proton-pick-up-theo-render_BM

Proton telah mendedahkan model konsep trak pikap mereka buat pertama kali pada Karnival Alami Proton tahun lalu, dan kini ia telah mendapat sentuhan dari pakar rendering, Theophilus Chin. Imej yang menerima sentuhan Theo ini menggambarkan bagaimana rupa trak pikap berkenaan sekiranya ia benar-benar dihasilkan untuk produksi, dan dia juga “berminat untuk menjadikannya lebih berbentuk seperti sebuah trak.”

Oleh itu, Theo telah mengadaptasi beberapa ciri pada rekaan konsep asli dari Proton berkenaan dengan cermin hadapan yang lebih tegak, cermin ‘quater window’ di belakang tiang-A ditiadakan, tiang-C yang lebih tebal yang akan turut memanjangkan jarak roda trak ini, dan juga bumbung yang lebih tinggi untuk mendapatkan ruang kelegaan kepala yang lebih selesa serta jarak dari papan pemuka ke gandar.


Imej render dari Theophilus Chin (kiri), dan konsep asli Proton (kanan)

Saiz hud enjin juga dibesarkan, gril hadapan dikecilkan, bampar hadapan dikedalamkan lagi, garisan badan pada pintu telah disambungkan ke dapra hadapan, serta lampu telah ditukar kepada lampu yang lebih menyerupai lampu kenderaan produksi.

Sehingga kini, tiada lagi apa-apa pengesahan untuk memproduksi trak pikap ini dari Proton. Mengapa Proton membina model konsep trak pikap ini? “Mudah, lihat bagaimana berjayanya Proton Jumbuck (Arena untuk pasaran Australia), tiada sebab bagi kami untuk tidak melihat segmen yang telah memberikan keuntungan kepada kami satu ketika dahulu,” kata Ketua Pereka Proton Azlan Othman.

Bagaimana pula pandangan anda terhadap imej yang menerima sentuhan Theophilus ini? Kongsikan bersama kami pada ruang komen di bawah.

GALERI: Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora