Renault-Megane-Estate-pre-Geneva-2016-1-e1456132957877_BM

Berhubung dengan gambar ‘bayangan’ Megane Sport Tourer yang dimuat naik Renault minggu lalu, minggu ini Renault telah mengeluarkan gambar yang lebih jelas sport wagon yang bakal membuat penampilan sulungnya pada Geneva Motor Show bulan hadapan. Dibina berasaskan Megane generasi-keempat, versi wagon ini banyak membawa semula teknologi, ciri-ciri, dan juga rupa paras dari versi hatchback tetapi dengan ruang kargo yang lebih besar.

Gambar yang didedahkan oleh Renault ini adalah dari versi Sport Tourer GT, yang menawarkan ciri yang paling sporty untuk wagon tersebut. Membawa rekaan dari versi hatchback, wagon ini menampilkan bampar hadapan yang agresif dengan gril radiator bercorak sarang lebah dan lencana GT. Apron hadapan diapit oleh dua liang kemasukan udara yang besar yang terletak dibawah lampu hadapan berbentuk-C.

Pada bahagian sisi, dapat disaksikan badan kereta ini telah dipanjangkan sesuai dengan status wagonnya. Turut ditampilkan bar bumbung aluminium kemasan matte untuk rupa keseluruhan yang menonjol. Berbeza dengan rekaan hatchback, Sport Tourer tampil dengan cermin dan pintu belakang rekaan baharu. Rekaan pada diffuser belakang dan tip ekzos pula dilihat tidak berapa menonjol jika dibandingkan dengan model hatchback.

Renault-Megane-Estate-pre-Geneva-2016-2_BM

Tiada gambar untuk bahagian dalaman wagon terbaharu ini. Tapi kami jangkakan rekaan kabin adalah sama seperti model hatchback yang didatangkan dengan skrin sesentuh opsyenal 8.7-inci untuk sistem infotaimen R-Link. Ia digabungkan dengan rekaan minimalis dan juga material berwarna gelap.

Spesifikasi mekanikal belum lagi didedahkan tetapi dijangkakan wagon ini bakal dikuasakan dengan enjin turbo petrol dan diesel seperti Megane Hatchback serta digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan klac berkembar EDC automatik. Renault dilaporkan berkata versi GT juga akan menerima sistem steering empat-roda 4Control. Perincian penuh Megane Sport Tourer akan didedahkan Renault selepas kereta ini didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show bulan hadapan.

GALERI: Renault Megane hatchback