Proton_Perdana-10

Proton dijangka akan mengurangkan hutangnya dan mula untuk menjalankan usaha pemulihannya dengan pinjaman RM1.5 billion yang diluluskan oleh kerajaan bulan lalu, lapor The Sun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata pinjaman berkenaan diluluskan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Proton dalam industri automotif dalam dan luar negara.

“Objektif utama pinjaman bernilai RM1.5 bilion tersebut adalah untuk membolehkan Proton membayar kesemua vendor yang membekalkan komponen kepada syarikat berkenaan. Ini akan memberi peluang kepada Proton untuk mengurangkan hutang dan fokus kepada pemulihan dan pembangunan semulanya,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli semasa sesi perbahasan parlimen. Beliau turut menambah kerajaan turut mengambil kira aspek penting yang lain seperti pekerjaan, ekosistem perniagaan serta penyelidikan dan pembangunan.

“Kami turut mengambil berat kepentingan sekitar 60,000 orang pekerja dan vendor. Ini adalah sebab mengapa kami membuat keputusan untuk memberikan mereka pinjaman. Kami harap Proton akan melakukan yang lebih baik kerana ia penting untuk 60,000 pekerja yang bekerja di bawah syarikat tersebut,” kata Mustapa pada April lalu.


Klik untuk besarkan

Apabila pinjaman tersebut telah diluluskan pada 8 April lalu, Mustapa berkata kerajaan telah menetapkan beberapa syarat untuk dipenuhi Proton, termasuk syarikat tersebut perlu untuk “meyakinkan kerajaan” dengan model perniagaan baharu mereka. Proton juga perlu menyediakan pelan strategik untuk mengembangkan pasaran domestik dan antarabangsa mereka, dan jawatankuasa khas yang diketuai oleh CEO Pemandu Datuk Seri Idris Jala yang akan memantau pelan transformasi Proton tersebut.

Proton yakin nasib mereka akan berubah. “Pengumuman dari kerajaan berkenaan akan memangkin pelan pemulihan Proton, termasuk pelancaran tiga model baharu yang dijadualkan pada tahun ini bermula dengan Perdana. Dengan rombakan semula yang dilakukan pada ahli baharu dalam pengurusan, kami yakin akan pulih semula,” kata CEO baharu Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali selepas pengumuman pinjaman tersebut dibuat.

“Proton juga sentiasa berhubung dengan rakan kongsi strategiknya untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan tawaran produknya dalam pasaran. Saya percaya bantuan dari kerajaan akan mengukuhkan keyakinan rakan kongsi kami dalam Proton,” kata Fuaad. “Kami mengalu-alukan pembentukan jawatankuasa khas tersebut dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan dicatatkan oleh Proton,” tambah beliau.

Proton dijangka akan melancarkan Perdana, Persona dan Saga baharu tahun ini. Laporan dari The Edge sebelum ini juga mengatakan Renault and Groupe PSA (sebelum ini dikenali sebagai PSA Peugeot Citroen) sedang berbincang dengan pengeluar automotif nasional tersebut berkenaan kerjasama strategik yang mungkin dapat dilakukan. Proton juga kini sedang bekerjasama dengan Suzuki dan dijangka akan melancarkan MPV Ertiga versi mereka yang turut dijadualkan mula menembusi pasaran tahun ini.