk balutan fabrik, dan roda stereng balutan kulit.

Jika varian 2.2T menerima pengesan undur, varian 3.2AT pula dipadankan dengan kamera undur, dengan memaparkan video di cermin pandang belakang (yang turut berfungsi sebagai cermin anti-silau).

Bagi aspek keselamatan, BT-50 ini dilengkapi dua beg udara hadapan, ABS dengan EBD dan bantuan brek sebagai standard. Lain-lain elemen keselamatan ialah Bantuan Menurun Bukit, Kawalan Kestabilan Dinamik dan Sistem Kawalan Cengkaman.

Bagi harganya, 2.2AT ditawarkan pada RM102,477, manakala 3.2AT pula RM113,836. Berbanding dengan model pra-naik taraf, ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM13,600 bagi kedua-dua varian. Ia merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Elemen pilihan turut ditawarkan iaitu sport cover dengan kos tambahan sebanyak RM3,480.

Mazda BT-50 2.2AT 2016