Porsche Panamera 2017 diperkenalkan di Berlin

P16_0386_a4_rgb

Porsche Panamera 2017 secara rasminya diperkenalkan buat pertama kalinya di Berlin. Coupe empat pintu generasi kedua ini menampilkan rekaan yang lebih anggun, karekter bahagian luaran yang lebih tajam, dengan dimensi yang lebih panjang dan dinamik, bahu yang lebih lebar dan garis bumbung yang kini 20 mm lebih rendah pada bahagian belakang.

Ia juga lebih besar dari model sebelum ini, diukur dengan dimensi 5,049 mm (+34 mm) panjang, 1,937 mm (+6 mm) lebar dan 1,423 mm (+5 mm) tinggi, serta jarak roda yang telah dipanjangkan 30 mm kepada 2,950 mm. Walaupun ketinggiannya kini lebih rendah, Panamera nampak lebih rendah dan panjang. Ini adalah kerana garis bumbung baharu yang didakwa Porsche mengubah seluruhnya imej kereta ini. Perubahan lain yang turut dibuat adalah pada bahagian overhang, yang dikurangkan pada bahagian hadapan, dan ditambah pada bahagian belakang.

Panamera generasi baharu ini dilengkapi lampu hadapan LED dengan empat poin lampu nyalaan siang LED, dan ditawarkan dalam tiga versi. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu LED tiga dimensi, dan dipenuhi oleh lampu brek empat-poin. Sayap belakang untuk model Panamera Turbo kini dipisahkan untuk dilebarkan, seterusnya memperolehi kawasan permukaan tambahan.

P16_0387_a4_rgb

Seperti yang dibayangkan sebelum ini, komponen yang dibina dari bahan aluminium kini ditingkatkan bagi mendapatkan berat yang ideal. Komponen berkenaan terdiri dari bahagian luaran, sisi badan, bonet, bumbung dan dapra.

Semasa pengenalan ini, tiga varian enjin turbo berkembar dengan sistem pancitan bahan api terus baharu ditawarkan iaitu Panamera Turbo, Panamera 4S dan Panemera 4S Diesel – di mana varian diesel ini merupakan varian yang pertama kali diperkenalkan – dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda setiap masa dan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan Porsche PDK.

Panamera Turbo dilengkapi dengan enjin turbo berkembar V8 4.0 liter yang berkuasa 550 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 770 Nm dicapai antara 1,960 dan 4,500 rpm, 30 PS dan 70 Nm lebih berkuasa dari model terdahulu. Dengan kuasa berkenaan, Panamera Turbo mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat (3.6 saat jika dengan pakej Sport Chrono) dan mencapai kelajuan maksima 306 km/j.

Varian ini juga merupakan Porsche pertama dilengkapi dengan kawalan silinder adaptif di dalam enjin. Jika ia beroperasi pada kadar hanya sebahagian beban, sistem berkenaan akan mengubah operasi lapan-silinder kepada empat-silinder sahaja, mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 30%.

Untuk model Panamera 4S 2.9 liter V6, ia berkuasa 440 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 550 Nm bermula 1,750 hingga 5,500 rpm, peningkatan 20 PS dan 30 Nm berbanding model sebelum ini. Ini membolehkan Panamera 4S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat (4.2 saat dengan pakej Sport Chrono) dan kelajuan maksima 289 km/j.

Untuk varian Panamera 4S Diesel pula, ia dijana oleh enjin diesel lapan silinder baharu, digandingkan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Enjin berkenaan turut dilengkapi dua unit pengecas turbo geometri bervariasi (VTG), beoperasi dengan susunan pengecasan berpusat, tetapi berturutan, yang membolehkan ia beroperasi sebagai enjin turbo tunggal atau turbo berkembar, bergantung pada situasi.

Pada kelajuan enjin rendah ke sederhana, keseluruhan gas ekzos dihalakan hanya menerusi salah sebuah pengecas turbo, yang meningkatkan respon pendikit – manakala sebuah lagi pengecas turbo hanya akan berfungsi apabila kelajuan enjin mencecah 2,700 rpm atau lebih.

Dengan kuasa 422 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 1,000 hingga 3,250 rpm, Porsche mendakwa ini merupakan enjin diesel paling berkuasa yang pernah dipadankan pada model produksi Porsche. Ia juga merupakan kereta berkuasa diesel produksi paling laju di dunia setakat ini dengan mampu mencatatkan kelajuan maksima 285 km/j. Pecutan dari 0-100 km/j pula dicatakan pada 4.5 saat (4.3 saat jika dengan pakej Sport Chrono).

Mod pemanduan pada Panamera boleh dipilih dengan Mode Switch opsyenal pada Sport Response Button. Mode Switch berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model 918 Spyder, yang digunakan untuk memilih pemanduan (Normal, Sport, Sport Plus atau Individual) menerusi suis putaran pada roda stereng. Sport Response Button diletakkan pada bahagian tengah suis berkenaan.

Kereta baharu ini juga menerima stereng bahagian belakang baharu, yang diambil dari 918 Spyder dan 911 Turbo, serta prestasi brek juga dipertingkatkan. Sistem suspensi udara adaptif juga dibekalkan dengan teknologi tiga-kebuk baharu dan Porsche Active Suspension Management (PASM kawalan penyerap hentak elektronik). Turut dibekalkan, Sistem Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) yang dipertingkat, Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan penstabilan oleng aktif serta sistem stereng elektromekanikal baharu.

Persembahan pada bahagian dalaman turut dipertingkatkan, dan selain dari suasana mewah dan perlalatan yang dipertingkat (opsyen termasuk bumbung panaromik boleh buka, tempat duduk dengan pengurut badan, lampu suasana dan sistem bunyi 3D dari Brumester), ia turut dilengkapi dengan sistem digital yang banyak.

Porsche Advanced Cockpit seperti yang terdapat pada model 918 Spyder turut diterapkan pada Panamera dengan perincian yang lebih tinggi. Porsche mengatakan walaupun tahap sistem komunikasi, keselesaan dan bantuan yang lebih canggih, fungsi yang berbeza dapat digunakan dengan lebih jelas dan mudah.

Permukaan panel dan paparan interaktif baharu menampilkan ciri permukaan sensitif-sentuh menggantikan instrumen dengan suis kawalan konvensional. Panel kawalan baharu pada konsol tengah berkenaan membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi dan liang penghawa dingin juga boleh dilaras secara elektronik dengan pengalih sensitif-sentuh.

Untuk paparan instrumen pula, ia menampilkan paparan 7-inci yang di tempatkan terus di hadapan pemandu untuk ergonomik yang ideal. Takometer (masih lagi analog) yang diletakkan diantara dua paparan tadi dikatakan direka diinspirasikan dari model 356 A 1955.

Skrin sesentuh bersaiz 12.3 inci diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, sistem Porsche Communication Management (PCM) generasi seterusnya yang menampilkan navigasi atas talian,iaitu fungsi atas talian dari Porsche Connect, sistem telefon pintar bersepadu menerusi Apple Car Play dan sistem kawalan suara yang berfungsi dengan input bahasa semula jadi.

2017 porsche panamera 03

Bahagian belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 memberikan tahap versatil yang lebih baik. Ruang but berkapasiti 495 liter, meningkat kepada 1,304 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ciri bukaan elektrik untuk but juga didatangkan secara standard.

Pelbagai sistem bantuan ditawarkan antaranya bantuan penglihatan malam, yang menggunakan kamere imej suhu untuk mengesan orang dan haiwan bersaiz besar yang dipaparkan pada penunjuk amaran di dalam kokpit dan juga Porsche InnoDrive yang turut disertakan dengan kawalan kelajuan adaptif. Sistem kawalan kelajuan berkenaan berupaya untuk mengira dan mengaktifkan pecutan dan nyah pecutan yang optima dan juga pemilihan gear yang mengambil fasa dalam jarak sehingga tiga kilometer.

Di Eropah, tempahan untuk Panamera generasi kedua ini telah pun dibuka. Walau bagaimanapun, ia hanya akan sampai ke bilik pameran pada November nanti.




Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required