jd-power-2016-1

Berdasarkan perolehan daripada kajian Initial Quality Study (IQS) yang dilakukan oleh J.D. Power 2016 di Malaysia, kualiti kenderaan baharu di Malaysia kini meningkat 18% berbanding di tahun 2015.

Angka berkenaan merupakan peningkatan terbaik yang pernah dicapai dalam tempoh 14 tahun kajian berkenaan, ia turut menunjukkan bahawa jurang antara kereta nasional dan bukan nasional semakin rapat sepanjang yang pernah disaksikan sebelum ini.

Seperti sebelumnya, kajian berkenaan menilai kualiti kenderaan baharu berdasarkan tempoh dua hingga enam bulan pertama pemilikan kenderaan, dan melihat kepada 200 simptom masalah umum meliputi lapan komponen kenderaan. Antaranya, bahagian luaran, pengalaman memandu, enjin dan transmisi, sistem audio dan sebagainya.

jd-power-2016-2

Semua masalah dikumpulkan sebagai jumlah masalah yang dilaporkan bagi setiap 100 kenderaan (PP100). Lebih rendah kadar PP100 ini, maka lebih rendahlah kadar masalah yang dihadapi oleh jumlah kenderaan yang dinilai.

Dapatan tahun ini menunjukkan peningkatan bagi semua lapan kategori masalah yang dinilai dalam kaji selidik berkenaan; kategori enjin dan transmisi mencatatkan penurunan yang tertinggi. Luaran kenderaan terus menjadi kategori yang mencatatkan paling banyak masalah yang dilaporkan, trend yang sama disaksikan sejak permulaan kaji selidik ini dijalankan pada 2003.

Kadar kualiti keseluruhan bagi tahun 2016 ialah 69 PP100, jauh berbeza berbanding 259 PP100 yang dicatatkan pada 2003. Bagi kenderaan bukan nasional, ia mencatatkan bacaan yang agak baik, iaitu 54 PP100. Sementera kenderaan nasional pula semakin merapatkan jurang dengan kadar 83 PP100.

jd-power-2016-3

Bagi tempoh 14 tahun berkenaan, jurang antara kenderaan nasional dan bukan nasional semakin mengecil kepada hanya 29 PP100 berbanding awalnya 146 PP100. Kajian itu juga menyatakan, kadar peningkatan dari tahun ke tahun yang dicapai oleh kenderaan nasional sebenarnya mengatasi kenderaan bukan nasional; 18% berbanding 16%.

Menarik juga untuk diperhatikan, lelaki melaporkan lebih banyak masalah kenderaan mereka berbanding wanita; 79 PP100 berbanding 56 PP100. Antara masalah yang paling kerap dilaporkan ialah ‘pendingin hawa tidak sejuk dengan pantas’ dan ‘brek bising’.

Keseluruhannya, 39 model kenderaan terlibat di dalam kaji selidik tahun ini, terdiri daripada kenderaan penumpang serta trak pikap daripada 12 jenama, dan melibatkan sejumlah 2,436 maklum balas daripada pemilik kenderaan baharu yang dibeli dari tempoh Ogos 2015 hingga Jun 2016. Kajian ini dijalankan dalam tempoh Februari hingga Ogos tahun ini.

Toyota Vios berada dikedudukan tertinggi bagi segmen kereta sedan saiz sederhana (48 PP100), sementara Toyota Avanza mendahului bagi segmen MPV/Van (52 PP100) bagi tahun ke lapan berturut-turut. Perodua Myvi pula mengungguli segmen segmen kereta kompak (73 PP100) manakala Mazda MX-5 mencatatkan bacaan terbaik bagi segmen SUV (41 PP100).

jd-power-2016-4