IIMS 2016: Honda CR-Z facelift turut dipamerkan

Honda_CR-Z-2_BM

Setelah dilancarkan di Indonesia bulan lalu, Honda CR-Z facelift kini dipamerkan di Indonesia International Auto Show (IIMS) 2016, yang sedang berlangsung sekarang di JIExpo, Kemayoran. Ini sebenanya facelift kali kedua untuk CR-Z dimana pengumumannya dibuat pada bulan Ogos tahun lalu. Manakala facelift pertama kereta hibrid sport ini telah ditampilkan buat pertama kali untuk peringkat global juga ketika IIMS berlangsung pada tahun 2012, dan hanya dilancarkan di Malaysia pada awal 2013.

CR-Z terbaharu di Indonesia ini kelihatan sama seperti yang terdapat di Jepun, dan dilengkapi banyak ciri-ciri menarik. Ia kini tampil dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sambungan HDMI dan dua port USB, lampu hadapan LED baharu yang kini turut dilengkapi lampu nyalaan siang LED, kamera undur paparan pelbagai sudut dan unit audio utama dengan skrin sesentuh.

Terdapat juga brek parkir elektronik dengan suisnya terletak di belakang tuil gear. Ini merupakan perubahan terbesar ditampilkan pada CR-Z baharu, di mana rekaan brek parkir tersebut dapat memberikan ruang yang lebih besar pada ruang storan konsol tengah dan juga perehat tangan dengan ketiadaan tuil brek tangan. Balutan pada tempat duduk, roda stereng dan tuil gear disulam dengan benang oren. Tempat duduk serta kemasan pintu juga diberikan adunan warna hitam-oren.

Pada bahagian luaran, facelift terbaharu ini diberikan nafas baharu pada bahagian hidung dan bampar hadapan, bersama lampu hadapan baharu LED. Bampar belakang juga turut direka semula menampilkan rekaan diffuser untuk diserasikan dengan rekaan lip pada bampar hadapan. Kini rupa pada bahagian hadapan dan belakang kelihatan lebih melengkung berbanding sebelum ini. Roda aloi 17-inci baharu dua ton dengan motif bilah juga turut dibekalkan pada CR-Z bagi melengkapkan rupa keseluruhan yang lebih segar.

Tiada perubahan yang dapat disaksikan dari segi prestasi. Enjin 1.5 liter i-VTEC dengan bantuan motor elektrik IMA masih lagi kekal menghasilkan kuasa keseluruhan 136 PS dan tork 190 Nm. Motor elektrik dibekalkan kuasa menerusi bateri lithium-ion 144-volt, 18.8 kW. Untuk pasaran Indonesia, tiada kotak gear manual enam-kelajuan disediakan, sebaliknya hanya dibekalkan dengan kotak gear CVT bersama penukar gear.

Honda CR-Z facelift ini dijual pada harag Rp. 535 juta (RM159,981) di Indonesia dengan empat pilihan warna iaitu Milano Red (seperti dalam gambar), Premium White Pearl, Hellios Yellow Pearl II dan Smart Black.

GALERI: Honda CR-Z facelift di Tokyo 2015

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required