Renault Megane Sedan dilancarkan, tiada lagi Fluence

Renault-Megane-Sedan-Fluence-17_BM

Setelah sekian lama hanya hadir dalam versi hatchback, Renault akhirnya melancarkan Megane Sedan menerusi generasi terbaharu Megane IV. Pada generasi sebelum ini, Renault sebenarnya telahpun memproduksi sedan berdasarkan platform Megane tetapi dengan nama yang lain iaitu Fluence.

Dengan nama Megane Sedan, bahagian hadapan kereta ini berkongsi muka yang seiras dengan dengan versi hatchback dan wagon, menampilkan lampu panduan LED berbentuk-C dan logo Renault bersaiz besar. Rekaan bampar hadapan juga berkongsi rekaan yang sama dengan model hatchback dan wagon. Pada bahagian belakang pula, sedan ini menerima sepasang lampu belakang ‘two-piece‘ di mana lampu pada bahagian penutup but direka panjang dan mengapit logo Renault pada bahagian tengah.

Rekaan bahagian dalaman turut berkongsi rekaan dengan model hatchback dan wagon. Papan pemuka sedan ini dilengkapi dengan skrin sesentuh kapasitif 8.7 inci berformat potret (dengan fungsi tekan-untuk-zoom) untuk sistem infotainmen R-Link 2. Skrin pelbagai informasi TFT LCD 7.0 inci, paparan ‘head-up’, dan sistem Multi-Sense dengan lima mod pemanduan turut ditawarkan.

Renault-Megane-Sedan-Fluence-16_BM

Renault mendakwa bumbung matahari panaromik gelangsar pada Megane Sedan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam kelas sedan segmen-C. Begitu juga ruang pada tempat duduk belakang yang dikatakan terbaik dalam kelasnya serta ruang but berkapasiti 508 liter yang boleh diakses menerusi sistem Easy Trunk Access – beroperasi tanpa menggunakan sentuhan tangan.

Diasaskan dari platform CMF C/D (Common Module Family) yang sama seperti Espace dan Talisman baharu, Megane Sedan turut menerima sistem bantuan pemanduan terkini seperti Sistem Brek Kecemasan Aktif (AEBS), amaran keluar laluan dan Bantuan Mudah Parkir yang membolehkan sedan ini memarkir secara automatik pada kedudukan menegak, sisi dan ruang bersudut.

Lima pilihan enjin ditawarkan meliputi pilihan enjin petrol dan enjin diesel. Dua varian enjin ditawarkan untuk pilihan enjin petrol iaitu enjin SCe 115 1.6 liter NA (115 PS/156 Nm) yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan enjin TCe 130 1.2 liter turbo (130 PS/205 Nm) yang dipadankan sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan EDC.

Renault-Megane-Sedan-Fluence-9_BM

Untuk diesel, dua jenis enjin ditawarkan iaitu enjin 1.5 liter turbo diesel dan enjin diesel 1.6 liter. Untuk enjin 1.5 liter turbo diesel, ia hadir dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu Energy dCi 90 (90 PS/220 Nm) dan Energy dCi 110 (110 PS/260 Nm). Varian Energy dCi 90 dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam kelajuan atau EDC tujuh-kelajuan, manakala varian Energi dCi 110 hanya dipadankan dengan kotak gear EDC tujuh-kelajuan. Enjin 1.6 liter Energy dCi 130 (130 PS/320 Nm) pula hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Renault Megane Sedan akan diproduksi di kilang Bursa, Turki dan akan dijual di lebih 20 negara seluruh dunia termasuk Algeria, Arab Saudi,Australia, Bulgaria, Croatia, Mesir, Emirah Arab Bersatu, Estonia, Hungary, Ireland, Itali, Israel, Latvia, Lubnan, Lithuania, Maghribi, Poland, Republik Czech, Romania, Serbia, Slovenia, Tunisia, Turki dan Ukraine. Malaysia tidak dinyatakan dalam senarai, tetapi berdasarkan model Fluence yang sememangnya telah berada dalam pasaran tempatan, mungkinkah Megane Sedan ini turut akan dibawa masuk ke sini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required