Proton tunai impian si kecil 6 tahun, penghidap kanser Medulloblastoma yang meminati dunia automotif

suk_7945

Tiada apa yang menggembirakan hati si kecil ini apabila salah satu impiannya tercapai. Begitu meminati dunia automotif, Danish Rizqin Rosli, telah dibawa melawat fasiliti Proton di Subang Jaya, Selangor termasuk melihat sendiri di sebalik pembikinan model kereta nasional pertama negara pagi ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah anjuran Proton sendiri dengan kerjasama Make A Wish Malaysia, telah merealisasikan impian Rizqin yang disahkan menghidap kanser Medulloblastoma, iaitu salah satu jenis kanser, di mana terdapat tumor pada bahagian bawah kepalanya. Anak tunggal kepada pasangan suami isteri Rosli Ahmad dan Hazamaratul Damrah Shariat ini telah pun menjalani pembedahan membuang tumor pada Mac lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebaik sahaja dikesan menghidap penyakit ini.

Perasaan teruja jelas terlukis di wajah Rizqin apabila diberi kesempatan secara eksklusif melawat kilang pemasangan Proton termasuk bahagian R&D. Malah dia juga petah bertanyakan soalan mengenai model-model Proton.

Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

Si kecil ini begitu menunjukkan minat yang mendalam terhadap dunia automotif termasuk mengenali semua model Proton (termasuk yang sudah tiada dalam pasarannya) dan juga asas teknikal dan teknologi yang digunakan oleh syarikat ini. Ia adalah hasil minatnya yang sering melakukan pencarian menerusi Google untuk mengetahui sesuatu model dan jenis kenderaan.

Menurut ibunya, Rizqin telah menunjukkan minat terhadap kereta sejak usianya dua tahun. “Ayahnya selalu bawa balik majalah automotif, sejak itu dia cukup berminat dengan kereta. Malah sekarang ini, sebut saja apa jua model kereta, dia pasti tahu. Sekarang dia sudah pandai menggunakan Internet, jadi dia akan cari sendiri maklumat pasal kereta menerusi Google,” ujar Hazamaratul.

Dengan bantuan Ketua Pereka Bentuk Proton, Azlan Othman, Rizqin juga telah menunjukkan kemahirannya melukis sendiri model kereta dengan menggunakan salah satu teknologi lakaran yang digunakan oleh unit R&D Proton. Manakala Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa turut hadir memberikan penerangan mengenai teknologi enjin yang digunakan oleh Proton. Menambahkan lagi keterujaanya apabila Rizqin diberi kesempatan menaiki Proton Persona 2016 dan Lotus Evora 400 di trek ujian Proton.

Ketika ditanya pada Rizqin, apakah perasaannya selepas diberi peluang keemasan sebegini, dia menjawab sambil menangis, “Saya sangat terharu. Terima kasih Proton.”

Sebelum pulang, Proton dan Make A Wish Malaysia turut meraikan sambutan harijadi buat Rizqin yang bakal berusia genap enam tahun esok. Untuk adik Rizqin, Paultan.org/bm ingin mengucapkan Selamat Harijadi yang ke-enam, kuatkan semangat dan moga cepat sembuh!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.