LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

Prasarana mengesahkan pemberian diskaun tambang sebanyak 50% bagi pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel bermula 16 September ini. Ia akan dilaksanakan bagi perjalanan antara 6 hingga 7 pagi bagi penumpang yang membuat pembayaran tanpa tunai.

Menurut CEO Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, senada dengan yang diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu melancarkan projek LRT3 pada 24 Ogos lalu, diskaun berkenaan bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen LRT dan Monorel pada waktu puncak, laporan Bernama.

“Pemberian diskaun ini boleh dinikmati oleh pengguna kad Touch ‘n Go, MyRapid, MyRapid Smart 7, MyRapid Smart 30, dan pemegang kad konsesi (pelajar, warga emas, orang kelainan upaya). Ia bertujuan menggalakkan pengguna menukar corak perjalanan mereka dari waktu puncak pagi iaitu antara 7 hingga 9 pagi kepada seawal 6 hingga 7 pagi untuk mengelakkan kesesakan di beberapa stesen,” katanya kepada pihak media.

Beliau berkata kira-kira 10,000 pengguna dijangka mendapat manfaat melalui diskaun tersebut, dan diharap dapat mengubah corak perjalanan mereka selaras dengan konsep ‘win-win situation’.

“Diskaun ini meliputi laluan LRT Kelana Jaya, LRT Sri Petaling, LRT Ampang, Monorel Kuala Lumpur dan Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway,” katanya.

Azmi berkata 66% daripada pengguna LRT dan monorel sekarang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.