BMW Group Malaysia telah melancarkan model facelift baharu dalam barisan BMW Motorrad Malaysia iaitu BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT yang berada di dalam segmen skuter maxi keluarannya. Ia memiliki gabungan aspek praktikaliti dengan keseronokan dan keselesaan tunggangan dalam jarak yang jauh.
BMW C 650 Sport ini menampilkan komponen badan yang telah direka semula secara sepenuhnya. Reka bentuk yang segar ini menterjemahkan penampilan sebuah skuter maxi yang menyerlahkan prestasi dinamik dengan maksimum. Bahagian hadapan yang merangkumi panel sisi atas, bawah, kemasan panel hadapan dan perumah lampu hadapan juga telah direka semula.
BMW C 650 GT pula menerima rekaan baharu pada bahagian belakang dengan panel kemasan pada sebelah kini, kanan dan tengah, di samping lampu belakang baharu. Perumah cermin sisi BMW C 650 GT telah dioptimumkan bagi memastikan penunggang mempunyai pandangan belakang yang jelas dalam apa jua keadaan.
Pelindung bar hendal pada kedua-dua varian menunjukkan gayaan baharu melalui bahagian tengah yang berkilat dan kemasan krom. Manakala semua permukaan yang berada pada medan penglihatan penunggang telah diberi struktur baharu.
BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT ini juga didatangkan dengan dial instrumen dan rekaan kemasan bar hendal baru. Bahagian tengahnya dipasang dengan kemasan berkilat dan aplikasi krom yang boleh diubah suai mengikut keperluan individu.
Kedua-dua model facelift ini dijana oleh enjin dua-silinder empat-injap dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 647cc dan sistem pancitan bahan api elektronik. Ia mampu memberikan kuasa mencecah 60 hp pada 7,750rpm dan tork maksimum 63 Nm pada 6,000rpm.
Komponen pada enjin dua-silinder sebaris itu membolehkannya mencapai keseimbangan suhu yang optimum. Konsep penyejukan yang sofistikated mengalirkan cecair penyejuk secara melintang melalui kepala silinder. Menerusi kesan penyejukan yang intensif, haba panas dapat dihilangkan dengan pantas. Sekali gus memastikan suhu optimum dapat dikekalkan.
Pemetaan enjin BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT telah dibuat untuk bagi memastikannya menepati piawaian emisi Euro4. Emisi gas ekzos mampu dikurangkan dengan menggunakan sistem ekzos serba baharu yang terdiri daripada satu unit pancarongga bersama pengubah bermangkin (catalytic converter) bersepadu dan peredam berkembar.
Kedua-dua model ini juga dipadankan dengan talaan terkini transmisi CVT yang menggunakan pelapik klac baharu. Ia mengoptimumkan kemasukan klac, sekali gus memberikan maklum balas yang lebih dinamik.
Reka bentuk sistem brek brek terbaik juga ditampilkan dengan roda hadapan menggunakan sistem brek cakera berkembar berdiameter 270 milimeter yang turut merangkumi dua omboh angkup terapung untuk memperlahankan jentera dengan berkesan. Tugas membrek roda belakang pula diserahkan kepada sistem brek cakera tunggal berdiameter 270 milimeter dan dua omboh angkup terapung.
Malah ia turut menawarkan keseimbangan sempurna di antara penampilan yang sporty dan keselesaan. Ia mengekalkan sistem suspensi dengan struktur komposit hibrid yang tegar, kerangka tiub besi dan unit aluminium tuangan terap pada bahagian galas lengan ayun.
Penggunaan lengan ayun tunggal daripada aloi ringan dengan titik sepaksi pangsi juga menyumbang kepada kestabilan tunggangan yang maksimum. Ini membolehkan BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT menggabungkan aspek kestabilan menukar arah ketika berada pada kelajuan tinggi di lebuh raya serta lincah dalam kesesakan trafik.
Bukan itu sahaja, kinematik tongkat bahagian tengah telah direka semula supaya lebih mudah digunakan. Hasilnya, tenaga fizikal yang diperlukan berjaya dikurangkan sehingga 30 peratus.
Kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan aspek keselamatan terbaik termasuk Kawalan Kestabilan Automatik (ASC), selain ABS yang kedua-duanya merupakan elemen standard.
BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT facelift ini didatangkan dalam warna Blackstorm Metallic dan Lightwhite Solid Paint. Malah turut menampilkan warna eksklusif iaitu Valencia Metallic Matt dan Frozen Bronze Metallic.
Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk BMW C 650 Sport ialah RM64,900, manakala RM68,900 bagi BMW C 650 GT.
Menurut Ketua BMW Motorrad, BMW Group Malaysia, Owen Riley, “Konsep yang berbeza di antara kedua-dua model skuter maxi ini membolehkan kami mensasarkan kelompok pengguna yang lebih luas berbanding sebelum ini. BMW C 650 Sport lebih terarah kepada penunggang yang gemar menunggang secara sporty. Sementara BMW C 650 GT baharu pula disasarkan kepada mereka yang lebih mementingkan aspek keselesaan dan kemampuan bergerak dalam jarak yang jauh (touring).”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.