honda-ur-v-spy-1-bm

Di China, Honda mempunyai dua usaha sama dengan pengeluar tempatan. Disebabkan itu, kadang-kadang, akan ada dua rekaan bagi satu model yang sama di sana; sebuah pasaran automotif terbesar dunia waktu ini. Terbaharu ialah Dongfeng Honda dengan model crossover Honda UR-V, yang merupakan penampilan lain bagi Honda Avancier yang diperkenalkan April lalu, oleh sebuah lagi rakan usaha sama lain, Guangqi Honda.

Imej-imej ini adalah dari autohome.com.cn, menampilkan model Avancier dengan wajah depan yang dikemaskini. Bahagian atas dan bawah grilnya disambungkan pada bahagian berbentuk ‘U’ sama seperti yang terdapat pada model HR-V. Lampu utama dipadankan padanya seperti suatu lapisan lain yang dihubungkan sekali.

Ini sedikit berbeza dengan pendekatan yang biasa digunakan bagi rekaan di bahagian hadapan Avancier, yang menempatkan rupa Solid Wing Face dan gril krom seperti Civic baharu. Lampu utama yang kelihatan di sini bukan LED, tetapi mungkin varian tertinggi nanti akan dilengkapi lampu dari jenis itu.

honda-ur-v-spy-2-bm

Di bahagian belakang turut menerima perubahan. Kedudukan lampu belakang serta ruang nombor pendaftaran antara yang terlibat. Yang menjadi kelainan pada UR-V ini ialah jalur merah yang menghubungkan kedua-dua belah lampu belakangnya, yang turut dapat dilihat pada Honda BR-V.

Logo dan kemasan krom turut dialih turun sedikit ke bawah. Bahagian pemantul kini dalam kedudukan menegak, serta elemen lain seperti corong ekzos dan diffuser turut mengalami perubahan. Perubahan serba sedikit rekaan berkenaan telah menambah panjangnya sebanyak 9 mm kepada 4,825 mm.

Dengan lebar yang melebihi 1.9 meter dan jarak antara rodanya 2,820 mm, Avancier/UR-V merupakan SUV saiz besar yang berada lebih atas daripada CR-V. Lawannya ialah Toyota Highlander dan Ford Edge di China.

Avancier dikuasakan oleh enjin 2.0 liter “Sport Turbo” VTEC Earth Dreams Technology, yang digandingkan dengan transmisi sembilan-kelajuan automatik dengan Paddle Shift. Enjin ini menjana 268 hp dan 370 Nm; sistem 4WD On-Demand turut disediakan.

GALERI: Honda Concept D di Auto Shanghai 2015